Thursday, January 26, 2012

3SEKELUARGA DIBUNUH DI SEMPORNA



TAWAU: Disebabkan dendam, sepasang suami isteri dan seorang warga emas dibunuh kejam oleh sekumpulan 13 lelaki bersenjatakan parang yang menyerbu rumah mereka di ladang kelapa sawit di Kalumpang, Semporna. 

Dalam kejadian ngeri kira-kira jam 5.30 petang Ahad lalu, warga emas hanya dikenali sebagai Jaafar, 70, dan anaknya Ismail, 50, maut dalam keadaan berlumuran darah di dalam rumah, manakala isteri Ismail, Salmiah Iran, 48, ditemui mati di ladang berhampiran rumah mereka beberapa jam kemudian.

Polis yang menjalankan siasatan turut menemui mayat seorang lelaki dikenali sebagai Jul Mohamad Nun, 37, di ladang Kampung Tagasan Jaya, dipercayai ditinggalkan rakan lain selepas cedera parah sebelum meninggal dunia.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, siasatan awal mendapati tiga beranak yang terbunuh itu bekerja di ladang berkenaan dan semua mangsa yang maut mempunyai kesan cedera parah di kepala serta beberapa bahagian badan.

“Pemeriksaan di tempat kejadian juga menemui lima parang panjang dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, semalam.

Mengulas lanjut, Hamza berkata, semua mereka dipercayai pendatang asing tanpa izin (Pati) berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

“Polis menemui mangsa pertama iaitu seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah pada jam 3.40 pagi Isnin lalu sebelum menemui tiga lagi mayat lain.

“Wanita itu disahkan mati akibat kecederaan parah di badan dan siasatan mendapati mangsa cuba menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, polis mendapati mangsa tidak dirogol dan yakin wanita terbabit berada di rumah bersama suami dan bapa mentuanya ketika kejadian serta cuba melarikan diri daripada serangan kumpulan terbabit.

“Polis tidak menolak kemungkinan kejadian ini berpunca daripada dendam sehingga tercetus pergaduhan dan serangan bersenjata.

“Beberapa individu dipercayai terbabit dalam kejadian ini dan polis sedang memburu mereka,” katanya yang turut mengesahkan semua mereka ke rumah mangsa menaiki lori.

Menurut Hamza, polis kemudian menahan seorang lelaki dikenali sebagai Amin Hatai berusia 23 tahun bersama dua yang lain dipercayai mampu membantu menyelesaikan kes berkenaan.

“Siasatan polis mendapati, kejadian ini turut didalangi seorang lelaki berusia 40 tahun yang dikatakan perancang utama.

“Polis akan memburu semua mereka yang terbabit untuk dihadapkan ke muka pengadilan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan,” katanya.



Sunday, January 22, 2012

USNO SAMBUT JUBLI EMAS DI SEMPORNA








Oleh : MEDIA USNO

USNO pimpinan Datu Badaruddin Tun Mustapha akan mengadakan rapat umum pertamanya di Pekan Semporna bertempat di Floating atau Dewan Sulabayan bagi mengingati Jubli Emas 50 tahun USNO.

Pihak penganjur dari Pantai Timur Sabah yang diketuai oleh Naib Presiden Penajanyanya, Abdullah Sani Hj Abdul Salleh memaklumkan pihaknya mendapat respon amat baik dari seluruh warga Sabah dan menyatakan kehadiran mereka sebagai tanda sokongan perlunya parti itu diluluskan segera oleh pihak kerajaan bagi membolehkan mereka menyertai pilihanraya ke 13 Negeri akan datang.

Pihak UBF atau STAR telah menyatakan persetujuan mereka bagi menghadiri Majlis itu serta menghantar rombongan STAR sebagai tanda sokongan kepada perjuangan warga Sabah dalam konsep 'Demokrasi Bebas' atau 'Freedom of Democracy'; melalui idea baru ke arah Sabah lebih mantap dalam Malaysia, UBA atau United Borneo Alliance yang diilhamkan oleh beberapa kumpulan NGO dan Parti-Parti Politik Sabah akan mengambil bahagian untuk menyatakan pendirian mereka mengenai perjuangan USNO mendapatkan Haknya bergerak semula.

Datu Badaruddin Tun Mustapha dijangka akan membuat ceramah penting pada majlis hari itu di samping Datuk Dr.jeffry kititngan dari STAR juga akan mengambil bahagian sebagai penceramah dari kumpulan UBA-STAR bersama pemimpin-pemimpin USNO di pantai timur.

Jesteru itu pihak USNO Pantai timur mengalu-alukan rakyat Sabah, individu serta NGO Negeri ini supaya dapat hadir dalam majlis berkenaan demi Negeri Sabah dan kebebasan Bersuara yang akan diadakan pada;

TARIKH : 29 Januari 2012 (Ahad)

MASA : 1.30 Petang - 6.00 Petang

TEMPAT : Dewan Sulabayan (Floating)

DAERAH : Semporna, Sabah


Semporna dipilih menjadi tempat dan rapat umum pertama Parti itu, kerana kawasan itu adalah di antara kubu kuat parti berkenaan di mana kawasan itu meliputi 4 Parlimen dan 12 Dewan Undangan negeri yang majoritinya dan kumpulan suku Bajausuluk.

SAINTIS BUAT BUAH ZAKAR TIRUAN



Gambar Hiasan..

SAN FRANCISCO: Sekumpulan saintis diberi kebenaran menghasilkan buah zakar tiruan yang menghasilkan sperma, dalam usaha membantu menyelesaikan masalah ketidaksuburan lelaki.


Saintis sebelum ini cuba menghasilkan sel sperma tetapi cuma mampu menyelesaikan tiga per empat daripada proses itu di dalam makmal kerana persekitaran khas dalam buah zakar lelaki diperlukan untuk menjayakan proses itu.

Kumpulan pakar diketuai Dr Paul Turek itu berharap dapat menghasilkan mesin biologi pembuatan sperma yang berbentuk beg silinder dan tidak dilekatkan pada tubuh.

Ia perlu diganti selepas setiap kitaran pengeluaran sperma yang mengambil masa 70 hari dan berbeza dengan alat tiruan, lelaki yang kehilangan buah zakar tidak menghasilkan sperma.

Dr Turek kini menghasilkan prototaip dan menganggarkan ia mengambil masa lima hingga tujuh tahun untuk menyempurnakan kaedah itu.

“Geran yang diperoleh adalah satu penghormatan dan diberi selepas beberapa tahun kami mengkaji idea ini.

“Kami sudah mengumpulkan saintis hebat yang amat komited dengan kejayaan,” katanya.
Bagi menghasilkan buah zakar tiruan itu, penyelidik perlu membangunkan teknik untuk menumbuhkan sel sperma manusia.

Mereka bercadang menggunakan sel tunjang embrio lelaki dengan gen untuk mengemudikan ia menjadi sel reproduktif yang boleh digunakan dalam IVF.

Ketika kajian menunjukkan ada kemungkinan dapat merawat tikus jantan tidak subur dengan menghasilkan sperma menggunakan sel tunjang, kajian ke atas manusia gagal.

Dr Turek berkata, salah satu tujuan utama ialah menghasilkan semula buah zakar tiruan dengan semua komponennya. Bagaimanapun, sebahagian pakar skeptikal dengan kaedah itu.

Pakar sakit puan dan sains reproduktif di Universiti Pittsburgh, Kyle Orwig, berkata: “Ia satu projek yang pastinya sukar tetapi mengagumkan jika berjaya. Ia akan memberi impak besar kepada bidang kesuburan.”

Katanya, tiada siapa pernah mencuba menghasilkan sperma dengan mencipta semula ‘rumah pengeluaran’ sel sperma. Buah zakar bertanggungjawab menghasilkan dan menyimpan sperma. Jika rosak, ia boleh memberi kesan serius kepada kualiti sperma. – Agensi



PENEMPATAN PTD DI KEMENTERIAN PELAJARAN




Baru-baru ini JPA bercadang untuk menempatkan kalangan Pegawai tadbir Diplomatik (PTD) di dalam sistem pengurusan di Kementerian Pelajaran Malaysia. Walaubagaimanapun, cadangan penempatan PTD tersebut telah dibantah keras oleh kalangan guru-guru di Malaysia.

Cadangan Penempatan PTD (Pegawai Tadbir Diplomatik) Dalam Sistem Pengurusan KPM Bertujuan :

mengurangkan bebanan guru
seterusnya guru-guru dapat memberi tumpuan khusus kepada pengajaran dan pembelajaran

Setakat ini, Berita Harian melaporkan setakat ini sejumlah 27 kesatuan dan persatuan guru yang mewakili 430,000 guru di seluruh negara menolak cadangan penempatan PTD dalam sistem pengurusan dan pentadbiran di kementerian itu serta agensi di bawahnya kerana :


hanya guru sahaja yang berupaya melaksanakan tugasan pengurusan dan pentadbiran dengan berkesan dalam bidang pendidikan
Isu Penempatan PTD di KPM : Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Perlu Adakan Pertemuan Dengan Persatuan Guru



BATU PAHAT: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mengadakan pertemuan dengan persatuan guru bagi menyelesaikan isu menempatkan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dalam sistem pengurusan di Kementerian Pelajaran.


Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata JPA perlu mendengar sendiri suara hati guru dalam isu berkenaan supaya kebimbangan serta keresahan mereka dapat diselesaikan.

“Pertemuan segera perlu diadakan supaya tiada pihak rasa teraniaya serta tidak puas hati terhadap cadangan berkenaan. Saya yakin JPA tiada masalah mendengar pandangan guru mengenai isu ini dan apa jua keputusan yang dicapai nanti, paling penting pembelaan guru harus sentiasa diutamakan,” katanya.

Monday, January 2, 2012

Suami Jual Isteri di Karaoke

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang lebih dikenali dengan panggilan Shah Bunga kerana mampu memiliki lebih 21 isteri dijatuhi hukuman penjara 70 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, Negeri Sembilan semalam atas dakwaan memperdagang dan mengeskploitasi salah seorang isterinya sebagai pelayan di sebuah pusat hiburan di Bahau pada awal bulan ini.

Tertuduh, Suhaimi Saad, 32, dari Alor Setar, Kedah dikenakan hukuman tersebut selepas dia mengaku salah terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Hukuman penjara tersebut diperintahkan berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap pada 2 November lalu di hadapan sebuah pusat hiburan di Bahau.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shukri Hussain mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Imigran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun atau denda jika disabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Suhaimi didakwa memperdagangkan serta mengeksploitasi isterinya, Mashmidar Mansor, 19, dengan memaksa mangsa bekerja sebagai pelayan kelab malam sebelum merampas gaji wanita itu sebanyak RM20 sehari sebaik mangsa selesai bekerja.

Mangsa dipaksa bekerja di Kelab Happy Mansion Karaoke 7 Lounge di premis No. 34 Taman Sornam, Bahau, Jempol.

Rentetan tangkapan terhadap tertuduh, polis berjaya menyelamatkan Mashmidar yang hampir tujuh bulan dikurung di sebuah rumah sewa di Bahau di sini sejak April lalu.

Tuesday, December 13, 2011

ORANG MINYAK DITANGKAP DI TAWAU


Seorang lelaki berkelakuan pelik bagai ‘orang minyak’ yang hanya memakai seluar dalam dan bersenjatakan pisau lipat ketika memecah-masuk sebuah rumah di Taman Semarak di sini pada awal pagi kelmarin berjaya ditangkap oleh mangsanya.


Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.50 pagi itu, difahamkan badan lelaki separuh bogel terbabit dilumuri dengan minyak dan berbau busuk, manakala mukanya pula ditutup dengan kain baju.Menurut mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Along, 30, lelaki pelik tersebut cuba melawan ketika hendak ditangkap, malah cuba menikamnya dengan pisau lipat sehingga berlaku pergelutan di antara mereka.



“Hasil bantuan adik kandung dan adik ipar saya, kami berjaya juga menangkapnya dan merampas semula wang RM2,000 dan enam buah telefon bimbit milik ahli keluarga kami yang cuba dilarikan oleh lelaki itu,” katanya.


Along menjelaskan sebelum kehadiran ‘orang minyak’ yang sedang mencuri di rumahnya itu disedari, beliau dan lapan lagi penghuni yang lain sedang tidur namun mujur isterinya terjaga selepas pintu bilik mereka cuba dibuka oleh seseorang.Sebaik dikejutkan oleh isterinya, beliau terus bergegas turun ke tingkat bawah dan mendapati terdapat seorang lelaki yang tidak dikenali dan berkelakuan pelik sedang menyelongkar ruang tamu rumah mereka.


“Selepas itu saya mengejutkan pula dua ahli keluarga saya yang lain untuk menangkapnya, tetapi lelaki tersebut melawan sehingga berlaku pergelutan selama beberapa minit sebelum kami berjaya menangkapnya,” tambahnya.


Beliau berkata susulan daripada penangkapan lelaki pelik berkenaan, mereka terus menghubungi pihak polis yang kemudiannya tiba bagi melakukan tangkapan semula dan mengambil keterangan mereka.Mengulas lanjut, Along berkata lelaki itu dipercayai memecah-masuk melalui jendela dapur rumahnya, dan dalam masa sama beliau akui kejadian itu merupakan insiden kedua yang menimpa mereka kerana sebelum ini rumahnya pernah dipecah-masuk pada November lepas.


Menurutnya lagi, laporan polis berhubung insiden terbabit juga telah dibuat dan pihak polis yang dihubungi oleh pemberita pula mengesahkan mengenai insiden berkenaan dan penangkapan lelaki terbabit.

Monday, December 5, 2011

MUSLI OLI KELUAR UMNO


Oleh : MUSLI OLI


PARTI UMNO adalah parti pertama saya menjadi ahli pada 1994. Sungguhpun saya pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Cawangan USNO Kg Petagas, saya tidak pernah menjadi anggota parti itu secara rasmi.Saya di Edinburgh, Scotland selama 5 tahun dan balik ke Sabah pada September 1994. Ketua UMNO Bahagian Kota Belud pada masa itu ialah Datuk Seri Salleh Said. Dia juga Menteri Kewangan Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah. Sebaik bertemu, dia menjemput saya menyertai UMNO.



Pada masa yang sama, abang kandung saya Jamlidi Hj Oli adalah Ketua Bahagian PBS. Dia dijangka akan menentang Salleh Said di Parlimen Kota Belud atau DUN Usukan jika PRU diadakan kerana PBS adalah parti pembangkang ketika itu.PBS pimpinan Tan Sri Pairin hanya kembali kepangkuan BN pada tahun 2001 setelah tewas pada PR negeri tahun 1999.Walaupun abang saya seorang pemimpin kanan PBS, saya memilih UMNO kerana saya kenal UMNO. Saya pernah belajar dan mengajar mata pelajaran sejarah.



Saya tahu siapa Onn Jaafar, Tunku Rahman, Tun Razak, Tun Hussien. Saya tahu sejarah Malayan Union.Saya yakin berdasarkan sejarah perjuangannya UMNO adalah parti terbaik kepada saya dan rakyat Sabah!Saya juga yakin parti UMNO boleh meneruskan agenda yang diperjuangkan rakyat Sabah melalui PBS tanpa perlu berkonfrantasi dengan kerajaan Pusat. Perjuangan memulihkan Perkara 20, Borneonisasi, otonomi, masalah PTI dan banyak lagi isu negeri, pada hemat saya rasa lebih mudah ditangani jika parti UMNO yang menerajuinya kerana hubungan yang rapat kepimpinan UMNO negeri dengan pimpinan tertinggi negara.



Begitulah tingginya harapan saya kepada UMNO!Selepas berlalu PRU 1995, 1999, 2004, 2008 dan selepas 9 orang KM Sabah bertukar ganti sejak UMNO masuk ke Sabah. Bermula dengan Tun Sakaran Dandai, Datuk Salleh Said Keruak, Datuk Yong Teck Lee, Tan Sri Dompok, Datuk Osu Sukam, Tan Sri Chong Kah Kiat dan Datuk Musa Aman. Isu seperti royalti, perkara 20, PTI dan Borneonisasi masih tidak mendapat perhatian yang serius.Kepimpinan UMNO Sabah dan Pusat terus mendendangkan lagu pembangunan.



Manakala rakyat Sabah terus bergelumang dengan pelbagai masalah ekonomi dan sosial. Kadar kemiskinan masih di tahap yang tinggi. Kadar pengangguran terus berada di puncak statistik negara.Jika ada 100 belia dari Sabah yang berkelayakan mencari pekerjaan ke tanah Semenanjung, dimana kah mereka bekerja? Peluang hanya mampu dapat kerja sebagai GRO, tukang urut di Bukit Bintang atau kerja Kilang di Sungai Way.



Sebaliknya jika ada 100 belia dari negeri-negeri dari Semenanjung ke Sabah, mereka akan menjadi ketua-ketua jabatan persekutuan, pegawai kanan dan kontraktor Petronas.UMNO adalah parti yang terbaik kepada orang Melayu di Tanah Melayu!!Saya sedih keluar dari parti yang terus mengungguli perjuangan membela agama, bangsa dan negara seperti UMNO. Saya amat menghormati prinsip UMNO untuk membela umat Melayu. Tapi untuk UMNO membela dan memperjuangkan hak-hak orang Bajau, Kadazandusun, Murut, Ubian, Brunei, Orang Sungai, Kadayan, Bisaya, Tatana, dan rakyat pribumi Sabah yang lain barangkali belum sampai masanya!