Wednesday, September 30, 2009

BELANJAWAN 2010 SEMANGAT GAGASAN 1MALAYSIA


Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan Bajet 2010 yang akan dibentangkan pada 23 Oktober ini merupakan bajet berhemat yang mengutamakan semangat gagasan 1Malaysia - ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Perdana Menteri berkata, dalam bajet berkenaan, kerajaan juga akan menumpukan pelaksanaan mekanisme pengagihan subsidi kepada kumpulan sasar yang selayaknya mendapat bantuan tersebut.

Pada masa yang sama, menurut beliau, kerajaan akan memperkuatkan cukai berasaskan fiskal kerana dasar yang diamalkan kini agak longgar dan memberi kesan kepada pendapatan kerajaan.

“Secara dasarnya, bajet perbelanjaan kerajaan pada tahun hadapan mungkin akan ada sedikit pengurangan, tetapi saya beri jaminan ia tidak akan menjejaskan kecekapan kerajaan mengurus tadbir negara ini.

“Mungkin akan ada beberapa sektor tertentu yang akan kita kurangkan perbelanjaannya, terdapat juga sektor tertentu yang Kementerian Kewangan sebelum ini telah beri banyak kelebihan, jadi perkara inilah antara beberapa keutamaan yang akan diberikan penekanan dalam bajet ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mendengar sesi taklimat oleh Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM) tentang ekonomi Malaysia dan sektor kewangan di bank itu di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Najib bagaimanapun enggan memperincikan Bajet 2010 dan hanya akan mengumumkan mengenainya dalam pembentangan kelak.

“Saya tidak akan beri secara terperinci kerana ia akan terkandung dalam teks ucapan saya nanti, tetapi yang pasti ia akan mengambil semangat dan tidak lari daripada gagasan 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

“Walaupun mungkin ada beberapa sektor yang akan dikurangkan perbelanjaannya, tetapi ia tidak akan menjejaskan kecekapan dan komitmen kerajaan kerana apa yang penting ialah ekonomi negara akan dipastikan untuk mampu kekal berdaya saing,” katanya.

1 comment:

Watababai said...

ziarah depu-depu..

Jemput ke blog saya memberikan komen..

Lama sudah berhajat menjadi guru tapi tak kesampaian.