Tuesday, June 16, 2009

Perpaduan Ummah: Di mana Keikhlasan???


‘Kesudian’ kedua-dua buah parti politik Melayu PAS dan UMNO membuka ruang untuk mengadakan ‘dialog’ perpaduan seperti yang digembar-gemburkan membawa satu persepsi baru dalam ‘ketuanan Melayu’ ,sejak DS Najib Memegang tampuk pemerintahan. PAS dan UMNO dilihat lebih ‘tegar’ dalam perjuangan ‘Melayu dan Islam’ di Negara ini. Kedua-duanya dilihat sebagai ‘nadi’ orang Melayu di Semenanjung. Walaupun PKR juga ‘majoriti’nya adalah orang Melayu, tetapi ‘keterbukaan’membenarkan kemasukan ahli kepada orang bukan Melayu tidak ‘membolehkan’ parti serpihan UMNO ini memasuki ‘gelanggang’ perjuangan ketuanan Melayu. Justeru itu, apabila ‘Kerajaan Perpaduan” yang ‘diungkit kembangkan’ oleh Presiden PAS TGHA, mewarnai Muktamar PAS yang lalu, maka UMNO merasakan ada ‘keikhlasan’ di sebalik gagasan TGHA itu. Namun pada hemat saya apakah hanya PAS yang perlu memperlihatkan ‘keikhlasan’? UMNO bukan lagi sebuah parti yang ‘lempar batu sembunyi tangan’ dalam soal-soal yang bersangkut paut dengan perpaduan Melayu, kerana sejak dulu, UMNO adalah sebuah parti yang mendominasi ‘gerak pandang’ orang-orang Melayu sejak sebelum merdeka hingga selepas pascamerdeka. Bila PAS memutuskan untuk ‘mendendangkan ‘ Penubuhan kerajaan Perpaduan, UMNO seharusnya membuka ruang yang amat lebar supaya ‘muzakarah’ dapat di jalankan secepatnya.

Tidak timbul isu ‘keikhlasan’ kerana PAS dan UMNO adalah sebuah parti Melayu yang paling lama mewarnai dunia politik di Malaysia. Kalaupun timbul siapa sepatutnya ‘Ikhlas’? Maka Jawapannya ada pada PAS dan UMNO .Soalnya sekarang ialah apabila UMNO sudah mengakui keikhlasan PAS, maka sewajarnya UMNO mengerakkan gagasan kerajaan Perpaduan ini. Namun apa yang berlaku ialah PAS dan UMNO masih teraba-raba mencari ‘persetujuan damai’ untuk memulakan muzakarah penubuhan kerajaan Perpaduan. Masih ada lagi ‘igauan-igauan sombong’ yang menyelinap masuk dalam ruang lingkup perbincangan ini. Lihat sahaja, apabila ada pihak-pihak yang masih menimbulkan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang kuat dan PAS memerlukan UMNO dalam memantapkan ‘Survival kepolitikkan’ di Malaysia. Pun Begitu, di kalangan PAS sendiri pun memperlihatkan benda yang sama, menganggap bahawa UMNO adalah parti yang hampir-hampir ‘karam’ dan mengharapkan PAS sebagai tempat berpaut. Selagi tanggapan yang saya katakan sebagai ‘igauan kesombongan’ ini tidak diredakan, mustahil ‘muzakarah’ penubuhan kerajaan perpaduan ini dapat dimulakan. Apa yang seharusnya berlaku ialah kedua-dua pihak,PAS dan UMNO memperlihatkan kesungguhan mereka dengan mengenepikan isu-isu remeh terutama soal ‘keikhlasan’. Perkataan ‘Ikhlas’ itupun bersifat subjektif…Tidak ada ‘pengukur’ atau ‘ penimbang’ yang dapat di jadikan sebagai KPI dalam menentukan tahap keikhlasan dua buah parti Melayu ini. Jadi, apalah salahnya kalau PAS dan UMNO meletakkan ‘perpaduan Ummah” sebagai kaca mata yang seharusnya di pakai tatkala memikirkan ‘ketuanan Melayu’.

Biarpun masih terdengar ‘ketidakrelaan’ sesetengah pemimpin PAS dan UMNO untuk bersemuka, mendirikan kerajaan perpaduan , namun diperingkat awal ‘gagasan perpaduan’ ini mungkin menimbulkan banyak polemik dan persepsi. Tetapi jika sudah ‘ tenang’ ikan di kolam pun bisa diperhatikan..pun begitu sikap berhati-hati ketika memulakan perbincangan perlu sentiasa diambil kira kerana bukankah juga ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya’. Sekali lagi ‘keikhlasan’ itu mengambil tempat dan UMNO perlu memikirkan bahawa “Ular yang menyusuri akar itu tidak akan hilang bisanya’.


No comments: