Sunday, September 29, 2013

GAMBAR HIASAN TAMAN

Diharap perkongsian ini juga boleh membantu kalian untuk mendapat ilham mengindahkan lagi landskap di kediaman anda. Walau apa pon tema yang ingin ditampilkan di bahagian dalaman rumah, rasanya konsep tropika juga yang pasti menjadi pilihan bagi bahagian luar kediaman masing-masing.





















































































HIASAN TAMAN DI LUAR RUMAH



Kalau anda memiliki taman di rumah atau pejabat, sudah pasti anda mementingkan imej dan hiasan taman. Cuba anda perhatikan gambar-gambar di bawah ini, mungkin ia bole memberikan anda idea untuk menghias taman di rumah anda!









































sumber: yurock.net

Saturday, September 28, 2013

HIASI RUANG TAMU RUMAH ANDA

Kebanyakan dari kita hanya mempunyai ruang tamu yang terhad tapi inginkan dekorasi yang menarik serta ruang yang tampak luas. Itulah matlamat utama kita. Untuk itu beberapa perkara harus anda pertimbangkan dalam mendekorasikan ruang tamu anda. Ada juga yang inginkan ruang tamu yang bertema seperti english, tradisional, bali,oriental, japanese, timur tengah dan sebagainya. Terpulanglah kepada anda namun apa yang akan saya berikan ini adalah perkara asas yang di perlukan dalam mendekorasikan ruang tamu.


1. Keluasan dan Lakaran
Dapatkan keluasan sebenar ruang yang anda ada. Ianya penting untuk bentuk, jenis dan jumlah perabot yang anda inginkan. Buat lakaran anggaran perabot yang anda inginkan dan susunkan dalam keadaan yang anda rasa anda inginkan. Dari sini anda akan dapati berapa banyak ruang kosong yang anda ada. Anda juga dapat lihat jumlah perabot tersebut bersesuaian atau tidak bergantung kepada keluasan ruang kosong yang anda inginkan. Jangan lupa letakkan juga anggaran saiz perabot tersebut agar mudah untuk memilihnya nanti.





Pilihlah bentuk dan susunan perabot megikut kehendak anda. Tapi ingat!... motif utama anda mahukan ruang yang luas...Maka jangan terlalu penuhkan ruang tamu anda dengan perabot. Pilih apa yang perlu sahaja. Bagi ruang tamu yang terhad dan sederhana luas...Susunan perabot dan peralatan lebih elok dirapatkan kedinding agar ruang dapat digunakan semaksimum mungkin untuk lebih banyak ruang kosong.






2. Siling, Lantai dan Keperluan Asas
Setelah lakaran asas susunan perabot dilakar, barulah pengubah suaian ruang tamu dapat dilakukan. Perkara pertama adalah siling. Jika anda ingin membuat plaster siling, pilihan rekabentuk siling janganlah terlalu berserabut melainkan ianya mengikut tema anda. Pastikan kedudukan keperluan asas seperti lampu, kipas atau penghawa dingin ditempat yang sesuai dan ianya mesti selari dengan susunan perabot dan peralatan. Jika ianya salah di peringkat ini...amat sukar untuk anda memperbetulkannya.


Pencahayaan sempurna penting kerana ianya dapat memberikan suasana yang cerah kepada ruang lalu memberi impak keluasan. Cahaya sebaiknya tidak menyilaukan tapi memberi kecerahan yang secukupnya. Namun perlu juga diingat tidak semestinya juga lampu harus berada di siling.


Lantai jika menggunakan tile, pastikan ianya berwarna cerah. Namun jika anda seorang yang sukakan kelainan, tidak salah jika ingin mencuba. Tapi harus diingat...sekali tersilap, tiada pembetulan dapat dilakukan dengan mudah. Jika menggunakan tikar getah, pemilihan corak dan warna adalah amat penting. Lakukan suai padan terlebih dahulu.







3. Warna Dinding
Warna memainkan peranan penting dalam dekorasi ruang tamu. Pastinya pandangan pertama yang terpandang adalah warna dinding. Untuk ruang yang terhad, warna dinding teramat penting. Untuk selamat...warna putih atau warna yang cerah dan lembut amat sesuai dalam memberi suasana ruang tampak luas.


Namun jangan terlalu terkongkong dengan warna tersebut, anda boleh juga mencuba dengan kombinasi warna yang bersesuaian. Padanan warna anda boleh dapatkan dari kedai cat. Jangan takut pula untuk mencuba sesuatu yang lebih kreatif dan berbeza. Banyakkan mencuba kombinasi warna sebelum membuat pilihan.


Pilihan terkini, dinding rumah anda juga boleh ditampal dengan wall paper. Sekarang pelbagai rupa ada, bukan sekadar corak malah gambar juga boleh di buat wall paper. Namun berhati-hati, pemilihan yang salah akan memberi ruang tampak berserabut dan sempit.


Satu perkara biasa yang menjadi kebiasaan ramai adalah mewujudkan satu dinding tumpu yang biasanya berwarna kontras dan berbeza. Ia juga salah satu kaedah memperluaskan ruang kerana memberi impak perspektif dimensi kepada ruang tamu.







4. Pemilihan Perabot dan Peralatan
Ini sangat penting bagi sebuah ruang tamu yang mempunyai keluasan yang terhad. Dari lakaran tadi anda telah dapati bagaimana ruang tamu anda dipenuhi dengan perabot. Pemilihan perabot yang bersesuaian saiz dan keperluan adalah penting. Anda perlulah rajin pergi menjelajah ke kedai-kedai perabot untuk melihat sendiri bentuk dan saiz kerana jika tersalah pilih ianya amat merugikan.


Warna perabot juga penting....ianya perlulah serasi dengan warna dinding. Kepelbagaian warna dan corak haruslah berpadanan. Tapi jangan pula terlalu terperangkap dengan warna. Untuk sebuah ruang tamu moden...warna-warna garang lebih menjadi pilihan. Suai padan warna sebelum memilih.


Selain dari itu pemilihan jenis perabot juga perlu dititik beratkan. Tapi ianya terpulang kepada kehendak, kelasakan dan jangka hayat penggunaan serta kemampuan anda. Peralatan juga haruslah minimal. Asas peralatan bagi ruang tamu seperti tv, audio sistem, dan rak sudah memadai.








5. Perhiasan
Langsir memainkan peranan utama. Jangan salah memilih warna langsir kerana impaknya akan mencacatkan keseluruhan ruang. Lakukan tambahan perhiasan yang minima seperti pasu, bunga, ukiran dan sebagainya. Gambar didinding juga mampu menyerlahkan ruang tamu anda. Lampu hiasan di siling juga mampu memberi impak yang besar pada keseluruhan ruang tamu anda


Untuk impak keluasan, anda di sarankan menggunakan cermin yang besar. Pembalikan imej ruang di cermin memberi impak menampakkan seakan ruang yang luas.







6. Lain-lain
Apa yang lain-lainnya? Ini adalah sekadar peringatan. Jika anda suka mengubah kedudukan susunan perabot, anda di sarankan tidak menggunakan perabot yang terlekat di dinding dan terlalu berat. Begitu juga susunan lampu atau kipas, pastikan ianya di kedudukan yang seimbang di siling maka ianya tidak janggal apabila tidak selari dengan susunan perabot.


Untuk mengurangkan penggunaan perabot, anda boleh tiru ruang tamu gaya orang jepun. Hanya bersila di depan meja tanpa kerusi. Perlu juga anda ketahui, bukan hanya tema moden dan ringkas sahaja dapat memberi impak keluasan dalam mendekorasikan ruang tamu anda. Warna juga tidak semestinya perlu berbeza dengan peralatan dan perabot.







Ini adalah sekadar tips dan panduan dari apa yang saya praktikkan sebelum saya berpindah rumah 3 tahun dahulu. Ianya berguna kepada saya dan semoga ianya dapat memberi sedikit panduan buat anda.


Tiada yang salah sebenarnya dalam kreativiti mendekorasikan ruang tamu anda. Ikutlah selera, kehendak dan kepuasan anda kerana andalah yang akan tinggal dan duduk di situ. Tetamu yang datang hanya seketika tapi kepuasan akan terserlah jika tetamu yang datang menghambur pujian.


KELEBIHAN ORANG YANG BERILMU

Oleh Amran Zakaria

ISLAM menjadikan ilmu pengetahuan penggerak utama mencapai maksud merubah kehidupan ke arah lebih baik. Ilmu diangkat ke tahap paling tinggi kerana tanpa ilmu pengetahuan, segala kegiatan akan menemui kegagalan dan tidak sampai kepada matlamat sebenar, iaitu mencari keredaan Allah.

Menurut Islam, ilmu pengetahuan adalah ukur tara yang jelas bagi membezakan antara seseorang dengan yang lain. Ini dijelaskan melalui firman Allah bermaksud: �Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui.� (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Selain itu, ilmu pengetahuan juga alat bagi mencapai tahap keimanan sempurna dan pengukur ketakwaan seseorang kepada penciptanya. Ilmu dan iman tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling berhubungan dan saling mempengaruhi.



Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketakwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit.

Allah meletakkan orang beriman dan berilmu ke tahap paling tinggi, seperti ditegaskan Allah dalam firmannya bermaksud: �Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.� (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah bermaksud: �Katakanlah adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana.� (Surah al-Zumar, ayat 9)

Daripada Ka�ab bin Malik, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: �Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.� (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Ilmu agama atau ilmu yang ada dalam al-Quran dan sunnah akan menjadi benteng mencegah seseorang daripada melakukan perkara dilarang syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau mengejar kebendaan duniawi.

Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti kejuruteraan, kedoktoran, pertanian dan sebagainya dapat membantu kesejahteraan hidup manusia di dunia. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan Islam memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu.

Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud: �Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.� (Hadis riwayat Ibn 'Adiyy, Al-Bayhaqi dan Al-Tabarani)

Kedudukan serta martabat orang berilmu diangkat dan diletakkan di tempat yang tinggi. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat.

Firman Allah bermaksud: �Allah mengangkat beberapa darjat orang yang beriman dan orang yang diberi ilmu pengetahuan.� (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, memberi kekuatan ketika dalam kesusahan dan berhadapan dengan musuh. Dengan ilmu, manusia dapat menjalankan ibadah secara sempurna serta melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

Di Malaysia, sumber ilmu melalui penghasilan buku sangat sedikit. Hasil kajian profil membaca Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 1996 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun, berbanding 180,000 judul di China, 116,000 judul di United Kingdom, 60,000 judul di Amerika Syarikat dan 45,000 judul di India.

Daripada 10,310 judul buku berdaftar setahun yang dihasilkan perangkaan PNM itu, hanya 1,273 atau 32 peratus saja buku ilmiah dikategorikan boleh meningkatkan minda, inovasi dan keilmuan kepada pembaca. Yang lain adalah bahan bacaan santai di samping buku teks akademik dan kanak-kanak.

Rasulullah SAW mengajarkan sahabat untuk selalu berlindung daripada sifat malas. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: �Siapa merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.� (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, ilmu yang ada pada kita amat sedikit. Alangkah sayangnya jika ilmu yang sedikit dikurniakan Allah gagal untuk dimanfaatkan bagi tujuan agama dan ummah. Allah berfirman bermaksud: �Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.� (Surah Al-Kahfi, ayat 109)

Justeru, kajian yang dibuat adalah bertujuan untuk mencari ilmu, bukan untuk bersaing dengan ilmuwan yang ada, bukan berbahas demi memperoleh kemenangan dan bukan untuk menjadi masyhur. Ia ditulis hanyalah untuk mencari keredaan Allah semata-mata.

Satu peringatan keras daripada Rasulullah SAW, dilaporkan daripada Abu Hurairah, sabda Baginda SAW bermaksud: �Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari reda Allah, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat.� (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Niat menuntut ilmu juga penting kerana jika tujuan mendalami sesuatu bidang tidak bagi mencapai keredaan Allah, maka rugi di dunia apatah lagi di akhirat.

Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata: �Ilmu diiringi dengan perbuatan. Barang siapa berilmu maka dia harus berbuat. Ilmu memanggil perbuatan. Jika dia menjawabnya, maka ilmu tetap bersamanya, namun jika tidak maka ilmu pergi darinya.�

Seharusnya ketika ini kita sudah bersedia untuk memecahkan gumpalan pemikiran lama yang menjadikan tesis dan bahan kajian sekadar menjadi simbol kebanggaan yang langsung tidak dimanfaatkan.

Alangkah baiknya jika semua analisis dan kajian dibuat dapat diterjemahkan untuk tujuan pelaksanaan demi kepentingan dan pembangunan ummah. Tidak bolehkah kajian itu diwakafkan demi kepentingan tamadun ummah.

Memecahkan gumpalan pemikiran yang sudah berabad itu memang tidak mudah. Tetapi itulah agenda besar yang harus dilaksanakan jika ingin mengembalikan dinamik Islam ke arah berdaya saing.

Sudah lama kita dilihat lemah dan tidak berkeupayaan untuk membuktikan Islam adalah pelopor serta menjadi paksi kemajuan dunia. Ingatlah, buku adalah gudangnya ilmu dan membaca itu adalah kuncinya.

Diriwayatkan, Rasulullah SAW ada memberitahu kepada Abu Dzar: �Wahai Abu Dzar, kamu pergi mengajarkan ayat dari Kitabullah lebih baik bagimu dari solat seratus rakaat. Dan, pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan, dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik dari solat seribu rakaat.� ( Hadis riwayat Ibnu Majah)

Thursday, July 18, 2013

KEAJAIBAN AIR ZAM-ZAM



Tidak ramai yang tahu bagaimana telaga zam-zam boleh mengeluarkan puluhan juta liter pada musim haji dan ia tidak pernah kering walaupun sekali. Seorang pengkaji diperintahkan oleh raja Faisal untuk menyelidik telaga zam-zam bagi menjawab tuduhan liar seorang doktor dari Mesir. Berapa banyak air zam-zam yang di ambil setiap kali musim haji? Mari kita kira secara rambang, Jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia pada setiap musim haji dewasa ini berjumlah lebih kurang dua juta orang.



Semua jemaah diberi 5 liter air zam-zam ketika pulang ke tanah airnya, jika 2 juta orang membawa pulang masing-masing 5 liter air zam-zam ke negaranya, ini sahaja sudah menjadi 10 juta liter.
Disamping itu sepanjang berada di Mekah dan kebanyakannya jemaah tinggal 25 hari dan setiap orang menghabiskan 1 liter sehari maka jumlahnya sudah 50 juta liter.
Keanehan Air Zam-Zam

Pada tahun 1971, seorang doktor dari Mesir mengatakan kepada akhbar di Eropah bahawa air zam-zam tidak sihat untuk diminum.
Pendapatnya berdasarkan bahawa kota Mekah itu ada di bawah garis permukaan laut, Air Zamzam itu berasal dari air sisa buangan penduduk kota Mekah yang meresap, kemudian mendap terbawa bersama-sama air hujan dan keluar dari telaga air zamzam.
Berita ini sampai ke telinga Raja Faisal yang kemudian memerintahkan Menteri Pertanian dan Sumber Air untuk menyelidiki masalah ini dan menghantar sampel air zam-zam ke Laboratorium-laboratorium di Eropah untuk diuji.
Tariq Hussain seorang jurutera kimia yang bekerja di Institut Penapisan Air Laut untuk diminum di Jedah, mendapat tugas menyelidikinya.
Pada masa memulakan tugasnya Tariq belum ada gambaran bagaimana telaga air zam-zam boleh menyimpan air yang begitu banyak seperti tidak ada hadnya.
Ketika sampai di dalam sumur, Tariq amat terkejut apabila melihat bahawa ukuran “kolam” telaga itu hanya 18 x 14 kaki saja (Kira-kira 5 x 4 meter).
Tidak terbayang bagaimana telaga sekecil ini boleh mengeluarkan jutaan galen air setiap kali musim haji, dan ini berlaku sejak ribuan tahun yang lalu semenjak zaman Nabi Ibrahim AS.
Penyelidikan menunjukkan bahawa mata air zam-zam boleh mengeluarkan air sebanyak 11-18 liter air per saat, dengan demikian setiap minit 660 liter air akan dihasilkan, itulah yang mengejutkan.

Tariq mula mengukur kedalaman air telaga dan meminta pembantunya masuk ke dalam air, ternyata air telaga itu hanya mencapai sedikit di atas bahu pembantunya yang tinggi tubuhnya 5 kaki 8 inci.
Lalu dia menyuruh pembantunya untuk memeriksa, apakah mungkin ada cerukan atau saluran paip di dalamnya. Setelah memeriksa dari satu tempat ke tempat lainnya, ternyata tidak menemui apapun!.
Dia berfikir mungkin sahaja air telaga ini diambil dari luar melalui saluran pam berkapisiti besar, jika itu keadaannya maka dia boleh melihat turun-naiknya permukaan air secara tiba-tiba.
Tetapi dugaannya meleset, beliau tidak menemui gerakan air yang mencurigakan, juga tidak menemui ada alat yang boleh mendatangkan air dalam jumlah besar.
Seterusnya dia minta pembantunya masuk lagi ke dalam telaga, lalu menyuruh berdiri dan diam ditempatnya sambil mengamati sekelilingnya.
Perhatikan dengan cermat dan laporkan apa yang terjadi walau sekecil apapun, setelah melakukan proses ini dengan cermat, pembantunya tiba-tiba mengangkat kedua tangannya sambil berteriak:
“Alhamdulillah, Saya temuinya ! Pasir halus menari-nari di bawah telapak kakiku, dan air itu keluar dari dasar telaga”.
Lalu pembantunya diminta berpusing mengelilingi telaga ketika tiba masa pengepaman air (untuk disalurkan ke tempat pengagihan air) berlaku. Dia merasakan bahawa air yang keluar dari dasar telaga sama besarnya seperti sebelum tempoh pengepaman.
Aliran air yang keluar besarnya sama di setiap titik di semua kawasan, ini menyebabkan permukaan telaga itu stabil tidak ada goncangan yang besar.
Mengandungi Zat Anti Kuman
Hasil penyelidikan sampel air di Eropah dan Arab Saudi menunjukkan bahawa air zam-zam mengandungi zat fluorida yang ada daya efektif membunuh kuman, sama seperti sudah mengandungi ubat.
Lalu perbezaan air zam-zam dibandingkan dengan air telaga lain di Mekah dan sekitar Arab adalah dalam hal kuantiti kalsium dan garam magnesium.
Kandungan kedua-kedua mineral itu sedikit lebih banyak pada air zam-zam, mungkin sebab itulah air zam-zam dapat menyegarkan bagi jemaah yang keletihan.
Keistimewaan lain komposisi dan rasa kandungan garamnya sentiasa stabil sentiasa sama dari sejak terbentuknya telaga ini. Rasanya” selalu terjaga, diakui oleh semua jemaah haji dan umrah yang selalu datang setiap tahun. Boleh Menyembuhkan Penyakit Nabi saw menjelaskan: ”Sesungguhnya, air zam-zam ini air yang sangat diberkahi, ia adalah makanan yang mengandungi gizi”.
Nabi S.A.W. menambahkan: “Air zamzam bermanfaat untuk apa saja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh dari penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau minum dengan maksud supaya merasa kenyang, maka Allah mengenyangkan engkau. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman dari Allah untuk Ismail”.
(HR Daruqutni, Ahmad, Ibnu Majah, dari Ibnu Abbas).
Rasulullah (S.A.W.) pernah mengambil air zam-zam dalam sebuah kendi dan bekas dari kulit, kemudian membawanya kembali ke Madinah dan Air zam-zam itu digunakan Rasulullah (saw) untuk memercikkan kepada orang sakit dan kemudian disuruh meminumnya.
Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di laboratorium Eropah, terbukti bahawa air zamzam memang lain dari yang lain. Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Makah.
Kadar Kalsium dan garam Magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan kesan penyembuhan.
Air Zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.
Yang juga menakjubkan adalah tidak ada sedikit pun lumut di telaga ini. Air Zam-zam sentiasa bebas dari pencemaran kuman.
Ajaibnya lagi, pada masa semua telaga air di sekitar Mekah dalam keadaan kering, telaga air zam-zam tetap berair. Dan air zam-zam memang tidak pernah kering sepanjang zaman.
Beberapa ulama fiqah mencadangkan agar jemaah haji membawa air zam-zam ketika pulang ke negaranya kerana air zam-zam boleh jadi sebagai ubat untuk penyembuhan.
Ini terbukti ramai jemaah dari negara umat Islam mahupun negara lain yang pernah merasakan keajaiban air zam-zam.

Saturday, June 29, 2013

BONUS SETENGAH BULAN GAJI UNTUK KAKITANGAN AWAM SEBELUM AIDILFITRI TAHUN INI?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) yang akan membuat keputusan berhubung pemberianbonus untuk penjawat awam tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata keputusan itu akan dibuat Najib selaku Menteri Kewangan sempena pembentangan Belanjawan 2014 yang dijadual 25 Okt ini.

"Saya rasa kerajaan akan membuat keputusan bila kerajaan buat bajet(pembentangan Belanjawan 2014), PM sendiri akan buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Seramai 1,374 petugas dari 42 Jabatan/Agensi/Bahagian Jabatan Perdana Menteri menerima anugerah itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kepada kerajaan supaya bonus melebihi sebulan setengah gaji diberikan kepada kira-kira 1.4 juta penjawat awam.

Semalam, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman menyarankan kerajaan agar bonus melebihi sebulan setengah gaji atau sekurang-kurangnya sebulan setengah gaji diberikan kepada kakitangan awam dengan pembayaran setengah bulan gaji dibuat sebelum perayaan Aidilfitri nanti.

Tahun lalu, penjawat awam menerima bonus sebulan setengah gaji dengan pembayaran dibuat sebanyak tiga kali; sebelum perayaan Aidilfitri, bulan Disember dan pada Januari tahun ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Ali yang genap setahun menjalankan tugas sebagai KSN, meminta penjawat awam supaya lebih peka dan mendekati nadi rakyat dengan mengambil langkah proaktif melalui Program Jejak Mesra Perkhidmatan Awam.

"Penjawat awam (menerusi program itu) akan turun untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan membawa perkhidmatan kepada mereka.

"Ini adalah satu pendekatan baharu di mana kita tidak boleh menunggu untuk rakyat datang kepada kita dengan masalah mereka tetapi sebaliknya kita mendekati mereka," katanya.

Beliau juga mengalu-alukan maklum balas, pandangan dan cadangan membina daripada seluruh penjawat awam demi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

"Kita semua (penjawat awam) perlu senang dihubungi dan didekati. Saya berharap agar sebarang maklum balas yang ingin disampaikan dapat disalurkan melalui saluran yang bersesuaian," katanya. -- Bernama, 24 Jun, 2013.