Saturday, October 3, 2009

NAJIB : BIJAK PILIH WAKIL RAKYAT


Pengundi-pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan, perlu bijak memilih wakil rakyat yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pilihan raya kecil itu bukan untuk membentuk kerajaan, sebaliknya bertujuan menentukan wakil rakyat yang boleh menyelesaikan masalah mereka di kawasan tersebut.

''Kita mesti sedar bahawa ini adalah pilihan raya kecil, bukan soal membentuk kerajaan. Dalam pilihan raya kecil, apa yang penting ialah khidmat seorang bakal wakil rakyat, siapa yang boleh beri khidmat bakti dan dapat menyelesaikan masalah pengundi di sana.

''Itu yang menjadi kayu ukur seperti di Bagan Pinang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 190 bakal haji dalam Parlimen Pekan di Bangunan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober ini bakal menyaksikan pertandingan antara Barisan Nasional (BN) dan Pas selepas proses penamaan calon di Port Dickson hari ini.

BN meletakkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai calonnya, manakala Pas diwakili Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

DUN Bagan Pinang dalam Parlimen Teluk Kemang adalah salah satu daripada dua kerusi yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) tahun lalu.

Najib yang juga Pengerusi BN memberitahu, pihaknya telah menjangkakan berlaku pertandingan satu lawan satu.

''Kita telah menjangkakan (satu lawan satu di Bagan Pinang), jadi kita minta pengundi buat penilaian terhadap parti dan calon mana yang sesuai untuk kepentingan mereka," tegasnya.

Menjawab satu soalan lain, beliau menganggap soal calon BN yang sebelum ini pernah dipertikaikan beberapa pihak tidak lagi timbul.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang penting ialah khidmat yang akan dilaksanakan oleh calon terbabit jika dipilih sebagai wakil rakyat nanti.

''Saya anggap (perkara) itu tidak timbul lagi, kita mesti lihat ke hadapan. Apa yang penting, soal khidmat bakti seorang wakil rakyat di kawasan tersebut," tegasnya.

Mengulas insiden Pengerusi Biro Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mendakwa dirinya ditumbuk penyokong parti lawan pada proses penamaan calon hari ini, Najib berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku jika semua pihak menghormati peraturan dan undang-undang.

''Kalau ditumbuk, harap dia (Abdul Azeez) buat laporan polis. Sepatutnya, kita jangan buat apa-apa yang menyalahi undang-undang termasuk mengkasari penyokong lain.

''Kita patut menunjukkan contoh yang baik sebab dalam amalan demokrasi, ia mesti dikotakan dengan nilai yang baik seperti menghormati peraturan dan undang-undang," jelasnya.

No comments: