Showing posts with label PKR. Show all posts
Showing posts with label PKR. Show all posts

Saturday, January 2, 2010

PENGGUNAAN PERKATAAN "ALLAH". PENDIRIAN PKR

Merujuk kepada rentetan pelbagai kontroversi berterusan yang masih wujud berhubung penggunaan kalimah 'Allah' oleh pelbagai agama selain dari agama Islam di negara kita Malaysia sekarang ini, maka BIPPA PKR sukacita menjelaskan pendirian kami mengenai hal ini.

Kami berpendirian bahawa, keinginan rakyat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang sangat positif dan perlu diterima secara terbuka dan berlapang dada. Umat Islam di Malaysia tidak perlu menjadi gelisah dan “over react” dengan pelbagai andaian dan kemungkinan dengan fenomena yang dikata baharu ini. Sesungguhnya, kami melihat bahawa fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani sejak dari azali lagi bahawa kesemua manusia memperakui keesaan dan penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmanya yang bermaksud:

"Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..." (Al Quran, Az-Zumar (39):38).

Adalah jelas bahwa penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam telah berlaku sejak dari dahulu lagi, khususnya bagi para penganut agama samawi. Sebahagian dari kitab suci mereka memang menggunakan kalimah Allah (terutama di Timur Tengah). Di dalam kehidupan harian mereka hari ini, penggunaan Bismillah, Alhamdulillah, Masya Allah, Astaghfirullah, Wallahi dan sebagainya bukanlah suatu yang pelik dan janggal. Di Indonesia, penggunaan kalimah Allah di gereja-gereja memang telah lama menjadi kebiasaan. Begitu juga bagi bagi penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak.

Adalah jelas bahawa menggunakan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Hak ini perlu dihormati dan tidak boleh dihalang. Bukankah Allah itu Tuhan untuk semua - Rabbul `aalamiin atau Lord of the Universe?

Maka itu, kami melihat fenomena ini adalah bertepatan dan serasi dengan wadah dan perjuangan KeADILan selama ini. Malahan, perjuangan untuk menegak yang makruf dan mencegah kemungkaran akan menjadi lebih mudah dan selesa sepertimana firman Allah:
"Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)" (Surah Ali `Imran(3):64).

Sekian. Terima kasih.

Dr. Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.

Monday, October 19, 2009

Azmin nafi 'pergeseran' punca Datuk Zaid bercuti


Dakwaan pergeseran dengan kepimpinan parti punca Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Datuk Zaid Ibrahim mengambil 'cuti politik' tiada asas dan tafsiran media semata-mata.

Naib presiden PKR, Azmin Ali antara yang didakwa terlibat dalam pergeseran dengan Zaid, hari ini menafikan perkara tersebut dan berpandangan ianya sengaja dimainkan media untuk memecahbelahkan hubungan erat Pakatan Rakyat dan PKR itu sendiri.

"Siapa yang ada pergeseran, kalau tengok kenyataan Datuk Zaid, ada tak dia kaitkan saya?, tak ada. Ini tafsiran media untuk menggambarkan perpecahan dalam PR dan Keadilan," ujarnya ketika ditemui di parlimen siang tadi.

Ujarnya, keputusan Zaid untuk bercuti selama 6 bulan adalah kerana ingin memberi fokus kepada sekriteriat Pakatan Rakyat bagi menyiapakan kertas dasar untuk dibentangkan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Zaid adalah anggota utama jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji poenubuhan Pakatan Rakyat (PR) sebagai sebuah badan gabungan parti politik secara rasmi.

Dua lagi anggota adalah Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.

"Datuk Zaid menjelaskan, dia ambil cuti enam bulan untuk memberi fokus kepada sekriteriat pakatan rakyat, menyiapkan beberapa kertas dasar untuk dibentang kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

"Kita perlu hormati keputusan Datuk Zaid, tak perlu tafsir lebih dari itu," jelasnya lagi.

Sebelum ini media perdana melaporkan Zaid memohon cuti dari aktif dalam politik PKR kerana ada kaitan dengan halangan menghadiri program di Sabah.

Azmin sebelum ini telah menjawab dakwaan itu dan menjelaskan tidak ada sesiapa pun menghalang mana-mana pemimpin PKR dari semenanjung termasuk Datuk Zaid Ibrahim daripada menghadiri program di Sabah.

Kepimpinan peringkat pusat juga katanya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bagi menghalang mana-mana pemimpin parti itu daripada menghadiri program di setiap negeri.

Zaid bagaimanapun hanya memohon cuti dari menyertai mesyuarat Biro Politik selama enam bulan untuk memberikan tumpuan kepada penubuhan Pakatan Rakyat sebagai sebuah badan gabungan parti politik secara rasmi.

"Datuk Zaid mempunyai peranan cukup penting dalam Keadilan dan Pakatan Rakyat untuk membantu menyediakan kertas dasar Pakatan Rakyat," katanya._