Wednesday, September 30, 2009

GURU PERLU SETIA DALAM PERKHIDMATAN


Warga pendidik diingatkan supaya setia dalam perkhidmatan mereka bagi memartabatkan pembangunan pendidikan di negeri ini.

Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Normah Gagoh berkata mereka menjalankan tugas ditempat mereka ditugaskan dengan lebih cemerlang.

Katanya, sebagai warga pendidik mereka perlu ada kesetiaan sebagai orang bawahan kepada ketua atau organisasi mereka.

Beliau berkata, warga pendidik yang lebih dikenali dengan guru atau cikgu perlu memfokus kerja mereka kepada mendidik pelajar dengan lebih bersungguh-sungguh bagi memartabatkan Jabatan Pelajaran.

“Warga pendidik jangan lagi berundur ke belakang tetepi sebaliknya mereka terus maju ke hadapan bagi memberi pendidikan kepada pelajar masing-masing,” katanya semasa berucap di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Pelajaran Sabah, Zon Pedalaman di Dewan Datuk Seri Panglima Lee Sen SM Ken Hwa dekat sini kelmarin.

Normah berkata, semua masyarakat tanpa mengira kaum dan kepercayaan berhak mendapat pendidikan di negara ini.

Justeru itu katanya, peranan guru dalam hal ini amat penting bagi memberi peluang kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini menikmati pendidikan sama rata.

Pada masa sama Pengarah Pelajaran Sabah itu menggesa supaya guru-guru bekerja dalam satu pasukan di bawah naungan Jabatan Pelajaran Sabah dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Katanya, kejayaan dapat dicapai dengan adanya semangat berpasukan dalam satu organisasi.

“Jauhkan buruk sangka dan ketidaksefahamanan apabila bekerja salam satu pasukan,” katanya.

Normah dalam ucapannya turut memberi suntikan semangat kepada guru-guru dan kakitangan sokongan yang menerima APC itu.

Katanya, mereka yang mendapat pengiktirafan anugerah itu perlu meneruskan perkhidmatan mereka dengan lebih cemerlang.

Menurut Normah, Jabatan Pelajaran akan membuat pemantauan berterusan di sekolah-sekolah bagi memastikan mereka yang mendapat anugerah itu terus mengekalkan prestasi perkhidmatan mereka.

Seramai 408 guru dan kakitangan sokongan menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Normah sendiri.

Selain itu seramai 31 warga pendidik yang sudah bersara turut menerima sijil penghargaan.

Hadir sama Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Keningau Raisin Saidin, PPD Tambunan Haji Kaipin Rosmin, PPD Tenom Ajmal Hj. Jumah, PPD Nabawan Osman Aganduk, pengetua-pengetua dan guru-guru besar di zon Pedalaman.

Seorang penerima yang ditemui Jamil Akok berkata, antara ciri-ciri guru yang baik dan cemerlang adalah menjadikan kerja sebagai satu ibadah dan bertanggungjawab, jujur, amanah dan bekerja bersungguh-sungguh.

Katanya, sentiasa mendengar dan patuh kepada arahan pihak pentadbiran sekolah serta mengutamakan kebajikan dan pendidikan pelajar di samping mengutamakan kualiti dalam apa juga pekerjaan merupakan aset penting dalam kecemerlangan perkhidmatan.

“Meningkatkan potensi diri dan mengamalkan cirri-ciri peribadi yang luhur dan positif dalam kehidupan juga pemangkin kepada perkhidmatan yang lebih cemerlang,” katanya.

Jamil berkata, warga pendidik juga perlu mengamalkan kerja berpasukan dan memartabatkan profesion keguruan disamping menghormati rakan sejawat.

Mengenai majlis, APC itu Jamil menyifatkan ia memberi suntikan semangat dan motivasi kepada guru-guru untuk terus berusaha dan berkhidmat dengan lebih gigih dan cemerlang.

Selain itu katanya, ia menghargai dan satu pengiktirafan perkhidmatan dan pengorbanan guru dan kakitangan sokongan dalam memacu pembangunan pendidikan di negeri ini khususnya di kawasan Pedalaman yang jauh terpencil.

Jamil memulakan tugas sebagai guru sandaran pada tahun 1988 hingga 1997 sebelum menjadi guru terlatih kini bertugas di SM St. Francis Havier.

Beliau juga pernah menerima anugerah graduan cemerlang Universiti Malaya 2004 dan pada masa ini menjadi pemberita sambilan akhbar New Sabah Times.

BELANJAWAN 2010 SEMANGAT GAGASAN 1MALAYSIA


Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan Bajet 2010 yang akan dibentangkan pada 23 Oktober ini merupakan bajet berhemat yang mengutamakan semangat gagasan 1Malaysia - ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Perdana Menteri berkata, dalam bajet berkenaan, kerajaan juga akan menumpukan pelaksanaan mekanisme pengagihan subsidi kepada kumpulan sasar yang selayaknya mendapat bantuan tersebut.

Pada masa yang sama, menurut beliau, kerajaan akan memperkuatkan cukai berasaskan fiskal kerana dasar yang diamalkan kini agak longgar dan memberi kesan kepada pendapatan kerajaan.

“Secara dasarnya, bajet perbelanjaan kerajaan pada tahun hadapan mungkin akan ada sedikit pengurangan, tetapi saya beri jaminan ia tidak akan menjejaskan kecekapan kerajaan mengurus tadbir negara ini.

“Mungkin akan ada beberapa sektor tertentu yang akan kita kurangkan perbelanjaannya, terdapat juga sektor tertentu yang Kementerian Kewangan sebelum ini telah beri banyak kelebihan, jadi perkara inilah antara beberapa keutamaan yang akan diberikan penekanan dalam bajet ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mendengar sesi taklimat oleh Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM) tentang ekonomi Malaysia dan sektor kewangan di bank itu di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Najib bagaimanapun enggan memperincikan Bajet 2010 dan hanya akan mengumumkan mengenainya dalam pembentangan kelak.

“Saya tidak akan beri secara terperinci kerana ia akan terkandung dalam teks ucapan saya nanti, tetapi yang pasti ia akan mengambil semangat dan tidak lari daripada gagasan 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

“Walaupun mungkin ada beberapa sektor yang akan dikurangkan perbelanjaannya, tetapi ia tidak akan menjejaskan kecekapan dan komitmen kerajaan kerana apa yang penting ialah ekonomi negara akan dipastikan untuk mampu kekal berdaya saing,” katanya.

Monday, September 28, 2009

TIADA PHD PALSU DI IPTA DAN IPTS


Kementerian Pengajian Tinggi mengesahkan tiada institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini sama ada awam atau swasta yang terlibat dalam mengeluarkan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) ekspres atau palsu.

Bagaimanapun Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang membuat dakwaan tersebut agar memberikan nama universiti dan pensyarah yang terlibat supaya tindakan tegas boleh diambiljika ia benar-benar berlaku.

"Apa yang saya tahu dan laporan yang saya terima, tidak ada satu pun perkara seperti itu berlaku di dalam negara kita.

"Tiada IPT di negara ini yang terlibat dalam pengeluaran Ph.D ekspres ataupun palsu begitu juga pensyarah yang memiliki Ph.D palsu mengajar di IPT negara kita," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pasir Gudang di di sini hari ini.

Baru-baru ini Rais mendakwa berlakunya pemalsuan kelulusan seperti ijazah sarjana dan Ph.D secara berleluasa di negara ini dan kegiatan membeli gelaran sosial semakin serius yang jika tidak ditangani akan melahirkan satu generasi 'ilmuwan palsu.'

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, prosedur pengambilan dan pelantikan pensyarah dan tenaga akademik di sesebuah institusi pengajian tinggi adalah ketat.

Bagaimanapun beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan universiti atau pensyarah yang didapati terlibat dengan kegiatan tersebut.

Sementara itu Mohamed Khaled berkata, kampus tetap Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan kekal di Kuala Lumpur buat masa ini kerana dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kementerian lebih fokus pada pembangunan intelektual di dalam universiti berbanding pembangunan fizikal.

"Kita sedang membina bangunan-bangunan baru di kampus UPNM di Kuala Lumpur untuk menempatkan fakulti-fakulti mereka. Sama ada perlu atau tidak kampus baru, kita tunggu sampai masanya.

"Kita akan mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat keputusan sama ia akan dipindahkan ke kawasan yang baru atau terus kekal di Kuala Lumpur," katanya.

Mengulas kenyataan Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah mengenai kampus tetap UPNM yang akan dibina di Kuantan dalam RMK-10, Mohamed Khaled mengakui bahawa kerajaan negeri Pahang ada menawarkan tanah bagi tujuan tersebut.

Tetapi kata Mohamed Khaled, pihak kementerian perlu melihat pelbagai aspek termasuk UPNM perlu mempunyai landasan yang kukuh sebagai sebuah universiti baru.

"Dalam pada itu, universiti berkenaan juga perlu memantapkan kedudukan daripada aspek akademik dan pembelajarannya," katanya.

DUN BUGAYA NIKMATI BEKALAN AIR BERSIH


Lebih 20,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Semporna akan menikmati bekalan air bersih apabila projek loji air berharga RM15 juta siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.

Anggota DUN Bugaya, Datuk Ramlee Mar- haban berkata penduduk kawasan itu sudah lama menunggu kemudahan bekalan air bersih dan ber- harap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual.

“Saya sendiri telah meminta Jabatan Air Sabah dan kontraktor supaya mempercepatkan pembinaan loji air itu, sekaligus memastikan rakyat menikmati bekalan air bersih,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Putatan, dekat sini.

Turut mengunjungi rumah terbuka beliau ialah Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Ramlee berkata penyediaan bekalan air bersih di Bugaya, yang terletak di bahagian pantai timur, membuktikan kerajaan benar-benar membela nasib rakyat terutama yang tinggal di kawasan luar bandar.

Katanya kerajaan negeri juga memperuntukkan sekitar RM10 juta untuk menaiktaraf atau membaiki paip yang rosak di kawasan Parlimen Semporna termasuk kawasan DUN Bugaya.

Beliau berkata kemudahan asas ini diharap akan dapat meningkatkan keselesaan dan taraf hidup penduduk Bugaya.

Saturday, September 26, 2009

CALON BAGAN PINANG PERLU BERSIH


Ketajaman firasat politik mantan PM, Tun Mahathir Mohammad perlu diakui oleh UMNO, kerana di samping pengalaman yang luas, negarawan ini juga mempunyai pandangan ke depan dengan menjadikan kepentingan parti mengatasi kepentingan individu dan kelompok tertentu. Terbaru apabila berita tersebar bahawa Bahagian Teluk Kemang hanya mencalonkan ketua bahagiannya Tan Sri Isa Samad sebagai calon tunggal dalam PRK Bagan Pinang, Tun Mahathir memperjelaskan betapa perlunya UMNO menonjolkan watak pemimpin yang lebih bersih dan bebas dari tuduhan politik wang. Dengan memberikan contoh apa yang berlaku di Permatang Pasir, Tun Mahathir mengajak ahli UMNO berfikir secara matang dengan mengambil kira kepentingan parti UMNO. Perkara itu dinyatakan oleh Tun Mahathir melalui blog beliau.

Sebaliknya kata Tun Mahathir, Tan Sri Isa Samad perlu memberikan peluang kepada calon baru yang lebih bersih dan memberikan bantuan kepada calon itu. Perkara itu dianggap lebih bermaruah daripada bersetuju menjadi calon UMNO dalam PRK tersebut.

"Jika saya (Tan Sri) Isa, saya akan menggesa parti supaya jangan mencalonkan saya. Kemudian saya akan bekerja keras berkempen untuk calon lain yang dipilih. Dengan itu, ia akan melonjakkan reputasinya."Tetapi di Malaysia, budaya seumpama itu tidak wujud," kata Dr Mahathir kepada pemberita ketika ditemui di majlis hari terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Seri Kembangan.Mengenai tindakan akar umbi Umno di situ yang tetap berkeras mahu Isa bertanding, Dr Mahathir berkata, mereka tidak mengambil kira kepentingan parti secara keseluruhannya.

Sebaliknya, kata beliau, mereka berpandangan singkat dan hanya melihat kepentingannya dan kepentingan bahagian sahaja.

"Jika parti meletakkan calon yang tidak bersih, maka keseluruhan parti akan dikutuk," katanya.

Dr Mahathir berkata, walaupun penting bagi Umno menang di Bagan Pinang, tetapi calon yang tercemar akan memalukan parti dan kerajaan BN.
(
diubahsuai dari malaysiakini)



Friday, September 18, 2009



SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI .MAAF ZAHIR DAN BATIN KEPADA SEMUA UMAT ISLAM DAN ISTIMEWA KEPADA PELAWAT BLOG DEPU-DEU.

Monday, September 14, 2009

MAKAN SUAP : TUN MAHATHIR


Setelah Tun Mahathir, dikatakan 'mencampuri' urusan MIC, dengan membuat beberapa kenyataan tentang pemilihan pemimpin parti terbesar India itu, Presiden Parti MIC, datuk Samy vellu menunjukkan ketidak senangan hatinya atas kenyataan Tun Mahathir itu. Para perwakilan MIC dikatakan mula tidak merasa senang. Media massa melaporkan bahawa ada perwakilan MIC yang mencerca Tun Mahathir ketika berucap dalam perhimpunan itu. Tun Mahathir dalam blognya Che Det..merakamkan pendapatnya mengenai perkembangan politik itu.

MAKAN SUAP.

1. Ada orang politik yang berpendapat jika dapat jadi Presiden parti maka kemenangan mereka dalam pilihanraya terjamin.

2. Justeru itu mereka ini berusaha untuk menentukan kemenangan mereka melalui penyingkiran ahli yang tidak menyokong mereka, mengguna wang untuk membeli sokongan atau mengguna apa-apa kuasa yang ada pada mereka untuk menyogok, menjanji sesuatu kepada yang akan menyokong atau mengugut.

3. Hasilnya mereka menang dalam parti. Tetapi rakyat memerhati segala tindak-tanduk pemimpin dan ahli seperti ini. Apabila rakyat lihat perjuangan parti bukan lagi untuk rakyat; apabila mereka lihat rasuah dan ugutan yang menentukan kepimpinan, maka kepercayaan kepada parti dan pemimpinnya akan terhakis dan mungkin hilang lenyap.

4. Rakyat tidak dapat membuat apa-apa, terutama apabila mulut rakyat tertutup. Demikian juga ahli parti. Tetapi apabila Pilihanraya Umum diadakan maka rakyat sebagai pengundi akan nyatakan kekecewaan mereka.

5. Inilah yang telah berlaku pada Pilihanraya Umum ke 12, 2008.

6. Apakah kekecewaan rakyat disedari oleh pemimpin dan parti-parti politik. Hingga kini tidak ternampak yang parti dan pemimpin sudah betul-betul sedar.

7. Yang merebut jawatan masih merebut dengan penggunaan cara-cara lama. Pembersihan parti tidak juga dilakukan. Pengamal politik wang masih diterima dan diberi tempat.

8. Ahli-ahli biasa parti tidak memprotes sikap lama diteruskan. Bahkan ramai juga ahli yang berpendapat apa salahnya menabur wang. Mereka juga akan dapat sedikit habuan.

9. Apabila ramai rakyat sebagai pengundi sudah benci kepada parti kerana amalan rasuah dan bodoh-sombong, janji pembangunan dan menabur wang tidak akan berkesan lagi. Ingatlah apabila kelebihan undi sedikit sahaja, kehilangan sokongan daripada sebilangan yang kecil rakyat pun boleh sebabkan kekalahan.


Sunday, September 13, 2009

PENGUNDI MENYAMPAH KEPADA BN, BUKAN SAYA : SAMY VELLU


Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata masyarakat tidak mengundi BN kerana mereka menyampah dengan gabungan tersebut, dan bukan menyampah dengan beliau.

Sebaliknya, ahli politik berusia 73 tahun itu berkata beliau dijadikan kambing hitam ekoran kekalahan teruk MIC dalam pilihanraya umum lalu.

"Ketika masa saya (menteri dan ahli parlimen), mereka kata rakyat menyampah dengan saya (dan) itulah sebabnya masyarakat India tidak mengundi BN.

"Mereka bukan menyampah dengan saya. Mereka menyampah dengan BN," katanya yang gagal mempertahankan kubu kuatnya di parlimen Sungai Siput dalam pilihanraya Umum Mac tahun lalu.

MIC kalah enam daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandinginya serta tewas 12 daripada 19 kerusi DUN - Malaysiakini

Friday, September 11, 2009

SAMY VELLU BIDAS TUN MAHATHIR


Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyelar akhbar Utusan Malaysia milik Umno kerana mencampuri pemilihan parti itu.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, beliau berkata Dr Mahathir merupakan pakar dalam seni "memusnahkan timbalannya".

Samy Vellu berkata, beliau hanya mempunyai seorang timbalan selama 25 tahun, tetapi Dr Mahathir mempunyai empat timbalan selama 22 tahun memegang jawatan.

"Apa yang berlaku kepada (Tun) Musa Hitam, apa yang berlaku kepada (Tun) Ghafar Baba dan apa yang terjadi kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim... orang yang amat dipujinya?"

Ini merupakan pertama kali Samy Vellu mengkritik Mahathir secara terbuka walaupun mantan perdana menteri itu pernah membuat komen negatif terhadapnya sebelum ini.

Bagaimanapun, presiden MIC itu menegaskan bahawa beliau masih menganggap mantan perdana menteri itu sebagai seorang pemimpin agung dan amat menghormatinya.

Samy Vellu mengulas laporan dalam akhbar Tamil Makkal Osai semalam yang memetik Dr Mahathir menyuarakan sokongannya terhadap calon timbalan presiden MIC, Datuk S Subramaniam.

Mengenai laporan Utusan Malaysia, Samy Vellu melabel akhbar berbahasa Melayu itu sebagai satu penerbitan yang 'rasis' yang berlagak sebagai "abang-besar".

Utusan Malaysia menyiarkan berita muka depan hari ini yang memetik beberapa penganalisa politik yang berpendapat Samy Vellu harus berhenti.

Malaysiakini/-

Wednesday, September 9, 2009

RAKYAT MALAYSIA SELAMAT


Kerajaan Indonesia akan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara itu terjamin berikutan terdapat sekumpulan penunjuk perasaan bersenjata buluh runcing yang mahu mengusir rakyat Malaysia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri menegaskan, perkara itu telah disampaikan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar kepada beliau dalam pertemuan mereka tengah hari ini.

Beliau berkata, isu sama juga telah disuarakan kepada Pengerusi Kumpulan Tokoh Terkemuka Indonesia, Tan Sri Try Sutrisno yang kemudian berjanji untuk memaklumkan perkara itu kepada pemerintah Indonesia.

"Duta Besar Indonesia dalam pertemuan tengah hari tadi telah memberitahu bahawa mereka sedang mengambil tindakan untuk memastikan tidak ada apa-apa berlaku kepada rakyat Malaysia," katanya.

Najib menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Jemaah Menteri di kediaman rasminya di Sri Satria di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan penunjuk perasaan bersenjata buluh runcing menahan kenderaan-kenderaan yang melalui Jalan Diponegoro di Jakarta, Indonesia dalam gerakan yang dipanggil Sweeping Malaysia (Sapu Malaysia) bagi mencari dan mengusir rakyat Malaysia.

Kumpulan terbabit tidak berpuas hati dengan sikap berlembut Kerajaan Indonesia terhadap Malaysia berhubung isu tarian Pendet.

Indonesia sebelum ini menuduh Malaysia sengaja menggunakan tarian Pendet berasal dari Bali dalam promosi pelancongan walaupun kesilapan itu sebenarnya dilakukan oleh sebuah syarikat swasta dan tidak membabitkan Kerajaan Malaysia.

MB SELANGOR DI BOO


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di'boo' lebih 200 penduduk Seksyen 23 yang menyertai sesi dialog di Dewan Bankuet, Wisma MBSA, di sini, semalam ketika menjelaskan isu pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Selain beliau, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Rodziah Ismail turut di'boo' lebih 10 kali oleh penduduk terbabit yang mendakwa kerajaan negeri lambat bertindak dan hanya mahu berdialog selepas ia menjadi isu nasional.

Ahli Parlimen Shah Alam yang bangun mahu memberi penjelasan berhubung perkara sama tidak diberi langsung peluang bercakap, sebaliknya disuruh duduk oleh penduduk kerana tiada ruang disediakan untuk beliau berucap.

Malah, ada penduduk yang mengacah untuk membaling kasut sebagai tanda protes kepada ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat itu.

Ketika majlis dibuka kepada penduduk untuk bertanyakan soalan, seorang demi seorang tampil melepaskan geram kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang didakwa lambat memberikan reaksi untuk berbincang.

Menteri Besar terpaksa memberhentikan majlis berkenaan apabila seorang penduduk yang menyokong kuil berkenaan dipindahkan ke Seksyen 23 membangkitkan soal azan lima kali sehari yang membangkitkan kemarahan penduduk.

Pada sidang akhbar khas di kediaman rasminya selepas itu, Abdul Khalid mengumumkan cadangan pemindahan kuil itu dibekukan sehingga satu lokasi baru lebih sesuai ditemui.

Katanya, cadangan itu terpaksa dikaji semula selepas mendengar rintihan dan protes penduduk Seksyen 23 dalam dialog berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mahu masyarakat di situ tidak lagi membangkitkan isu berkenaan sehingga kerajaan negeri mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasinya.

"Kita mendengar pandangan bukan saja daripada masyarakat Islam, tetapi juga Hindu yang bermastautin di Seksyen 23. Kita prihatin keinginan mereka untuk mendapat sebuah kuil di kawasan itu tetapi ini bukan mudah diselesaikan.

"Bagi langkah seterusnya, kita akan berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk mengenal pasti satu lagi tempat yang sesuai dan boleh diterima Jawatankuasa Kuil Seksyen 19 dan diterima penduduk di sekitar seksyen itu.

"Ia akan dilakukan seberapa segera sebab kita rasa masalah pemindahan kuil ini mesti diselesaikan. Kalau tidak ia akan berpanjangan," katanya.

Sejam sebelum itu, pergaduhan hampir tercetus di dalam dewan di antara lebih 200 penduduk Seksyen 23 dengan wakil kerajaan negeri dan sekumpulan wakil komuniti India yang menyokong pemindahan kuil ke kawasan itu.

Sesi dialog bermula kira-kira jam 10.10 pagi dengan perang mulut antara penduduk dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) apabila anggota terbabit tidak membenarkan dua warga emas dari kawasan itu memasuki dewan.

Kekecohan kedua timbul apabila beberapa penduduk menghalau keluar empat anggota unit amal Pas yang berada di dalam dewan kerana mereka bukan penduduk Seksyen 23.

Sebaik Abdul Khalid, Khalid dan Rodziah memasuki dewan, mereka di'boo', selain penduduk enggan mendengar taklimat yang mahu disampaikan Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md Noor mengenai pembangunan Shah Alam dengan membuat bising dan berkeras mahu mendengar keputusan Menteri Besar mengenai isu pemindahan kuil.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Kuil Seksyen 23, Mahayuddin Manaf, ketika ditemui, berkata tujuan penduduk menghadiri dialog untuk mencari jalan penyelesaian, selain menyuarakan bantahan terhadap pembinaan kuil di kawasan perumahan mereka.

"Hari ini penduduk hadir dan menyuarakan kemarahan mereka. Sejak Mei lalu hingga sekarang, baru kerajaan negeri panggil ke sini untuk berdialog, itu pun selepas masalah ini menjadi isu nasional," katanya sambil menambah kerajaan negeri sengaja mencetuskan kemarahan penduduk.

Ditanya keputusan yang dibuat Menteri Besar, Mahyudddin berkata pihaknya berharap kerajaan negeri bersungguh-sungguh untuk mencari tapak lain lebih sesuai untuk kuil berkenaan dan bukan di Seksyen 23.

BANTUAN KHAS KEWANGAN KAKITANGAN AWAM


Pertama kali berlaku dalam sejarah negara, apabila kakitangan awam sokongan diberikan bantuan khas kewangan sebanyak RM500 dan dibayar dua kali iaitu sebelum Aidilfitri dan pada Disember tahun ini.


KUALA LUMPUR 9 Sept. – Kerajaan mengumumkan pembayaran bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada kakitangan awam kumpulan sokongan bagi membantu mereka menghadapi Aidilfitri dan sesi persekolahan akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, bayaran itu akan dibuat dua kali iaitu RM250 sebelum Aidilfitri dan bakinya pada Disember ini.

Menurutnya, bantuan khas kewangan itu akan memanfaatkan 860,000 kakitangan awam dalam kumpulan tersebut.

“Implikasi kewangan kepada kerajaan bagi bayaran tersebut adalah sebanyak RM430 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri menambah, keputusan itu diambil setelah mengambil kira kebajikan kakitangan awam dalam kumpulan itu terutama bagi meringankan beban kos persediaan musim perayaan dan persediaan persekolahan hujung tahun ini.

Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan menimbangkan ‘duit raya’ atau bonus kepada penjawat awam dalam pengumuman Bajet, Oktober ini.

Menurut presidennya, Omar Osman, pihaknya bersetuju jika Elaun Sara Hidup (COLA) tidak dapat dinaikkan memandangkan keadaan ekonomi yang lembap ketika ini.

“Tetapi tetapi kita harap biarlah dalam musim perayaan nanti kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini menikmati ’duit raya’,” katanya.

Malah, Omar dilaporkan memberitahu, perbincangan mengenai bonus itu telah diadakan menerusi dalam mesyuarat tertinggi kongres tersebut dan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Tahun lalu, dua juta kakitangan awam negara ini menerima bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 dalam pembentangan Bajet 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tuesday, September 8, 2009

RUNDINGAN PAS-UMNO : RETORIK POLITIK


Terlalu lama agaknya kita dibuai pelbagai rencah politik PAS dan UMNO. Isu perpaduan, isu kerjasama, Isu kerajaan Perpaduan..dan terkini isu rundingan perpaduan Islam dan Ummah. Semuanya adalah “retorik politik” yang tidak berasas dan sengaja ditimbulkan untuk mensensasikan isu kononnya dua buah parti Melayu ini bercita-cita untuk bersatu.Walhal..semuanya adalah rentorika semata-mata. Rakyat nyata sudah berbulu telinga mendengar itu semua. PAS dan UMNO ada kepentingan sendiri dan kepentingan itu menjadi pertaruhan terpenting dalam memikirkan perpaduan ummah di Negara ini.



Rasanya UMNO perlu mencari cara dan pendekatan lain kalau benar-benar mahukan perpaduan Ummah Melayu di Negara ini. Antara yang boleh difikirkan ialah “membawa” masuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) kembali ke dalam UMNO. Perkara ini bukan tidak pernah dilakukan sebelum ini. TUN MAHATHIR sendiripun pernah dipecat dari UMNO..tetapi ada usaha membawa kembali “CHE DET” ini ke dalam UMNO. Dan akhirnya Berjaya. kemudian berpeluang menjadi presiden UMNO. Begitu juga Tengku Razaliegh (KULI)..pernah keluar dari UMNO dan menubuhkan Semangat 46..usaha membawa KULI dalam UMNO akhirnya Berjaya dengan pembubaran Semangat 46..dan ahlinya termasuk Datuk Rais Yatim..kembali kepangkuan UMNO. Begitulah antara adegan politik yang pernah berlaku dalam UMNO.



Kenapa DSAI pula tidak di bawa masuk ke dalam UMNO..? sedangkan para pengikut DSAI masih bertempiaran dalam parti terbesar melayu itu..? Kalau PAS sudah menutup pintu rundingan..maka usahakan pula DSAI kembali ke dalam UMNO, mana tahu, dengan cara itu, PAS akan membuka pintunya setelah sendirian dalam PR bersama DAP. Mungkin kemasukan DSAI ke dalam UMNO akan menyaksikan pembubaran PKR..dan umat Melayu akan lebih kuat dari segi perpaduannya. Kerana biarpun PKR dilihat caca marba tetapi teras kepimpinannya adalah orang Melayu…Ketepikan dulu PAS..beri tumpuan pada PKR…dan gerakan membawa masuk DSAI itu perlu berterusan, supaya isu perpaduan melayu bukan lagi satu retorik politik.

Sunday, September 6, 2009

SIASAT PATI : GHAFFUR


Masalah PATI di sabah bukan lagi perkara baru, malahan sudah berlaku puluhan tahun lagi. Pelbagai suara dan gesaan dari rakyat sabah sendiri, supaya kerajaan Pusat mengambil beberapa langkah dan pendekatan untuk mengatasi permasalahan ini. Sempadan kedaulatan Sabah masih juga boleh dibolosi. Isu PATI inilah antara lain yang menjadi sebab SAPP keluar dari BN.Dan suatu ketika dulu PBS juga memperjuangkan agenda yang sama..membenteras kemasukkan PATI di negeri ini. Namun agenda itu semacam terhenti sejak PBS kembali dalam BN.Terbaru rakyat Sabah dikejutkan dengan kenyataan Timbalan ketua PKR Sabah, Datuk Kong Hong Ming yang mendakwa bahawa berlaku pendaftaran kerakyatan PATI di kawasan Kalabakan Tengah oleh JPN. Isu ini mendapat perhatian wakil rakyat di kawasan berkenaan, Datuk Ghaffur Salleh.

TAWAU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu memberi penjelasan berhu- bung dakwaan terdapat usaha daripada jabatan itu mendaftarkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Kampung Kalabakan Tengah pada bulan lepas, seperti yang didakwa oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata, ini kerana beliau sendiri turut menerima aduan tentang perkara yang sama daripada penduduk kampung itu ketika menghadiri majlis berbuka puasa di kampung itu minggu lalu.

Menurutnya, dakwaan itu secara tidak langsung menimbulkan kerisauan kepada penduduk dan masyarakat tempatan, apatah lagi apabila ia melibatkan pemberian hak kewarganegaraan kepada penduduk asing yang tidak berkelayakan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua PKR Sabah, Datuk Kong Hong Ming yang mendakwa wujudnya usaha mendaftarkan PATI di Kg. Kalabakan Tengah bagi mendapatkan MyKad seperti yang disiarkan oleh media massa.

Dalam kenyataan itu, Kong memberitahu bahawa ramai PATI dari luar telah dibawa ke kampung terbabit menggunakan bas dan teksi untuk mendaftar di dalam operasi yang didakwanya dijalankan oleh 15 kakitangan JPN yang didatangkan dari Tawau dan Kota Kinabalu.

Menurut Kong, seorang saksi juga mendakwa bahawa Ketua Kampung di kampung itu turut mengenakan bayaran RM50 bagi mengesahkan bahawa PATI yang ingin mendaftar di dalam operasi itu adalah dikenali olehnya ataupun memang berasal dari kampung terbabit.


Saturday, September 5, 2009

KERAPUHAN PEMBANGKANG




SEBENARNYA mana-mana pihak tidak perlu mencemburui seandainya pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti atas satu simbol iaitu Pakatan Rakyat (PR).

Ia bererti pakatan itu akan didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah parti komponen seperti Barisan Nasional (BN). Kita tidak kisah kerana itu hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

Tetapi persoalan siapakah yang akan dominan? PKR, DAP atau Pas? Berdasarkan kepada senario sejak pilihan raya tahun lalu, PKR dan DAP menguasai pakatan berkenaan manakala Pas hanyalah menjadi pak turut.

Oleh itu, jika pakatan tersebut ditubuhkan secara rasmi, Pas tidak akan menjadi seperti mana UMNO dalam BN yang terus menjadi tonggak utama, sebaliknya Pas hanya akan menjadi pengikut. Pas sudah pasti tidak akan diberikan kerusi yang melebihi PKR apatah lagi DAP. Sekarang ini pun kita sudah menyaksikan bagaimana Pas tidak berupaya melakukan apa-apa.

Justeru tidak mungkin, Pas akan menjadi tonggak kepada pakatan pembangkang. Sebaliknya Pas hanya akan terus dianggap sebagai pelengkap supaya di dalam pilihan raya tidak ada mana-mana parti-parti pembangkang yang bertanding berasingan menentang BN.

Persoalannya, kalau itulah kedudukan dan layanan yang bakal diterima oleh Pas, apakah yang akan berlaku kepada perjuangan Islamnya dan mampukah Pas memastikan kedudukan Islam serta orang Melayu tidak terjejas? Sama ada hendak diakui atau tidak, mana-mana pemimpin Pas tidak perlu hipokrit untuk menyatakan bahawa Pas akan memberikan kefahaman secara perlahan-lahan kepada rakan-rakannya dalam pakatan untuk memahami Islam.

Percayalah, kenyataan seumpama itu boleh dianggap kenyataan

untuk ‘menyedapkan hati’ sahaja bagi mengelakkan penyokong parti tersebut tidak beralih sokongan

mereka.

Sebenarnya Pas memahami kalau pakatan pembangkang didaftar secara rasmi dan bertanding atas satu panji-panji, ia bererti Pas harus melupakan sebarang hasrat untuk melaksanakan pemerintahan Islam di negara ini. Ia kerana apa juga keputusan yang bakal dibuat berhubung corak pemerintahan atau kepimpinan pakatan berkenaan harus berasaskan kepada suara ramai - ertinya Pas tiada kuasa mutlak untuk menentukan apa yang mereka mahukan.

Berdasarkan hakikat itu, Pas tidaklah perlu bersandiwara lagi. Mereka harus mengakui perjuangan mereka kini hanyalah semata-mata untuk berkongsi kuasa politik bersama-sama dengan PKR dan DAP. Pas tiada tujuan dan matlamat politik lain, kalau pun ada mereka tidak akan berupaya berbuat apa-apa kerana mereka bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang. Pas hanya akan mengikut telunjuk DAP dan akan patuh kepada arahan PKR.

Bagi Pas, soal meneruskan apa yang mereka hendak perjuangkan sudah tidak menjadi persoalannya. Bagi terlalu dahaga untuk berada di puncak kekuasaan termasuklah menguasai negara. Mereka melihat berdasarkan kepada keputusan pilihan raya umum lalu, peluang mereka berkuasa bersama-sama PKR dan DAP semakin cerah. Oleh itu Pas cuba menjadi rakan pakatan yang baik.

Kejayaan demi kejayaan dalam pilihan raya kecil yang berlangsung semakin menyakinkan Pas bahawa pakatan pembangkang semakin diterima oleh rakyat. Tetapi Pas terlupa bahawa gelagat mereka yang dilihat sanggup mengorbankan segalanya untuk berkuasa sedang diperhatikan oleh rakyat terutamanya orang Melayu. Bagaimanapun kita tidak boleh menghalang hasrat Pas untuk bersama pakatan, apa yang kita harapkan ialah Pas tidak hanya menjadi pak turut. Kita mahu Pas dominan dan menjadi parti penentu kepada pakatan pembangkang. Melalui kedudukan itu, barulah kita yakin bahawa kita tidak perlu khuatir apa-apa lagi terhadap masa depan orang Melayu dan Islam, tetapi persoalannya mampukah Pas melaksanakan misi berkenaan? Sukar untuk dipastikan, ketika ini harapan orang Melayu tetapi bergantung kepada UMNO bagi memastikan survival dan kuasa politik mereka di tanah air sendiri tidak berakhir dalam pilihan raya umum akan datang.

Ragam jadi halangan

DAP memperjuangkan sebuah negara demokratik dan sekular. Pas memperjuangkan sebuah negara Islam. Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperjuangkan sebuah negara demokratik. Tentu ia tidak dapat menyatakan sama ada untuk mendokong negara sekular atau negara Islam.

Menjelang pilihan raya umum tahun 2008, Barisan Alternatif (BA) terdiri daripada PKR dan Pas. DAP enggan menyertainya kerana menolak fahaman Pas. Ia hanya mahu bekerjasama dengan PKR.

Tetapi hakikatnya kerjasama berlaku antara DAP dan Pas. Penyokong mereka mengundi di antara satu sama lain. begitu juga aktivis mereka membantu di antara satu sama lain.

Melihat perkara ini dari awal pun sudah kelihatan kerapuhan parti-parti pembangkang. Masalah pasti timbul apabila mereka menang di negeri-negeri tertentu untuk menubuhkan kerajaan.

Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang adalah mudah. Ini kerana satu parti yang mendominasi. Kelantan dan Kedah dimenangi oleh Pas sementara Pulau Pinang oleh DAP.

Namun begitu, hakikatnya kemenangan Pas di Kedah adalah kerana sokongan pengundi DAP dan PKR. Tetapi Pas hanya ada kerjasama dengan PKR. maka tertubuhlah kerajaan campuran Pas dan PKR, atau BA. Dengan semangat ini juga Kelantan dianggap kerajaan campuran Pas dan PKR.

Begitu juga dengan Pulau Pinang. DAP tidak boleh menolak sumbangan penyokong Pas dan PKR. Tetapi ia tidak ada kerjasama dengan Pas. Maka kerajaan yang ditubuhkan ialah kerajaan campuran DAP-PKR.

Tetapi di Perak dan Selangor, ketiga-tiga parti itu kena berkerjasama untuk menubuhkan kerajaan negeri. Justeru, walaupun DAP dan Pas bertentangan dari segi fahaman, mereka terpaksa menerima satu asas bersama untuk berfungsi. Demokrasi dan urus tadbir baik menjadi asas, tetapi sekali gus menafikan perjuangan mereka iaitu sekularisme bagi DAP dan negara Islam bagi Pas.

Penyelarasan ini dibuat dengan pengisytiharan penubuhan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada ketiga-tiga parti. Ini bermakna kelima-lima negeri itu bukan lagi diterajui kerajaan Pas atau DAP tetapi Pakatan Rakyat. Maka bermulalah masalah fahaman.

Tetapi hakikatnya fahaman hanyalah satu lapis bagi berlakunya kerapuhan ini. Lapis kedua yang lebih penting menjadikan pakatan ini rapuh ialah soal perkauman dan agama. Walaupun ketiga-tiga parti ini menolak perkauman dan perbezaan keagamaan, tetapi mereka tidak dapat melepaskan diri daripada soal kedua-dua ini. Ia bukan saja mereka sendiri mempunyai sentimen kaum dan agama, tetapi mereka mesti menuruti rentak pengundi yang rata-rata masih mempunyai semangat kaum dan agama, satu realiti dalam masyarakat Malaysia.

Itulah yang terjadi sejak Mac 2008.

Dalam mesyuarat-mesyuarat Exco Selangor, Perak semasa di bawah mereka, Pulau Pinang dan Kedah, banyak isu timbul yang berkaitan dengan hubungan kaum dan agama. Di satu pihak ialah DAP dan PKR bukan Melayu, berdepan dengan Pas dan PKR Melayu.

Tetapi di kalangan ahli-ahli politik ketiga-tiga parti itu juga beragam. Ada yang kelihatan ekstrem, sementara ada pula yang begitu toleran. Dalam DAP juga pelbagai perwatakan yang berbeza di antara satu sama lain walaupun sama parti. Begitu juga dengan Pas. Ada Erdogan, ada UG (unity government - kerajaan perpaduan).

Dalam PKR lagi pelbagai ragam. Paling rapuh ialah PKR yang sepatutnya menjadi tonggak Pakatan Rakyat. Gara-gara dua ahli politik PKR merintis kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Kejatuhan kerajaan negeri itu menjadi kenyataan dengan tindakan ahli politik DAP.

Dalam hal ini, ia bukan soal fahaman atau perkauman. Tetapi akhirnya pertimbangan ialah kepentingan diri dan kelemahan kepimpinan parti-parti itu, baik PKR dan DAP.

Kelemahan ini juga jelas berlaku di Pulau Pinang apabila pilihan raya kecil Penanti terpaksa diadakan.

Selepas kejatuhan kerajaan negeri Perak, kini gelora sedang berlaku di Selangor. Pelbagai isu timbul yang kebanyakannya berkaitan perkauman dan keagamaan.

Tiada tawaran lebih baik

APAKAH yang pakatan pembangkang boleh tawarkan sekiranya mereka diberi mandat mentadbir negara yang tidak boleh diberikan oleh kerajaan hari ini? Soalan ini sebenarnya sangat mudah kerana sebagai rakyat mereka memerlukan sesuatu yang terbaik dari semua aspek kehidupan. Untuk memberi mandat kepada pakatan pembangkang, sudah tentulah yang ditawarkan jauh lebih baik daripada yang dinikmati sekarang ini.

Nah, apa yang pembangkang boleh berikan kepada rakyat yang tidak boleh dilakukan oleh kerajaan? Manifesto pembangkang hanya memberikan solekan untuk menarik perhatian rakyat.

Kalau tidak ada tawaran yang lebih hebat daripada kerajaan, untuk apa kita menggadai masa depan seperti kata pepatah, yang dikendung keciciran yang dikejar tidak dapat. Ini kerana tidak ada perkara baru yang ditawarkan oleh pembangkang selain retorik tentang kebebasan bersuara, mewujudkan negara Islam sejati, memperjuangkan keadilan untuk semua dan membanteras rasuah.

Sekiranya ini yang ditawarkan, lebih baik kita memilih kerajaan yang ada sekarang kerana perkara-

perkara yang mahu diperjuangkan sudah dilaksanakan oleh kerajaan. Semua ini membuktikan pembangkang tidak menawarkan apa-apa sekiranya mereka diberi mandat mentadbir negara. Sebaliknya mereka mengecil atau menghakiskan yang telah ada atas alasan berkompromi dengan parti komponen dalam pembangkang.

Apakah sekarang tidak ada kebebasan bersuara maka ini menjadi alasan untuk pembangkang melakukan sekiranya diberi kuasa? Apakah bukan kebebasan bersuara dengan wujudnya beribu blog yang menghentam kerajaan dan pembangkang juga mempunyai buletin untuk memaparkan idealisme parti mereka? Berapa banyak pula pemimpin pembangkang yang ditangkap kerana mencerca pemimpin kerajaan?

Pembangkang yang memperjuangkan kebebasan media sebenarnya yang banyak mengambil tindakan undang- undang kepada media arus perdana. Di mana kebebasan yang diperjuangkan? Ini ternyata bahawa pembangkang tidak melaksanakan banyak perkara yang dijanjikan kepada rakyat bahawa mereka lebih baik daripada kerajaan sekarang.

Mengenai gagasan negara Islam, pembangkang mendepani masalah kerana dalam pakatan pembangkang sendiri ada parti yang membantah gagasan tersebut. Jadi, apakah Pas misalnya mampu memberikan definisi “negara Islam” yang lebih Islamik daripada yang dilakukan oleh kerajaan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat?

Kelantan dan Kedah secara total dikuasai oleh Pas tetapi Pulau Pinang oleh DAP. Ternyata Pas tidak mempunyai suara yang besar untuk menjadikan kerajaan negeri Pulau Pinang lebih Islamik daripada semasa dalam Barisan Nasional dulu. Insiden penjualan arak di kawasan majoriti orang Islam di Selangor juga memperlihatkan gagasan Islam cara Pas semasa pilihan raya tidak boleh dilaksanakan. Ini kerana Pas hanya menumpang PKR dan DAP di Selangor.

Maka, kita sendiri boleh melihat pakatan pembangkang tidak boleh menawarkan sesuatu yang lebih baik berbanding Barisan Nasional. Malah gagasan keadilan yang dibawa oleh pembangkang bukanlah suatu yang baru kerana kerajaan Barisan Nasional juga secara konsisten memperjuangkan keadilan kepada semua pihak. Kalau pakatan pembangkang mendakwa sebagai wira pejuang keadilan, tolong beritahu idealisme parti politik manakah yang tidak memperjuangkan keadilan? Bezanya Barisan Nasional sudah melaksanakan dan terus diberi penambahbaikan dalam perkara ini.

Pakatan pembangkang menjadikan isu rasuah sebagai modal politik. Maka agenda membanteras rasuah menjadi “keutamaan” kepada pakatan pembangkang sekiranya menjadi pentadbir negara ini. Kalau begitu apakah kerajaan sekarang tidak membanteras rasuah sehingga tertubuhnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinaiktaraf daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini?

Kesimpulannya pakatan pembangkang tidak ada tawaran yang lebih baik daripada kerajaan untuk menyakinkan mereka boleh menjadi kerajaan yang lebih baik. Semua yang ditawarkan kepada rakyat sudah diberikan oleh kerajaan.