Friday, October 23, 2009

PARA CERDIK KAMPUNG TAMAU

Antara tokoh muda kampung Tamau : Imam Daerah Kota Belud. Ustaz Madli Hj manshor


Antara perkara yang paling mencuit hati saya dengan semangat yang berkobar atas keinsafan bahawa masih ada lagi penulis yang berkesempatan membuka lembaran tinta bagi sebuah kampung bernama Tamau, ialah apabila menatapi coretan seorang wartawan ternama Sdr.Abd.naddin sahiddin yang juga mebesar bersama siulan kedamaian kampung yang teletak di pinggir pantai laut china selatan ini. Dan rasanya begitu terbuai membaca catatan itu yang dilukiskan oleh beliau di dalam blog nya. catitan itu turut juga menjadi perhatian Sdr. Musram yang juga "pagari" dan anak jati kampung berkenaan.


Menceritakan bagaimana perkembangan minda intelek dalam dunia pendidikan keagamaan dan moden di kampung itu, membuatkan saya banyak mengimbau akan keadaan yang brelaku lewat 30-40 tahun yang lepas. Mengingatkan saya bahawa perkembangan itu turut 'membesar' dengan jiwa dan raga kerana tokoh -tokoh berpendidikan di kampung itu, seperti yang disebutkan oleh sdr Naddin adalah saya kenali secara dekatnya dan beranggapan bahawa mereka adalah pelopor kepada dunia pendidikan di kampung Tamau.


Nama-nama seperti sdr. Musram, Sdr razak, Sdr Akriah, Sdr Rupilin, Sdr haji sain, sdr Milus, sdr Yusof Rakunaman,Ustz. Satri, Ustz Laiman, Ustz Daiman, ustz Sawi, Ustz saipul ,ustz Abdi, Ustz Madli dan beberapa orang lagi yang tidak sempat saya senaraikan adalah antara tokoh terpelajar yang merintis kepada pencapaian kampung Tamau dari sudut keilmuan berkaitan dengan bidang keagamaan juga ilmu-ilmu moden. Dan benar bahawa sekarang inipun sudah begitu ramai graduan lepasan Universiti yang dikeluarkan oleh kampung Tamau. rasa saya adalah patut jika satu kajian mendalam sama ada berbentuk kaji selidik dan laporan perlu diusahakan untuk mendapatkan data terkini bilangan graduan di kampung Tamau. di samping sebagai rujukan masa depan, data berkenaan juga menjadi pembakar semangat kepada generasi baru di kampung tamau untuk terus berusaha meningkatkan pencapaian akademik mereka.


Sebagai salah seorang anak jati kampung Tamau, sekali-sekala persoalan 'sumbangan' berlegar di kepala saya.. Apakah peranan para cerdik pandai di kampung Tamau..? Adakah perlu satu program dirancang untuk menghimpunkan tokoh-tokoh cerdik ini? Untuk apa..? dan bagaimana..? Siapa yang memulakanya..? berpesatuan pada peringkat kampung mungkin kecil faedahnya tetapi besar manfaat jika dibuat untuk mengukuhkan tali silaturahim yang mula rengang akibat kesibukan kehidupan yang masing-masing ketahui. kalau dulu tokoh-tokoh ilmuan di kampung Tamau, kerap bermuzakarah di majlis keramaian seperti majlis perkahwinan dan kematian, budaya itu terbantuk pada zaman generasi cerdik pandai ini mengambil posisi dalam masyarakat kampung.


Budaya bermuzakarah, bersoal jawab dan perbincangan secaras ilmuan akan mewujudkan suasana pentarbiyahan yang berkekalan. dan atas kesedaran itu, pada hemat saya ahli-ahli fikr ini perlu segera dikumpul..sebelum kelewatan, kerana pada minda mereka terdapat mutiara yang amat besar sinarnya jika dimanfaatkan untuk pembangunan kampung Tamau.

Monday, October 19, 2009

Azmin nafi 'pergeseran' punca Datuk Zaid bercuti


Dakwaan pergeseran dengan kepimpinan parti punca Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Datuk Zaid Ibrahim mengambil 'cuti politik' tiada asas dan tafsiran media semata-mata.

Naib presiden PKR, Azmin Ali antara yang didakwa terlibat dalam pergeseran dengan Zaid, hari ini menafikan perkara tersebut dan berpandangan ianya sengaja dimainkan media untuk memecahbelahkan hubungan erat Pakatan Rakyat dan PKR itu sendiri.

"Siapa yang ada pergeseran, kalau tengok kenyataan Datuk Zaid, ada tak dia kaitkan saya?, tak ada. Ini tafsiran media untuk menggambarkan perpecahan dalam PR dan Keadilan," ujarnya ketika ditemui di parlimen siang tadi.

Ujarnya, keputusan Zaid untuk bercuti selama 6 bulan adalah kerana ingin memberi fokus kepada sekriteriat Pakatan Rakyat bagi menyiapakan kertas dasar untuk dibentangkan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Zaid adalah anggota utama jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji poenubuhan Pakatan Rakyat (PR) sebagai sebuah badan gabungan parti politik secara rasmi.

Dua lagi anggota adalah Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.

"Datuk Zaid menjelaskan, dia ambil cuti enam bulan untuk memberi fokus kepada sekriteriat pakatan rakyat, menyiapkan beberapa kertas dasar untuk dibentang kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

"Kita perlu hormati keputusan Datuk Zaid, tak perlu tafsir lebih dari itu," jelasnya lagi.

Sebelum ini media perdana melaporkan Zaid memohon cuti dari aktif dalam politik PKR kerana ada kaitan dengan halangan menghadiri program di Sabah.

Azmin sebelum ini telah menjawab dakwaan itu dan menjelaskan tidak ada sesiapa pun menghalang mana-mana pemimpin PKR dari semenanjung termasuk Datuk Zaid Ibrahim daripada menghadiri program di Sabah.

Kepimpinan peringkat pusat juga katanya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bagi menghalang mana-mana pemimpin parti itu daripada menghadiri program di setiap negeri.

Zaid bagaimanapun hanya memohon cuti dari menyertai mesyuarat Biro Politik selama enam bulan untuk memberikan tumpuan kepada penubuhan Pakatan Rakyat sebagai sebuah badan gabungan parti politik secara rasmi.

"Datuk Zaid mempunyai peranan cukup penting dalam Keadilan dan Pakatan Rakyat untuk membantu menyediakan kertas dasar Pakatan Rakyat," katanya._

Friday, October 16, 2009

NASIB SAYA DI TANGAN AHLI : NAJIB


Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata nasibnya kini berada di tangan ahli-ahli parti ekoran pemansuhan kuota pencalonan untuk jawatan parti, termasuk jawatan presiden.

Ekoran pindaan perlembagaan parti itu semalam, kerusi presiden kini boleh dicabar oleh sesiapa saja yang dapat melepasi kelayakan minimum.

Katanya, mengikut peraturan pertandingan jawatan tersebut sebelum ini, seseorang calon perlu meraih sebanyak 58 pencalonan.

"Bukan mudah nak dapat 58 pencalonan bahagian. Bukan mudah... Biasanya nak dapat satu atau dua pun susah," katanya dalam ucapan penggulungan di perhimpunan parti itu petang ini.

"Nak jadi presiden sampai bila? Seumur hidup? Baik atau untung nasib saya, saya serahkan kepada ahli Umno," katanya lagi.

Tambahnya, semangat yang sama juga dikongsi bersama dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin

"Kita nak berkhidmat kepada parti selagi khidmat kita diperlukan ahli parti, dan khidmat kami dapat tentukan keberhasilan, kejayaan, dan pencapaian.

"Itulah yang jadi dorongan kami berdua dan rakan-rakan kami di atas ini untuk berkerja lebih keras lagi," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan pendirikan kepimpinan parti itu dalam meminda perlembagaan parti melibatkan kuota pemilihan.

Najib juga berkata tindakan pemansuhan kuota itu juga bagi mengubah persepsi rakyat yang melihat pemimpin Umno sebagai 'ketua perang' (warlord).

"Kami mahu jadi pemimpin teladan yang baik. Kalau kami suruh orang lain kerja, kami akan kerja sepenuh hati tanpa berbelah bagi," tegasnya.

Sambil berseloroh, beliau menjelaskan bahawa berkata Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mengetuai jawatankuasa pindaan tersebut, bertungkus-lumus menyiapkan draf cadangan pindaan tersebut sehingga lewat malam.

"Takut ketua bahagian tak setuju," katanya disambut dengan ketawa perwakilan.

"Apa yang diucapkan sebenarnya ketua-ketua Umno inginkan perubahan, kerana mereka mahukan Umno lebih demokratik dan lebih terbuka," katanya.

AMARAN NAJIB KEPADA AHLI UMNO


Datuk Seri Najib Razak memberi amaran supaya tidak ada pihak dalam Umno yang cuba merosakkan sistem baru yang bakal dilaksanakan untuk memulihkan sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

"Jangan sesekali nak rosakkan sistem baru ini. Kita serius kali ini, minta maaf, kalau cuba (merosakkannya) akan tanggung (akibatnya)," kata presiden Umno ketika menggulung perbahasan di perhimpunan agung ke-60, petang ini.

Beliau mengingatkan bahawa apa yang rakyat mahu melihat ialah imej Umno bersih dan benar-benar mahu membantu mereka dan menjadi juara rakyat.

Oleh itu, Najib mahu semua peringkat ahli dan pemimpin parti itu supaya mengambil semangat baru bagi memperkukuhkan parti dan mengikis sikap-sikap lama dan negatif yang boleh menjejaskan parti.

Sehubungan itu, katanya, Umno akan kembali kepada matlamat asal penubuhannya sebagai sebuah parti pergerakan massa.

Dahulunya, katanya, Umno jadi kuat kerana ia merupakan parti pergerakan massa, bukan parti golongan elitis atau golongan bangsawan.

Sebaliknya, Umno adalah satu perhimpunan segala pimpinan Umno dari segala peringkat latarbelakang dan bergerak satu pergerakan yang mencerminkan hati nurani orang Melayu.

Sempena perlembagaan baru, kita buang fe'el (kelakuan) lama. Kita lakukan perubahan dalam Umno bukan setakat (pindaan) perlembagaan sahaja, (tetapi) budaya kita, sikap kita. Jadi kita bersikap inklusif,” katanya .

Menurut Najib lagi, pindaan perlembagaan juga memberi kedudukan istimewa kepada Wanita dengan diberi tambahan perwakilan di peringkat bahagian.

Katanya, ini kerana Wanita menjadi nadi dan penggerak kepada Umno, termasuk dalam menggerakkan jentera pilihanraya.

Najib juga menyifatkan perhimpunan agung ke-60 ini sebagai yang terbaik pernah dihadirinya sejak tahun 1976.

“Selama satu tahun saya merasa begitu agak gusar, agak gundah gulani hati saya melihat sama ada anggota parti kita sudah pulih dari segi semangat, sudah boleh bangkit semula atau tidak, sudah sedar atau tidak, sudah insaf atau pun tidak.

“Hari ini, bila saya berdiri di depan tuan-tuan, segala kesangsian itu telah luput sama sekali. Saya berani katakan dan cukup yakin bahawa Umno pada saat ini bersedia untuk bangun sebagai satu kekuatan baru,” katanya.


Sunday, October 11, 2009

UMNO MENANG BESAR , "HARI BERTENANG" : MUHYIDDIN


Mohd Isa menang dengan majoriti 5,435 undi, selepas memperolehi 8,013 undi manakala lawannya daripada PAS, Zulkefly Mohamad Omar memperolehi 2,578 undi.

Jumlah itu lebih besar daripada majoriti 2,333 undi yang diperolehi BN pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu.

Kemenangan dengan majoriti DUA KALI GANDA ini ternyata menzahirkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap BARISAN NASIONAL, juga hasrat mereka yang sentiasa bergelora mahukan Keamanan dan melihat masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya hari pengundian pada pilihan raya akan datang dijadikan “hari bertenang”.

Beliau berkata, hari bertenang itu akan dijadikan satu peraturan yang bertujuan supaya pengundi berasa tenang dan tidak tergugat semasa keluar mengundi.

"Hal-hal pergaduhan ini tidak sepatutnya berlaku kerana ini bukan soal penyokong dengan penyokong tetapi yang pentingnya pengundi. Proses undi akan berjalan lancar dan mungkin lebih ramai orang yang akan keluar mengundi,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mendengar taklimat di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson hari ini, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk perbincangan dibuat antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan undang-undang ditegakkan semasa pilihan raya.

"Saya dapat banyak pengajaran dari banyak pilihan raya kecil... soal lalu lintas yang tidak dikawal dengan elok, peniaga kecil yang datang tidak ada lesen menggambarkan mereka tidak langsung mengendahkan undang-undang yang sedia ada,” katanya.-Bernama


Friday, October 9, 2009

1.57 BILION UMAT ISLAM SELURUH DUNIA


  • Penduduk Islam di dunia kini berjumlah 1.57 bilion, nisbah satu kepada empat orang penduduk dunia, menurut satu laporan komprehensif, semalam.
  • Laporan oleh Forum Pew Agama dan Kehidupan Awam itu menyediakan satu angka tepat yang sebelum ini jumlahnya hanya dianggarkan.

  • Projek yang mengambil masa selama tiga tahun itu turut mendedahkan kenyataan-kenyataan yang mungkin mengejutkan.
Sebagai contoh, Jerman mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Lebanon; China mempunyai lebih ramai penduduk Islam daripada Syria dan Rusia pula mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Jordan dan Libya.

“Andaian yang menyatakan bahawa Islam adalah Arab dan Arab adalah Islam, ternyata tidak benar dengan adanya laporan ini,” kata Amaney Jamal, penolong profesor politik di Universiti Princeton yang mengkaji semula salinan awal laporan itu.

Pegawai-pegawai Pew menganggap laporan tersebut adalah yang paling lengkap dalam kategorinya dan meletakkan agama Islam sebagai agama kedua terbesar di dunia selepas Kristian, yang dianggarkan mempunyai antara 2.1 bilion hingga 2.2 bilion penganut.

Laporan itu turut mendapatkan pecahan antara pengikut mazhab Sunni dengan Syiah tetapi kesulitan timbul kerana tidak banyak negara membuat pecahan seumpamanya, kata penyelidik kanan projek, Brian Grim.

Maka, bilangan pengikut Syiah tidak dianggap khusus dengan laporan menganggarkan Syiah mewakili antara 10 dan 13 peratus daripada keseluruhan umat Islam di dunia, yang sejajar atau sedikit rendah berbanding kajian-kajian lain.

Sebanyak 80 peratus pengikut Syiah tinggal di empat negara iaitu Iran, Pakistan, India dan Iraq.

Laporan turut mendedahkan bahawa meskipun nadi Islam terletak di Asia Barat, bilangan terbesar umat Islam adalah di Asia iaitu meliputi lebih 60 peratus.

Asia Barat dan Afrika Utara hanya mewakili kira-kira 20 peratus umat Islam, 15 peratus di Afrika Sub-Saharan, 2.4 peratus di Eropah dan 0.3 peratus di Amerika Syarikat.

Seramai 317 juta penduduk Islam atau satu per lima daripada jumlah keseluruhan penduduk Islam pula tinggal di negara yang penduduknya bukan majoriti Islam.

Sebanyak 10 negara telah disenarai mempunyai penduduk dua per tiga beragama Islam iaitu Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Iran, Turki, Mesir, Algeria, Maghribi dan Nigeria. – AP

Tuesday, October 6, 2009

MALAYSIA MALAP KALAU PEMBANGKANG MEMERINTAH


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keadaan negara akan menjadi malap dan buruk sekiranya pentadbiran kerajaan berpindah daripada Barisan Nasional kepada pembangkang kerana kebanyakan pemimpin pembangkang sanggup menukar pendirian semata-mata untuk mendapat populariti dan sokongan rakyat.

Katanya ada juga dalam kalangan mereka sanggup menghalalkan sesuatu yang dulunya mereka anggap haram semata-mata untuk memuaskan hati musuh yang kini menjadi rakan dalam pakatan pembangkang.

“Dulu Pas kata kerjasama dengan bukan Islam akan jadi kafir, sekarang bukan sahaja mereka bekerjasama dengan bukan Islam, tapi dia kata ternak babi pun tak apa, tapi orang Islam tak boleh makan babi.

“Dia (Pas) ambil tafsiran dalam Al-Quran kata (orang Islam) tak boleh makan babi, dia tak kata tak boleh ternak (babi). Kalau dah ambil tafsiran macam tu, maknanya kita boleh ternak, kita boleh jual babi, kita boleh masak babi, tapi jangan makan, pasal nak setuju jugak dengan orang ini, kita sanggup tukar pendirian kita sama sekali,” katanya kepada pemberita di sinikelmarin.

Beliau sebelum itu menyampaikan wacana bertajuk “Dari Minda Tun, Ketuanan Melayu” di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu di sini kelmarin. Turut hadir Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah.

Dr Mahathir berkata Malaysia tidak mampu mempunyai pemimpin yang tidak berpendirian dan hanya mencari populariti diri. “Kalau orang macam ini jadi pemimpin, susahlah,” katanya.

Mengulas masa depan politik Umno selepas ini, beliau berkata parti itu masih relevan namun pemimpin dan anggota termasuk dari akar umbinya perlu bijak dan berani dalam bertindak.

“Kalau pemimpin buat sesuatu yang tak baik, mereka perlu suarakan… Saya sangat menyambut baik pelantikan Senator Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Sepatutnya ada lebih ramai dilantik dari luar parti berbanding dari dalam parti untuk pegang jawatan,” katanya.

Berhubung kemelut yang kini melanda Umno Terengganu, beliau berkata pimpinan tertinggi parti perlu menyelesaikan rasa tidak puas hati yang ditimbulkan pihak-pihak terlibat bagi mengelak wujudnya puak-puak berbeza dalam Umno di negeri itu.

Dalam ucapannya pula, Dr Mahathir menyeru pelajar Bumiputera untuk lebih berani bersaing dengan kaum lain, termasuk memilih untuk belajar di institusi pengajian tinggi swasta yang tidak didominasi oleh Bumiputera seperti UiTM.

Sunday, October 4, 2009

3 BANGUNAN TIDAK SELAMAT DI SABAH


Kejadian ti- ga bangunan kerajaan di Sabah yang diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki perlu dipandang serius oleh juru perunding bangunan terutamanya para jurute- ra bangunan tempatan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.

Katanya, tahap keyakinan orang ramai berhubung aspek keselama- tan sesebuah bangunan perlu di- kembalikan dan dipandang serius oleh golongan profesional terbabit.

Menurutnya, di Sabah, tiga bangunan kerajaan telah diisytiharkan sebagai tidak selamat untuk diduduki akibat keretakan struktur bermula dengan Hospital Queen Elizabeth pada Okt 2008, diikuti oleh Bangunan Arkib Negeri pada Mac 2009 dan Ibu pejabat Jabatan Pengangkutan Negeri pada April 2009.

“Isu ini perlu dipandang serius bukan sahaja dari perspektif tempatan tetapi juga kesannya dari sudut negara dan antarabangsa. Ini kerana semakin ramai rakyat yang mengeksport kepakaran mereka ke luar negara,” katanya pada majlis pelancaran seminar tanggungjawab juru perunding terhadap industri pembinaan di sini kelmarin.

Sementara itu, Pairin, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri berkata perniagaan landskap kini menjadi satu pasaran tunggal di mana “batasan geografi semakin kabur dan ada kalanya tidak dapat dikesan”.

“Proses globalisasi menjadi peny ebab utama perkara ini berlaku, hal ini juga dibantu dengan perkembangan kecanggihan teknologi.

“Imej yang positif dan penjenamaan yang baik oleh para profesional dari Malaysia dapat membantu membina keyakinan golongan ini bagi tempoh jangka panjang untuk mereka bersaing dengan juru perunding dari luar negara dalam dunia tanpa sempadan,” katanya.

Katanya untuk menghadapi arus globalisasi, para profesional tempatan perlu sentiasa mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi jika berhasrat mengatasi pesaing mereka dari luar negara.

Menyentuh mengenai seminar itu, beliau berkata ia diadakan tepat pada masanya kerana negara kini sedang membangun di mana pembinaan infrastruktur, pelbagai kemudahan dan bangunan menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara.

“Di sebalik sumbangan para juru perunding di dalam bidang masing-masing yang cukup jelas, mereka juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan kualiti produk yang terbaik, yang amat ditekankan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Saturday, October 3, 2009

NAJIB : BIJAK PILIH WAKIL RAKYAT


Pengundi-pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan, perlu bijak memilih wakil rakyat yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pilihan raya kecil itu bukan untuk membentuk kerajaan, sebaliknya bertujuan menentukan wakil rakyat yang boleh menyelesaikan masalah mereka di kawasan tersebut.

''Kita mesti sedar bahawa ini adalah pilihan raya kecil, bukan soal membentuk kerajaan. Dalam pilihan raya kecil, apa yang penting ialah khidmat seorang bakal wakil rakyat, siapa yang boleh beri khidmat bakti dan dapat menyelesaikan masalah pengundi di sana.

''Itu yang menjadi kayu ukur seperti di Bagan Pinang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 190 bakal haji dalam Parlimen Pekan di Bangunan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober ini bakal menyaksikan pertandingan antara Barisan Nasional (BN) dan Pas selepas proses penamaan calon di Port Dickson hari ini.

BN meletakkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai calonnya, manakala Pas diwakili Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

DUN Bagan Pinang dalam Parlimen Teluk Kemang adalah salah satu daripada dua kerusi yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) tahun lalu.

Najib yang juga Pengerusi BN memberitahu, pihaknya telah menjangkakan berlaku pertandingan satu lawan satu.

''Kita telah menjangkakan (satu lawan satu di Bagan Pinang), jadi kita minta pengundi buat penilaian terhadap parti dan calon mana yang sesuai untuk kepentingan mereka," tegasnya.

Menjawab satu soalan lain, beliau menganggap soal calon BN yang sebelum ini pernah dipertikaikan beberapa pihak tidak lagi timbul.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang penting ialah khidmat yang akan dilaksanakan oleh calon terbabit jika dipilih sebagai wakil rakyat nanti.

''Saya anggap (perkara) itu tidak timbul lagi, kita mesti lihat ke hadapan. Apa yang penting, soal khidmat bakti seorang wakil rakyat di kawasan tersebut," tegasnya.

Mengulas insiden Pengerusi Biro Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mendakwa dirinya ditumbuk penyokong parti lawan pada proses penamaan calon hari ini, Najib berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku jika semua pihak menghormati peraturan dan undang-undang.

''Kalau ditumbuk, harap dia (Abdul Azeez) buat laporan polis. Sepatutnya, kita jangan buat apa-apa yang menyalahi undang-undang termasuk mengkasari penyokong lain.

''Kita patut menunjukkan contoh yang baik sebab dalam amalan demokrasi, ia mesti dikotakan dengan nilai yang baik seperti menghormati peraturan dan undang-undang," jelasnya.