Saturday, March 10, 2012

CIRI-CIRI PENYELIDIKAN YANG BAIK DAN BERETIKA



1Pengenalan:
2 Ciri-ciri Penyelidikan Yang Baik:
2.1 Penjelasan (Explanation) & Ramalan (Prediciton)
2.2 Fenomena Yang Bercorak Dan Berulang (Patterned and Repetitious Phenomena)
2.3 Replikasi (Replication)
2.4 Kuantifikasi (Quantification)
2.5 Konseptualisasi : Abstrak Dan Operasi
2.6 Model, Hipotesis Dan Teori
2.7 Objektiviti/Keobjektifan
2.8 Kebolehpercayaan & Keesahan Pengukuran
2.9 Faktor Etika
3 Cadangan Untuk Menghasilkan penyelidikan yang baik
3.1 Sediakan Proposal Dengan Teliti, Rapi Dan Menyeluruh
3.1.1 Pernyataan Masalah
3.1.2 Kerangka Teori
3.1.3 Hipotesis
3.1.4 Reka Bentuk Kajian
3.1.5 Prosedur Persampelan
3.1.6 Kaedah Memugut Data
3.1.7 Garis Panduan Perlaksanaan
3.1.8 Analisa Data
3.1.9 Interpretasi Data
3.1.10 Pelaporan Hasil Dapatan
3.2 Proposal Disemak Oleh Pakar Metodologi Dan Pakar Pengkhususan
3.3 Dapatkan kerjasama dan sokongan responden
3.4 Lakukan Penilaian Berterusan
4 Masalah-masalah Etika Yang Sering Dihadapi Dalam Penyelidikan Soaial
4.1 Memilih Permasalahan
4.1.1 Masalah 1 : Tujuan Kajian Tidak Melanggar Nilai-nilai Sejagat
4.1.2 Masalah 2 : Kejujuran Dalam Kajian Literatur
4.1.3 Masalah 3 : Meniru Kajian Tanpa Iktirafan
4.1.4 Masalah 4 : Objektiviti Pengkaji
4.2 Merumus Reka Bentuk Penyelidikan
4.2.1 Masalah 5 : Memelihara Hak Privacy dan Dignity Responden
4.2.2 Masalah 6 : Melindungi Subjek Daripada Kecederaan Fizikal, Mental & Sosial
4.2.3 Masalah 7 : Kegagalan Memberi Rawatan Kepada Kumpulan Kawalan
4.3 Memugut Data
4.3.1 Masalah 8 : Keterbukaan Semasa Memugut Data
4.3.2 Masalah 9 : Penyalahgunaan Peranan Status Pengkaji
4.3.3 Masalah 10 : Penggunaan Alat Pengukuran Berhak Milik
4.4 Menganalisa Data
4.4.1 Masalah 11 : Analisa Data Berasaskan Tujuan Dengan Jujur & Objektif
4.4.2 Masalah 12 : Keselamatan Data
4.5 Menginterpretasi & Melaporkan Data
4.5.1 Masalah 13 : Penjelasan & Pembetulan Interpretasi
4.5.2 Masalah 14 : Pengiktirafan Kolaborasi
4.5.3 Masalah 15 : Tekanan Untuk Melapor
5 Kesimpulan
Bibliografi


Pengenalan:

Ciri-ciri penyelidikan yang baik diertikan sebagai ciri-ciri yang berasaskan prinsip saintifik dan etika. Antara ciri-ciri saintifik ialah : penjelasan (explanation), ramalan (preditiction), corak (pattern), pengulangan (repetition), replikasi (replication) dan kuantifikasi (quantification). Selain itu, ciri-ciri am seperti objektiviti, keesahan, kebolehpercayaan, kebolehtadbiran serta kebolehtafsiran juga penting untuk sesuatu penyelidikan. Semua penyelidikan yang baik mesti mematuhi nilai atau kod etika.
Ciri-ciri Penyelidikan Yang Baik:


Penjelasan (Explanation) & Ramalan (Prediciton)

Matlamat unggul sesuatu penyelidikan dijalankan ialah untuk memajukan penjelasan dan ramalan tentang sesuatu fenomena fizikal atau sosial. Dengan kata-kata lain, tujuan atau pernyataan masalah penyelidikan tentang apa yang ingin dijelas atau diramalkan mestilah amat jelas. Angkubah-angkubah yang ingin dijelaskan serta hubungan antara satu sama lain dalam suatu fenomena yang ingin dikaji mesti dinyatakan secara eksplicit. Justeru itu, hipotesis sama ada dalam bentuk diskriptif atau causal mestilah spesifik, nyata dan boleh diuji.


Fenomena Yang Bercorak Dan Berulang (Patterned and Repetitious Phenomena)

Sehubungan dengan ciri penjelasan dan ramalan, fenomena yang dikaji dalam sesuatu penyelidikan haruslah mempunyai corak yang berulang-ulang. Jika sesuatu fenomena kajian itu tidak berstruktur, tidak mempunyai ciri-ciri sistematik dan tidak mempunyai hubungan yang tekal, sudah tentunya penjelasan dan ramalan tidak boleh dibuat dengan kepastian yang tinggi. Peristiwa yang wujud hanya sekali sahaja tidak boleh dijelaskan dengan darjah verifikasi yang kuat. Pendek kata, fenomena kajian yang baik mesti manpu dikaji oleh pengkaji lain kerana fenomena berkenaan mempunyai corak yang boleh diramal dan dijelaskan serta wujud dalam keadaan lain dan berulangan.
Replikasi (Replication)

Supaya sesuatu kajian itu dianggap baik, kajian tersebut mesti mampu direplikasikan oleh pengkaji sendiri dan pengkaji lain. Hanya selepas sesuatu pemerhatian dikesan berulang kali, barulah kita menganggap kajian itu saintifik dan boleh dipercayai. Justeru itu, kajian yang baik menetap dan menerangkan spesifikasi metodologinya agar dapat dijalankan semula oleh pengkaji-pengkaji lain.

Sifat ini mempunyai kaitan dengan ciri empiris iaitu sesuatu kajian sama ada metodologi atau fenomena yang ingin dikaji boleh diulangi oleh pengkaji yang lain. Ini memastikan bahawa penemuannya boleh disahkan semula atau ditolak.
Kuantifikasi (Quantification)

Mengikut Forcese & Richer, ‘Quantification refers to the assignment of numerical values to the phenomena under investigation’ (11973:10). Kajian yang baik mengkaji fenomena yang dapat dihuraikan; apa yang boleh dihuraikan sebaik-baiknya boleh diukur. Lantaran itu, fenomena kajian yang baik dapat kuantifikasikan melalui angkubah-angkubahnya. Semakin halus ukuran angkubahnya, semakin tinggi kekuatan hubungan statistikal yang mampu dibuktikan. Hipotesis yang dibentuk berasaskan angkubah-angkubah yang measureable lebih mantap dan boleh dianalisa dengan pelbagai kaedah statistik.

Contohnya sekiranya pengkaji ingin menghuruai dan mengklasifikasikan motivasi pekerja, maka mesti adanya instrumen untuk mengukur konstruk tersebut dan hasilnya dalam data yang boleh diuji.
Konseptualisasi : Abstrak Dan Operasi

Selanjut daripada ciri kuantifikasi, konsep-konsep dalam sesuatu kajian yang wujud dalam bentuk abstrak mestilah boleh dioperasikan secara validnya. Apabila kita operasikan sesuatu konsep, kita menetapkan unsur-unsur konsep tersebut dalam bentuk yang boleh ditanggap dan diukur atau angkubah-angkubahnya.

Pengoperasian konsep abstrak atau konstruk yang valid merupakan pengoperasian yang mempunyai keesahan konstruk yang tinggi. Dengan kata-kata lain, angkubah-angkubah yang dibentuk untuk mewakili konstruk betul-betul menepati had dan spesifikasi konstruk tersebut.

Mengikut Zetterberg, terdapat tiga kemungkinan kesilapan dalam proses pengoperasian konstruk. Yang pertamanya, angkubah yang dipilih tidak merangkumi pengertian konstruk. Contohnya jika secara konsepsinya, kelas sosial diertikan sebagai pendapatan bulanan dan kesedaran seseorang tentang keanggotaannya dalam sesuatu hirarki manakala angkubah yang dipilih untuk kelas sosial hanya mengambil kira pendapatan bulana sahaja. Kesilapan yang kedua yang mungkin timbul ialah di mana pengoperasiannya mempunyai ruang lingkup yang lebih luas daripada konstruknya. Contohnya angkubah-angkubah yang dipilih untuk mengoperasikan kelas sosial tadi termasuk pendapatan, kesedaran dan tahap pendidikan. Akhirnya, kesilapan ketiga ialah pengoperasian yang tidak menepati langsung konstruk yang dimaksudkan. Contohnya angkubah untuk kelas sosial ialah warna kulit di mana orang berkulit putih dianggap kelas tinggi manakala orang berkulit hitam dianggap kelas bawahan.(Zetterberg, 1965:114-20)
Model, Hipotesis Dan Teori

Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa penyelidikan yang baik biasanya menggunakan pendekatan deduksi berdasarkan model, hipotesis dan teori. (Gay & Diehl, 1996: 77) Penyelidikan yang memaju dan mencabar model, hipotesis dan teori yang sedia wujud akan menganjakkan paradigma dan menghasilkan model, hipotesis dan teori baru.(Kuhn,1962) Justeru itu, mengikut Newman, ‘There is no evidence… that a single scientific discovery ever was made by induction as conceived by Bacon. On the contrary it is quite clear that to engage in research without the stimulus and guidance of hypotheses, rules, preconceptions, anticipations, control criteria and the like is a hopeless if not indeed frivolous activity (Newman, 1961, Vol. 1, 91). Jelasnya, satu ciri penyelidikan yang baik ialah ianya berasaskan paradigma teori dan model yang sedia ada.
Objektiviti/Keobjektifan

Objektiviti merupakan sifat penganggapan yang tidak dipengaruhi oleh emosi atau prasangka seseorang. Dalam pernyataan masalah, pengkaji mestilah memastikan bahawa fahamannya terhadap masalah adalah sama dengan fahaman pengkaji-pengkaji lain. Begitu juga dalam pemilihan kaedah, teori dan rujukan literaturnya. Sekiranya terdapat bukti bahawa terdapat kaedah yang lebih baik daripada kaedah yang ingin dijalankannya, maka dia mesti sedia menerimanya.

Supaya data yang diperolehi mempunyai keesahan yang tinggi, soalan-soalan atau item-item dalam instrumen (soal selidik) mesti mempunyai objektifan yang tinngi. Ini bererti soalan itu tidak berbentuk ambiguous tetapi memberi interpretasi yang sama kepada sesiapa sahaja yang membacanya.

Bagi peringkat pungutan, analisa dan laporan data, emosi dan kepentingan pengkaji dan sponsornya harus diketepikan agar laporan dapat dibuat dengan objektifnya. Begitu juga dalam pemilihan sampel atau subjek kajian pengkaji mestilah mematuhi rancangan yang telah ditetapkan dan tidak mengubahnya untuk menyesuaikan sampel agar dapat memenuhi kepentingan diri.(Forcese & Richer, 1973:16) Untuk memastikan bahawa sampel yang dipungut adalah objektif dan tidak biased, maka terdapat berbagai-bagai kaedah persampelan seperti persampelan rawak, persampelan kluster, persampelan sistematik dan persampelan rawak berstrata. (Gay & Diehl, 1996: 128)
Kebolehpercayaan & Keesahan Pengukuran

Aras pengukuran data dalam sesuatu penyelidikan boleh berbentuk nominal, ordinal, interval atau ratio. Penyelidikan yang baik akan seboleh-bolehnya menggunakan aras ukuran yang tinggi iaitu data interval atau ratio. Ini adalah kerana analisa statistik seperti ujian paramatriks yang lebih teliti dan rapi boleh dilakukan terhadap data interval atau ratio.

Justeru itu, sekiranya perhubungan causal dikaji, adalah pentingnya data interval atau ratio dipungut.

Sehubungan dengan itu, ciri kebolehpercayaan dan keesahan pengukuran amat perlu diamati oleh pengkaji. Semakin tinggi sifat kebolehanpercayaan dan keesahan sesuatu analisa dan pungutan data, semakin tepat dan baik sesuatu penyelidikan. (Forcese & Richer, 1973:73)
Faktor Etika

Setiap penyelidikan mestilah memastikan kaedah, kandungan dan tujuan tidak melanggar kod etika pengkaji, norma dan nilai-nilai sejagat seperti agama. Sekira sesuatu kajian memenuhi semua ciri dan prinsip saintifik tetapi tidak beretika mana sudah tentunya penyelidikan demikian dianggap kurang baik. Contohnya penyelidikan yang memanipulasi manusia atau cuba ‘play god’ seperti clone manusia dan sebagainya.

Isu yang berkaitan dengan isu etika ialah kejujuran pengkaji. Pengkaji mesti menunjukkan segala usahanya untuk memastikan bahawa setiap langkah penyelidikan dilaksanakan dengan jujur dan segala data yang diperolehi adalah tepat.
Cadangan Untuk Menghasilkan penyelidikan yang baik
Sediakan Proposal Dengan Teliti, Rapi Dan Menyeluruh

Secara eksplisit dan rapinya nyatakan kompenen-komponen proposal :
Pernyataan Masalah

Masalah seboleh-bolehnya mempunyai ciri-ciri SMART iaitu :

S Spesifik; masalah dinyatakan dalam bentuk yang spesifik

M Measurable; angkubah mesti boleh diukur, dikesan dan menyerupai konstruk

A Application; masalah boleh menjelaskan fenomena, tambahkan pengetahuan atau membantu menyelesaikan masalah

R Researchable atau reliable; berasaskan spesifikasi masalah, semua langkah dapat dilaksanakan dari awal hingga ke peringkat laporan. Di sini termasuk ciri kebolehtadbiran dan kebolehtafsiran.

T Time frame; ini bererti kajian dapat diselesaikan dalam suatu jangka masa yang ditetapkan. Supaya kajian dijalankan dengan baik, jadual kerja sebaik-baiknya disediakan agar pengkaji tahu peruntukan masa untuk setiap langkah.
Kerangka Teori

Bina permasalahan penyelidikan berasaskan teori yang sedia ada. Kerangka teori akan membantu pengkaji dalam membentuk konsep-konsep abstrak sesuai dengan paradigma dan seterusnya membuat pengoperasian angkubah yang sah dan sepadan dengan konstruk-konstruk yang ingin dikaji.
Hipotesis

Hipotesis yang dibentuk untuk mesti menjelaskan hubungan antara angkubah-angkubah yang dingin dikaji. Tetapkan angkubah bersandar dan angkukbah tak bersandar.
Reka Bentuk Kajian

Reka bentuk kajian mestilah berasaskan permasalahan atau hipotesis yang ditetapkan. Contoh-contoh reka bentuk kajian ialah kajian survey atau kajian eksperimen.
Prosedur Persampelan

Persampelan adalah mengikut permasalahan. Ia harus dibuat secara objektif dan mematuhi ciri-ciri penyelidikan yang baik.
Kaedah Memugut Data

Rancangkan kaedah memugut sesuai dengan data yang ingin diperolehi. Pastikan kaedah itu mempunyai ciri kebolehpercayaan dan kebolehtadbiran yang tinggi.
Garis Panduan Perlaksanaan

Sekiranya terdapat banyak pembantu yang menolong pengkaji melaksanakan penyelidikan pastikan bahawa semua pembantu dilatih dan diberi penjelasan yang lengkap dan tepat. Sediakan garis panduan perlaksanaan untuk semua pembantu.
Analisa Data

Proposal juga hendaklah menjelaskan kaedah statistik yang akan digunakan untuk menganalisa data. Justifikasi perlu diberikan tentang kaedah yang dipilih.
Interpretasi Data

Kaedah interpretasi data juga perlu ditetapkan dalam proposal. Ini akan memastikan bahawa keobjektifan kajian dijamin.
Pelaporan Hasil Dapatan

Dalam proposal, pihak yang menerima laporan mesti dijelaskan. Ini akan memudahkan orang lain membaca dan menggunakan hasil dapatan.
Proposal Disemak Oleh Pakar Metodologi Dan Pakar Pengkhususan

Sebelum kajian dijalankan adalah dicadangkan proposal disemak oleh pakar metodologi dan pakar pengkhususan agar sumber kewangan, tenaga dan masa disia-siakan. Pakar berkenaan boleh memainkan peranan devil’s advocate dan memberi cadangan atau alternatif tentang kajian yang akan dijalankan. Tanpa second opinion besar kemungkinan kelemahan dalam proposal tidak disedari oleh pengkaji kerana masalah konflik rol, etnosentrik atau prasangka. Langkah ini boleh menjaminkan kebanyakan ciri-ciri penyelidikan yang baik dipatuhi.
Dapatkan kerjasama dan sokongan responden

Kajian tidak berhasil jika tidak dapat kerjasama dan sokongan daripada responden. Hasil kajian bergantung kepada kejujuran dan kerjasama responden. Lantaran itu, pengkaji mestilah menjelaskan tujuan kajian sejelas-jelasnya kepada responden agar mereka dapat memberi maklumat secara terbuka.
Lakukan Penilaian Berterusan

Setiap langkah dalam perlaksanaan penyelidikan mesti dinilai. Sekira didapati terdapat kelemahan dalam sesuatu langkah, pengkaji mesti menyelesaikan masalah yang timbul sebelum melanjut ke langkah yang berikut. Ini adalah kerana setiap langkah adalah saling berkait.
Masalah-masalah Etika Yang Sering Dihadapi Dalam Penyelidikan Soaial

Isu-isu etika memerlukan perhatian pengkaji dalam setiap peringkat penyelidikan. Masalah-masalah etika yang dihadapi dalam penyelidikan sosial akan dibincangkan mengikut kitaran penyelidikan iaitu : 1. Memilih Permasalahan 2. Memugut Data 3. Merumus Reka Bentuk Penyelidikan 4. Menganalisa Data dan 5 Menginterpretasi Data.

Rumusan Masalah Etika Mengikut Peringkat-peringkat Pusingan Penyelidikan
Peringkat Penyelidikan Masalah-masalah Etika Yang Sering Dihadapi
Pemilihan Permasalahan
Tujuan Kajian Tidak Melanggar Nilai-nilai Sejagat
Kejujuran Dalam Kajian Literatur
Meniru Kajian Tanpa Pengiktirafan
Objektiviti Pengkaji

Reka Bentuk Penyelidikan
Memelihara Hak Privacy & Dignity Responden
Perlindungan Responden
Kegagalan Memberi Rawatan Kepada Kumpulan Kawalan

Memugut Data
Keterbukaan Dalam Memugut Data
Penyalahgunaan Status Pengkaji
Penggunaan Alat Pengukur Berhak Milik

Penganalisaan Data
Kejujuran Menganalisa Data
Keselamatan Data

Interpretasi Data & Laporan
Penjelasan Dan Pembetulan Interpretasi
Pengitirafan Kolaborasi
Tekanan Untuk Melapor


Memilih Permasalahan
Masalah 1 : Tujuan Kajian Tidak Melanggar Nilai-nilai Sejagat

Kepentingan sesuatu kajian mestilah mempunyai kepentingan untuk memajukan pengetahuan sains demi kepentingan manusia dan tidak melanggar nilai-nilai sejagat. Kajian-kajian yang dianggap sebagai tidak beretika adalah seperti kajian yang bertujuan menghancurkan nilai-nilai sesuatu kaum atau menyekat perkembangan sesuatu masyarakat. Contohnya kajian yang dilakukan di antara orang asli untuk mengkaji punca konflik antara mereka dengan tujuan menggalakkan konflik dan seterusnya menghapuskan orang asli sudah tentu tidak berertika.

(Riechen & Boruch, 1974:246)
Masalah 2 : Kejujuran Dalam Kajian Literatur

Adalah tidak beretika jika seorang pengkaji hanya merujuk dan melaporkan literatur yang sependapat dengan permasalahnya sahaja dan mengelakkan kajian yang lain. Contohnya jika seorang pengkaji inin memohon bantuan kewangan untuk kajiannya kemungkinan besar ia akan membesar-besarkan kepentingan kajiannya dan sengaja tidak merujukan kepada kajian yang tidak menyokongan permintaannya.(Gay & Diehl, 1992:96; Forcese & Richer, 1973:5)
Masalah 3 : Meniru Kajian Tanpa Iktirafan

Sebagai seorang pengkaji, adalah sangat tidak beretika jika bahan atau penemuan kajian ditiru daripada pengkaji lain dan menganggap penemuan orang lain sebagai penemuan kita sendiri. Sebarang rujukan mestilah disertakan dengan punca rujukan yang lengkap.(Gay & Diehl, 1992:97; Franklin & Osborne, 1971:28)
Masalah 4 : Objektiviti Pengkaji


Dalam sebarang kajian, sifat objektiviti pengkaji amat penting untuk menentukan tujuan dan hipotesis-hipotesis. Sudah pasti masalah seperti moral judgements dan cultural relativity akan dielakkan jika pengkaji khasnya jika kajian dilakukan di kalangan kumpulan etnik dan strata sosial yang lain. (Franklin & Osborne, 1971:38; Wan Hashim et al, 1980: 68)
Merumus Reka Bentuk Penyelidikan
Masalah 5 : Memelihara Hak Privacy dan Dignity Responden

Semua jenis reka bentuk penyelidikan mesti menghormati dan memelihara hak privacy dan dignity subjek. Contohnya adalah tidak beretika jika subjek didedahkan kepada sebarang ancaman terhadap maruah dan privacy mereka. Justeru itu, pengkaji mestilah memaklumkan sepenuh kepada subjek tentang sebarang kemungkinan yang berlaku ketika penyelidikan dijalankan. Kebenaran subjek mesti didapati sebelum kajian dilakukan. (Bulmer, 1982: 63; Cates, 1990:88 Sehubungan dengan masalah ini ialah ‘informed consent’ daripada responden. Subjek juga harus diberitahu bahawa dia berhak memberhentikan penglibatannya bila-bila sahaja dan berhak untuk tidak menyertai penyelidikan.
Masalah 6 : Melindungi Subjek Daripada Kecederaan Fizikal, Mental & Sosial

Dalam reka bentuk eksperimen sosial, sebarang treatment atas subjek mesti tidak meninggalkan bahaya kecederaaan fizikal (kesan dadah); kecederaan mental (kesan perubahan personaliti seperti bertambah agresif) dan kesan sosial (disingkirkan oleh komuniti sendiri atau tidak dapat berintegrasi kembali dengan kaum asal). (Franklin & Osborne, 1971:28; Cates, 1990:98)
Masalah 7 : Kegagalan Memberi Rawatan Kepada Kumpulan Kawalan

Sekira sebuat ubatan didapat berkesan untuk mengubati sesuatu penyakit, maka adalah tidak etika jika pengkaji dengan sengajanya tidak menggunakan ubatan tersebut ke atas pesakit dalam kumpulan kawalan manakala merawat pesakit dalam kumpulan eksperimen sahaja. Begitu juga jika seorang guru cuma menggunakan sesuatu teknik mengajar dalam kumpulan pelajar dan tidak menggunakan teknik yang sama atas pelajar lain, kononnya untuk menjalankan sesuatu kajian. Di sini pelajar-pelajar yang tidak diajar dengan cara terbaik kemungkinan gagal dalam peperiksaan.( Franklin & Osborne, 1971:38; Wan Hashim et al, 1980: 68; Cates, 1990:99)
Memugut Data
Masalah 8 : Keterbukaan Semasa Memugut Data

Banyak pengkaji bersetuju bahawa cara memugut data kurang beretika jika dibuat secara tersembunyi atau dengan cara disguised observation. Terdapat banyak ahli antropologi dan sosiologi yang menjalankan kaedah penyelidikan participant observation di kalangan komuniti kajian mereka. Masalah ektika yang timbul ialah susahnya mengasingkan peranan sebagai peserta dan sebagai pemerhati sahaja. Di samping itu, masalah konflik rol dan role expectation sering wujud antara pengkaji dan ahli-ahli masyarakat yang dikaji.( Bulmer, 1982: 69)
Masalah 9 : Penyalahgunaan Peranan Status Pengkaji

Seorang pengkaji bertanggungjawab kepada rakan-rakan pengkaji yang lain untuk menjaga nama baik bidang kajiannya (Sosiologi atau Psikologi). Adalah tidak beretika jika seorang pengkaji menggunakan statusnya sebagai pengkaji untuk kepentingan diri sendiri. Contohnya seorang pengkaji menjalankan kajian dan pada masa yang sama menjalankan jualan langsung kerana ia telah mengetahui ‘pasarannya’.( Wan Hashim et al, 1980: 98)
Masalah 10 : Penggunaan Alat Pengukuran Berhak Milik

Banyak instrumen untuk menguji keberkesanan organisasi seperti Managerial Grid yang dicipta oleh Blake dan Moputon (1964) dan Survey of Organizations oleh Likert (1967) sebenarnya mempunyai hak cipta terpelihara. Bagaimanapun, banyak pengkaji menggunakan instrumen berkenaan tanpa membayar sebarang yuran.

Menggunakan instrumen yang mempunyai hak cipta dan tidak membuat sebarang bayaran adalah kurang etika. Justeru itu, pengkaji mestilah memastikan bahawa istrumen yang ingin digunakan adalah dalam public domain dan tidak melanggar hak milik penciptanya. (Schmitt & Klimoski, 1991: 252)
Menganalisa Data
Masalah 11 : Analisa Data Berasaskan Tujuan Dengan Jujur & Objektif

Data yang dipungut mesti dianalisa berasaskan tujuan yang telah ditetapkan dengan jujur dan objektif. Adalah tidak etika jika sebarang data diubahsuai untuk membuktikan hipotesis yang diminati oleh pengkaji. Begitu juga jika pengkaji mengubah hipotesis untuk disesuaikan dengan data yang dipungut. Terdapat pengkaji yang sengaja mempalsukan data untuk memenuhi kehendak sponsor dan demi meneruskan kajian.( Gay & Diehl, 1992:97)
Masalah 12 : Keselamatan Data

Data yang didapati mesti dijaga dengan selamatnya agar tidak disalahguna oleh pihak yang lain. Maklumat-maklumat tentang responden adalah sulit. Sekiranya laporan perlu dibuat, data-data peribadi mesti dikod semula agar identiti responden tidak didedahkan. (Schmitt & Klimoski, 1991: 367) Isu menjadi lebih rumit jika data yang dipungut adalah berkaitan dengan pandangan politik dan jenayah.
Menginterpretasi & Melaporkan Data
Masalah 13 : Penjelasan & Pembetulan Interpretasi

Sekiranya penganjur sesuatu kajian memutarbelitkan interpretasi hasil kajian, maka adalah tanggungjawab pengkaji untuk menjelaskan dan membetulkan interpretasi tersebut. Contohnya jika syarikat rokok memalsukan maklumat dan menyatakan bahawa tabiat merokok tidak bahaya, maka pengkaji mestilah berani membetulkan penyataan yang palsu tersebut. Sehubung dengan itu, pengkaji mesti menyatakan sponsornya semasa menjalankan kajian agar tidak timbulnya masalah ektika atau konflik kepentingan kelak.
Masalah 14 : Pengiktirafan Kolaborasi

Semua kerjasama dan kolaborasi dengan rakan-rakan pengkaji yang terlibat mestilah dilaporkan. Sudah tentu tidak etika dan profesional jika nama-nama rakan usaha sama diketepikan. Terdapat pengkaji yang menggunakan hasil kajian orang lain tanpa memberi pengiktirafan kepada rakan pengkaji itu. Perkara ini sering berlaku di universiti di mana pensyarah menggunakan kertas kerja pelajar-pelajar tanpa memberi sebarang pengiktirafan kepada pelajar berkenaan.
Masalah 15 : Tekanan Untuk Melapor




Sekiranya pengkaji merupakan agen perubahan yang diupah oleh sesuatu organisasi dalam program pembangunan organisasi maka kemunkinan besar dia menghadapi tekanan untuk melaporkan hasil dapatan yang akan menolongnya melaksanakan perubahan tersebut. Mengikut Schmitt dan Klimoski, ‘… it will take a strong sense of professional integrity, personal credibility, and skill to promote the notion of careful and systematic evalution of interventions in organizational settings. This usually means working with top management to create an appreciation for differences in the qualitity of the data (and hence, of decisions) associated with weak versus strong designs.’ (1991:402)
Kesimpulan

Ciri-ciri penyelidikan yang baik merangkumi perspektif saintifik dan etika. Isu menjadi lebih ketara dalam penyelidikan sosial di mana subjeknya ialah manusia yang mempunyai perasaan, intelek dan dipengaruhi nilai-nilai sosial dan agama. Penyelidikan seperti senjata adalah neutral tetapi manusia yang menentukan sama ada ianya digunakan untuk memajukan masyarakat atau memusnahkannya.





Model Penyelidikan Akademik atau Saintifik



Sumber : Boehm, V.R. (1980:495)

No comments: