Monday, March 12, 2012

TEKANAN MENTAL GURU OH GURU


Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak, selaras dengan pembangunan yang semakin gah di persada dunia, semakin berbagai-bagai punca yang telah mencetuskan tekanan mental. Tekanan mental dapat ditakrifkan sebagai sejenis desakan atau paksaan yang berkaitan dengan akal, pemikiran atau proses intelektual. Tekanan yang terlampau akan menyebabkan penyakit psikologi dan berlakunya jenayah. Cara-cara yang efektif harus digunakan agar tekanan mental dapat ditangani. Oleh itu, pelbagai faktor dan cara mengatasi masalah tekanan mental yang mewarnai focus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci.


Faktor pertama yang menyebabkan seseorang berhadapan dengan tekanan mental ialah masalah personality yang sempurna. Keinginan memajukan diri adalah berfaedah kepada orang sekiranya tidak keterlaluan. Keinginan yang keterlaluan pula akan mendatangkan tekanan sehingga menyusahkan dirinya. Seseorang yang terlalu menitikberatkan kesempurnaan tidak akan berasa puas hati dan sentiasa ingin berjaya dalam semua aspek yang terlibat. Golongan ini sering mempunyai hasrat atau cita-cita yang menggunung. Mereka berasa kecewa apabila hasil tidak mengikut standard kesempuraan berdasarkan kaca matanya. Oleh itu, masalah personalitI yang sempurna akan menyebabkan tekanan mental yang berat.

Masalah kehidupan dari segi kekeluargaan, pekerjaan atau pelajaran akan mendorong wujudnya tekanan mental. Masalah keluarga dan kemiskinan menyebabkan jiwa manusia sentiasa kecewa dan tertekan. Mereka berasa tekanan kerana sukar mencari nafkah untuk keluarga. Kerja yang berat dan rumit menyebabkan tekanan untuk mengekalkan prestasi di tempat kerja. Tekanan pelajaran pula berlaku kerana berusaha mencapai kecermelangan. Tekanan dalam kalangan pelajar biasanya berpunca daripada ibu bapa yang ingin anak mereka berjaya dalam pelajaran atau pihak guru yang ingin memastikan objektif pembelajaran dan pengajaran (P&P) mereka tercapai. Jadi, masalah kehidupan mengakibatkan tekanan mental yang cenderung mendorong penyakit psikologi.


Selain itu, pengalaman lampau yang ngeri juga merupakan salah satu faktor kepada tekanan mental. Keadaan ini biasanya wujud pada mangsa tragedi ngeri atau menakutkan. Akibat daripada tragedi tersebut, mangsa sering dihantui perasaan bercampur-campur. Jika mangsa merupakan seseorang yang diam dan tidak suka meluahkan perasaan, maka dia akan mengalami depresi dalam jangka panjang. Mereka akan berasa fobia, takut dan boleh bertindak terburu-buru tanpa keupayaan untuk berfikir dengan nasional. Pengalaman yang terlampau seperti dirogol atau dibuli mungkin menyebabkan seseorang hilang kewarasan kerana terlalu tertekan. Dengan itu, pengalaman yang dashyat mungkin menyambung kepada desakan mental.


Namun begitu, masalah tekanan mental boleh diatasi melalui amalan gaya hidup yang sihat. Amalan kehidupan yang harmonis boleh mengurangkan kegeraman dan tekanan hidup. Pengalaman sikap bertoleransi, sabar dan ceria dalam pergaulan seharian mampu mengelakkan pertelingkahan. Pengurusan masa secara teratur dan pembahagian kerja pula dapat mengurangkan beban kerja. Individu boleh bersenam dan berekrasi agar melepaskan tekanan mental. Dari segi penjagaan pemakanan seharian pula, kita perlu mengelakkan makanan berlemak dan berkanji tetapi menambahkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Jadi, amalan gaya hidup yang sihat adalah berkesan untul mengelakkan masalah tekanan mental yang berat.


Langkah mengatasi tekanan mental boleh dilakukan dengan bimbingan kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi. Perkhidmatan psikoterapi merupakan sejenis rawatan gangguan mental melalui kaedah psikologi. Kaunseling mampu membantu individu yang bermasalah agar mengurangkan konflik hidup mereka. Perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi berperanan menyediakan ruang untuk mangsa tekanan mental meluahkan isi hati mereka. Setelah pendengaran masalah, pihak kaunseling memberikan nasihat agar membantu individu tersebut menyelesaikan masalahnya. Kaunseling juga diberikan kepada keluarga penyakit mental supaya mengurangkan tekanan mereka yang terpaksa menjaga pesakit. Dengan itu, jelaslah bahawa kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi merupakan satu langkah yang penting dalam mengelakkan tekanan mental.


Di samping itu, pendidikan agama atau moral juga mampu mengatasi masalah tekanan mental. Agama dipandang sebagai unsur penting untuk menanam ciri-ciri kemanusiaan yang mulia. Ibu bapa harus member pendidikan agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana “anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya”. Individu yang mempunyai asas nilai-nilai murni mampu menguasai nafsu mereka. Pendidikan moral dan agama boleh mengatasi masalah jiwa kosong dan memberikan kesedaran melawan nafsu yang keterlaluan. Dengan kesedaran tersebut, seseorang akan sentiasa bersyukur dengan kurniaan Tuhan. Pendidikan agama atau moral dapat mengurangkan tekanan mental melalui kawalan keinginan.


Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, tekanan mental tidak akan memudaratkan seseorang sekiranya ditangani dengan hati yang tenang dan relaks. Analogi mudah bagi tekanan mental ialah “pengambilan vitamin”. Pada prinsipnya, tekanan mental sama seperti pengambilan vitamin. Pengambilan vitamin yang seimbang akan meningkatkan sistem immunisasi individu. Walaupun begitu, pengambilan vitamin yang berlebihan pula akan mendatangkan kesan sebaliknya! Begitu jugalah dengan tekanan mental kerana tekanan mental yang optimum akan memajukan seseorang tetapi tekanan mental yang terlampau akan membebankan dirinya.

No comments: