Thursday, October 3, 2013

KAHWIN MUT'AH BANYAK BERLAKU DI KALANGAN ORANG MELAYU



Amalan nikah mut’ah sudah banyak berlaku di kalangan masyarakat Melayu, kata Ketua Unit Kajian Syiah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Mohamad Ismail.

Katanya sudah banyak kes nikah mut’ah yang beliau temui termasuk satu kes yang berlaku di Bangi.

“Satu hari saya berjumpa dengan seorang pemuda di Bangi. Katanya kakak beliau telah bernikah dengan orang Iran. Tetapi apabila mendapat anak, orang Iran itu tidak mahu meletakkan namanya sebagai nama bapa kepada anak itu. Orang Iran itu pula selalu meninggalkan kakaknya dan hanya akan pulang bertemu kakaknya dalam tempoh yang panjang.

“Ini adalah satu contoh kes yang saya temui. Banyak lagi kes nikah mut’ah yang berlaku di universiti-universiti seperti di Universiti Malaya,” kata Ustaz Mohamad.

Beliau berkata demikian di Wacana Pemantapan Akidah, Mendepani Ancaman Liberalisme dan Syiah di Dewan Muktamar Pusat Islam anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini malam tadi.

Tambah beliau, nikah mut’ah adalah salah satu amalan utama dalam ajaran sesat Syiah dan ia amat berbahaya.

“Nikah mut’ah ini amat bahaya kerana ia merosakkan zuriat anak Adam, dan kerja merosakkan zuriat anak Adam ini bukan kerja manusia, ia kerja iblis dan syaitan,” katanya lagi.

Ustaz Mohamad meminta semua pihak termasuk ahli politik kerajaan dan pembangkang bersatu padu membanteras ajaran sesat Syiah daripada terus berleluasa dan menggesa program kesedaran masyarakat tentang bahaya Syiah ditingkatkan.

No comments: