Sunday, July 5, 2009

SUATU KETIKA...SI TANGGANG

Mungkin ramai dikalangan kita yang sudah mengetahui kisah penderhakaan Tanggang keatas ibunya. Dan ketika minum petang hari ini, saya sempat menonton sebuah rancangan yang disiarkan di Astro Prima “Suatu Ketika…Si Tanggang”. Rancangan ini menyusuri kisah Si Tanggang derhaka yang berkembang menjadi cerita sastera rakyat di Nusantara. Cerita si Tanggang ini dikatakan disampaikan secara turun temurun secara lisan oleh masyarakt di kepulauan nusantara ini sejak dulu lagi.Biarpun terdapat beberapa versi yang berlainan, namun kesemua versi ini menggambarkan betapa sucinya kisah seorang yang bergelar ibu. Di samping itu ia juga turut memberikan pengajaran kepada genarasi pedengarnya bahawa menyakiti hati ibu adalah satu dosa kehidupan yang tidak akan dapat diampunkan. Si Tanggang akhirnya di sumpah dan menjadi batu.

Cerita Si Tanggang versi Malaysia, menceritakan bagaimana seorang anak lelaki dan seorang ibu yang hidup dalam kemiskinan dan penderitaan, akhirnya anak tersebut pergi berlayar dan menjadi kaya dan berpangkat. Anak yang kaya ini akhirnya ditakdirkan pulang semula di kampung kelahirannya bersama dengan tuan puteri,yang juga isterinya. Lantaran malu kepada isterinya, dia enggan mengakui ibunya itu…dengan perasaan sedih dan terguris yang amat sangat ibu tadi menadah tangan memohon kepada tuhan supaya anaknya diberikan pengajaran. Di sinilah ‘pembalasan’ itu berlaku..anak tadi tenggelam bersama kekayaannya, dan menjadi batu. Kisah ini mengingatkan kita dengan filem Tan Sri Jins Samsuddin “ Si Tanggang” yang dicedok dari cerita rakyat ini. Mungkin kita membesar bersama cerita filem ini.


Gambar perahu Malim Kundang yang menjadi batu


Biarpun versi di Indonesia, hampIr-hampir sama namun wataknya agak berbeza. Si Tanggang ini dikenali sebagai Malim Kundang. Cerita Malim Kundang ini dikatakan berlaku di Kota Padang,Indonesia.Pantai Air Manis dikatakan tempat dimana Malim Kundang ini menjadi batu. Masyarakat sekitarnya masih menganggap bahawa cerita Malim Kundang ini adalah cerita yang benar-benar berlaku,memperihalkan kisah penderhakaan seorang anak terhadap ibunya. Kisah itu begitu segar di ingatan masyarakat Kota Padang ini. Seakan turut memberikan pengajaran dan teladan kepada masyarakat yang mendukung penceritaannya. Biarpun cerita ini dikatakan disampaikan melalui media penceritaan secara lisan, namun cerita sastera rakyat ini memberikan kesan yang mendalam kepada masyarakat pendengarnya.


Gambar si Tanggang menjadi batu

Berlainan dengan di Brunei, cerita Si tanggang dan Malim Kundang ini, berlainan jalan ceritanya. Pun begitu tujuannya masih kepada memberi pengajaran kepada masyarakat setempat. Di Brunei, Malim Kundang dikenali sebagai Nakhoda Manis. Seorang jejaka kaya yang tinggal dengan seorang ibunya.walaupun memiliki kekayaan ,namun nakhoda Manis bertekad untuk keluar berniaga.Meninggalkan ibunya keseorangan. Kerinduan seorang ibu terhadap anaknya itu, membuatkan ibunya

bersedekah setiap hari sebagai doa keselamatan kepada anaknya. Saban hari menunggu kepulangan anaknya itu tetapi tak juga kunjung tiba.Sampai akhirnya, harta yang ditinggalkan kepada si Ibu, habis dan akhirnya hidup dalam kemiskinan. Setelah pulang, Nakhoda Manis enggan mengakui ibunya…Setelah si ibu memohon doa, akhirnya anak tadi menerima hukuman dan menjadi batu. Kapalnya tenggelam dalam ribut yang maha dahsyat.

Walaupun versi cerita si Tanggang ini berlainan mengikut persekitaran daerah penceritaannya, namun mesej yang disampaikan jelas..”Jangan menderhaka kepada Ibu”.Benarlah seperti yang dikatakan dalam sebuah hadis bahawa syurga itu ditelapak kaki ibu..Mengingatkan kita betapa banyaknya pengorbanan seorang Ibu.Cukup besar dan tidak ternilai harganya. Seorang rakan ustaz saya pernah menceritakan bahawa, ada 3 benda yang kalau kita tengok sahaja pun sudah dapat pahala iaitu Baitullah, Ayat Quran dan Wajah Ibu kita…Terfikir saya..dimanakah kita dalam versi penceritaan si Tanggang ,Malim Kundang dan Nakhoda Manis ini…?

Pada hari ini, terdapat ramai golongan yang telah berjaya menikmati kehidupan yang selesa tetapi tidak mempedulikan kedua-dua ibu bapanya malah sanggup membiarkan mereka tinggal di rumah orang-orang tua.

Mereka dibiarkan kesunyian tanpa ada perhatian dari anak-anak, lebih malang lagi anak-anak langsung tidak menjenguk mereka. Bayangkan bagaimana perasaan mereka, setelah membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang, begini pula balasan yang di berikan anak-anak kepada mereka.

Kalau kita renungkan sejenak, bukankah kita sebenarnya mengulangi semula kisah-kisah penderhakaan tadi?. Kalau kisah-kisah tersebut boleh berulang, cuba bayangkan sudah berapa ramai golongan kita yang telah menjadi batu disumpah oleh ibu bapa masing-masing kerana menderhaka.

Cerita ini perlu diperturunkan kepada anak-anak supaya, mereka mendapat pengajaran di sebalik cerita ini. Kata-kata suara latar dalam rancangan ini “ Kasih sayang adalah azimat dalam kehidupan”. menarik perhatian saya.

2 comments:

Datu pitung said...

salam depu-depu

renungan yang sungguh menyentuh hati dan disitu mempunyai banyak pengajaran yang amat tajam menikam hati seorang anak..

DEPU-DEPU said...

salam kembali datu...

Kata orang kasih ibu membawa ke syurga...kasih ayah sanggup berkorban....semoga kita mendapat pengajaran dari kisah si Tanggang ini.