Wednesday, September 30, 2009

GURU PERLU SETIA DALAM PERKHIDMATAN


Warga pendidik diingatkan supaya setia dalam perkhidmatan mereka bagi memartabatkan pembangunan pendidikan di negeri ini.

Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Normah Gagoh berkata mereka menjalankan tugas ditempat mereka ditugaskan dengan lebih cemerlang.

Katanya, sebagai warga pendidik mereka perlu ada kesetiaan sebagai orang bawahan kepada ketua atau organisasi mereka.

Beliau berkata, warga pendidik yang lebih dikenali dengan guru atau cikgu perlu memfokus kerja mereka kepada mendidik pelajar dengan lebih bersungguh-sungguh bagi memartabatkan Jabatan Pelajaran.

“Warga pendidik jangan lagi berundur ke belakang tetepi sebaliknya mereka terus maju ke hadapan bagi memberi pendidikan kepada pelajar masing-masing,” katanya semasa berucap di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Pelajaran Sabah, Zon Pedalaman di Dewan Datuk Seri Panglima Lee Sen SM Ken Hwa dekat sini kelmarin.

Normah berkata, semua masyarakat tanpa mengira kaum dan kepercayaan berhak mendapat pendidikan di negara ini.

Justeru itu katanya, peranan guru dalam hal ini amat penting bagi memberi peluang kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini menikmati pendidikan sama rata.

Pada masa sama Pengarah Pelajaran Sabah itu menggesa supaya guru-guru bekerja dalam satu pasukan di bawah naungan Jabatan Pelajaran Sabah dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Katanya, kejayaan dapat dicapai dengan adanya semangat berpasukan dalam satu organisasi.

“Jauhkan buruk sangka dan ketidaksefahamanan apabila bekerja salam satu pasukan,” katanya.

Normah dalam ucapannya turut memberi suntikan semangat kepada guru-guru dan kakitangan sokongan yang menerima APC itu.

Katanya, mereka yang mendapat pengiktirafan anugerah itu perlu meneruskan perkhidmatan mereka dengan lebih cemerlang.

Menurut Normah, Jabatan Pelajaran akan membuat pemantauan berterusan di sekolah-sekolah bagi memastikan mereka yang mendapat anugerah itu terus mengekalkan prestasi perkhidmatan mereka.

Seramai 408 guru dan kakitangan sokongan menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Normah sendiri.

Selain itu seramai 31 warga pendidik yang sudah bersara turut menerima sijil penghargaan.

Hadir sama Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Keningau Raisin Saidin, PPD Tambunan Haji Kaipin Rosmin, PPD Tenom Ajmal Hj. Jumah, PPD Nabawan Osman Aganduk, pengetua-pengetua dan guru-guru besar di zon Pedalaman.

Seorang penerima yang ditemui Jamil Akok berkata, antara ciri-ciri guru yang baik dan cemerlang adalah menjadikan kerja sebagai satu ibadah dan bertanggungjawab, jujur, amanah dan bekerja bersungguh-sungguh.

Katanya, sentiasa mendengar dan patuh kepada arahan pihak pentadbiran sekolah serta mengutamakan kebajikan dan pendidikan pelajar di samping mengutamakan kualiti dalam apa juga pekerjaan merupakan aset penting dalam kecemerlangan perkhidmatan.

“Meningkatkan potensi diri dan mengamalkan cirri-ciri peribadi yang luhur dan positif dalam kehidupan juga pemangkin kepada perkhidmatan yang lebih cemerlang,” katanya.

Jamil berkata, warga pendidik juga perlu mengamalkan kerja berpasukan dan memartabatkan profesion keguruan disamping menghormati rakan sejawat.

Mengenai majlis, APC itu Jamil menyifatkan ia memberi suntikan semangat dan motivasi kepada guru-guru untuk terus berusaha dan berkhidmat dengan lebih gigih dan cemerlang.

Selain itu katanya, ia menghargai dan satu pengiktirafan perkhidmatan dan pengorbanan guru dan kakitangan sokongan dalam memacu pembangunan pendidikan di negeri ini khususnya di kawasan Pedalaman yang jauh terpencil.

Jamil memulakan tugas sebagai guru sandaran pada tahun 1988 hingga 1997 sebelum menjadi guru terlatih kini bertugas di SM St. Francis Havier.

Beliau juga pernah menerima anugerah graduan cemerlang Universiti Malaya 2004 dan pada masa ini menjadi pemberita sambilan akhbar New Sabah Times.

No comments: