Showing posts with label Semporna. Show all posts
Showing posts with label Semporna. Show all posts

Saturday, March 9, 2013

POLIS PERIKSA SEMULA KG SIMUNUL SEMPORNA

Setelah seminggu insiden berdarah di kg Simunul yang mengorbankan 6 orang anggota polis dalam satu serangan hendap paling kejam abad ini, yang menyaksikan penceroboh dari Selatan Filipina itu bukan sahaja menembak anggota polis tetapi juga turut mencederakan mayat anggota polis yang terkorban itu termasuk menyembelih dan mengorek mata. 

Akhirnya  Polis hari ini menjalankan pemeriksaan semula di Lorong 5, Kampung Simunul, di sini bagi mengesan saki-baki senjata kumpulan penceroboh militan yang terlibat dalam kejadian serangan hendap 2 Mac lepas. 

Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, pemeriksaan itu melibatkan kira-kira 100 anggota polis dari komando VAT 69, Unit Tindakan Khas Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am Batalion 14 dan Unit Forensik.

"Selain untuk mengesan senjata api, kami juga membuat lakaran lokasi kejadian termasuk lakaran laut secara spesifik," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tinjauan Bernama ke lokasi kejadian mendapati pemeriksaan yang bermula seawal 8 pagi dan berakhir lima jam kemudiaan mendapati rata-rata penduduk melahirkan perasaan lega apabila polis menjalankan pemeriksaan di kawasan itu.

Ketua Kampung Simunul, Ramlee Saraman berkata pemeriksaan seumpama itu adalah yang pertama sejak kejadian serangan hendap yang mengorbankan enam anggota polis dan menyebabkan enam musuh terbunuh.

"Ketika polis membuat pemeriksaan, penduduk yang berada di dalam rumah diarah tidak keluar rumah, manakala yang ingin masuk ke dalam rumah diarah tunggu sehingga pemeriksaan selesai," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pemeriksaan anggota pasukan keselamatan itu menimbulkan perasaan lega penduduk yang sebelum ini hidup dalam kebimbangan berikutan kejadian pertempuran antara polis dan penceroboh militan itu.

"Penduduk kampung kini boleh menarik nafas lega dan meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya.

Ditanya mengenai jumlah penduduk yang kembali ke kampung, beliau berkata minggu lepas jumlah penduduk yang meninggalkan kampung ini hampir 1,000 orang tetapi hari ini hanya tinggal 300 orang yang belum pulang. - BERNAMA

Sunday, February 12, 2012

PELANCONGAN DI SEMPORNA





Daerah Semporna merupakan daerah yang sibuk menerima kemasukan pelancong setiap hari. Sebab utama mereka ke mari adalah kerana kejernihan air laut yang tiada bandingannya. Atas sebab ini, banyak aktiviti dapat dilaksanakan seperti menyelam, 'snorkeling', berenang, memancing dan sebagainya. Pengunjung boleh menikmati keindahan laut dan menyelam di pulau-pulau sepertiSipadan, Mabul, Kapalai, Mataking dan Sibuan. 

Terdapat lebih 20 operator pelancongan wujud di Semporna untuk menguruskan percutian anda. Operator ini menganjur dari hotel/resort, kursus menyelam (PADI Diving Courses) bertaraf dunia, khidmat penyewaan bot untuk tujuan 'island hopping' dan memancing hingga ke restoran-restoran yang menyediakan makanan laut yang lazat. Untuk keselamatan penyelam, TLDM Semporna (KD Sri Semporna) menyediakan khidmat rawatan kecemasan khas bagi menangani kes-kes kecederaan menyelam. 

Untuk tujuan menyelam, 'snorkeling', berkelah, berbulan-madu, 'island-hopping' dan menginap di 'resort' rumah-rumah air, anda boleh memilih untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti ini samada di Pulau Sipadan, Mabul, Kapalai, Mataking, Pom-pom, Sibuan, dan di Taman Marin Tun Sakaran. Bagi yang gemar memancing, anda boleh memilih untuk memancing di laut atau di tepi pantai bahagian tanah besar Semporna. Perkhidmatan 'sewa bot' ada disediakan di sepanjang kawasan pantai Pekan Semporna manakala peralatan memancing seperti joran, 'rapala', kail, tangsi dan lain-lain boleh anda dapatkan dengan mudah di kawasan pasar, supermarket Milimewa dan Bandar Baru Pekan Semporna (berhampiran dengan 'Resort floating Dragon-Inn'). Lain-lain keperluan penjagaan diri (seperti sunblock/sunscreen) boleh didapati di 'Guardian', Semporna.


Bagi yang suka mengkaji 'kehidupan lampau' anda boleh mencubanya di Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak di kawasan Tampi-tampi. Selain dari 10 sebab yang tertera di atas, ada juga usahawan yang datang ke Semporna untuk tujuan pelaburan industri rumpai-laut (seaweed). Pengarah-pengarah filem terkenal juga mengeksploitasi Semporna untuk filem komersil dan dokumentari. Antara filem yang pernah di arahkan disini ialah 'Duyong' terbitan KRU Films. Filem ini di lakonkan oleh Saiful Apek, Yassin, Yasmin Hani dan Maya Karin. Kebanyakan aksi filem Duyong diarah dan dilakonkan di kawasan Tampi-tampi, Semporna. Pihak National Geographic juga membuka pejabat kecilnya di sini.

Hotel dan resort yang beroperasi di Semporna menyediakan pakej-pakej percutian yang memenuhi bajet anda. Selain dari pakej berbulan madu, pakej perkahwinan dasar laut & ala Bajau tempatan juga semakin mendapat perhatian dari dalam dan luar negeri. Untuk 'pencinta-alam' dan 'rombongan', terdapat juga operator yang menyediakan 'bed and breakfast', 'homestay' dan dorm (dormitory-room) disini. Makanan dan minuman disini disediakan pelbagai jenis dari masakan melayu, cina, bajau tempatan hingga ke selera barat. Yang paling mendapat perhatian adalah makanan laut sehingga pihak 'Jalan-jalan Cari Makan - TV3' pun pernah memberi pengiktirafan kepada restoran-restoran di Semporna.

Jika anda sudah biasa dengan ikan, sotong, udang dan ketam, mungkin anda boleh mencuba makanan laut lain seperti kamun (udang-mantis), ikan 'bolong', ikan 'belawis', ikan buntal, sotong kurita, isi ketam, udang 'lobster', ikan tuna, kerapu, 'sunuk' dan ikan 'ogos' yang mudah didapati disini. Jangan terkejut jika saiz ikan disini besar-besar atau bersaiz 'XL' kerana sejak dari dahulu lagi makanan laut disini sememangnya 'sempurna'. Mungkin namanya agak ganjil bagi sesetengah kita, namun rasanya enak sekali. Jika makanan laut bukan pilihan anda, anda boleh mencuba 'nasi payau' (payau - rusa dalam bahasa tempatan), sup isi ketam atau 'kueh teow basah' yang menjadi 'trademark' daerah ini. Kepada anda yang suka mencuba 'hawker's food', 'sayap-ayam', gado-gado dan soto boleh dinikmati dengan harga yang sangat berpatutan.

kesimpulannya, Semporna sememangnya satu daerah yang menarik dan menjadi tarikan utama pelancong. adalah rugi jika mereka yang datang ke Sabah tidak menjejakkan kaki ke Daerah Semporna.