Wednesday, April 20, 2011

REGATA LEPA-LEPA DAN SAMBULAYANG 2011






Salah satu keistimewaan Regata lepa-lepa yang diadakan setiap tahun dalam bulan April di daerah Semporna selain daripada pelbagai program laut yang disediakan, di perbatasa darat pula penduduk Semporna merayakan Regata ini dengan memasang "Sambulayang" atau bendera keramaian di sepanjang jalan raya menghala ke Pekan semporna.



Daripada pemerhatian penulis, mendapati bendera Sambulayang ini di pasang sejauh lebih 30 km dari Pekan Semporna. Sambulayang yang digambarkan sebagai layar perahu diperbuat daripada kain satin pelbagai corak dan warna menjadikan panorama di sepanjang jalan raya menuju ke Pekan Semporan cukup menarik dan berwarna warni sekaligus menghidupakan suasana pesta.

Selain daripada majlis keramaian seperti ini, masyarakat Semporna juga terkenal sebagai masyarakat yang sukakan bendera atau layar. Dalam majlis tertentu seperti majlis perkahwinan dan akikah atau kenduri kendara, Sambulayang juga dipasang sebagai tanda kegembiraan dan mewujudkan suasana kemeriahan yang berpanjangan.



Regata Lepa-lepa yang diadakan pada 22-24 April ini dijangka menarik jutaan pelancong dari dalam dan luar negara. Hotel penginapan dan rumah tumpang di sekitar daerah Semporan dan tawau dikhabarkan telah habis ditempah. Setiap tahun acara Regata lepa-Lepa ini disambut dengan cukup berwarna warni dengan pelbagai acara menarik seperti malam "Maglami-lami", lumba perahu berhias dan juga ratu Lepa, selain daripada acara nyanyian dan tarian Igal-Igal atau daling-daling. Bagi yang berkesempatan, bolehlah datang ke Semporna pada tarikh yang telah ditetapkan. SELAMAT MENYAMBUT REGATA LEPA-LEPA 2011.

Tuesday, April 12, 2011

BAJAU PERLU ADA PARTI POLITIK SENDIRI


Malaysia adalah sebuah negara bangsa yang sedang membangun. Pembangunan Malaysia bukan setakat berkisar dalam bidang ekonominya, tetapi dalam bidang-bidang lain juga termasuklah bidang pendidikan, bidang kesenian, bidang politik, dan sebagainya.

Pembangunan dalam bidang-bidang tersebut didokong oleh warganegara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan etnik, yang boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu bumiputera atau peribumi dan bukan bumiptera.

Teras bangsa dalam kategori bumiputera ialah Melayu di samping suku kaum dan etnik tempatan di Sarawak dan Sabah seperti orang Suluk, Ubian, Simunul, Dusun, Iban dan lain-lain.

Dalam konteks pembangunan dalam bidang politik, masyarakat suku kaum Bajau yang terdiri daripada subetnik Bajau (Obian, Simunul, Sibutu, Samah dan lain-lain), Suluk, Iranun, Kagayan dan lain-lain tidak menonjol dan tidak mempunyai peluang untuk menyuarakan pendapat, idea, dan kepakaran mereka. Hal ini tidak bermakna mereka tiada sebarang kepakaran, atau tiada sebarang sumbangan dalam pembangunan negara. Tetapi ini adalah kerana mereka tidak mempunyai bendera perjuangan sendiri.

Pada masa ini, politik masyarakat Bajau hanya menumpang di bawah panji parti-parti bangsa lain sama ada yang di dalam Komponen Barisan Nasional mahupun Barisan Alternatif. Masyarakat Bajau pada hari ini menjadi anggota kepada parti-parti seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), SAPP, UMNO, PKR, PBRS, PAS dan lain-lain parti kecil seperti Bersekutu, Berjaya dan sebagainya. Sedikit sebanyak, masyarakat Bajau telah memberi kekuatan kepada parti-parti berkenaan sehingga parti-parti tersebut dapat mengukuhkan pengaruh dan kedudukan masing-masing dalam arena politik nasional. Dan oleh kerena masyarakat Bajau menumpang di bawah payung atau panji parti-parti politik orang lain, maka mereka sendiri tidak mempunyai peluang untuk menyuarakan pendapat dan menyumbang kepakaran dalam pembangunan politik di Malaysia. Lebih malang lagi, mereka tiada saluran sendiri untuk mengetengahkan segala permasalahan yang dihadapi oleh anggota masyarakat ini.

Justeru itu, dan sesuai dengan kehendak Perlembagaan yang bukan sahaja menjamin hak asasi kaum-kaum yang minoriti tetapi memberi kuasa kepada Yang DiPertuan Agong untuk memelihara kepentingan kaum-kaum peribumi di Sabah dan Sarawak, maka sudah sampai masanya orang Bajau membuka minda dan pemikiran supaya tidak perlu lagi menumpang di bawah panji parti politik orang lain tetapi harus mempunyai panji parti politik sendiri. Dengan kata lain, orang Bajau yang terdiri daripada gabungan etnik Bajau (Obian, Simunul, Sibutu, Kagayan dan lain-lain), Suluk, Iranun dan lain-lain itu harus mempunyai parti politik sendiri; mungkin atas nama Parti Bajau SeMalaysia. Apapun, terserahlah kepada kebijaksanaan orang Bajau sendiri untuk membuat keputusan mengenainya.

Sumber: Fikir! Fikir! Dan Fikir!