Friday, March 25, 2011

VIDEO LUCAH DAN DOSA POLITIK


Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan ‘penonton bodoh’ yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakunkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!

Saturday, March 12, 2011

BUKU JINGGA BANKRAPKAN NEGARA: DATUK RAHMAN DAHLAN


Saya amat teruja apabila mendapat tahu bahawa Pakatan Rakyat (PR) telah mengumumkan dasar-dasar utama ekonomi dan kerajaan mereka jika dapat menawan Putrajaya. Saya gembira kerana PR akhirnya sedar bahawa untuk memenangi hati rakyat dan untuk menjadi kerajaan Persekutuan, mereka tidak boleh lagi menggunakan pendekatan retorik semata-mata. Akhirnya mereka harus akur kepada tuntutan “two-party-system” iaitu mempersembahkan dasar-dasar alternatif yang berbeza dengan parti pemerintah.

Agaknya atas kesedaran ini, maka lahirlah Buku Jingga yang diilhamkan oleh YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, YB Lim Kit Siang dan YB Dato Seri Abdul Hadi Awang. Kini sekurang-kurangnya rakyat dapat menilai antara keberkesanan Buku Jingga dan Model Ekonomi Baru ilham Perdana Menteri YAB Dato Sri Najib Tun Razak.

Saya sebenarnya mengharapkan satu buku yang sarat dengan hujah-hujah ekonomi yang berdasarkan fakta yang nyata. Harapan saya ternyata meleset apabila membaca 3 mukasurat yang pertama sahaja, saya agak terkejut kerana PR masih lagi menggunakan berbagai-bagai label dan ungkapan-ungkapan retorik untuk mencemuh BN. Antaranya: selamatkan Malaysia, noda hak rakyat, rasuah, salahguna kuasa, bolot, tidak peduli, mengekang, tidak berjiwa rakyat, krisis parah, perkauman, durjana, pudar, ketinggalan, meraba-raba, bongkak, pentingkan sendiri, mundur, merudum, penderitaan, ketirisan, songsang, hambar, menunggang, lemah, kemelut, malap, gelap, ketakutan dan kabur.

Sebagai penyokong BN, saya hampir saja membuang Buku Jingga kedalam tong sampah kerana kecewa dengan retorik politik berlebihan yang tidak kena pada tempatnya.

Saya faham tentang politik. Setiap parti akan cuba sedaya upaya untuk mendapat pulangan politik terhadap apa saja yang mereka lakukan. Itu tidak salah kerana itulah lumrah politik. Tetapi dalam hal ini PR sepatutnya belajar daripada BN. Contohnya dalam dokumen Model Ekonomi Baru yang merangkumi Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan, tidak ada satu ayat pun yang memperlekehkan pembangkang. Semuanya ditulis dengan rasa keinsafan dan kesedaran bahawa Model Ekonomi Baru adalah milik semua rakyat Malaysia, tidak kira apa pegangan politik mereka. BN menyedari bahawa untuk Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan berjaya, semua rakyat Malaysia termasuk yang menyokong BN dan PR perlu menerimanya. Sebab itu, adalah penting untuk PR menyedari bahawa untuk berjaya, Buku Jingga juga perlu memenangi majoriti hati rakyat termasuk penyokong BN dan mereka yang di atas pagar.

Satu perkara lagi yang saya dapat bezakan antara Buku Jingga dan Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan ialah cara ianya dirancang. Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan dirancang oleh BN setelah mendapat pandangan dan cadangan daripada rakyat melalui beberapa siri interaksi dan perhubungan dengan mereka. Antara lainnya ialah:

· 190,152 respon daripada orang awam melalui SMS
· 20,000 pengunjung bengkel-bengkel awam (public workshop)
· 24,719 respon daripada kajian on-line (on-line polls)
· 900 ahli makmal yang terdiri daripada pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan pakar-pakar industri dan NGO
· 6,213 respon dari orang awam secara bertulis
· dan 26,000 pengunjung Hari Terbuka (open days) PEMANDU mengenai Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan.


Setelah mendengar dan mengambil kira respon dan pandangan orang awam, barulah kerajaan BN membuat “endorsement” terhadap Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan . Buku Jingga pula, sepanjang pengetahuan saya, tidak pernah membuat sebarang percubaan untuk mendapatkan pandangan umum sebelum ianya digubal. Mungkin sebab itulah rakyat kurang merasai potensi Buku Jingga ini.

Selain itu, satu lagi perbezaan ketara antara Buku Jingga dan Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan BN ialah pendekatan masing-masing dalam usaha memacu ekonomi negara. BN meletakkan sektor swasta sebagai “driver” kepada ekonomi negara (Private sector driven - contohnya 92% daripada pelaburan dan perbelanjaan Model Ekonom Baru akan datang daripada sektor swasta) manakala Buku Jingga pula meletakkan kerajaan sebagai driver ekonomi dengan menuntut kerajaan PR untuk berbelanja besar (big government spending!).

Apapun, saya teruskan tulisan ini dengan analisa saya terhadap Buku Jingga. Saya ucapkan terimakasih kepada MOF, EPU dan PEMANDU yang telah banyak memberi pandangan dan input kepada saya.

Buku Jingga boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori yang pertama ialah 10 janji yang akan diimplementasikan dalam masa 100 hari PKR menjadi kerajaan persekutuan dan kategori kedua ialah 39 janji dibawah tajuk “Dasar Bersama” atau “Common Policy”. Saya akan memberi keutamaan dan menjawab janji-janji berkenaan ekonomi dahulu kerana ianya mempunyai kesan dan implikasi yang besar kepada ekonomi negara. Janji-janji tiada kaitan dengan ekonomi secara langsung akan saya jawab pada posting yang akan datang dalam blog ini.

Buku Jingga menjanjikan beberapa perkara utama yang melibatkan kewangan negara.

Antara lain:

· Pengambilalihan konsesi-konsensi lebuhraya negara
· pemberian RM500 kepada kakitangan kerajaan bermula dengan guru-guru
· menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada rakyat di kawasan bandar dan separa bandar
· meningkatkan pendapatan isirumah kepada tahap minima RM4,000 sebulan
· penghapusan subsidi RM19 billion kepada IPP (Independent Power Producer – Penjana Tenaga Bebas)
· menaikan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Trengganu dan Kelantan kepada 20%


(1) Pengambilalihan konsesi-konsensi lebuhraya negara
– Kos kepada kerajaan RM50 billion

Dasar PR ini mengarahkan kerajaan membuat tawaran pembelian saham-saham 19 syarikat konsesi lebuhraya yang dipegang oleh pelabur swasta. Kos pengambilan 19 lebuhraya melibatkan kos tidak kurang dari RM50 billion. Angka RM50 billion adalah tawaran terbaik buat masa ini kepada pemegang saham swasta oleh sebuah syarikat bernama Asas Serbi Sdn Bhd. Besar kemungkinan pemegang saham swasta tidak akan menerima tawaran kerajaan yang lebih rendah dari RM50 billion.

(2) Meningkatkan pendapatan isirumah kepada tahap minima RM4,000 sebulan
– Kos kepada kerajaan minima RM93.9 billion setahun

Untuk memastikan setiap isirumah mendapat RM4,000 dalam masa lima tahun, pendapatan isirumah mesti berkembang pada kadar 21.7%. Ini adalah satu perkara yang susah direalisasikan buat masa ini. Kalau kita ambil contoh ekonomi yang paling pesat membangun di dunia untuk dibuat perbandingan iaitu ekonomi negara China, pendapatan isirumah mereka hanya berkembang pada tahap lebih kurang 10% sahaja setahun (sumber: National Bureau of Statistics China). Di Thailand dengan ekonomi yang memberangsangkan, kadar ini hanya 6.3% (sumber: National Statistical Office Thailand).

Jika PR gagal mengembangkan pendapatan isirumah pada kadar 21.7% (dan ini mungkin berlaku), PR terpaksa menokok sejumlah wang untuk memastikan janji mereka ditunaikan. Berapakah yang perlu PR belanjakan?

Peratusan isirumah yang berpendapatan RM4,000 kebawah ialah 67.1% (atau 3.8 juta isirumah). Untuk memastikan pendapatan isirumah mencapai RM4,000, secara puratanya PR terpaksa menokok wang tunai sebanyak RM2,045 sebulan setiap isirumah. Ini bermakna untuk setahun jumlah yang akan dibelanjakan oleh kerajaan PR ialah RM93 billion (untuk 3 tahun jumlah itu menjangkau RM279 billion. Untuk 5 tahun jumlahnya ialah RM465 billion).

(3) Pemberian RM500 kepada kakitangan kerajaan bermula dengan guru-guru
– Kos kepada kerajaan RM2.4 billion

Jumlah guru di Malaysia lebih kurang 400,000 orang. Penambahan gaji RM500 seorang akan memakan kos sebanyak RM2.4 billion setahun (RM500 X 400,000 orang X 12 bulan).
Saya berpendapat besar kemungkinan PR tidak akan dapat menolak desakan kakitangan kerajaan yang lain untuk mendapat kenaikan gaji yang sama. Kalau ini berlaku maka kos akan meinngkat kepada RM7.2 billion setahun (RM500 x 1,200,000 orang kakitangan kerajaan X 12 bulan)


(4) Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada rakyat di kawasan bandar dan separa bandar
– Kos kepada kerajaan RM1.2 billion

Mengikut anggaran syarikat Wireless@KL, untuk membangunkan prasarana dan perkhidmatan Wi-Fi percuma di Kuala Lumpur (luas 244km persegi) sahaja akan memakan belanja RM64 juta (Capex RM50juta, Opex RM14juta). Kalau dikembangkan ke kawasan bandar dan separa bandar di Kangar, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar, Petaling Jaya, Melaka, Seremban, Johor Bahru, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching, kos yang dianggarkan ialah RM1.2 billion.

(5) Menaikkan bayaran royalti kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20% - Kos kepada kerajaan RM12.5 billion (jika andaian Petronas mengekalkan tahap “retained profits”nya.

Dengan 5 perkara ekonomi diatas sahaja, bajet kerajaan PR akan mengalami defisit yang teruk dan hutang kerajaan PR akan melonjak naik.

Oleh kerana Buku Jingga tidak mempunyai maklumat tentang defisit bajet (peratusan dari KDNK), saya terpaksa menggunakan unjuran peratusan defisit yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam bajet 2011. Jumlah defisit ini bolehlah dikira sebagai “starting point” untuk bajet kerajaan PR jika mereka memerintah Putrajaya.

Defisit bajet untuk setahun pertama ialah:

· Defisit 2011 ialah RM39 billion (5.4% dari KDNK), tambah
· Kos penghapusan tol RM50 billion (6.92% dari KDNK), tambah
· Kos menokok tambah pendapatan isirumah RM93.9 billion (12.99%) dari KDNK), tambah
· Kos naik gaji guru RM2.4 billion (0.33% dari KDNK) tambah
· Kos Wi-FI percuma RM1.2 billion (0.17% dari KDNK) tambah
· Kos tambahan 20% royalti minyak RM12.5 billion (1.73% dari KDNK)

Keseluruhannya defisit bajet PR pada tahun pertama ialah RM199 billion atau 27.54% dari KDNK.

Dengan defisit sebesar itu, kerajaan PR akan berhutang untuk menampung defisit bajet tersebut. Hutang kerajaan PR dianggarkan melonjak kepada RM617.1 billion atau 85.4% dari KDNK. Ini senario tahun pertama PR menjadi kerajaan persekutuan.

Untuk tahun kedua, oleh kerana beberapa perbelanjaan seperti pengambilalihan lebuhraya dan pembinaan prasarana Wi-Fi adalah merupakan perbelanjaan sekali sahaja (one-off), defisit bajet kerajaan PR untuk tahun kedua dijangka turun kepada RM139.3 billion (18% dari KDNK).

Oleh kerana tahun kedua bajet masih lagi defisit, sekali lagi kerajaan PR terpaksa menambah hutang mereka kepada RM783.5 billion (101.3% dari KDNK) untuk menampung defisit bajet untuk tahun kedua.

Maka untuk tahun kedua pemerintahan PR, defisit bajet negara akan melebihi 10% dari KDNK dan hutang kerajaan PR akan melampui 100% dari KDNK. Dengan itu Malaysia akan secara rasminya diistiharkan BANKRAP kerana hutangnya melebihi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)!

Nota:

(1) Anggaran ini hanya mengambil senario dimana kos pengambilan 19 lebuhraya negara ini ialah RM50 billion. Ada pakar ekonomi yang menjangkakan kos pengambilan ini boleh mencecah RM100 billion.

(2) Anggaran ini juga hanya mengambil senario di mana hanya gaji guru yang diberi tambahan RM500 sebulan. Jika semua kakitangan perkhidmatan awam yang berjumkah 1.2 juta mendesak kerajaan PR untuk memberi mereka jumlah yang sama, tambahan kos ialah RM7.2 billion dan bukannya RM2.4 billion setahun.

Dari Mana PR bercadang menambah pendapatannya?

Saya difahamkan bahawa PR merancang untuk menggunakan “penjimatan” RM19 billion yang dipotong dari subsidi kepada Penaja Kuasa Bebas (IPP) untuk menampung dasar-dasar yang saya sebut diatas (sebenarnya fakta Buku Jingga ini adalah salah. RM19 billion bukanlah semuanya subsidi untuk IPP sahaja).

Jawapan saya ialah penjimatan itu tidak akan dirasai oleh rakyat kerana besar kemungkinan IPP akan memindahkan kos mereka kepada pengguna elektrik dalam bentuk bil elektrik yang tinggi. Kita perlu ingat bahawa sebahagian daripada subsidi RM19 billion itu adalah untuk mengurangkan kos IPP agar kos sebenar elektrik tidak tinggi.

Begitu juga dengan kenyataan Buku Jingga bahawa mereka akan memastikan ketirisan tidak berlaku. Mereka mendakwa mereka boleh menjimatkan ketirisan sebanyak RM28 billion.

Untuk makluman, jumlah RM28 billion tidak ada dalam lapuran Ketua Audit negara. Saya sendiri telah bertanya kepada Tan Sri Amrin Buang, Ketua Audit Negara dan beliau mengesahkan tidak pernah mengatakan ada ketirisan RM28 billion.

Mungkin pakar-pakar ekonomi PR akan mengatakan bahawa ketirisan banyak berlaku seperti dalam PKFZ, Perwaja dan lain-lain lagi. Saya tidak menyangkal fakta itu. Tetapi sebagai pakar ekonomi, sudah tentu mereka tahu bahawa adalah kurang sesuai untuk membuat unjuran pendapatan negara bersandarkan kepada penjimatan yang disebabkan oleh usaha membenteras salahguna kuasa, rasuah atau pembaziran. Jumlah dari pembenterasan salahguna kuasa, rasuah dan pembaziran sepatutnya diklasifikasikan sebagai “bonus” dan bukannya pendapatan. Ini kerana penjimatan dari salahguna kuasa, pembaziran atau rasuah bukanlah satu jumlah yang boleh dianggarkan dengan tepat dan tidak dapat pula dipastikan bila boleh direalisasikan.

Saya menghargai usaha PR yang akan cuba untuk membanteras gejala-gejala jenayah ini tetapi saya tidak dapat bersetuju untuk memasukkan “penjimatan” ini sebagai satu pendapatan negara yang boleh dianggarkan dengan tepat dan seterusnya dibelanjakan. Ini sudah tentu akan membawa kepada masalah besar jika unjuran pendapatan negara, yang disandarkan kepada sesuatu yang susah dikesan dan agak lama untuk diselesaikan (sebagai contoh PKFZ dan Perwaja,) tidak dapat direalisasikan dalam tahun bajet itu dibuat.

Dari analisis di atas, jelas menunjukkan bahawa Buku Jingga adalah satu percubaan yang baik namun jika kerajaan PR melaksanakan janji-janji mereka, ekonomi Malaysia tentunya akan bankrap dalam masa dua tahun pemerintahannya. Kesimpulannya, bagi saya Buku Jingga adalah satu buku yang “over simplistic”, tidak realistik dan tidak berpijak pada bumi yang nyata. Tambahan pulak banyak janji-janji sebelum ini tidak dimasukkan kedalam janji 100 hari itu…. Apa sudah jadi dengan janji jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk kuota orang Sabah dan Sarawak?

Nota akhir: Saya akan menulis janji-janji PR yang tiada kaitan dengan prestasi ekonomi negara secara langsung dalam posting saya yang akan datang. Ini termasuk isu institusi kenegaraan seperti ISA, SPRM dan SPR, Felda, janji kepada Sabah dan Sarawak dan lain-lain.

Friday, March 11, 2011

PERDANA MENTERI MALAYSIA


Perdana Menteri Malaysia

Impian sepanjang hayat Perdana Menteri Malaysia Ke-6, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Hj Abd Razak, ialah satu Malaysia yang bersatu padu, aman dan makmur, dengan peluang yang bukan sedikit untuk semua rakyat.

Sebagai putera kepada Perdana Menteri Malaysia Ke-2, Allahyarham Tun Abd Razak, Najib dilahirkan di tengah-tengah gelanggang politik. Najib membesar dengan memerhatikan bapanya serta memahami kehendak politik arus perdana. Beliau sentiasa mengerti bahawa bila sampai waktunya beliau juga mahu berbakti kepada masyarakat dan negara. Namun pemergian bapanya pada ketika yang tidak dijangka, 14 Januari 1976, ketika menjejaki usia 54 tahun, telah menyorongkan Najib ke hadapan sehingga menjadi tumpuan utama. Lima minggu selepas pemergian bapanya, pada usia 22 tahun, Najib telah terpilih untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen Pekan, menjadikan beliau Ahli Parlimen yang paling muda dalam sejarah Malaysia. Pada 2004, beliau telah menyandang jawatan kedua tertinggi dalam negara sebagai Timbalan Perdana Menteri, 47 tahun setelah bapanya dilantik ke jawatan yang sama.

Dato’ Sri Mohd Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang. Beliau telah mendapat pendidikan di St. John’s Institution, Kuala Lumpur dan Malvern Boy’s College, Worcestershire, England sebelum menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang Ekonomi Perindustrian daripada Nottingham University. Sekembalinya ke Malaysia pada 1974, beliau telah menyertai dunia korporat bila berkhidmat untuk satu waktu yang singkat dengan Bank Negara, kemudiannya beralih ke PETRONAS (perbadanan petroleum negara) sebagai Pengurus Hal Ehwal Awam. Namun pemergian Tun Abd Razak secara tiba-tiba itu telah merobah corak kehidupan beliau secara dramatik.

Najib pantas menyesuaikan dirinya dengan kehidupan umum sebagai Ahli Parlimen, dan kemudiannya mendapati kemahiran berpolitik itu begitu serasi dengan dirinya. Tidak lama kemudian, Najib yang masih muda belia telah memperlihatkan bahawa beliau ialah seorang ahli politik yang boleh dipercayai dan berkebolehan serta berhak dipanggil pemimpin atas keupayaan dirinya sendiri. Pada tahun pertamanya sebagai Ahli Parlimen, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga Telekomunikasi dan Pos, dan kemudiannya menjawat jawatan Timbalan Menteri Pelajaran dan selepas itu Timbalan Menteri Kewangan. Pada 1982, Perdana Menteri yang baru, Dr. Mahathir Mohamad telah mencalonkan Dato’ Sri Mohd Najib untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Pekan. Berikutan dengan kejayaannya, Najib yang berusia 29 tahun ketika itu dilantik menjadi Menteri Besar Pahang, negeri terbesar di Semenanjung Malaysia. Pahang pada ketika itu hampir-hampir terjebak dalam satu krisis politik disebabkan oleh perbezaan yang serius antara bekas Menteri Besar dan Sultan Pahang. Tetapi Najib bukan sahaja sebutir bintang yang sedang bergemerlapan, beliau juga ialah salah seorang daripada Pembesar Berempat Istana Pahang (kerana mewarisi gelaran turun temurun sebagai Orang Kaya Indera Shahbandar). Dengan yang demikian diterima dengan tangan terbuka oleh pihak Istana. Krisis yang melanda itu dengan cepat dapat diredakan, memastikan perpaduan dalam UMNO Pahang. Selanjutnya Najib memulakan langkah untuk mengukuhkan pendidikan di dalam negeri.

Pada 1992 Najib telah memainkan peranan utama dalam penubuhan Yayasan Pahang, sebuah yayasan yang membaktikan kepada penggalakan pendidikan dan sukan di kalangan belia Pahang melalui biasiswa dan pembiayaan. Najib telah memperkukuh perusahaan negeri untuk memaksimumkan pendapatan daripada sumber kekayaan semula jadi negeri Pahang. Dengan kerjasama FELDA, Perbadanan Pembangunan Tanah Persekutuan, beliau telah merintis jalan kepada pembentukan skim penempatan tanah baru, memberikan peluang-peluang pendapatan baru kepada mereka yang tidak mempunyai tanah dan berada dalam kelompok yang berpendapatan rendah.

Dato Sri Mohd Najib mula menyandang jawatan Timbalan Ketua Pemuda UMNO pada 1982, dan naik sebagai ketua pergerakan tersebut pada 1987. Pada 1988, setelah satu pergolakan menguasai parti, satu UMNO baru yang telah disusun semula diwujudkan dan Najib telah dilantik sebagai Ketua Pemuda, jawatan yang disandang beliau sehingga 1993.

Dalam pilihan raya 1986, Najib dikembalikan sebagai Ahli Parlimen kawasan Pekan, dan dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Sebaik sahaja dilantik beliau terus memberikan tumpuan kepada penggalakan sukan dan memperkenalkan Dasar Sukan Negara pada 1988. Pada 1989, Malaysia telah mencapai kejayaan yang terbaik pernah dicapainya di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA), yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun itu.

Pada 1991, Dato’ Sri Najib telah dilantik sebagai Menteri Pertahanan. Najib telah mencergaskan semula sebuah Kementerian yang dilihat sebagai tidak bermaya dan lembap. Beliau telah memodenkan Angkatan Tentera Malaysia melalui peningkatan keupayaan, pemerolehan dan latihan strategik. Pada 1995, Dato’ Sri Najib mengalami perubahan dalam portfolio kabinet, yang mana beliau telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Beliau telah mengambil cabaran untuk menyambut aspirasi Malaysia yang baru sahaja diumumkan ketika itu, untuk menjadi sebuah negara maju yang sepenuhnya pada tahun 2020. Sepanjang tempoh lima tahun perkhidmatannya, Najib telah mewujudkan mekanisme yang dapat membolehkan generasi rakyat Malaysia menghadapi cabaran masa mendatang. Beliau telah menstrukturkan semula Kementerian ini, memperbadankan universiti dan institusi awam, serta menggalakkan kerjasama dengan universiti dan institusi luar negara. Langkah ini telah memberikan lebih banyak peluang pendidikan kepada rakyat Malaysia dan meletakkan Malaysia sebagai satu hab pembelajaran serantau. Dato’ Sri Najib juga telah meningkatkan sijil perguruan kepada status diploma, supaya guru-guru dalam kategori tersebut dapat menerima gaji permulaan bulanan yang lebih tinggi.

Pada 1999, berikutan pergolakan politik pada tahun sebelumnya, Najib memenangi pemilihan semula kerusi Parlimen Pekan. Beliau telah dilantik sebagai Menteri Pertahanan buat kali keduanya dan meneruskan usaha untuk meningkatkan dan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia. Apabila beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2004, Dato’ Sri Najib telah diserahkan dengan portfolio tanggungjawab yang banyak dan besar, termasuk mengawasi FELDA, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Beliau mempengerusikan 28 Jawatankuasa Kabinet yang membincangkan pelbagai isu.

Dato’ Sri Najib telah berkahwin dengan YABhg. Datin Sri Rosmah Mansor, dan bapa kepada lima orang anak.

Pada 3hb April 2009, Dato; Sri Mohd Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, dalam satu proses peralihan kuasa yang lancar oleh YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi.

Friday, March 4, 2011

SAMAN EKOR DAN PERSEPSI RAKYAT


1. Terima kasih kepada kerajaan yang melanjutkan tempoh pembayaran saman tertunggak. Bagi mereka yang berpandangan negatif akan mencemuh sebagai satu keputusan yang tidak konsisten yang bermasalah. Namun secara keseluruhan ia mencerminkan sikap kerajaan yang mendengar pandangan dan permintaan rakyat.

2. Walaupun begitu, saman ekor akan terus menjadi kontroversi kerana ramai yang tidak berpuas hati terhadap kaedah dan hukumannya. Kerajaan perlu mencari jalan meredakan dan mengurangkan kemarahan pemandu kenderaan terhadap saman ekor ini atau ia akan menjadi satu bebanan politik yang besar kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.

3. Sebahagian besar saman ekor ialah membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju. Seolah-olah memandu melebihi had laju merupakan faktor utama kemalangan maut di negara ini. Hakikatnya 70% kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal yang jarang sekali kita dengar disaman kerana memandu laju.

4. Saya tidak mengatakan tidak salah untuk kita melanggar had laju yang ditetapkan. Peraturan tetap peraturan. Apa yang ramai orang harapkan ialah kerajaan mempunyai mekanisme saman yang lebih rasional dan mencerminkan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya bukannya mengutip pendapatan negara.

5. Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam Bernama baru-baru ini, antara punca utama kemalangan maut ialah sikap pemandu yang memandu dalam keadaan terburu-buru sehingga memakan jalan pemandu lain, berhenti secara mengejut, mengekor rapat dan melanggar lampu isyarat. Sementara penunggang motosikal pula menunggang dengan berlagak sebagai hero. Dengan kata lain, punca utama kemalangan di negara kita ialah sikap pengguna yang cuai dan tidak bertanggung jawab.

6. Malangnya, yang paling banyak berhadapan dengan saman ekor ialah mereka yang memandu melebihi had laju. Ini berlaku kerana ia mudah dikesan dan disaman. Ini menimbulkan persepsi rakyat bahawa saman ekor yang dibuat bukan untuk mengurangkan kemalangan tetapi menambah kantung kerajaan.

7. Justeru itu, saya berharap kerajaan mengkaji semula kaedah pelaksanaan saman ekor ini jika niat sebenar ialah untuk mengurangkan kemalangan bukannya mencari keuntungan.

8. Kaedah kompaun saman melebihi had laju juga harus berstruktur bukannya secara pukul rata RM 300 tanpa mengambi kira jumlah kelajuan sebenar. Misalnya mereka yang terlebih sekadar 10-30 KM/J daripada had laju yang dibenarkan tidak sewajarnya menerima hukuman kompaun setaraf dengan mereka yang memandu 200 KM/J. Risiko dan impak kemalngan juga berbeza, mengapa kompaunnya sama?

9. Penguatkuasa perlu memahami bahawa pemandu ialah manusia bukannya robot atau mesin. Saya percaya majoriti pemandu termasuk sebahagian besar menteri, penggubal polisi dan penguatkuasa undang-undang juga pernah memandu melebihi had laju sama ada kerana mahu memotong atau pun tidak perasan had laju di kawasan tersebut. Namun ini bukan bermakna kita memandu secara cuai dan secara sewenang-wenangnya (reckless) sehingga boleh menyebabkan kemalangan atau hilang kawalan ke atas kenderaan.

10. Justeru saya berharap kerajaan dapat menimbangkan semula keputusan memaksimumkan kompaun memandu melebihi had laju tanpa membezakan mereka yang melanggar kerana faktor kemanusiaan dengan pemandu yang memandu secara merbahaya.