Thursday, August 13, 2009

BUAH PALA KECOH LAGI




PULAU PINANG 13 Ogos - Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor di sini kembali kecoh dan tegang berikutan tindakan pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn. Bhd. (Nusmetro) mahu meneruskan hasrat merobohkan 23 unit rumah penduduk di situ hari ini.

Bagaimanapun, pemaju yang membawa kira-kira 100 pekerja SRE Ventures Contractors bersama dua buah jentolak gagal merobohkan rumah penduduk walaupun cuba berbuat demikian sebanyak dua kali.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lebih 100 pegawai dan anggota polis yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan juga Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkumpul di kawasan kampung itu seawal pukul 7 pagi.

Pihak polis turut dilihat menempatkan sebuah balai polis bergerak di kampung itu.

Kira-kira pada pukul 9.30 pagi, dua Pengarah Nusmetro iaitu Thomas Chan dan Gary Ho dilihat berbincang dengan pegawai bailif mahkamah dan polis yang berada di kawasan berkenaan.

Sekumpulan pemilik tanah kampung itu yang terdiri daripada ahli-ahli Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang kelihatan turut memantau keadaan dari kawasan Perumahan Kakitangan Kastam Diraja Malaysia.

Percubaan pekerja pemaju untuk memasuki kawasan itu pada kira-kira pukul 10 pagi dan 1 tengah hari dihalang oleh penduduk yang berkumpul di Jalan Kaki Bukit iaitu kira-kira 100 meter daripada laluan masuk ke kampung tersebut.

Kira-kira pukul 12.40 tengah hari, peguam yang mewakili persatuan penduduk, Darshan Singh tiba di lokasi setelah mendapat tahu mengenai operasi tersebut.

Kekecohan ketika itu semakin memuncak apabila penduduk beramai-ramai berbaris dalam keadaan hujan lebat dan menghalang laluan masuk sambil melaungkan 'hidup Kampung Buah Pala' dan poroduvom yang membawa maksud 'kami akan berjuang habis-habisan'.

Selain itu, mereka turut menjerit menanyakan di mana para wakil rakyat pakatan pembangkang yang sebelum ini menabur pelbagai janji untuk menyelamatkan kampung mereka.

Turut kelihatan, banting yang tertera 'Khinzir dan Kubur Mendapat Lebih Perhatian DAP Daripada Kaum India', 'Lim Guan Eng Pengkhianat Kaum India' dan 'Lim Guan Eng Jangan Bodohkan Rakyat Penang Dengan Memberi Maklumat Palsu'.

Keadaan di kawasan itu dilihat semakin panas apabila segelintir penduduk yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak tidak berganjak dari tempat mereka berdiri walaupun hujan agak lebat pada sebelah pagi.

Difahamkan, penduduk juga mengumpul najis lembu sebagai persediaan untuk bertindak balas sekiranya rumah mereka dirobohkan.

Turut kelihatan berada di situ ialah Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tunku Said.

Sejak beberapa minggu lalu, kontroversi Kampung Buah Pala menghiasi dada akhbar berikutan keengganan penduduk berpindah.

Mahkamah Persekutuan baru-baru ini memerintahkan mereka mengosongkan tanah seluas 2.6 hektar itu bagi membolehkan pemaju dan pemilik tanah, Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang membangunkan kawasan berkenaan.

Penduduk enggan berpindah selepas beberapa pemimpin pembangkang dikatakan berjanji dalam kempen pilihan raya umum 2008 lalu untuk membantu mereka jika gabungan pembangkang memenangi pilihan raya itu.(utusan)

No comments: