Thursday, December 3, 2009

Muhyiddin berada di Tawau


Timbalan Perdana Menteri yang juga menteri pelajaran,hari ini berada di Tawau dalam satu majlis perasmian IPGM Tawau di Balung dekat sini.

TAWAU: Lima Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di negara ini dipilih untuk menjalankan kursus Bahasa Inggeris untuk melatih guru sedia ada dan guru baru bagi memantapkan pengajaran bahasa berkenaan di sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata IPGM berkenaan ialah Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (ELTC), IPGM Kampus Dato” Razali Ismail di Kuala Terengganu, IPGM Kampus Bahasa-Bahasa Antarabangsa di Kuala Lumpur, IPGM Kampus Gaya di Sabah dan IPGM Kampus Batu Lintang di Sarawak.

Katanya baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) untuk menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

“Perubahan dasar ini tidak bermakna Bahasa Inggeris tidak lagi menjadi penting dalam sistem pendidikan kita.

“Sebaliknya melalui MBMMBI, Kementerian Pelajaran meningkatkan usaha untuk menambah baik penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid dengan memperkemas kurikulum Bahasa Inggeris dan penyediaan guru-guru berkualiti untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris,” katanya ketika merasmikan Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau di sini kelmarin.

Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran melakukan pelbagai usaha bagi meningkatkan prasarana pengajaran Bahasa Inggeris di IPGM berkenaan termasuk menaik taraf pusat komputer kepada makmal bahasa dan melengkapkan pusat IPGM dengan bahan serta sumber rujukan terkini.

Beliau berkata kerajaan juga akan menempatkan tenaga pengajar berkelayakan dan berpengalaman di IPGM untuk melatih guru-guru sedia ada dan bakal guru untuk diberi pendedahan secukupnya sebelum dihantar mengajar di sekolah-sekolah.

“Kita juga akan melantik semula guru-guru Bahasa Inggeris yang akan bersara pada bulan Julai 2010 untuk berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris secara kontrak sekiranya mereka memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan,” katanya.


No comments: