Monday, July 18, 2011

TIADA PRK PARLIMEN TITIWANGSA -SPR


PETALING JAYA: Tidak ada pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan biarpun berlaku kekosongan kerusi Parlimen Titiwangsa ekoran kematian penyandangnya, Dr Lo’ Lo’ Ghazali pada malam Ahad.

Menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar tidak ada keperluaan bagi suruhanjaya itu mengadakan PRK bagi kerusi Parlimen Titiwangsa kerana penggal Parlimen ke-12 telah mencapai tempoh mandat tiga tahun pada 28 April lalu.

“Ya, memang tidak perlu diadakan pilihan raya kecil walaupun berlaku kekosongan kerusi Parlimen Titiwangsa.

“Ia sejajar dengan Artikel 54(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa suatu PRK hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat sesi Parlimen sepertimana yang termaktub di dalam undang-undang,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekosongan kerusi Parlimen Titiwangsa ekoran kematian Dr Lo’ Lo' akibat penyakit kanser paru-paru di Hospital Selayang pada Ahad.

Pada pilihan raya umum 2008, Dr Lo’ Lo’ menewaskan calon BN, Datuk Aziz Jamaludin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata tarikh 28 April ialah hari pertama Dewan Rakyat bersidang selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008. Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada April 2013.

Bagaiamanapun, Wan Ahmad berkata tempoh akhir bagi mengadakan PRK untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah berbeza, bergantung kepada tarikh kali pertama DUN berkenaan bersidang selepas pilihan raya umum lepas.

mStar/-

No comments: