Monday, September 24, 2012

CUEPACS TUNTUT BONUS LAGI DALAM BAJET 2013

KOTA BAHARU, 9 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan memberi bonus yang terbaik kepada anggota perkhidmatan awam pada Bajet 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen 28 Sept ini.

Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata sebelum ini CUEPACS memohon kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.4 juta penjawat awam dan pihaknya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan perkara tersebut berdasarkan kemampuan kerajaan.

"Dalam sejarah, kita tidak pernah dapat dua bulan bonus. Bonus terbaik yang pernah diberi kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam ialan bonus sebulan gaji iaitu pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri," katanya kepada pemberita pada Majlis Bersama Pembantu Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini Ahad.

Omar berkata penjawat awam wajar memperoleh bonus terbaik memandangkan transformasi yang dilakukan di jabatan dan agensi kerajaan yang melonjakkan prestasi dan kecekapan mereka melaksanakan tanggungjawab.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya memberi nama baru kepada jawatan yang berkaitan dengan pembantu seperti pembantu pertanian, pembantu pegawai tadbir dan pembantu juruteknik.

-- BERNAMA

Sunday, September 23, 2012

PERLUKAH KAKITANGAN AWAM KERJA LEBIH MASA?

Kenyataan Presiden CUEPACS bahawa kakitangan awam sanggup berkerja lebih masa jika 70 peratus daripada enam cadangan/tuntutannya dalam bajet 2013 ditunaikan oleh kerajaan banyak menimbulkan tanda tanya di kalangan kakitangan awam sendiri.

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata lebih 1.4 juta penjawat awam sedia bekerja lebih masa jika 70 peratus daripada enam cadangannya dilulus kerajaan dalam Belanjawan 2013.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata penjawat awam akan bekerja lebih masa selama 30 minit tanpa ganjaran jika tuntutan mereka termasuk penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) diterima kerajaan.

"Cuepacs akan pastikan penjawat awam akan melakukan satu perubahan drastik dari segi budaya bekerja, kalau boleh kita datang 15 minit awal dan balik lewat 15 minit yang merupakan komitmen daripada penjawat awam bagi menghargai jasa kerajaan meluluskan tuntutan tersebut," katanya kepada pemberita Rabu.

Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Cuepacs ke-9 di sini, berkata penjawat awam masih menunggu perubahan dan penambahbaikan ke atas SSM setelah diumumkan pada 8 Mac lepas, susulan pembatalan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam.

Tuntutan lain ialah penyelesaian isu tangga gaji maksimum yang tidak selaras dengan kenaikan gaji tahunan; projek perumahan di bawah harga RM135,000 dalam kawasan bandar; menaikkan imbuhan tetap perumahan; kedudukan status 45,000 penjawat awam berstatus kontrak; bonus dua bulan gaji dan mengkaji semula pemansuhan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) di peringkat pusat.

-- BERNAMA

ELAUN DAN ISU PERUMAHAN KAKITANGAN AWAM DIPERJUANGKAN OLEH CUEPACS DALAM BAJET 2013

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menjadikan isu perumahan antara keutamaan dalam pembentangan Bajet 2013 kelak.Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pembentangan tersebut dinanti-nanti seluruh rakyat negara ini termasuklah penjawat awam.Menurutnya, isu perumahan diharap menjadi penekanan memandangkan situasi harga rumah yang melonjak dan di luar kemampuan, khususnya bagi 30 hingga 40 peratus penjawat awam.


"Ini situasi yang membimbangkan. Golongan tersebut masih sukar memiliki rumah bawah RM200,000 meskipun telah bekerja antara lima hingga 10 tahun serta menggabungkan gaji suami dan isteri."Ini menyebabkan ada segelintir yang tidak mempunyai kediaman sendiri walaupun tiba tempoh persaraan," katanya.Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan memorandum oleh Persatuan Penolong Pegawai Sains institusi pengajian tinggi awam (IPTA) (PPPSIPTA) dan Harapan Bajet 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Hadir sama Presiden PPPSIPTA, Zainal Abidin Bahari.Menurut Osman, CUEPACS juga berharap pembentangan bajet kali ini memberi harapan baru kepada pekerja sektor awam termasuk pemberian bonus.


"Sekiranya kerajaan memberi bonus sebanyak dua bulan atau sebulan gaji kepada penjawat awam, ini menunjukkan kemampuan ekonomi negara, selain menjadi sejarah serta perubahan dalam sektor awam."Kami juga berharap permohonan elaun dan insentif sektor awam kembali dipertimbangkan," katanya.Mengulas penyerahan memorandum hari ini, Osman berkata, ia berkaitan dengan tuntutan menaik taraf skim perkhidmatan pembantu makmal di IPTA seluruh negara.


Katanya, tuntutan yang diminta itu selari dengan tugas pembantu makmal universiti yang membantu melakukan penyelidikan, memantau latihan amali pelajar dan banyak lagi."Kira-kira 1,200 pembantu makmal sahaja yang mendapat kenaikan pangkat sejak ia dinaik taraf pada 2005."Menginjak ke tahun 2009, skim berkenaan kembali bergerak perlahan dan kini seramai 387 pembantu makmal lagi telah lulus Bridging Programme pada 2010/2011 tetapi masih belum dinaikkan pangkat," katanya.


Omar memberitahu, memorandum tersebut akan diserahkan pada 20 September ini untuk perhatian Setiausaha Bahagian dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Rujhan Mustafa."Jika tiada sebarang tindakan sehingga 1 November depan, pihak universiti mungkin menghadapi masalah dan pengajian pelajar akan terjejas kerana kumpulan ini bakal melaksanakan work to rule atau bekerja mengikut waktu pejabat," katanya lagi.

Tuesday, July 3, 2012

BONUS KAKITANGAN AWAM 2012, DIBAYAR PERTENGAHAN BULAN INI



KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.


“Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan, semalam.



Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.


Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas itu dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri.


“Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan pesara kerajaan,” kata Najib.






Katanya, pemberian bonus dan bayaran khas itu akan melibatkan 1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2 bilion. - Bernama

Friday, June 15, 2012

AWAN PELIK DI PANTAI BARAT SABAH, PETANDA APA?









Bagi penggemar dan pemerhati alam buana ciptaan ilahi ini, rasa tafakur mungkin bercambah dengan rasa terkejut yang terus bermain dan bersarang dalam fikiran mereka. Tanggal 12 jun.2012 yang lalu, satu kejadian aneh dan pelik terjadi dilangit sekitar kota kinabalu, Sabah apabila gerakan dan gumpulan awan yang biasanya berarak perlahan di ibu kota negeri di Bawah bayu itu bertukar rupa. Misteri dan menakutkan. Awan bergumpul dengan pekat dan menunjukkan wajah-wajah kekalutan dan kemurungan.Seolah-olah memberi amaran kepada manusia yang berada di bawah payung lembayungnya.

Walaupun ada yang mengaitkan rupa awan tersebut dengan kejadian taufan yang melanda negara jiran, Filipina, namun ketika gambar-gambar di bawah ini diambil, alam maya di Kota Kinabalu masih berkeadaan tenang, tanpa angin kuat mahupun hujan lebat. Hanya setelah beberapa pada tengah harinya, ribut dan hujan melanda kawasan Pantai Barat sabah.

Apakah petanda alam ini dengan kehidupan manusia yang diamanahkan mengurus dan mentadbir alam ini? Apakah kehadiran awam pekat kelabu ini tidak menggerunkan jiwa-jiwa metropolitan yang semakin lalai dibuai duniawi yang melalaikan?