Tuesday, August 31, 2010

KEMERDEKAAN YANG MERDEKA


Kemerdekaankah kalau pemimpin masih lagi bertelagah..?
kemerdekaankah kalau umat masih terpinga-pinga..?
kemerdekaankah kalau rakyat masih tidak terbela..?
kemerdekaankah kalau kita dimamah anai dusta..?


apakah ertinya merdeka bagi seorang hamba..?
bukankah bebas dari belenggu manusia raja.
apakah maknanya merdeka bagi seorang rakyat biasa..?
bukankah peritnya dirasa bersama.
apakah kaitannya merdeka kepada seorang ketua...?
bukankah jayanya mencabar kuasa.
apakah dekatnya merdeka pada seorang tua...?
barangkali bila anak-anaknya hidup berhemah.
lalu...


apa pula dengkinya merdeka kepada negara...?
bila petualang mencemar nusa..
kepada agama merdekanya bila...?
tentu seorang hamba bebas dari neraka..


Jika yang demikian...apa guna merdeka..?
kerana saban waktu dan masa..kita menonton dosa..
lihat mereka..mula berarak membawa sang kepala..
lihat mereka meruntun fatwa syurga neraka
lihat pengkhianat dikata fitnah..
lihat sebat jadi politik angkara..
lihat mereka mengendong kata bersarat dusta
lihat mereka enggan akur pada yang berkuasa
lihatlah..dan lihatlah untuk kesekiannya..



Kemerdekaankah itu ..kalau rakyat tunduk membisu..
Merdekakah lagi kalau pemimpin tunduk membatu
atau merdekakah kita kalau saban tahun melaungkan merdeka! merdeka!


31.Ogos.2010

Thursday, July 15, 2010

IMAM MUDA : SAMBUTAN NEGARA LUAR


Program pencarian Imam Muda terbitan Astro Oasis yang diilhamkan dari rancangan sensasi Akademi fantasia , memulakan pencarian calon Imam Muda beberapa bulan yang lepas. Calon yang terpilih akan mendapat anugerah biasiswa melanjutkan pelajaran ke Universiti Madinah, selain berpeluang menjadi Imam Muda di salah sebiah masjid di wilayah Persekutuan.Program ini dikatakan mendapat liputan meluas dari media Jerman dan Swiss.


FRANKFURT: Media di Jerman dan Switzerland melaporkan secara meluas mengenai program realiti televisyen Malaysia, "Imam Muda".


Pada masa di kebanyakan negara di barat, program bakat televisyen dianjurkan bagi memilih bintang, Malaysia memilih "bintang imam" berikutnya menerusi program pencarian bakat, seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar di Jerman dan Switzerland.

Butiran mengenai program "Imam Muda" dilaporkan dengan meluas oleh akhbar harian -- daripada Tagesspiegel, Merkur Online menerusi n-tv.de, Bild.de, Sueddeutsche Zeitungsehinggalah kepada akhbar harian Switzerland, Tagesanzeiger - membuatkan pembaca begitu asyik, seperti yang digambarkan oleh pembaca dalam komen mereka terhadap laporan berita itu.

Menerusi program "Imam Muda", kira-kira lapan anak muda muncul di televisyen di Malaysia pada waktu perdana, lengkap berbaju Melayu dan bersongkok.


Tagesanzeiger, misalnya menyifatkan calon berkenaan sebagai "superstar" di televisyen Malaysia dan melaporkan bahawa mereka nampaknya telah menjadi pujaan hati ramai wanita muda.

Berbeza dengan program realiti yang lain, apabila peserta lazimnya menyanyi atau menari, calon dalam program "Imam Muda" memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran, mengikuti latihan menguruskan jenazah untuk dikebumikan, dan berikrar untuk melindungi golongan muda Malaysia daripada seks serta dadah.

Program pencarian bakat yang disiarkan setiap minggu itu diketuai oleh seorang ulama terkemuka, Hasan Mahmud.

Beliau mewujudkan sekumpulan imam muda yang dapat dijadikan contoh dan menggunakan bantuan mereka untuk memerangi gejala "keruntuhan sosial dan moral."

Calon terbabit, berusia antara 18 dan 27 tahun, dipilih berdasarkan kriteria personaliti dan pengetahuan agama mereka. Seperti juga dalam "American Idol" dan program bakat yang lain, calon disingkirkan setiap minggu apabila mereka gagal melayakkan diri.

Banyak penonton dan pembaca yang terkejut apabila mendapati sepanjang tempoh program itu, calon-calon diasingkan dan ditempatkan dalam ruang tidur sebuah masjid - tanpa telefon bimbit, Internet, televisyen dan peralatan moden lain - supaya mereka dapat "berfikir sendiri dan tidak perlu bergantung harap kepada bantuan atau galakan dari luar."

Pemenang pertandingan itu berpeluang menunaikan fardu haji di Mekah, bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran di universiti di Madinah, dan bekerja di masjid," kata pengulas dalam akhbar harian Tagesspiegel yang diterbitkan dari Berlin.

Akhbar Jerman itu menegaskan bahawa semua peserta yang mengambil bahagian pastinya "dikagumi oleh peminat remaja dan bakal ibu mertua."

"Bagi umat Islam, menantu yang ideal adalah bakal imam kerana mereka berpendidikan dan mempunyai pengetahuan mendalam tentang Islam," akhbar itu memetik Iselan Bazar daripada rangkaian Astro Oasis yang menyiarkan rancangan pencarian bakat agama itu. -BERNAMA

Monday, June 28, 2010

JAMBATAN BUM-BUM AKAN DIBINA


Ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Senporna, kemarin, datuk Shafie Apdal telah menyatakan bahawa kerajaan sudah bersedia untuk meneruskan pembinaan jambatan BUM- BUM yang menghubungkan pulau Bum-Bum dengan tanah besar Semporna. Sebelum ini, Projek Jambatan itu telah beberapa kali ditangguhkan oleh kerajaan kerana atas faktor krisis ekonomi global.

Sambil menyifatkan bahawa dengan pembinaan Jambatan itu pada RMK-10 akan memberikan lonjakan ekonomi kepada penduduk setempat terutama dalam perusahaan menternak agar-agar laut selain daripada menjadikan pulau Bum-Bum dan pulau sekitarnya sebagai destinasi pelancongan di daerah Semporna.

Sebelum itu, penangguhan perojhek pembinaan Jambatan ini telah mendapat kecaman daripada penduduk setempat sambil menyifatkan bahawa Datuk shafie telah gagal merealisasikannya walaupun telah menjawat beberapa jawatan penting dalam kerajaan dan parti. Keluhan masyarakat setempat itu, akhirnya berakhir apabila Datuk shafie mengumumkan kemarin bahawa projek itu akan dilaksanakan serta merta.

Friday, June 18, 2010

APA STATUS TIAN CHUA?


KUALA LUMPUR: Status Tian Chua kini menjadi persoalan, sama ada beliau kekal sebagai ahli parlimen Batu, apabila Mahkamah Tinggi di sini Jumaat lalu, mengurangkan denda dari RM3,000 dan penjara enam bulan kepada denda RM2,000 kerana kesalahan menggigit seorang anggota polis tiga tahun lalu.

Keputusan hakim Ghazali Cha itu menimbulkan kekeliruan di kalangan pakar perundangan di mana ada yang mengatakan beliau gugur sebagai ahli parlimen dan ada yang kata tidak.

Ahli Parlimen dan juga peguam Lim Lip Eng memberitahu Free Malaysia Today semalam bahawa tidak perlu kepada pakar perundangan untuk mentafsir Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 48 menyebut mana-mana ahli-ahli parlimen yang didapati melakukan kesalahan jenayah dan dijatuhi hukuman penjara lebih dari setahun dan didenda RM2,000 maka lucut jawatannya sebagai ahli parlimen.

"Anda tidak perlu menjadi seorang peguam untuk menafsir artikel ini. Berkemungkinan pilihan raya kecil parlimen bakal di adakan," kata pemimpin DAP itu.

Perlu penjelasan lanjut daripada hakim

Para peguam Tian Chua kini dalam proses mendapatkan penjelasan daripada hakim berhubung penghakimannya, di mana beliau mengurangkan denda RM3,000 bagi mengelak pilihan raya kecil di adakan.

Amer Hamzah, salah seorang peguam Tian Chua berkata, "kami sekarang ini sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada hakim tersebut. Kami harap mendapat penjelasan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Lim berkata memandangkan hakim telah memberi gambaran bahawa beliau tetap dengan keputusannya maka Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) boleh memutuskan sama ada kerusi Batu menjadi kosong.

Beliau berkata, "keadaan sebegini menunjukkan sama ada hakim membuat kesalahan atau beliau mahu Tian Chua memilih di antara penjara atau membayar denda. Tian Chua memilih untuk membayar denda dan beliau telah pun membayarnya. Ini tidak boleh ditarik balik.

"Memandangkan hakim telah membuat penghakiman maka beliau tidak boleh mengkaji semula. Jadi sekarang ini terpulang kepada SPR untuk membuat keputusan," katanya.

Ahli Parlimen Puchong dan juga seorang peguam Gobind Singh Deo juga berkata, pilihan raya kecil tidak dapat dielak apabila Tian Chua didenda sebanyak RM2,000.

Bapanya, juga seorang peguam dan Pengerusi DAP Karpal Singh bersetuju dengan penafsiran itu dan Tian Chua telah terbatal dari jawatannya dari sudut perlembagaan.

Beliau merujuk kepada kes Ahli Parlimen DAP Fan Yew Teng pada tahun 1975 di mana Speaker Dewan Rakyat telah mengisytiharkan kerusi parlimen Menglembu kosong selepas Fan di dapati bersalah di bawah Akta Hasutan dan didenda RM2,000.

Bagaimanapun, pakar undang-undang perlembagaan Profesor Emeritus Datuk Dr Shah Faruqi dari Universiti Teknologi Mara mempunyai pandangan yang berbeza tentang perkara ini.

Pada tahun 1993, penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan yang menafsir "tidak kurang dari lima tahun" bermaksud lebih dari lima tahun. Jika dikaitkan dengan kes Tian Chua bermaksud denda RM2,000 itu tidak memberi kesan kepada statusnya.

Amer, bersama seorang lagi peguam Tian Chua, Ranjit Singh berhujah dengan penghakiman ini dan mereka diberitahu bahawa hakim akan menemui parti-parti yang terbabit jam 8.30 pagi Isnin ini.

PKR bersedia hadapi pilihan raya kecil

Sementara itu, Pengarah Pilihanraya PKR Fuziah Salleh ketika dihubungi berkata parti bersedia menghadapi pilihan raya kecil jika SPR memutuskan demikian.

"Kami sentiasa bersedia," katanya, tetapi berharap mahkamah boleh mengkaji semula keputusannnya kerana pilihan raya kecil akan menelan wang para pembayar cukai yang banyak.

Parti-parti dari komponen Pakatan Rakyat telah mencatat kejayaan dalam lapan dari 11 pilihan raya kecil sejak dua tahun lalu, dengan yang terbaru, DAP memenangi kerusi parlimen Sibu, Sarawak Mei lalu.

Kawasan parlimen Batu mengandungi para pengundi yang bercampur, di mana Melayu 44%, Cina 20% dan India 18%. Pada pilihan raya umum yang lalu, Tian Chua menewaskan Lim Si Pin dari Gerakan dengan marojiti besar 9,455 undi.

Sunday, June 6, 2010

ICT CONSULT CENTRE MENAWARKAN PAKEJ LUMAYAN






Kedai ICT Consult Centre yang mula beroperasi di bangunan Alapbana Kota Belud menawarkan pelbagai pakej lumayan kepada para pelajar sekolah dan masyarakat kota Belud yang berkeinginan untuk memperdalamkan pengetahuan dalam bidang ICT dan kemudahan internet. Beroperasi seawal jam 7.00 pagi sehingga jam 10.30 malam. Menawarkan pelbagai pakej seperti tuisyen UPSR, pembelajaran ICT, kemudahan internet, perunding cara serta pakar komunikasi. Caj yang dikenakan berpatutan dan boleh dirunding. Dikendalikan oleh pakar ICT Kota Belud, dan diterajui oleh dua orang lepasa graduan USM dan UMS. Jangan lepaskan peluang ini!!!!..

Thursday, May 27, 2010

JETI PENDARATAN NELAYAN SEMPORNA BAKAL DIROBOHKAN


PERSATUAN Nelayan Semporna (PNK) yang ditubuhkan yang pada 1992 dan menjadi PNK terulung dan Pertama ditubuhkan di Negeri Sabah melalui agensi LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) yang dipimpin oleh Pengerusinya, Salleh Hj. Abdul Salleh sejak 17 tahun dulu kini di ambang dilema apabila Jeti Pusat Pemunggahan Ikannya akan diroboh.



Beberapa minggu yang lalu, PNK Semporna menghadapi masalah pemunggahan ikan mereka apabila sebuah syarikat swasta yang mendakwa bahawa mereka adalah pemilik kawasan berkenaan telah mengarahkan PNK Semporna untuk merobohkan Pusat Pemunggahan Ikan yang berada di Jalan Kastam, Semporna.



Salleh Hj. Abdul Salleh yang telah mempertahankan jawatannya bagi kali ke 17 dalam satu pemilihan Mesyuarat Agung tahunan PNK Semporna 2010, memaklumkan terdapat 80 hingga 100 buah kapal Nelayan yang berlabuh di jeti berkenaan terjejas masa depan mereka di masa akan datang.



PNK Semporna yang mempunyai keahlian melebihi 1,500 orang Ahli menghadapi masalah jeti yang bakal dirobohkan.

Dalam satu perjumpaan dengan seorang aktivis politik di daerah ini, beliau memaklumkan bahawa pihaknya amat terkilan dan tertanya-tanya mengenai kedudukan Jeti Nelayan yang mereka sewa daripada sebuah Agensi Kerajaan iaitu SAFMA.



Menurut Salleh, pada 2006, PNK dan SAFMA telah bersetuju mematerai perjanjian sewa pajak secara rasmi dan masih berkuat kuasa hingga hari ini, namun diarahkan untuk menghentikan aktiviti pemunggahan ikan mereka dengan serta-merta dan merobohkan semua bangunan persatuan yang terdapat di sana melalui notis yang diserahkan kepada mereka oleh peguam syarikat berkenaan yang mereka panggil sebagai ‘Notis 1 Minit’ untuk Nelayan.




“Kami amat terkilan dengan tindakan ini, seolah-olah ada konspirasi untuk mengambil alih kawasan jeti Nelayan PNK Semporna yang telah disewa dari pihak kerajaan telah menjadi milik orang tertentu yang mungkin diperolehi melalui jalan songsang,” ujar Salleh dengan nada kesal sambil menggesa siasatan rapi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana meyakini berlaku salahguna kuasa dan rasuah.



Beliau juga amat terkilan dengan Wakil Rakyat dari kawasan berkenaan iaitu ADUN Senallang sendiri Datuk Nasir Tun Sakaran yang melawat Jeti ini beberapa minggu yang lalu serta menasihatkan para Nelayan supaya menjaga kebersihan di kawasan berkenaan.



“Ketika itu, para nelayan menganggap lawatan Nasir sebagai satu rahmat kerana mereka tidak pernah dikunjungi oleh wakil rakyat mereka sejak 17 tahun lalu, tetapi malangnya Nasir meninggalkan malapetaka kepada kami,” tegas Salleh yang mendakwa tindakan merampas kawasan tersebut dilakukan oleh proksi Nasir sendiri iaitu pemilik Hotel Seafest yang berhadapan dengan jeti Nelayan berkenaan.



Jesteru itu Salleh meminta supaya kerajaan Negeri mempertimbangkan masalah Nelayan di daerah ini dapat diselesaikan secara adil dan saksama tanpa perlu pihaknya mengheret Nasir dan ‘penceroboh’ berkenaan ke Mahkamah.



“Walaupun tanpa perjanjian dengan SAFMA kehadiran kami adalah sah kerana ianya menjadi ‘Hak Adat’ yang wujud sejak ratusan tahun lalu kerana kawasan ini menjadi jeti pendaratan nelayan sejak zaman berzaman dan tidak ada pihak yang mempunyai kuasa mutlak terhadap tempat ini melainkan para nelayan yang bernaung di bawah PNK Semporna,” tegas Salleh yang agak kesal kerana kesemua Wakil Rakyat Semporna layak digelar ‘Lanun Darat’ disebabkan sikap mereka yang merampas ‘tanah adat’ (customary right) para nelayan tempatan.



Walaupun sudah hampir 47 tahun merdeka, nelayan di Semporna tidak mempunyai Jeti mereka sendiri sedangkan di Zaman British, para nelayan telah diberi begitu banyak keistimewaan yang kini dirampas oleh pemimpin BN Sabah menyebabkan fungsi apa juga agensi yang kononnya ditubuhkan untuk menjaga kepentingan nelayan menjadi ‘lanun’ yang merompak hak dan hasil para nelayan.



Sehubungan itu, Salleh meminta Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Haji Aman supaya dapat mengatasi masalah ini secara saksama bagi mengatasi masalah nelayan dan PNK Semporna yang menghadapi masalah jeti pemunggahan Ikan sejak sekian lama.



“Saya yakin dan percaya selaku Ketua Menteri Sabah yang berwawasan jauh dan mempunyai kewibawaan dalam kepimipinan Negeri, Datuk Musa boleh menyelesaikan masalah rakyat khasnya, masalah Nelayan di kawasan Parlimen Semporna secara bijak, adil dan saksama,” kata Salleh yang kesal kerana Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak melakukan untuk mengubah nasib para nelayan yang tidak ubah seperti ‘belut kehilangan lubuk.’



Salleh merayu ehsan Musa supaya para Nelayan tempatan dapat diberikan kawasan jeti yang kekal pada masa akan datang oleh pihak kerajaan Negeri Sabah bagi menjamin masa hadapan para nelayan negeri ini akan terus terjamin dan diselamatkan daripada menjadi mangsa kerakusan pemimpin tempatan yang gemar melupuskan hak para nelayan kepada proksi dan kroni mereka.



Bagi kawasan PNK Semporna yang menghadapi perobohan Jeti, Salleh memohon supaya kerajaan Negeri dapat meluluskan satu kawasan sesuai untuk mereka, jika perlu di kawasan tanah rizab negeri, tanah Negeri atau tanah-tanah yang telah dimiliki oleh Agensi Kerajaan Negeri boleh diberikan kepada mereka secara sewa pajak kekal atau penganugerahan tanah secara jangka panjang.



“Saya bercadang untuk mengemukakan usul ini pada mesyuarat PNK Negeri yang akan datang kerana sebanyak 14 buah Persatuan Nelayan PNK Sabah yang telah wujud setakat ini di Negeri Sabah dan kami menerima nasib yang amat malang” kata Salleh yang menyifatkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan SAFMA gagal membantu disebabkan kekangan birokrasi; apatah lagi tersepit di celah kepentingan dan survival politik Shafie dan Nasir.



Salleh bercadang untuk menemui Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Haji Aman bersama wakil PNK seluruh Sabah untuk mendapatkan pembelaan dari Kerajaan Negeri Sabah.

Kata Salleh, para Nelayan tempatan khasnya PNK Semporna berjanji akan berdiri teguh dan terus menyokong kepimpinan dan Kerajaan Negeri Sabah di bawah Pimpinan Datuk Musa Bin Haji Aman sebagai Ketua Menteri Sabah yang mereka anggap dan percaya boleh menyelesaikan masalah rakyat negeri ini.



( DARI SABAHKINI.NET)