Thursday, December 31, 2009

TOK MAT MENINGGAL DUNIA


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Penerangan dan bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Mohamed Rahmat meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, di sini, pagi ini.

Allahyarham, yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 pada Isnin depan, dilaporkan meninggal dunia dalam tidur.

Anak sulungnya Datuk Nur Jazlan, yang juga Ahli Parlimen Pulai, berkata bapanya disedari meninggal dunia pada kira-kira 8 pagi ini ketika ibunya, Puan Sri Salbiah Abdul Hamid mengejutnya bangun daripada tidur.


"Beliau meninggal dalam tidur," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman bapanya di sini, hari ini.

Nur Jazlan berkata Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas Asar.

Beliau berkata Allahyarham bapanya menghidapi penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lalu dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari.

Sinonim dengan gelaran ''Tok Mat'', pemimpin veteran Umno itu menjadi Menteri Penerangan sebanyak dua kali iaitu dari 1978 hingga 1982 semasa kepimpinan Tun Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertaraf Menteri dari 1982 hingga 1984.

Selain itu, Allahyarham menyandang jawatan Setiausaha Agung Umno sejak 1988 hingga 1996 dan setiausaha agung Barisan Nasional (BN) dari 1988 sehingga 1999.

Semasa menjadi Menteri Penerangan, allahyarham memperkenalkan Program "Setia Bersama Rakyat" (Semarak) yang bertujuan meningkatkan semangat cintakan negara.

Ketegasannya juga turut ditampilkan antaranya dalam menyelesaikan isu disiplin artis tempatan apabila mengarahkan penyanyi rock memotong rambut panjang mereka jika mahu menyertai program di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Antara yang mematuhi arahan beliau ialah kumpulan rock Wings dengan penyanyi utamanya Awie dan kumpulan Search dengan penyanyi utamanya Amy. - Bernama

No comments: