Pertemuan PM DS Najib dengan menteri kanan Singapura Lee Kuan Yew sekali lagi telah menimbulkan isu Jambatan yang menghubungkan Singapura dengan Johor,Malaysia. Biarpun isu Jambatan ini masih tidak dapat dipastikan kedudukannya, namun nampaknya sudah ada usaha untuk merealisasikannya.Ketika menjawab pertanyaaan wartawan DS Najib menyatakan bahawa Singapura menunjukkan minat yang mendalam mengenai pembinaan Jambatan yang ketiga itu. Tidak seperti isu Jambatan Bengkok yang dibatalkan pembinaannya oleh kerajaan Malaysia pada zaman pemerintahan Pak Lah, ekoran tidak mendapat kerjasama dari Singapura.
"Beliau menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi membina jambatan yang ketiga sebab ia boleh dijadikan satu kemudahan untuk membangunkan kawasan Johor sepanjang sampai ke Desaru, Mersing, Rompin, Kuantan dan Terengganu.
"Oleh itu, saya sudah minta Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan rakan sejawatnya untuk membincangkan perkara ini pada kadar segera dan lantik perunding untuk buat kajian kemungkinan termasuk kos yang mungkin perlu dibelanjakan bagi pembinaan jambatan ini,"katanya.
Najib berkata, pembinaan jambatan baru mempunyai kaitan dengan Iskandar Malaysia dan apabila dilaksanakan nanti banyak lagi inisiatif bersama boleh dijalin dengan Singapura.
Itu mengenai Jambatan Singapura-Malaysia. Bagaimana pula dengan isu pembinaan Jambatan Pulau Pinang yang kedua? Kalau tidak silap, sebelum Pak Lah mengundur diri sebagai PM, beliau pernah menyatakan bahawa pembinaan Jambatan itu akan diteruskan,biarpun mendapat bantahan awal di kalangan ahli-ahli parlimen di Dewan Rakyat.Antara yang lantang bersuara pada waktu itu dan meminta supaya projek ini ditangguhkan untuk memberi tumpuan kepada projek mega yang memberi keuntungan kepada rakyat ialah ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar.Ketika berpeluang mengunjungi Pulau Pinang pada Mac yang lalu Saya pernah melihat sendiri mengenai ‘kesesakkan’ yang dialami ketika melalui jambatan Pulau Pinang ini, biarpun pembinaan untuk melebarkannya berjalan rancak.Soal kewajaran untuk pembinaan Jambatan yang kedua, saya serahkan kepada penduduk pulau pinang sendiri yang ‘melalui’nya saban hari.
Tidak selesai dengan isu pembinaan Jambatan kedua itu, kerajaan memberi ‘harapan’ baru kepada penduduk Pulau Labuan, apabila mengumumkan akan mempertimbangkan pembinaan Jambatan menghubungkan Pulau Labuan dengan Menumbok di Tanah Besar Sabah.Isu ini sebenarnya sudah lama di timbulkan tetapi hanya mendapat perhatian ketika Pak Lah melawat Pulau bebas cukai itu sebelum menyerahkan kepimpinan negara kepada DS Najib.Biarpun Labuan sudah menjadi Wilayah Persekutuan, namun hubungan erat dengan Tanah Besar Sabah tidak boleh dipertikaikan.Saban hari penduduk dari Menumbok berulang-alik ke Labuan dengan menaiki feri dan ada juga yang menaiki bot.Setelah hampir 40 tahun, isu pembinaan Jambatan ini gagal diselesaikan.Sedangakn Pulau Labuan nyata menyumbang besar dalam pendapatan kerajaan pusat. Sekarang apa sudah jadi dengan Jambatan itu? Tidak ada sudah khabar beritanya!...Jambatan Singapura-Malaysia pula yang menjadi keutamaan.
Tidak cukup dengan isu Jambatan Pulau Labuan itu, di Semporna Isu pembinaan Jambatan BUM-BUM juga pernah menjadi ‘heboh’.Apa tidaknya apabila dalam Rancangan Malaysia Yang ke-9, diumumkan mengenai pembinaannya. Tetapi hingga kini tidak nampak bermulanya pembinaan itu.Kenapa? Barangkali pembinaan Jambatan ini dilihat hanya menguntungkan rakyat setempat. Atau pulangan tidak cukup lumayan bagi kerajaan. Tambahan lagi dalam kegawatan ekonomi global yang melanda dunia hari ini menyebabkan kerajaan berfikir semula untuk pembinaannya. Mungkin juga ada lagi Jambatan yang perlu di bina yang lebih menguntungkan kerajaan daripada menguntungkan rakyat...”Utamakanlah pencapaian kerajan barulah rakyat didahulukan”
No comments:
Post a Comment