Thursday, September 3, 2009

LAGI ISU PKFZ


PKFZ adalah antara isu besar yang dihadapi negara berikutan pelbagai skandal mengenainya terbongkar melibatkan beberapa orang besar berpangkat menteri. Ia menjadi isu 'mainan' pembangkang ketika pilihanraya 12 yang lepas dan beberapa PRK yang menyusul selepas itu. Dengan gambaran bahawa kerajaan BN tidak telus dan berlakunya pecah amanah dan penyelewangan. Walau bagaimana pun Kerajaan telah bertindak berani menyiasat skandal PKFZ ini dan sekarang siasatan masih lagi dijalankan.


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini menjalankan soal siasat terhadap bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), Datin Paduka O.C. Phang berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hasil soal siasat yang berlangsung kira-kira lima jam di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Bangunan Parlimen di sini, mendapati projek PKFZ diurus dengan sangat lemah ketika kumpulan pengurusannya dipimpin oleh Phang.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid memberitahu, banyak amalan pengurusan projek besar yang sepatutnya ada dalam profesion pengurusan projek dilihat tiada dalam pengurusan projek PKFZ.

''Kami dapati teknik pengurusan projek PKFZ termasuk pengurusan kewangannya tidak baik dan sangat lemah meskipun projek itu dapat disiapkan dalam masa yang cepat iaitu daripada lapan tahun kepada dua tahun.

''Selain itu, wakil-wakil kerajaan yang terlibat dalam pengurusan projek PKFZ tidak mengambil berat tentang projek itu dan hanya bersikap lepas tangan sahaja,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di sini hari ini.

Azmi berkata, antara amalan yang perlu diketahui oleh sesuatu pihak yang hendak menguruskan projek besar adalah unjuran pendapatan, perbelanjaan dan aliran tunai supaya projek berkenaan dapat dipantau.

''Sesuatu projek akan dibangunkan tanpa hala tuju jika tiadanya amalan-amalan tersebut. Unjuran pendapatan dan aliran tunai adalah sangat penting bagi memastikan pihak pengurusan projek dapat membayar balik pinjaman bank,'' jelasnya.

No comments: