Tuesday, February 28, 2012

JAMBATAN BUM-BUM SEMPORNA AKAN DIBINA





TAWAU 28 Feb. - Kerajaan meluluskan peruntukan RM25 juta untuk melaksanakan kerja-kerja awal pembinaan Jambatan Pulau Bum Bum sepanjang 1.4 kilometer, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata, kelulusan melaksana kerja awal itu diterima kementeriannya dua minggu lepas yang turut meliputi kelulusan melantik kontraktor untuk mereka jambatan yang akan menghubungkan Semporna dan Pulau Bum Bum.

"Kos pembinaan jambatan ini kelak dianggarkan sebanyak RM430,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi projek menaik taraf Jalan Kalabakan-Sapulut, di sini hari ini.

Shaziman berkata, kerja awal terbabit mungkin mengambil masa setahun kerana selain melibatkan pembinaan di atas air, projek turut meliputi pembinaan jalan raya ke jambatan.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri termasuk Sabah dalam menyediakan infrastruktur seperti jalan raya untuk keperluan rakyat dan negara kerana menyedari pembangunan negara dan ekonomi negara kita akan terus bergerak,” katanya. —

Saturday, February 25, 2012

BERITA BAIK BAGI GURU YANG PILIH SBPA DARI PPPLD KE PPPS


Gambar Datuk Shafie dengan Pegawai PPD Semporna


Hari ini saya postkan kenyataan rasmi dari Jabatan Pelajaran negeri Sabah mengenai isu guru yang berjaya menamatkan pengajian taraf Ijazah semasa dalam perkhidmatan.Guru-guru ini akan dilantik terus tanpa menunggua untuk temuduga dari SPP.

Sukacita dimaklumkan bahawa di bawah pelaksanaan SBPA, skim perkhidmatan PPPS dan PPPLD dipinda menjadi skim perkhidmatan bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP). Justeru, mana-mana PPPLD yang telah memperoleh ijazah semasa dalam perkhidmatan dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP) boleh dinaikkan pangkat ke gred DG1-1 tanpa perlu dilantik semula oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dengan syarat pegawai berkenaan memilih opsyen SBPA.

Untuk makluman tuan/puan juga, SPP telah mengemukakan senarai nama PPP seperti di Lampiran 1 berkelulusan diploma yang telah memperoleh ijazah semasa dalam perkhidmatan dan telah ditemuduga oleh SPP tetapi masih belum dilantik ke Gred DG41. Selain itu, kerjasama tuan/puan juga dipohon untuk memanjangkan kepada mana-mana PPPLD yang telah memperoleh ijazah semasa dalam perkhidmatan tetapi masih belum dilantik ke Gred DG41 , yang mana nama tidak tercatat di dalam senarai nama yang dilampirkan bersama.

Sekiranya tuan / puan mempunyai sebarang pertanyaan atau keraguan berhubung perkara ini, tuan / puan boleh berhubung terus dengan Pn. Faridah Hj Timbol ( 088-513559 ) atau Cik Maimona Hudi ( 088-513561 / 088-256251 )

Sunday, February 12, 2012

PELANCONGAN DI SEMPORNA





Daerah Semporna merupakan daerah yang sibuk menerima kemasukan pelancong setiap hari. Sebab utama mereka ke mari adalah kerana kejernihan air laut yang tiada bandingannya. Atas sebab ini, banyak aktiviti dapat dilaksanakan seperti menyelam, 'snorkeling', berenang, memancing dan sebagainya. Pengunjung boleh menikmati keindahan laut dan menyelam di pulau-pulau sepertiSipadan, Mabul, Kapalai, Mataking dan Sibuan. 

Terdapat lebih 20 operator pelancongan wujud di Semporna untuk menguruskan percutian anda. Operator ini menganjur dari hotel/resort, kursus menyelam (PADI Diving Courses) bertaraf dunia, khidmat penyewaan bot untuk tujuan 'island hopping' dan memancing hingga ke restoran-restoran yang menyediakan makanan laut yang lazat. Untuk keselamatan penyelam, TLDM Semporna (KD Sri Semporna) menyediakan khidmat rawatan kecemasan khas bagi menangani kes-kes kecederaan menyelam. 

Untuk tujuan menyelam, 'snorkeling', berkelah, berbulan-madu, 'island-hopping' dan menginap di 'resort' rumah-rumah air, anda boleh memilih untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti ini samada di Pulau Sipadan, Mabul, Kapalai, Mataking, Pom-pom, Sibuan, dan di Taman Marin Tun Sakaran. Bagi yang gemar memancing, anda boleh memilih untuk memancing di laut atau di tepi pantai bahagian tanah besar Semporna. Perkhidmatan 'sewa bot' ada disediakan di sepanjang kawasan pantai Pekan Semporna manakala peralatan memancing seperti joran, 'rapala', kail, tangsi dan lain-lain boleh anda dapatkan dengan mudah di kawasan pasar, supermarket Milimewa dan Bandar Baru Pekan Semporna (berhampiran dengan 'Resort floating Dragon-Inn'). Lain-lain keperluan penjagaan diri (seperti sunblock/sunscreen) boleh didapati di 'Guardian', Semporna.


Bagi yang suka mengkaji 'kehidupan lampau' anda boleh mencubanya di Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak di kawasan Tampi-tampi. Selain dari 10 sebab yang tertera di atas, ada juga usahawan yang datang ke Semporna untuk tujuan pelaburan industri rumpai-laut (seaweed). Pengarah-pengarah filem terkenal juga mengeksploitasi Semporna untuk filem komersil dan dokumentari. Antara filem yang pernah di arahkan disini ialah 'Duyong' terbitan KRU Films. Filem ini di lakonkan oleh Saiful Apek, Yassin, Yasmin Hani dan Maya Karin. Kebanyakan aksi filem Duyong diarah dan dilakonkan di kawasan Tampi-tampi, Semporna. Pihak National Geographic juga membuka pejabat kecilnya di sini.

Hotel dan resort yang beroperasi di Semporna menyediakan pakej-pakej percutian yang memenuhi bajet anda. Selain dari pakej berbulan madu, pakej perkahwinan dasar laut & ala Bajau tempatan juga semakin mendapat perhatian dari dalam dan luar negeri. Untuk 'pencinta-alam' dan 'rombongan', terdapat juga operator yang menyediakan 'bed and breakfast', 'homestay' dan dorm (dormitory-room) disini. Makanan dan minuman disini disediakan pelbagai jenis dari masakan melayu, cina, bajau tempatan hingga ke selera barat. Yang paling mendapat perhatian adalah makanan laut sehingga pihak 'Jalan-jalan Cari Makan - TV3' pun pernah memberi pengiktirafan kepada restoran-restoran di Semporna.

Jika anda sudah biasa dengan ikan, sotong, udang dan ketam, mungkin anda boleh mencuba makanan laut lain seperti kamun (udang-mantis), ikan 'bolong', ikan 'belawis', ikan buntal, sotong kurita, isi ketam, udang 'lobster', ikan tuna, kerapu, 'sunuk' dan ikan 'ogos' yang mudah didapati disini. Jangan terkejut jika saiz ikan disini besar-besar atau bersaiz 'XL' kerana sejak dari dahulu lagi makanan laut disini sememangnya 'sempurna'. Mungkin namanya agak ganjil bagi sesetengah kita, namun rasanya enak sekali. Jika makanan laut bukan pilihan anda, anda boleh mencuba 'nasi payau' (payau - rusa dalam bahasa tempatan), sup isi ketam atau 'kueh teow basah' yang menjadi 'trademark' daerah ini. Kepada anda yang suka mencuba 'hawker's food', 'sayap-ayam', gado-gado dan soto boleh dinikmati dengan harga yang sangat berpatutan.

kesimpulannya, Semporna sememangnya satu daerah yang menarik dan menjadi tarikan utama pelancong. adalah rugi jika mereka yang datang ke Sabah tidak menjejakkan kaki ke Daerah Semporna.