Friday, August 14, 2009

DUA GAJAH BERGADUH : MUSANG PAKATAN MENGINTAI-INTAI



Pertelingkahan antara Ong Tee Keat dengan Tiong King Sing, akhirnya mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan oleh beliau akan menjejaskan integriti kerajaan dan parti. Sebaliknya kedua-dua tokoh BN itu diminta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dengan sewenang-wenangnya.

PUTRAJAYA 14 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tiong King Sing agar berhati-hati ketika membuat sebarang kenyataan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kedua-dua pemimpin BN tersebut perlu sedar implikasi kenyataan mereka kepada imej parti dan kerajaan.

"Mereka perlu berwaspada ketika mengeluarkan sebarang kenyataan dan jangan mengatakan sesuatu yang tidak betul kerana orang ramai akan menilai integriti mereka.

"Jika mahu mempertahankan sesuatu, mereka boleh menggunakan saluran mengikut undang-undang yang ada," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini hari ini.

King Sing yang juga Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) iaitu pemaju siap guna PKFZ sebelum ini mendakwa Tee Keat bagi pihak MCA telah menerima derma RM10 juta daripadanya.

Dakwaan itu dibuat tidak lama selepas pasukan khas yang ditugaskan untuk menyiasat isu PKFZ mengeluarkan laporan mengenai enam penyelewengan yang didakwa dilakukan KDSB ketika memajukan PKFZ.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, isu melibatkan Tee Keat dan King Sing perlu ditangani secara serius kerana ia turut membabitkan kepentingan rakyat.

"Ini bukan sesuatu yang perlu disenyapkan, saya menyerahkan kepada mereka untuk menangani masalah ini.

"Walaupun ia tidak membantu dari segi imej kerajaan tetapi keadaan ini tidak boleh dielakkan kerana rakyat mahu mengetahui perkara sebenar," katanya.

Beliau berkata, sebagai pemimpin, Tee Keat dan King Sing tidak perlu asyik diingatkan mengenai apa yang patut dan tidak patut dilakukan.

"Saya tidak perlu asyik memberi nasihat.

"Sebagai pemimpin, mereka sepatutnya memimpin melalui teladan," katanya.

No comments: