Showing posts with label Dr. Asri. Show all posts
Showing posts with label Dr. Asri. Show all posts

Sunday, March 8, 2015

USTAZ ASRI DAN USTAZ KAZIM BERBAIK SEMULA



Salam bersambut, begitulah dengan ketegangan antara Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias yang reda apabila kedua-dua berbaik semula.

Isu yang berbangkit antara keduanya dianggap selesai apabila Kazim menerima undangan Mufti Perlis bertandang ke Kangar, malam tadi.

Pada pertemuan yang disifatkan MAZA sebagai minum sambil tersenyum itu membuka jalan penyelesaian terbaik berbanding terus ‘berbalah’ dialam maya sehingga mencetuskan suasana tidak baik dalam gerakan dakwah negara.

Kedua-dua bertemu di Kafe Blackwood, diiringi Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki.

Malah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut mencemar duli meraikan Kazim dan pertemuan itu.

Dalam laman Facebooknya, Dr Asri menyatakan, ‘Minum dan tersenyum’. Saya alhamdulillah menerima tetamu istimewa malam ini Datuk Kazim Elias di Kangar, Perlis. Turut sama Dato Dr Asyraf Wajdi yang diPertua YADIM. Kami minum dan makan dengan mesra sebagai saudara muslim di cafe yang sedap menunya, Cafe Blackwood, Kangar.”

Isu tercetus apabila Mufti Perlis dalam satu surat tidak bersetuju dengan Kazim sebagai ahli panel perdana ehwal Islam sempena Hari Keputeraan Raja Perlis.

Antara alasan yang diberikan oleh Dr Asri ialah Kazim didakwa mencetuskan kekeliruan berhubung tafsiran riwayat hadis dan dakwaan mengatakan Rasulullah suka makan roti jala cicah kari sehingga menjadi viral di dunia siber.

Kazim kemudiannya mengeluarkan kenyataan balas bagi menjawab tuduhan ke atas dirinya dan pihak berkenaan seharusnya menghubungi beliau sendiri mendapatkan penjelasan berhubung riwayat yang dianggap palsu.

Mufti Perlis menjelaskan dokumen itu merupakan satu rahsia yang tidak sepatutnya diviralkan dan tidak mahu mengulas mengenainya memandangkan ia melibatkan keputusan kerajaan negeri tetapi mempelawa Kazim bertemu dan menyelesaikan perkara itu secara musyawarah atau bertentang mata dan akhirnya menjadi realiti malam tadi.

Sikap jiwa besar Kazim sanggup mengetepikan segalanya dan mengadakan pertemuan dengan Dr Asri diharap dapat menyatukan kelompok-kelompok dalam agama Islam seterusnya mencari jalan penyelesaian berbanding menyebabkan kerosakan kepada umat Islam.

Tuesday, July 26, 2011

WARKAH BUAT SAUDARAKU ANGGOTA POLIS


Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuhu,

Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja.

Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.

Saudaraku anggota polis,

Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas.

Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.
Cegah kemungkaran

Saudaraku anggota polis,

Tugas seorang anggota polis - sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu 'Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran'.

Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu 'Mencegah Kemungkaran'. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum.

Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya): "Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

Nabi s.a.w pula bersabda: "Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya" (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).

Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.

Bahaya kuasa

Saudaraku anggota polis,

Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya.

Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya.
Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.

Saudaraku anggota polis,

Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara.

Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri.

Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.

Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan.
Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Doa orang dizalimi

Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi SAW: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya" (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam riwayat Ahmad yang lain: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Saudaraku anggota polis,

Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu.

Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa.
Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya 'apakah salah saya?'. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.

Saudaraku anggota polis,

Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan.

Tunggu balasan

Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya): "Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)". (Surah Ibrahim 42-43).

Saudaraku anggota polis,

Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil.

Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya.

Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w: "Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk" (Riwayat Muslim).

Sabda baginda juga: "Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat).

Arahan atasan

Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya" (Riwayat al-Bukhari).

Saudaraku anggota polis,

Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan 'atasan'. Maka, mungkin ada yang berkata 'kami hanya menjalankan tugas'.

Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu 'Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik.

Kata 'Umar bin Hubairah: "Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi agama?

Kata Hasan al-Basri: "Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.

Wahai 'Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit.

Tanggungjawab kepada Allah

Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid. Wahai 'Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat.

Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai 'Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta". Maka menangislah Gabenor 'Umar bin Hubairah". (rujukan: Mir at al-Jinan wa 'Ibrah al-Yaqzan)

Saudaraku anggota polis,

Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat.
Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.

Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: "Benar adalah amanah, bohong adalah khianat". Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.

Saudaraku anggota polis,

Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak.

Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil.
Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas!

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Tuesday, April 20, 2010

JAWAPAN DR ASLI TERHADAP LAPORAN POLIS BEBERAPA NGO




Saya tidak terkejut apabila melihat Yusri Muhammad dan rakan-rakan membuat polis. Rakyat Malaysia ramai yang tahu apakah aliran beliau dan sesetengah sahabatnya itu.



Saya tidak pasti laporan itu dibuat kerana kita berada pada musim Pilihanraya Kecil Ulu Selangor, atau ada orang yang agak terluka dengan artikel saya mengenai ‘Telan Air Ludah Ustaz’? Maka, dicari sasaran lalu ditimbulkan isu artikel ‘Cabaran Gerakan Pembaharuan’. Padahal artikel tersebut sudah disiarkan sejak 4 April lagi.



Saya menjemput rakyat Malaysia membaca artikel tersebut sendiri. Sesetengah pihak suka bergantung kepada cerita orang tanpa merujuk sendiri. Bacalah artikel itu dengan matang dan buat penilaian yang adil. Artikel itu menceritakan apa yang diharungi oleh para pejuang gerakan pembaharuan Islam sebelum kemerdekaan. Jika kita membaca buku-buku sejarah sebelum kemerdekaan tentang gerakan pembaharuan, hal yang sama kita akan dapati. Sejarah atau lagenda silam raja-raja Melayu bukan semuanya positif.



Filem-filem Melayu menggambarkan lebih buruk daripada itu. Umpamanya, kezaliman Sultan Melaka dan pengaruh Patih Karma Wijaya disebut dalam buku-buku. Kisah Sultan Mahmud Mangkat dijulang juga sama. Semua itu sejarah lepas. Demikian semasa zaman Inggeris, banyak isu-isu yang dipertikaikan. Jika kita tidak boleh menyebut tentang sejarah agar jangan berulang, malanglah kita ini.



Sejarah hitam di zaman khalifah-khalifah muslimin yang lepas juga disebut dalam buku-buku sejarah, mengapa kita sampai sebut sejarah lepas kesilapan institusi kita untuk pengiktibaran pun menjadi salah dan hendak dianggap sebagai jenayah?! Hanya jiwa yang bermasalah dan ‘kurang bersih’ sahaja yang mungkin demikian.



Sebahagian yang saya sebut dalam artikel berkenaan adalah petikan dari kata-kata Prof Hamka, yang merupakan seorang sarjana Islam yang besar di Nusantara. Bacalah sendiri tanpa diiringi dengan nilai-nilai hasad. Saya tertarik dengan ulasan ringkas seorang inteleks, penulis dan pensyarah di University of Durham, UK iaitu Dr Maszlee Malik yang menulis dalam facebooknya mengenai laporan polis tersebut seperti berikut:



“Pelik melihat intelek seperti Yusri telah menjadi emosional dan tidak mampu berhujah secara rasional setelah menjadi pengikut Syeikh Tarikat. Bab gunakan kuasa kerajaan untuk menindas pihak yang tidak sehaluan biarlah orang-orang yang bukan ilmuwan buat, tapi jikalau intelek pun telah bermain dengan rentak orang jalanan agak mengecewakan. Ke mana perginya golongan Tarikat sewaktu ada pihak yang dengan terang membawa agen Zionis ke Malaysia? apakah itu tidak membahayakan agama? mengapa tiada laporan polis?”



Akhir sekali lagi saya menjemput pembaca membaca artikel berkenaan. Saya juga bersyukur ke hadrat Allah kerana laporan itu telah menjadi promosi baru untuk rakyat Malaysia terus membaca artikel saya dan menambahkan lagi pengunjung ke laman web saya ‘Minda Tajdid’ (drmaza.com).

Sunday, April 18, 2010

CABARAN GERAKAN PEMBAHARUAN : MEMBAWA KEPADA LAPORAN POLIS TERHADAP DR ASRI


Antara perkara yang paling buruk yang menimpa negara ini ialah wujudnya sesetengah golongan agama yang menghalang orang lain berfikir atau memahami agama selain dari apa yang mereka fahami.


Jika fikiran mereka itu lemah, mereka bimbang orang lain berfikir lebih baik nanti akan dianggap mencabar fikiran mereka. Jika fikiran baik, mereka pula enggan jika wujud keperbagaian fikiran yang baik dalam kalangan umat Islam nanti akan dianggap orang lain pun setaraf mereka.



Ini mempunyai kaitan dengan persoalan 'kuasa agama' seperti yang saya sebutkan dalam artikel saya yang lepas. Segala usaha dan percubaan kepada pembaharuan (renewal) akan dianggap sebagai musuh, kurang ajar, biadap, tidak hormat orang tua-tua dan seumpamanya. Atau, mereka mungkin melabel pihak yang cuba memberikan pandangan yang berbeza dengan mereka dengan berbagai-bagai istilah.


Ramai mereka yang cuba melakukan pembaharuan dalam sejarah Melayu dimusuhi dan diberikan berbagai tuduhan.


Inilah yang menimpa tokoh-tokoh pembaharuan Nusantara termasuk Prof Hamka yang terkenal dengan sumbangan kesarjanaannya, Za'ba yang dianggap sebagai Bapa Persuratan Melayu, Syeikh Tahir Jalaluddin tokoh reformis progresif dan ahli falak, Syed Syeikh al-Hadi tokoh moderate muslim yang berjasa memajukan pendidikan orang Melayu, begitu juga muridnya Dr Burhanudin al-Helmi yang menjadi tokoh politik tanahair dan lain-lain. Di'cop' Nama-nama yang disebutkan itu pada zaman mereka menghadapi tuduhan yang berbagai terutama di'cop' sebagai 'kaum muda' atau wahabi atau sesat atau menentang mazhab.


Usaha-usaha pembaharuan mereka ditentang. Pendeta Za'ba hari ini disanjung sebagai tokoh cendiakawan Melayu tapi pada hayat diharamkan tulisan ucapan dan tulisan di banyak negeri.


Tokoh-tokoh traditionalis Perak pernah menggunakan Sultan Perak untuk mengharamkan tulisan beliau.


Za'ba pernah menyebut: Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor mereka yang dahulu kala itu. Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta!


Malangnya jika ada siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi.


Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!!

Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. (m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005). Za'ba juga berkata: “Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan pengetahuan sendiri menguji benar salahnya.


Kerana sesungguhnya perbuatan demikian itulah yang dikatakan bertaklid buta.

Bertaklid buta itu dikeji oleh agama dan oleh sekalian orang berakal, kerana banyak mudaratnya dan kuat kemungkinannya boleh membawa tersimpang kepada jalan yang tiada betul dengan tiada kita perasan.


Tuhan dan Rasulnya tidak menyukai orang bertaklid buta kepada fikiran dan pendapat orang lain.


Imam-imam Mujtahidun dahulu kala tempat orang tertaklid itu sendiri tidak pernah menggemarkan orang-orang bertaklid buta sahaja kepadanya atau memastikan orang sekelian menerima sahaja segala fahamannya dan pendapatnya.



Sebaliknya mereka sentiasa menggalakkan murid dan pengikut mereka supaya menyelidik sendiri, memeriksa dan menimbang sendiri dengan teliti segala pendapat dan keputusan yang telah mereka peroleh itu”.(m.s. 25-26). Prof Hamka terkenal sebagai sarjana Nusantara yang besar. Tafsirnya Al-Azhar mendapat mengiktirafan atas keilmuwannya.


Beliau sendiri merupakan tokoh pembaharuan di Indonesia yang terlibat membangunkan Gerakan Muhammadiyyah, Indonesia. Bahkan beliau sering membantu pergerakan pembaharuan Islami Tanah Melayu.


Antara usahanya yang terkenal ialah risalah yang ditulisnya mengkritik Mufti Johor ketika yang memusuhi gerakan pembaharuan.


Setiap mereka yang berminat dengan gerakan pembaharuan patut membaca buku Prof Hamka Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor. Antara tegurannya: “Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua di dalam menghentam kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum-muda dengan membuat fitnah…sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan cara. Asal saja kaum-muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta..” (m.s. 85).


Kata Prof Hamka juga: “Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum-muda! Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya” (Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor m.s. 48, Selangor: Pustaka Dini, 2009). Katanya juga: “Memang ada juga orang yang tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biar orang tinggal bodoh seperti dahulu dan kalau ada pun fatwa dari mufti hendaklah diterima dengan: Na'am (ya)! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!” (m.s 49). Nasib golongan Pembaharuan Nasib golongan pembaharuan agak tersisih bukan disebabkan kekurangan jasa dan penolakan masyarakat tetapi kegagalan mereka 'mengampu' pihak berkuasa.


Itu yang saya sebut kegagalan menggabungkan kuasa agama dengan kuasa politik. Dengan itu mereka ditindas. Sumbangan mereka sangat besar. Kebanyakan nilai-nilai keterbukaan dan kemerdekaan minda yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan mereka.

Walaupun saya secara peribadi bukannya bersetuju dengan semua idea mereka.


Namun merekalah yang menentang pemikiran sempit, adat-istiadat yang menyanggahi syarak dan fanatik mazhab tanpa asas yang benar. Merekalah yang membebas kongkongan terhadap kaum wanita disebabkan fanatik mazhab dan adat Melayu.


Mereka yang memecah paksaan perkahwinan dan wanita tidak boleh keluar belajar. Mereka yang menggerakkan idea-idea kemerdekaan dan mengasaskan institusi-institusi pendidikan.

Merekalah yang melebarkan Islam kepada pelbagai bidang. Sumbangan mereka menggerakkan idea penentangan terhadap penjajahan sangat besar.


Namun disebabkan sultan-sultan Melayu ketika itu dikuasai oleh Inggeris dan golongan pembaharuan pula gagal mendekati para sultan dan raja kecuali di Perlis di tangan Abu Bakar Ashaari.


Namun di negeri-negeri lain, golongan pembaharuan gagal untuk mengikuti kehendak dan kerenah istana.


Banyak adat-istiadat Melayu yang dianggap tidak serasi dengan Islam menyebabkan mereka sukar untuk mengikut kehendak telunjuk sultan dan raja.


Pendirian mereka yang berterus terang dengan prinsip-prinsip Islam itu menyebabkan sukar untuk mereka berdamping dengan raja-raja Melayu.

Ruang ini telah diambil oleh golongan penentang mereka untuk mengisi jawatan-jawatan agama dan mendampingi istana-istana untuk menindas gerakan pembaharuan.


Hal ini disebutkan oleh Prof Hamka dalam bukunya 'Ayahku' yang menceritakan perjuangan pembaharuan ayahnya. Kata Hamka: “Bahkan seketika terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun pada tahun 1943 di Singapura, sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui kami sebelum ke perjumpaan di mulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan dibawa ke mari fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar dari Mazhab Syafi'i.


Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu 'melotot' serupa biji rambutan melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya ayah saya.


Takut benar ulama-ulama di sana pada waktu itu bahawa Mazhab Syafi'i akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera atau Muhammadiyyah di Jawa...alangkah sempitnya, perkara pakaian pun mereka kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu mazhab…tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!” (Prof Hamka, Ayahku, m.s. 162, Selangor: Pustaka Dini 2007). Enggan mengampu Golongan penentang pembaharuan mempunyai kelebihan kerana mereka sanggup menurut kehendak istana.


Mereka adakan doa-doa yang memuja dan memuji sultan dan raja. Mereka diamkan tindakan-tindakan istana yang tidak serasi dengan agama.


Fatwa-fatwa mereka hanya dihalakan kepada rakyat dan dilupai kerabat dan pembesar. Dengan itu, mereka dapat mempengaruhi istana agar menghalang perkembangan gerakan pembaharuan. Pada hari ini kita lihat pemakaian tali leher tidak diharamkan. Namun semasa zaman perkembangan pembaharuan dahulu tali leher diharamkan.

Apabila tokoh-tokoh pembaharuan menyatakan tali leher tidak haram, mereka ditentang.

Namun apabila didapati sultan memakainya, terus fatwa golongan penentang pembaharuan dikeluarkan bahawa tali leher tidak haram jika ada keperluan (lihat: Hamka, Teguran Suci dan Jujur Kepada Mufti Johor, 48-49). Berlindung Hasilnya, kuasa istana pun digunakan untuk menindas gerakan pembaharuan. Apatahlagi istana juga tahu sikap para reformis amat tidak secucuk dengan budaya mengampu dan mesra penjajah.

Banyak amalan istana yang akan dipertikaikan oleh tokoh-tokoh pembaharuan.

Penentang pembaharuan mengambil kesempatan ini. Mereka melupakan berbagai amalan khurafat di istana dan rakyat, kemunduran akal dan harta masyarakat Muslim, unsur-unsur feudalism yang menyanggahi jiwa merdeka Islam dan berbagai lagi.

Bagi mereka semua itu kecil dibandingkan usaha menentang golongan pembaharuan yang mengajak umat berfikir dan terbuka minda. Bagi mereka itu akan mengancam kedudukan mereka dalam masyarakat yang mana mereka selama ini boleh berkata apa sahaja tanpa dicabar. Sedangkan gerakan pembaharuan menentang taklid buta. Kata Hamka: “Alhasil bagi kami ijtihad itu harus digalakkan dan bagi kaum tua pula “taklid dijadikan tiang agama” dan kalau kami bantah taklid, dikatakan kami merosakkan tiang agama.

Kadang-kadang dituduh kaum-muda tidak hormat kepada guru.

Lantaran itu dikata pula merosak tiang-tiang agama. Yang sebenarnya kami hormat kepada guru dan hormat kepada ibubapa. Sebagai juga saudara-saudara muslimin yang lain.

Kedudukan guru sama dengan kedudukan ibubapa wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi kalau guru itu silap jalannya, maka sebagai tanda kami hormat ialah kami tegur, dan jika dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami tidak akan menurut”. (Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s. 65). Akibat penggunaan kuasa istana, para reformis agama ini terpaksa berlindung di Negeri-Negeri Selat yang tidak mempunyai kuasa istana.

Maka kita lihat sepanjang sejarah tokoh-tokoh reformis tertumpu di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Di negeri-negeri ini sahaja gerakan pembaharuan tidak dipintas atau diganggu oleh kuasa istana. Cumanya, Inggeris sering memantau penentangan mereka terhadap penjajahan. Hari Ini Perjuangan para reformis sudah banyak berhasil walaupun mereka menjadi korban kezaliman kuasa. Banyak perubahan telah berlaku.


Hari ini sudah tidak seteruk semalam. Pun begitu masih ada persamaannya. Pembaharuan umat atau tajdid (renewal) masih diperlukan.

Kejumudan kembali atau masih mengongkong kita. Seruan agar kembali kepada al-Quran dan Sunnah serta membebaskan diri dari taklid tanpa faham masih diperlukan. Ya, penindasan terus berlaku.



Cumanya, yang agak istimewa di era ini golongan pembaharuan mempunyai media alternatif dan internet untuk pandangan mereka disebarkan.

Ternyata saki-baki kuasa istana masih cuba digunakan oleh sesetengah pihak, namun kita berharap kematangan fikiran rakyat satu hari akan dapat melumpuhkan penyalahgunaan kuasa ini.



Internet memboleh banyak hujah disampaikan dan idea disalurkan. Istana sepatutnya tidak berpihak dan mendengar dari semua aliran. Namun, dalam banyak keadaan, itu belum berlaku. Kepada Allah kembali segala urusan. Semoga tajdid di era baru lebih kemas dan bertenaga!!

Wednesday, February 17, 2010

PERARAKAN AGAMA DI JALANRAYA WAJAR DIKAJI SEMULA : DR.ASRI


Apabila isu perarakan Maulidur rasul membayangi pentadbiran LGE, maka ramai yang menyatakan pendirian mengenai isu ini. Ada yang begitu marah dan sakit hati, ada yang bersikap terbuka dan tidak kurang juga yang bersetuju atas faktor politik. Misalnya TGNA dalam kenyataannya menyifatkan sambutan Maulidur rasul sebagai tidak ada fadhilat. Seakan memberi lampu hijau kepada pembatalan perakan oleh LGE itu. Ada yang beranggapan bahawa komen TGNA itu adalah kompromi politik untuk menjaga hati rakan dalam pakatan Rakyat.


Terbaru pula ialah ulasan Dr. Asri iaitu bekas mufti Perlis yang mahu agar kerajaan mengkaji semula kebenaran perarakkan agama di jalan raya. Kenyataan itu secara rasmi dipaparkan oleh beliau dalam blog rasminya "MINDA TAJDID". Menurut Dr. Asri kajian kebenaran itu bukan sahaja kepada agama Islam tetapi juga meliputi semua agama termasuk, Hinddu, Budha dan Kristian dan juga agama-agama lain.


Ini katanya kerana, kebenaran menjalankan perarakkan di jalan raya boleh menyebabkan beberapa masalah timbul termasuk kesesakan lalu lintas ekoran penutupan jalan raya yang terlibat. Sementara itu katanya, ia juga mengganggu 'hak' orang lain dan keperluan menggunakan jalan terbabit seperti urusan kecemasan dan sebagainya.

Pandangan ini lebih terbuka dan secara logik tidak melibatkan kepentingan peribadi dan fahaman politik. seharusnya bukan sahaja perarakkan Maulidur rasul di jalan raya dikaji semula tetapi juga termasuk perarakkan di batu caves oleh agama Hinddu, tambah beliau lagi.