Thursday, January 26, 2012

3SEKELUARGA DIBUNUH DI SEMPORNA



TAWAU: Disebabkan dendam, sepasang suami isteri dan seorang warga emas dibunuh kejam oleh sekumpulan 13 lelaki bersenjatakan parang yang menyerbu rumah mereka di ladang kelapa sawit di Kalumpang, Semporna. 

Dalam kejadian ngeri kira-kira jam 5.30 petang Ahad lalu, warga emas hanya dikenali sebagai Jaafar, 70, dan anaknya Ismail, 50, maut dalam keadaan berlumuran darah di dalam rumah, manakala isteri Ismail, Salmiah Iran, 48, ditemui mati di ladang berhampiran rumah mereka beberapa jam kemudian.

Polis yang menjalankan siasatan turut menemui mayat seorang lelaki dikenali sebagai Jul Mohamad Nun, 37, di ladang Kampung Tagasan Jaya, dipercayai ditinggalkan rakan lain selepas cedera parah sebelum meninggal dunia.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, siasatan awal mendapati tiga beranak yang terbunuh itu bekerja di ladang berkenaan dan semua mangsa yang maut mempunyai kesan cedera parah di kepala serta beberapa bahagian badan.

“Pemeriksaan di tempat kejadian juga menemui lima parang panjang dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, semalam.

Mengulas lanjut, Hamza berkata, semua mereka dipercayai pendatang asing tanpa izin (Pati) berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

“Polis menemui mangsa pertama iaitu seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah pada jam 3.40 pagi Isnin lalu sebelum menemui tiga lagi mayat lain.

“Wanita itu disahkan mati akibat kecederaan parah di badan dan siasatan mendapati mangsa cuba menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, polis mendapati mangsa tidak dirogol dan yakin wanita terbabit berada di rumah bersama suami dan bapa mentuanya ketika kejadian serta cuba melarikan diri daripada serangan kumpulan terbabit.

“Polis tidak menolak kemungkinan kejadian ini berpunca daripada dendam sehingga tercetus pergaduhan dan serangan bersenjata.

“Beberapa individu dipercayai terbabit dalam kejadian ini dan polis sedang memburu mereka,” katanya yang turut mengesahkan semua mereka ke rumah mangsa menaiki lori.

Menurut Hamza, polis kemudian menahan seorang lelaki dikenali sebagai Amin Hatai berusia 23 tahun bersama dua yang lain dipercayai mampu membantu menyelesaikan kes berkenaan.

“Siasatan polis mendapati, kejadian ini turut didalangi seorang lelaki berusia 40 tahun yang dikatakan perancang utama.

“Polis akan memburu semua mereka yang terbabit untuk dihadapkan ke muka pengadilan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan,” katanya.



Sunday, January 22, 2012

USNO SAMBUT JUBLI EMAS DI SEMPORNA








Oleh : MEDIA USNO

USNO pimpinan Datu Badaruddin Tun Mustapha akan mengadakan rapat umum pertamanya di Pekan Semporna bertempat di Floating atau Dewan Sulabayan bagi mengingati Jubli Emas 50 tahun USNO.

Pihak penganjur dari Pantai Timur Sabah yang diketuai oleh Naib Presiden Penajanyanya, Abdullah Sani Hj Abdul Salleh memaklumkan pihaknya mendapat respon amat baik dari seluruh warga Sabah dan menyatakan kehadiran mereka sebagai tanda sokongan perlunya parti itu diluluskan segera oleh pihak kerajaan bagi membolehkan mereka menyertai pilihanraya ke 13 Negeri akan datang.

Pihak UBF atau STAR telah menyatakan persetujuan mereka bagi menghadiri Majlis itu serta menghantar rombongan STAR sebagai tanda sokongan kepada perjuangan warga Sabah dalam konsep 'Demokrasi Bebas' atau 'Freedom of Democracy'; melalui idea baru ke arah Sabah lebih mantap dalam Malaysia, UBA atau United Borneo Alliance yang diilhamkan oleh beberapa kumpulan NGO dan Parti-Parti Politik Sabah akan mengambil bahagian untuk menyatakan pendirian mereka mengenai perjuangan USNO mendapatkan Haknya bergerak semula.

Datu Badaruddin Tun Mustapha dijangka akan membuat ceramah penting pada majlis hari itu di samping Datuk Dr.jeffry kititngan dari STAR juga akan mengambil bahagian sebagai penceramah dari kumpulan UBA-STAR bersama pemimpin-pemimpin USNO di pantai timur.

Jesteru itu pihak USNO Pantai timur mengalu-alukan rakyat Sabah, individu serta NGO Negeri ini supaya dapat hadir dalam majlis berkenaan demi Negeri Sabah dan kebebasan Bersuara yang akan diadakan pada;

TARIKH : 29 Januari 2012 (Ahad)

MASA : 1.30 Petang - 6.00 Petang

TEMPAT : Dewan Sulabayan (Floating)

DAERAH : Semporna, Sabah


Semporna dipilih menjadi tempat dan rapat umum pertama Parti itu, kerana kawasan itu adalah di antara kubu kuat parti berkenaan di mana kawasan itu meliputi 4 Parlimen dan 12 Dewan Undangan negeri yang majoritinya dan kumpulan suku Bajausuluk.

SAINTIS BUAT BUAH ZAKAR TIRUAN



Gambar Hiasan..

SAN FRANCISCO: Sekumpulan saintis diberi kebenaran menghasilkan buah zakar tiruan yang menghasilkan sperma, dalam usaha membantu menyelesaikan masalah ketidaksuburan lelaki.


Saintis sebelum ini cuba menghasilkan sel sperma tetapi cuma mampu menyelesaikan tiga per empat daripada proses itu di dalam makmal kerana persekitaran khas dalam buah zakar lelaki diperlukan untuk menjayakan proses itu.

Kumpulan pakar diketuai Dr Paul Turek itu berharap dapat menghasilkan mesin biologi pembuatan sperma yang berbentuk beg silinder dan tidak dilekatkan pada tubuh.

Ia perlu diganti selepas setiap kitaran pengeluaran sperma yang mengambil masa 70 hari dan berbeza dengan alat tiruan, lelaki yang kehilangan buah zakar tidak menghasilkan sperma.

Dr Turek kini menghasilkan prototaip dan menganggarkan ia mengambil masa lima hingga tujuh tahun untuk menyempurnakan kaedah itu.

“Geran yang diperoleh adalah satu penghormatan dan diberi selepas beberapa tahun kami mengkaji idea ini.

“Kami sudah mengumpulkan saintis hebat yang amat komited dengan kejayaan,” katanya.
Bagi menghasilkan buah zakar tiruan itu, penyelidik perlu membangunkan teknik untuk menumbuhkan sel sperma manusia.

Mereka bercadang menggunakan sel tunjang embrio lelaki dengan gen untuk mengemudikan ia menjadi sel reproduktif yang boleh digunakan dalam IVF.

Ketika kajian menunjukkan ada kemungkinan dapat merawat tikus jantan tidak subur dengan menghasilkan sperma menggunakan sel tunjang, kajian ke atas manusia gagal.

Dr Turek berkata, salah satu tujuan utama ialah menghasilkan semula buah zakar tiruan dengan semua komponennya. Bagaimanapun, sebahagian pakar skeptikal dengan kaedah itu.

Pakar sakit puan dan sains reproduktif di Universiti Pittsburgh, Kyle Orwig, berkata: “Ia satu projek yang pastinya sukar tetapi mengagumkan jika berjaya. Ia akan memberi impak besar kepada bidang kesuburan.”

Katanya, tiada siapa pernah mencuba menghasilkan sperma dengan mencipta semula ‘rumah pengeluaran’ sel sperma. Buah zakar bertanggungjawab menghasilkan dan menyimpan sperma. Jika rosak, ia boleh memberi kesan serius kepada kualiti sperma. – Agensi



PENEMPATAN PTD DI KEMENTERIAN PELAJARAN




Baru-baru ini JPA bercadang untuk menempatkan kalangan Pegawai tadbir Diplomatik (PTD) di dalam sistem pengurusan di Kementerian Pelajaran Malaysia. Walaubagaimanapun, cadangan penempatan PTD tersebut telah dibantah keras oleh kalangan guru-guru di Malaysia.

Cadangan Penempatan PTD (Pegawai Tadbir Diplomatik) Dalam Sistem Pengurusan KPM Bertujuan :

mengurangkan bebanan guru
seterusnya guru-guru dapat memberi tumpuan khusus kepada pengajaran dan pembelajaran

Setakat ini, Berita Harian melaporkan setakat ini sejumlah 27 kesatuan dan persatuan guru yang mewakili 430,000 guru di seluruh negara menolak cadangan penempatan PTD dalam sistem pengurusan dan pentadbiran di kementerian itu serta agensi di bawahnya kerana :


hanya guru sahaja yang berupaya melaksanakan tugasan pengurusan dan pentadbiran dengan berkesan dalam bidang pendidikan
Isu Penempatan PTD di KPM : Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Perlu Adakan Pertemuan Dengan Persatuan Guru



BATU PAHAT: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mengadakan pertemuan dengan persatuan guru bagi menyelesaikan isu menempatkan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dalam sistem pengurusan di Kementerian Pelajaran.


Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata JPA perlu mendengar sendiri suara hati guru dalam isu berkenaan supaya kebimbangan serta keresahan mereka dapat diselesaikan.

“Pertemuan segera perlu diadakan supaya tiada pihak rasa teraniaya serta tidak puas hati terhadap cadangan berkenaan. Saya yakin JPA tiada masalah mendengar pandangan guru mengenai isu ini dan apa jua keputusan yang dicapai nanti, paling penting pembelaan guru harus sentiasa diutamakan,” katanya.

Monday, January 2, 2012

Suami Jual Isteri di Karaoke

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang lebih dikenali dengan panggilan Shah Bunga kerana mampu memiliki lebih 21 isteri dijatuhi hukuman penjara 70 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, Negeri Sembilan semalam atas dakwaan memperdagang dan mengeskploitasi salah seorang isterinya sebagai pelayan di sebuah pusat hiburan di Bahau pada awal bulan ini.

Tertuduh, Suhaimi Saad, 32, dari Alor Setar, Kedah dikenakan hukuman tersebut selepas dia mengaku salah terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Hukuman penjara tersebut diperintahkan berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap pada 2 November lalu di hadapan sebuah pusat hiburan di Bahau.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shukri Hussain mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Imigran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun atau denda jika disabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Suhaimi didakwa memperdagangkan serta mengeksploitasi isterinya, Mashmidar Mansor, 19, dengan memaksa mangsa bekerja sebagai pelayan kelab malam sebelum merampas gaji wanita itu sebanyak RM20 sehari sebaik mangsa selesai bekerja.

Mangsa dipaksa bekerja di Kelab Happy Mansion Karaoke 7 Lounge di premis No. 34 Taman Sornam, Bahau, Jempol.

Rentetan tangkapan terhadap tertuduh, polis berjaya menyelamatkan Mashmidar yang hampir tujuh bulan dikurung di sebuah rumah sewa di Bahau di sini sejak April lalu.