Saturday, June 13, 2009

Pantai Tamau- Indah Mempersona




Selama hampir dua minggu saya berkesempatan pulang bercuti ke daerah kelahiran Kota belud. Dari pemerhatian saya tidak ada banyak perubahan yang boleh dikongsikan bersama apatah lagi kerana saya sepanjang cuti ini tidak kemana-mana hanya di rumah orangtua saya di kampung Tamau.Dan sesekali sebelah petangnya saya ke bendang memerhati sawah padi di kampung bersebelahan iaitu kampung Pintasan. Suasana di sini tampak tenang, sekali sekala terasa sapaan angin petang menerpa pipi dan rambut saya. Sungguh damai dan mengasyikkan.Seingat saya hampir 10 tahun, saya sudah tidak ke sawah.Itupun kerana saya ‘berhijrah’ ke Semporna dan bertugas di sana. Tambahan lagi di daerah Semporna tidak ada sawah padi yang ada hanya ‘hutan’ ladang kelapa sawit. Pun begitu daerah ini juga punya ‘kelebihan’ memiliki keindahan dasar laut yang terkenal di kalangan pelancong asing.Pulau-pulau yang mengelilinginya menimbulkan panorama yang mempersonakan.

Kita tinggalkan mengenai Daerah Semporna, kerana catatan saya kali ini berfokus kepada keindahan pesisir pantai Tamau yang menghadap laut china selatan.Atas dorongan adik, saya menyusuri ‘pantai’ ini hingga ke Nanamun.Dan alangkah terpesonanya saya dengan keindahan alam ciptaan Tuhan yang maha agung ini. Saya bersyukur kepadaNYA, kerana saya berkesempatan menikmati suasana petang di pantai kampung Tamau ini. Melihat senja melabuhkan sayapnya,cahaya matahari kemerahan yang menyelubungi ufuk langit ditambah dengan deruan ombak seakan-akan mendendangkan ‘lagu-lagu’ senja membuai ketibaan malam hari.

Pada waktu ini juga kita boleh mengambil ‘BIBINANGKA” iaitu sejenis siput laut yang boleh dimakan.Selama saya menikmati pemandangan indah ini, adik saya telah dapat mengutip siput ‘bibinangka ‘ ini hampir satu beg plastik .Masih banyak hasil laut di sini, bisik hati saya. Apa tidaknya kalau dulu pantai ini tempat ‘penyu’ bertelur dan kadang-kadang kita boleh menyuluh ketam pada waktu malam.Benar-benar menginsafkan saya, betapa perlunya menjaga keindahan ini supaya tidak ‘tercemar’ oleh aktiviti manusia yang rakus dan tidak mempedulikan ‘ketenangan alam’ kurniaan Tuhan ini. Rasa kesykuran ini timbul spontan dalam hati saya, kerana seingat saya pada suatu masa dulu, kawasan ini pernah dicadangakan untuk dibangunkan dan dijadikan tempat pelancongan. Ramai ‘orang-orang kuat’ di kampung Tamau, tidak bersetuju dengan cadangan itu dengan alasan akan mencemarkan keindahan pantai ini, disamping takut dengan gejala-gejala negatif yang bakal ikut serta dengan pembangunan itu.

Dan kini, saya akui bahawa ‘penentangan’ ketua masyarakat Iranun di kampung Tamau ini ketika itu memang ada asasnya.Namun, saya juga terfikir bolehkah pantai yang indah dan bersih ini mampu bertahan daripada godaan arus pemodenan? Malahan, di pesisir pantai ini sudah ada jalan raya berturap dan senang untuk dikunjungi pada bila-bila masa manakala aktiviti ‘nelayan’ di pantai ini masih juga seperti dulu dilakukan secara kecil-kecilan dan berupa sara diri, tetapi hasil yang diperolehi juga ‘cukup-cukup makan’.Bagi yang mengharapkan ketenangan dan lari dari hiruk piruk kota, pantai Tamau boleh dijadikan destinasi percutian singkat sehari, kerana di sini tidak ada resort dan tempat penginapan. Cuma di pinggir pantai ini ada padang Golf milik persendirian.Kata orang padang Golf ini dibangunkan oleh mantan ketua menteri Sabah, Datuk Salleh Tun Said.Pendek kata segala-galanya penuh dengan panorama ‘semulajadi’.

3 comments:

Abd Razak said...

Salam...indahnya tempat & pantai ini, segala2nya Allah cipta bagi memperlihatkan kebesaranNya kepada kita

zai said...

salam DEPU-DEPU, sy sering terpaku melihat keindahan alam, dulu sy dan suami sering juga mengambil gambar pemandangan tapi skrg dh kurang berkesempatan sbb sibuk dgn kerja dan aktiviti harian yg padat..kalau kat penang ni susah nak cakap tempat yg cantik dah sbb byk sgt pencemaran dimana-mana.

SUARA RAKYAT said...

Sayang paikan dah pupus. Dahulu apabila angin utara, saya selalu "phandungu" dari Batu Gandung ke Burngin.