KUALA LUMPUR 13 Sept. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menjadikan isu perumahan antara keutamaan dalam pembentangan Bajet 2013 kelak.Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pembentangan tersebut dinanti-nanti seluruh rakyat negara ini termasuklah penjawat awam.Menurutnya, isu perumahan diharap menjadi penekanan memandangkan situasi harga rumah yang melonjak dan di luar kemampuan, khususnya bagi 30 hingga 40 peratus penjawat awam.
"Ini situasi yang membimbangkan. Golongan tersebut masih sukar memiliki rumah bawah RM200,000 meskipun telah bekerja antara lima hingga 10 tahun serta menggabungkan gaji suami dan isteri."Ini menyebabkan ada segelintir yang tidak mempunyai kediaman sendiri walaupun tiba tempoh persaraan," katanya.Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan memorandum oleh Persatuan Penolong Pegawai Sains institusi pengajian tinggi awam (IPTA) (PPPSIPTA) dan Harapan Bajet 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Hadir sama Presiden PPPSIPTA, Zainal Abidin Bahari.Menurut Osman, CUEPACS juga berharap pembentangan bajet kali ini memberi harapan baru kepada pekerja sektor awam termasuk pemberian bonus.
"Sekiranya kerajaan memberi bonus sebanyak dua bulan atau sebulan gaji kepada penjawat awam, ini menunjukkan kemampuan ekonomi negara, selain menjadi sejarah serta perubahan dalam sektor awam."Kami juga berharap permohonan elaun dan insentif sektor awam kembali dipertimbangkan," katanya.Mengulas penyerahan memorandum hari ini, Osman berkata, ia berkaitan dengan tuntutan menaik taraf skim perkhidmatan pembantu makmal di IPTA seluruh negara.
Katanya, tuntutan yang diminta itu selari dengan tugas pembantu makmal universiti yang membantu melakukan penyelidikan, memantau latihan amali pelajar dan banyak lagi."Kira-kira 1,200 pembantu makmal sahaja yang mendapat kenaikan pangkat sejak ia dinaik taraf pada 2005."Menginjak ke tahun 2009, skim berkenaan kembali bergerak perlahan dan kini seramai 387 pembantu makmal lagi telah lulus Bridging Programme pada 2010/2011 tetapi masih belum dinaikkan pangkat," katanya.
Omar memberitahu, memorandum tersebut akan diserahkan pada 20 September ini untuk perhatian Setiausaha Bahagian dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Rujhan Mustafa."Jika tiada sebarang tindakan sehingga 1 November depan, pihak universiti mungkin menghadapi masalah dan pengajian pelajar akan terjejas kerana kumpulan ini bakal melaksanakan work to rule atau bekerja mengikut waktu pejabat," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment