Friday, March 4, 2011

SAMAN EKOR DAN PERSEPSI RAKYAT


1. Terima kasih kepada kerajaan yang melanjutkan tempoh pembayaran saman tertunggak. Bagi mereka yang berpandangan negatif akan mencemuh sebagai satu keputusan yang tidak konsisten yang bermasalah. Namun secara keseluruhan ia mencerminkan sikap kerajaan yang mendengar pandangan dan permintaan rakyat.

2. Walaupun begitu, saman ekor akan terus menjadi kontroversi kerana ramai yang tidak berpuas hati terhadap kaedah dan hukumannya. Kerajaan perlu mencari jalan meredakan dan mengurangkan kemarahan pemandu kenderaan terhadap saman ekor ini atau ia akan menjadi satu bebanan politik yang besar kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.

3. Sebahagian besar saman ekor ialah membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju. Seolah-olah memandu melebihi had laju merupakan faktor utama kemalangan maut di negara ini. Hakikatnya 70% kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal yang jarang sekali kita dengar disaman kerana memandu laju.

4. Saya tidak mengatakan tidak salah untuk kita melanggar had laju yang ditetapkan. Peraturan tetap peraturan. Apa yang ramai orang harapkan ialah kerajaan mempunyai mekanisme saman yang lebih rasional dan mencerminkan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya bukannya mengutip pendapatan negara.

5. Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam Bernama baru-baru ini, antara punca utama kemalangan maut ialah sikap pemandu yang memandu dalam keadaan terburu-buru sehingga memakan jalan pemandu lain, berhenti secara mengejut, mengekor rapat dan melanggar lampu isyarat. Sementara penunggang motosikal pula menunggang dengan berlagak sebagai hero. Dengan kata lain, punca utama kemalangan di negara kita ialah sikap pengguna yang cuai dan tidak bertanggung jawab.

6. Malangnya, yang paling banyak berhadapan dengan saman ekor ialah mereka yang memandu melebihi had laju. Ini berlaku kerana ia mudah dikesan dan disaman. Ini menimbulkan persepsi rakyat bahawa saman ekor yang dibuat bukan untuk mengurangkan kemalangan tetapi menambah kantung kerajaan.

7. Justeru itu, saya berharap kerajaan mengkaji semula kaedah pelaksanaan saman ekor ini jika niat sebenar ialah untuk mengurangkan kemalangan bukannya mencari keuntungan.

8. Kaedah kompaun saman melebihi had laju juga harus berstruktur bukannya secara pukul rata RM 300 tanpa mengambi kira jumlah kelajuan sebenar. Misalnya mereka yang terlebih sekadar 10-30 KM/J daripada had laju yang dibenarkan tidak sewajarnya menerima hukuman kompaun setaraf dengan mereka yang memandu 200 KM/J. Risiko dan impak kemalngan juga berbeza, mengapa kompaunnya sama?

9. Penguatkuasa perlu memahami bahawa pemandu ialah manusia bukannya robot atau mesin. Saya percaya majoriti pemandu termasuk sebahagian besar menteri, penggubal polisi dan penguatkuasa undang-undang juga pernah memandu melebihi had laju sama ada kerana mahu memotong atau pun tidak perasan had laju di kawasan tersebut. Namun ini bukan bermakna kita memandu secara cuai dan secara sewenang-wenangnya (reckless) sehingga boleh menyebabkan kemalangan atau hilang kawalan ke atas kenderaan.

10. Justeru saya berharap kerajaan dapat menimbangkan semula keputusan memaksimumkan kompaun memandu melebihi had laju tanpa membezakan mereka yang melanggar kerana faktor kemanusiaan dengan pemandu yang memandu secara merbahaya.

No comments: