Tuesday, September 21, 2010

INTEGRITI DAN HURU HARA DI PARLIMEN


Ciri-ciri kewibawaan dan kualiti seseorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi sesebuah syarikat yang terdapat dalam buku-buku bercorak perniagaan lebih cenderong menekankan betapa pentingnya nilai integriti dan keikhlasan.



Walaupun terdapat perbezaan bagaimana perniagaan harus dijalankan di sesebuah negara, entiti, matlamat dan proses pengeluaran yang berbeza namun pokok pangkalnya ia tetap memerlukan kepada pengurusan yang baik dan prestasi yang cemerlang serta kualiti pengeluaran yang tinggi nilainya.



Berdepan dengan keperluan ini maka sesuatu perniagaan atau sesebuah negara, harus diterajui oleh seorang CEO yang mempunyai ciri-ciri keikhlasan dan integriti yang tinggi.



Melihat kepada trend sejak akhir-akhir ini, saya cenderong untuk mempercayai, tetapi kini mungkin tidak lagi. Walaupun sesebuah syarikat memerlukan seorang CEO yang ikhlas dan berintegriti tetapi nampaknya di Malaysia ciri-ciri tersebut tidak diperlukan.



Keperibadian yang mulia ini tidak menjadi satu kemestian jika seseorang itu bercita-cita menjadi seorang Speaker Dewan Rakyat atau Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, sebagai contoh.


Malahan, saya lebih cenderong untuk berhujah bahawa anda tidak perlu memiliki ciri-ciri keperibadian yang mulia jika anda ingin menerajui sesuatu pertubuhan di negara ini.



Sebelum saya mengulas lanjut, biar saya terangkan mengenai keghairahan saya ketika Pak Lah (bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi) mengumumkan pada awal pentadbirannya, ‘integriti’ sebagai asas pegangan dalam pentadbiran.



Saya fikir inilah apa yang diperlukan oleh negara ini. Namun saya agak kecewa selepas dianjurkan beberapa majlis yang meriah dan beberapa juta ringgit telah habis dicurahkan, apa yang kita ada hari ini hanya tinggal Institut Integriti Nasional sahaja.



Berkemungkinan ‘Integriti dalam Tadbir Urus’ tidak termasuk dalam terma rujukan dan syarat perjanjian dengan firma Apco, maka sebab itulah …….



Saya masih ingat pada suatu ketika dahulu, pegawai-pegawai JKR sanggup mencatat bilangan pelawat yang meluangkan masa untuk makan karipap dan minum kopi di kantin pejabat mereka.

Suatu ketika dahulu, para hakim sanggup dipecat kerana berpegang teguh dengan prinsip dan kepercayaan mereka.



Gabenor Bank Negara memilih untuk meletak jawatan daripada menanggung malu dan merasa hina kerana mengikut arahan dari ahli-ahli politik.



Hari-hari tersebut telah pun berlalu dan ia kelihatan seolah-olah seperti mereka yang mempunyai integriti tidak akan dilantik lagi memegang jawatan-jawatan tertinggi dalam institusi-institusi kerajaan di negara ini.



Hari ini jika anda ingin kekal di takhta jawatan anda, anda kena bermain politik dan buat apa yang disuruh oleh tuan-tuan politik,tidak perlu bersusah payah – integriti menjadi satu perkataan yang sukar diterima.



Keadaan ini menjelaskan kenapa Timbalan-Timbalan Speaker di Dewan Rakyat bertingkah laku sedemikian rupa minggu lepas.



Speaker-Speaker telah hilang kawalan ke atas dewan. Setiap hari berlaku huru hara.

Pekik memekik dan membuang masa untuk perbahasan selama berjam-jam kerana tidak faham mengenai peranan Parlimen dan kedudukan dan bidang kuasa mereka untuk mengawal prosiding dalam dewan secara adil dan tegas.



"Menyelewengkan dewan"


Cara mereka mengendalikan isu-isu yang bercanggah dengan Perintah Tetap 36 (12) oleh ahli-ahli parlimen sangat memalukan.



Memanglah ahli-ahli tidak boleh membuat kenyataan-kenyataan yang salah dan menyeleweng dalam dewan. Ini menjadi perkara asas Perintah 36.



Menurut Erskine May, peraturan ini meliputi semua ahli dewan.


Peraturan yang menyatakan tidak boleh "memberi gambaran yang salah kepada dewan" bermakna keperluan kepada Menteri-Menteri Kerajaan untuk menyatakan yang benar dan tidak berbohong dalam Parlimen.

Ini adalah amalan dalam parlimen berdasarkan prosiding di England, Kanada dan Australia.

Inilah apa yang dimaksudkan dengan tanggungjawab seseorang menteri terhadap parlimen. Peraturan supaya "tidak memberi gambaran salah" ialah untuk memastikan Menteri-Menteri tidak berbohong di Parlimen.



Kita boleh melihat prinsip ini dalam kes John Profumo, John Biffen dan Westland Affair.

Jika kita baca British atau Canadian Hansard, kes-kes yang dilaporkan melibatkan kesalahan "menyelewengkan dewan", yang pada kebiasaannya merujuk kepada Menteri-Menteri yang berbohong dan menyelewengkan dewan atas fakta-fakta yang berada di bawah tanggungjawab mereka.



Berdasarkan kepada keperluan terhadap integriti dalam melaksanakan tanggungjawab seseorang menteri dan akauntabiliti terhadap Parlimen, Menteri-menteri British dan Kanada hendaklah memperlihatkan kejujuran dan keikhlasan yang tinggi ketika memberi jawapan kepada soalan-soalan Parlimen.



Dalam konteks berhubung proses legislatif kita hari ini, sebagai contoh – apabila Menteri Pertahanan menyatakan kontrak untuk penyelenggaraan kapal selam itu berjumlah RM270 juta.



Jika ahli-ahli parlimen yang lain dapat membuktikan bahawa angka ini adalah salah maka menteri berkenaan harus dirujuk kepada Jawatankuasa untuk tindakan.



Begitu juga apabila Timbalan Menteri Pertahanan menyatakan bayaran komisyen hasil pembelian kapal selam-kapal selam itu adalah dalam lingkungan RM450 dan pada ketika yang lain, Menteri sendiri menyatakan tidak ada komisyen yang dibayar, ini menunjukkan salah seorang daripada mereka telah berbohong.



Isu-isu begini merupakan sebahagian dari contoh di mana Speaker-Speaker Dewan harus memberi perhatian yang serius.


Data-data yang tidak konsisten seperti inilah yang mereka sepatutnya ambil perhatian.

Aspek yang sentral dalam sistem Westminster ialah kebolehan Parlimen untuk memperolehi maklumat yang tepat mengenai Kerajaan dan Menteri-Menteri yang memberi jawapan yang benar dan lengkap kepada Parlimen.



Inilah yang hendak ditangani oleh Perintah 36.

Tidak menghukum kenyataan daripada pemimpin-pemimpin pembangkang dan ahli-ahli parlimen ekoran kenyataan-kenyataan yang tidak disenangi atau memalukan mereka.

Tidak menghukum berdasarkan perbezaan penafsiran atas fakta yang sama atau menghukum berdasarkan pandangan-pandangan politik.



Pertama sekali Speaker harus menentukan sama ada kenyataan yang mencabar ini kelihatan pada permukaannya berbentuk menyeleweng.

Selepas itu barulah beliau boleh meminta supaya di adakan undi sama ada untuk merujuk atau tidak kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.

Beliau mesti, berdasarkan fakta-fakta atau kenyataan-kenyataan yang ada padanya, menentukan secara bebas dan adil, sama ada seseorang ahli itu telah melanggar peraturan sebelum dia mengundi.



Sebagai contoh, jika dia berpuas hati dengan penerangan oleh YB Dato’ Mahfuz Omar berhubungan kenyataan beliau menyamakan APCO dengan UMNO hanyalah pendapat Mahfuz sahaja maka beliau hendaklah bertindak dengan sewajarnya dan menghentikan kekecohan dalam dewan.



Speaker tidak boleh hukum atas pendapat ahli


Speaker tidak boleh menghukum seseorang ahli dewan kerana mengeluarkan pendapatnya.

Jika beliau fikir terdapat beberapa kesalahan fakta dan dibuat bertujuan untuk memesongkan dewan, beliau mesti memberi alasannya selepas mendapat penerangan daripada ahli tersebut.



Beliau boleh meminta Mahfuz membentulkan kenyataannya dan meminta maaf dan dengan demikian maka selesailah perkara itu.

Atau jika beliau percaya terdapatnya satu kesalahan (prima facie) terhadap aduan itu maka beliau boleh membawa perkara itu untuk dibuat undian.



Beliau tidak boleh membenarkan golongan majoriti membuat keputusan sama ada kesalahan telah dilakukan oleh ahli pembangkang kerana golongan majoriti selalunya akan berkata "ya".

Mereka selalu hendak merujuk ahli dewan dari parti pembangkang kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan walaupun tiada kesalahan dilakukan.

Mereka selalu ingin menggantung ahli pembangkang (tambahan pula, adalah lebih baik jika Ahli Pembangkang itu menyertai mereka).



Jika Speaker tidak sanggup untuk memastikan kebebasan dan tidak berat sebelah dalam tugasannya, maka Parlimen akan menjadi seperti "rumah anjing" di mana bertempik dan memekik menjadi amalan harian.


Parlimen tidak boleh sekat kebebasan ahli


Tidak ada masa untuk perbahasan mengenai dasar-dasar dalam Parlimen.

Pada ketika ini, kita bingung memikirkan siapa yang berminat untuk menjadi ahli parlimen.

Jadi Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang ini dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan dan berkemungkinan akan digantung kerana menyatakan terdapat persamaan di antara konsep 1Malaysia dan Satu Israel.



Juga atas sebab dakwaan beliau tentang kemungkinan Apco bertanggungjawab kepada idea-idea ini?

Apakah bentuk jenayah atau adakah beliau telah melanggar peraturan dewan?

Ini merupakan satu pendapat Ketua Pembangkang.



Beliau memberikan sebab-sebabnya untuk menyokong hujahnya, dan hujah-hujahnya adalah baik dan berasas.

Parlimen tidak boleh mengekang kebebasan ahli-ahlinya dan menghukum mereka, hanya kerana mereka telah menjatuhkan maruah kerajaan.

Setiapa ahli diberi masa yang cukup untuk bercakap mengenai apa jua tajuk tanpa takut kepada tindakan-tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa. Inilah apa yang dimaksudkan dengan keistimewaan parlimen.



Ahli-ahli politik British di sepanjang zaman mempertahankan nyawa mereka untuk mendapatkan kebebasan Parlimen daripada kuasa Raja dan kuasa-kuasa lain.

Tetapi kesanggupan Parlimen kita untuk menyekat kebebasan ahli-ahli Yang Berhormat kita aalah sesuatu yang mengecewakan.



Nazri menghina Parlimen?


Jika Anwar memberi fakta yang salah, Speaker boleh dengan mudah menyelesaikan masalah ini dengan meminta beliau membuat pembetulan.

Apakah penemuan atau alasan Timbalan Speaker pula apabila beliau membuat keputusan merujuk Anwar kepada Jawatankuasa tersebut?



Adakah beliau telah menemui kesalahan yang dilakukan oleh Anwar kerana memesongkan dewan?

Tidak ada peraturan terhadap fakta -fakta, hanya satu anggapan bahawa Speaker mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.



Tetapi fakta-fakta tersebut berpihak kepada Anwar.

Bolehkah kita tidak bersetuju atau mempunyai pandangan lain, mungkin terdapat berbeza pada peringkat kesimpulannya sahaja.

Tujuan Speaker memilih untuk merujuk Anwar kepada Jawatankuasa itu adalah jelas kerana Nazri Abdul Aziz berkata demikian.



Dan Nazri berkata demikian kerana kabinet berkata demikian.

Di negara-negara lain yang bertamadun, Nazri dan seluruh anggota kabinet boleh didakwa atas kesalahan menghina Parlimen.



Parlimen harus membuat keputusannya sendiri dan bukan atas desakan kabinet.

Inilah yang dimaksudkan dengan pengasingan kuasa dan kebebasan Parlimen.

Inilah kenapa perlu adanya Perintah-Perintah Tetap.



Inilah kelebihan atau keistimewaan yang diberikan kepada ahli-ahli Yang Berhormat.

Parlimen yang mempunyai integriti tidak boleh dilihat sebagai mengikut telunjuk yang memalukan daripada pihak Eksekutif dan Menteri-Menteri Kabinet.

Jika beginilah keadaannya, lebih baik Timbalan Speaker membuang sahaja apa yang pada zahirnya semacam ada kebebasan dalam Parlimen yang mereka laung-laungkan dan pertahankan ketika menjadi ahli kelab penyokong di Parlimen.



Tetapi anda tidak akan dapat melaksanakan kebebasan dan integriti jika karier anda bergantung kepada arahan daripada pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

Anda tidak akan dapat melaksanakan tugas dengan penuh integriti jika menerima arahan tanpa soal dan tidak memperdulikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Bagaimana kedudukan yang "mulia" dan "tinggi" ini dapat merubah kita semua.



Oleh :zaid Ibrahim (malaysiakini)

Monday, September 6, 2010

SULTAN BRUNEI MILIKI 7000 BUAH KERETA MEWAH


BANDAR SERI BEGAWAN - Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah memiliki koleksi kereta paling mewah dan terbesar di dunia, laporGTSpirit.comsemalam.

Baginda memiliki 7,000 buah kereta berprestasi tinggi dengan anggaran harga keseluruhan mencecah AS$5 bilion (RM15.9 bilion).

Antara kereta mewah milik Sultan Hassanal Bolkiah termasuk sebuah kereta Porsche 959, Porsche Carrera GT, Lamborghini Diablo Jota, Lamborghini Murcielago LP640, Bugatti EB110, dua buah Bugatti Veyron (edisi biasa dan Pur Sang) , Maybach 62, Jaguar XJR-15 dan enam Dauer 962s.

Baginda turut memiliki enam buah kereta Ferrari FX, model asal Bentley Continental R, satu-satunya Porsche Carma di dunia, satu-satunya kereta sport Koenigsegg Agera CC GT, dua kereta konsep Ferrari Mythos yang beroperasi sepenuhnya, dua kereta Sedan Ferrari 456 GT, satu-satunya kereta Mercedes-Benz CLK-GTR pemanduan kanan di dunia, lima kereta lumba McLaren F1 termasuk dua model LM hitam dan tiga kereta Cizeta-Moroder V16T.

Sultan Hassanal juga merupakan pemilik 10 daripada 77 model Aston Martin One-77 yang pernah dikeluarkan, satu-satunya Aston Martin Convertible DB4 GT Zagato, dan satu-satunya kereta Cicero BDB Maestro.
Menurut akhbar Daily Mirror, setakat 30 Jun 2010 beliau memiliki 604 buah Rolls Royce, 574 Mercedes-Benze, 452 Ferrari, 382 Bentley, 209 BMW, 179 Jaguar, 134 Koenigsegg, 21 Lamborghini, 11 Aston Martin dan sebuah SSC.

Koleksi penuh kereta itu disimpan dan diselenggarakan di lima buah hangar pesawat yang lokasinya dirahsiakan. - Agensi