Thursday, October 3, 2013

GURU DAN DAKWAH; MELESTARIKAN PERUBAHAN



Kebangkitan atau kemunduran suatu ummah menggambarkan mampu atau tidak ummah merancang pendidikannya. Pendidikan yang baik melahirkan generasi yang berkualiti. Sirah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menumpukan kepada generasi muda. Ini kerana mereka merupakan Jil Taghyir yang mampu membawa perubahan yang besar.Ini juga menunjukkan bahawa dakwah baginda berorientasikan masa hadapan. Malah seluruh ideologi dominan di dunia ini memilih kelompok muda terutama para pelajar sebagai sasaran mereka.

Imam al-Banna pernah menyatakan : “Oleh kerana itu, sejak dahulu hingga sekarang, generasi muda merupakan pilar kebangkitan, pemuda adalah rahsia kekuatannya. Dalam setiap fikrah, pemuda adalah pengibar panjinya.”

Islam melihat generasi muda sebagai ‘penyambung zuriat umat beriman’ . [15:21]

“dan orang-orang yang beriman dan anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka dan kami tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang mereka kerjakan.”

Profesion perguruan terlibat secara langsung dengan tugas berorientasikan masa hadapan dalam erti kata melaksanakan tugas dakwah dan perkaderan. Justeru guru merupakan pendakwah yang bertindak sebagai muallim, murobbi, muwajjih, mursyid, daie dan qaid.

Guru dan Dakwah

Allah memuliakan dan mengangkat martabat manusia dengan usaha dakwah yang dilakukannya. Guru adalah pelaksana kerja mulia ini. Kerja memberikan tau’iyah [kesedaran] kepada para pelajar di samping berusaha membentuk rakaiz Islamiah [ binaan Islam ].

Bukankan Allah menyatakan di dalam al-Quran :

“Siapakah yang paling terbaik amalannya daripada mereka yang menyeru ke jalan Allah serta melakukan amal soleh, lantas menyebut , aku dari kalangan orang-orang yang mempasrahkan diri kepadaNya.” [ Fussilat :33]

Nabi SAW menyebut :

“ .. dengan sebab usaha kamu seorang mendapat hidayah, maka itu lebih baik daripada unta merah.” [Riwayat Muslim]

“Orang yang menunjukkan jalan kebaikan maka baginya balasan pahala selagi mana orang itu masih melakukan kebaikan.”

Memilih untuk menjadi guru bererti memilih untuk terlibat secara luas di dalam usaha tajmik dan mengkaderisasi pelajar untuk menjadi penyambung risalah dakwah kita. Bahkan mereka akan menjadi agen perubah kepada perubahan umat. Oleh itu bidang perguruan merupakan bidang paling efektif di dalam medan amal dakwah dan amal tarbiyah di mana kita dapat menumbuh kader baharu bahkan merealisasikan matlamat melahirkan pewaris dakwah pada masa hadapan.

Potret anak-anak kita hari ini.

Anak-anak kita hari ini tumbuh membesar dalam cengkaman budaya hedonistik yang bermahajalela, tenggelam dalam lautan nafsu syahwat yang buas. Benih yang lahir dari sulbi ummah ini adalah benih yang lemah, hilang jati diri, mandul budi pekerti sehingga mereka diseret jauh dari panduan dan bimbingan Ilahi.

Anak-anak hari ini adalah anak-anak yang mengkagumi budaya negeri matahari terbit, terpesona dan terkesima dengan sogokan pemikiran amerikanisasi. Lihatlah gelagat dan perilaku mereka, sekerat muslim sekerat sekular. Seolah-oleh, dunia tanpa sempadan ini, alaf gajet dan millinium adalah tuhan baharu di dalam kehidupan mereka. Hedonistik dan materialistik menjadi berhala sembahan mereka dek kerana ketempangan daya tahan diri lantaran serangan liberalisasi dan sekularisasi.

Yang menjadi kegilaan mereka adalah para artis dan aktor filem. Yang mengisi kekosongan mereka adalah superstar bola sepak dan anak-anak muda liberalis. Mereka terheret ke lembah kehancuran dan kemusnahan yang bakal memusnahkan tamadan umat dan bangsa ini. Mereka generasi yang hidup tanpa agenda. Kehidupan mereka diwarnai dengan Valentine Day, ketagihan dadah, seks bebas dan juga siulan muzik yang entah dari mana asalnya. Begitulah potret anak-anak generasi kita.

Ya, di sinilah kita para guru wajib menginsafi tugas dan peranan besar kita untuk mengeluarkan generasi ini dari lembah kebinasan kepada lembah kemuliaan yang mengangkat harakat mereka. Bukankan Allah menyatakan. “Sesungguhnya kami telah memulia dan menghebatkan anak-anak Adam.” ‘Kemuliaan atau karamatul insan’ yang sehingga mereka mengerti peranan mereka sebagai bangsa dan umat yang memiliki risalah untuk memimpin perubahan besar ini, mereka adalah khalifah Allah yang akan dipersoal di hadapan Allah nanti. Termasuk kita juga selaku para guru yang akan ditanya terhadap tugas dan akauntabiliti sebagai pembawa risalah. “Dan Allah pasti akan bertanya tentang nikmat yang telah diberikan kepada kamu.” Nikmat sebagai seorang guru, penunjuk hidayah pemikul risalah dan dai’e ilallah.

Sementalahan itu, kelalaian kita dengan tugas-tugas besar ini menjadi penyebab datangnya azab Allah SWT yang merata.

Bagaimana memulakan dakwah di sekolah?

Sebelum memulakan usaha dakwah dan tajmik di sekolah, seorang guru perlu memahami waqi [realiti] sekolah dan seterusnya mewujudkan jambatan atau hubungan langsung dengan pihak di sekolah. Antaranya :
Pihak pentadbir terutama Pengetua dan PK HEM
Guru-guru dan ustaz-ustaz
Warden-warden
PIBG
Ibu bapa
Pimpinan pelajar
Jaga

Bagaimana…
Beri salam dan bertaaruf dengan mereka. Bertaaruflah dengan mereka bersungguh-sungguh dan penuh sopan. Al-Banna berkata : “asas dakwah kita adalah taaruf.” “dakwah kita adalah dibina atas kasih sayang dan dengannya kita membuka pintu-pintu hati manusia.”
Ambil masa menziarahi mereka terutama di sempena-sempena tertentu. Lebih baik jika anda menjadi warden kerapkanlah menzirahi mereka waktu sakit, waktu cuti dan sebagainya.
Beri hadiah dan buah tangan. Ajaklah mereka hadir ke rumah anda.
Buat aktiviti yang mengikat hati dan dikenang budi seperti gotong royong, kelas tambahan, hadir memberikan kuliah di surau sekolah, tuisyen percuma, sediakan bank solan di samping qudwah seorang guru da’ie.
Jaga penampilan diri, jaga percakapan dan pergaulan diri, buang tanggapan negatif terhadap kita samada dari pihak pentadbir, guru-guru dan para pelajar.
Sentiasa bergaul dengan pelajar samada di surau dan padang sekolah. Riadah dan main bersama mereka. Ringan tangan membantu dan menyelesaikan masalah mereka.
Jadikan diri kita idola pelajar.

Siapakah guru idolaku ?

Kaedah menyatakan “al-qudwah qobla dakwah”. Menunjukkan teladan yang baik dahulu sebelum mengajak kepada fikrah kita. Dakwah melalui contoh teladan adalah dakwah yang lebih efektif dan mampu mempengaruhi para pelajar. Antara sifat yang perlu ada pada seorang guru :
Sentiasa senyum dan bermanis muka.
Ambil berat tentang pelajar
Hebat dan bersungguh-sungguh di dalam mengajar dan mendidik
Memuji Allah
Panggil pelajar menggunakan nama yang paling disukai oleh pelajar itu
Senang didekati
Solat bersama pelajar
Belanja makan pelajar
Ziarah pelajar ketika sakit dan waktu cuti persekolahan
Sabar dengan kerenah pelajar
Selalu beri motivasi kepada pelajar
Tegas dan adil kepada pelajar
Suka menolong pelajar
Gunakan bahasa yang lembut..
Nasihat yang ringkas dan berkualiti..bukan berleter
Memberi hadiah dan ucap tahniah kepada pelajar serta pujian
Ajak rehlah dan jaulah dengan pelajar

Hasilnya pelajar mudah mendekati kita dan mereka lebih thiqah [percaya] kepada kita.

Buka Lembaran zaman sebagai pelajar…
“Saya tidak suka nasihat yang berjela-jela, jangan berleter.”

Sebagai guru, berilah nasihat yang ringkas dan padat. Mereka akan menanti nasihat tersebut dan tertanya-tanya bila lagi. Berilah nasihat secara personal, jangan aibkan mereka di khalayak ramai. Kalau ingin memberi tazkirah..bawalah kisah-kisah dan cerita-cerita kerana ia lebih disukai pelajar.
“Saya anak kampung, petang-petang berkayuh basikal, pergi ke sawah, masa sekolah menengah ustaz selalu ajak mendaki gunung, pergi ke tempat-tempat rekreasi.”

Guru perlu kreatif rancang aktiviti. Pelajar suka aktiviti-aktiviti lasak dan kegiatan rekreasi. Mereka rasa jemu duduk di dalam kelas. Bawalah mereka ke program jaulah, rehlah, perkhemahan, mendaki gunung, berkelah di tepian pantai dan sebagainya.
“Saya johan pertandingan hafazan al-Quran.”

Guru perlu bimbing dan latih pelajar, pelajar akan lebih menghargai dan mengingati guru yang telah melatihnya menjadi juara atau pemenang. Ia adalah satu wasilah mendekatkan guru dengan pelajar semasa latihan dan pertandingan.”
“Saya menjadi ketua pengawas di sekolah dan pernah mendapat tokoh pelajar sekolah dan daerah.”

Kalangan pelajar ada yang bersifat unta merah, pilih dan beri perhatian kepada mereka ini, buatlah dakwah fardiyah dengan mereka, hampiri dan dekati serta follow up selalu, carilah yang ada sifat berani dan cerdik, mereka ini bakal menjadi tokoh dan pemimpin umat pada masa akan datang.
“Saya jadi Setiausaha Persatuan Pelajar Islam dan JK Kem Kepimpinan Islam.”

Kebanyakan program guru yang merancang, kami hanya mengikut. Program tidak datang dari buah fikiran pelajar. Kita sebagai guru sepatutnya bertindak sebagai coach, pelajar yang merancang dan mengendalikannya. Ini akan menjadikannya cepat faham amal dakwah dan tarbiyah. Berilah taujih agar dia menggerak dan merancang dakwah di sekolah.

Melahir Kader Dakwah Sekolah

Dakwah tidak akan berjaya tanpa diikuti dengan tarbiyah. Tugas guru setelah mengadakan program-program umum ialah menyediakan program yang mampu membentuk diri mereka menjadi kader dakwah sekolah.

Pelajar yang sudah kita dekati ini dan ada kecintaan pada Islam perlu dikumpulkan di dalam satu halaqah dan diberikan taujih tarbawi secara khusus. Mereka akan menjadi batu bata kepada dakwah di tempat mereka di samping pembantu kepada kita di dalam membawa fikrah yang jelas ini. Mereka akan menjadi agen dakwah kerana rakan-rakan mereka kerana mereka lebih kenal dan senang didekati.

“Dakwah pelajar kepada pelajar untuk pelajar.”

Membeningkan [melembutkan] hati

Dakwah kita adalah dakwah hati nurani. Kita sebagai daie wajib menghidupkan hati kita sebelum melunakkan hati orang lain. Rasulullah SAW membuat perumpamaan :

“Perumpamaan orang yang selalu berzikir mengingati Allah dengan orang-orang yang tidak mengingatinya adalah seperti yang hidup dan yang mati.” [ H.R Bukhari].

Wahai guru, sang murobbi, beningkan hati anda dengan zikir, ibadah wajib, ibadah sunnah dan tinggalkanlah dosa-dosa. Ingatlah ketika Allah dekat dengan kita, maka hati kita menjadi bersinar, kilauannya memikat jiwa manusia lain, lisan kita berkesan, kelopak mata kita menyejukkan, akhlah kita menenangkan dan dakwah kita akan mudah didengari dan disahut.

Katakan dengan CINTA.

Maka, katakanlah dengan cinta pada anak-anak murid yang berada di tangan kita. Zahirkan ekspresi cinta yang tulus dari hati yang bersih. Cinta yang tulus itu lahir dari raut muka dalam ekspresi wajah yang manis, simpati dan respon positif terhadap mad’u-mad’u kita.

Wajah yang senyum dan cerah terasa menyejukkan dan menarik untuk didekati oleh para pelajar serta mudah untuk dijadikan teman.Guru ini adalah mujahid fi sabilillah. Terkamir dari raut wajah keseriusannya menanggung beban perjuangan. Getaran keimanannya mampu menggetarkan hati-hati di sekelilingnya.

Ya..ada kata-kata para ulama silam, “faqidus syai la yu’ti”- orang yang tidak memiliki apa-apa tidak akan mampu memberi. Dakwah ini adalah dakwah yang robbani, jadilah guru yang robbani. Tidak ada jalan bagi menjayakan dakwah ini melainkan dengan pengalaman. Pengalaman yang diiringi dorongan imani serta kepelbagaian kemahiran akan menjayakan tugas besar ini.Guru sebenarnya adalah insan yang faham dan tahu ilmu berkaitan kejiwaan para pelajar. [al-khibroh bin nufus].

Akhirnya antara nikmat berdakwah ini ialah perasaan bahagia apabila fikrah yang kita dokong ini dinikmati oleh pelajar yang kita tajmik. Alangkah bahagianya hati seorang guru apabila diketahui pelajar yang bersamanya menyambung ke universiti menjadi aktivis dakwah, kemudian membentuk rumah tangga Islami. Lebih bahagia lagi mereka sekarang menjadi penggerak dakwah di mana-mana tempat mereka berada. Alhamdulillah ia adalah nikmat kurnian allah yang tidak terhingga atas barakah dakwah dan tarbiyah.

Guru Kerja Besar Untuk Perubahan Besar

Tugas dan amanah kependidikan ini berat dan sukar. Sejarah telah merakam bahawa di sebalik kegemilangan ketamadunan sesuatu bangsa dan umat terletak di bahu para guru. Meneliti kejayaan tamadun Islam bermula dari Era Nubuwwah , Era Khulafa’ sehingga ke puncak peradaban di zaman Abbasiyyah, maka mereka yang mewarnai dan mencorak kekuatan umat adalah para ilmuwan dan intelektual Islam yang bergelar sebagai seorang guru.

Kehebatan para pemimpin Islam dahulu juga ditunjangi oleh para guru yang mursyid, yang bertindak sebagai seorang murobbi, muallim, muaddib dalam kerangka melanjut dan melangsung kepimpinan umat Islam. Yang menghebatkan para sahabat r.a adalah Rasulullah SAW selaku rasul dan murobbi agung, yang menghebatkan Khalifah Umar Abdul Aziz dan Khalifah Harun Ar-Rashid ialah guru yang bernama Imam Malik b. Anas, yang menghebatkan Sultan Solahuddin Al-Ayyubi ialah Bahauddin bin Shaddad dan yang menghebatkan Sultan Muhammad Al-Fateh, gurunya bernama Syeikh Agha Shamsuddin. Kata Sultan Muhammad al-Fateh : “Penghormatan saya kepada Syeikh Agha Shamsuddin bukanlah satu pilihan saya. Ketika berada bersamanya, saya rasa terpegun dan kagum.”

Memang guru agen perubahan dan transformasi umat. Jika kita ingin perubahan besar di negara ini, maka ubahlah generasi pelajar kita. Kita sedang melakukan kerja besar para anbiya’, kerja yang menjadikan Allah dan malaikat berselawat ke atas kita, seluruh makhluk termasuk ikan-ikan di lautan memohon istighfar ke atas kita, kerja yang menjadikan para malaikat merendahkan sayapnya untuk mengagungkan kita. Ya, kerja kita yang besar ini memerlukan jiwa dan tekad yang besar. Jiwa dan tekad yang besar perlu bermula dari diri kita, kalau tidak kita siap lagi, kalau bukan hari ini bila lagi. Bukankan Allah berfirman :

“Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu umat melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka.”

Hasan Hudhaibi pernah berkata :

“ Tegakkanlah Islam dalam diri anda nescaya tertegak Islam dalam watan anda.

No comments: