Pantun Meminang

>> Friday, July 15, 2011


Pohonnya rendah dahannya rendah,
Bertebar ke bumi buah bidara;
Minum sudah sirih pun sudah,
Bolehlah kami buka bicara.

Sudah lama kami ke tasik,
Tali perahu terap belaka;
Sudah lama kami merisik,
Baru kini bertemu muka.

Rebus laksa lalu disejat,
Jangan terkurang letak kuahnya;
Kami datang membawa hajat,
Hajat orang kami penyampainya.

Sudah lama langsatnya condong,
Dahannya rebah ke ampaian;
Sudah lama niat dikandung,
Baru sekarang disampaikan.

Tinggi-tinggi si matahari,
Anak kerbau mati tertambat;
Sekian lama kami mencari,
Baru sekarang kami mendapat.

Raja Hindu raja di Sailan,
Singgah berenang di persiraman;
Bagai pungguk rindukan bulan,
Kumbang merindu bunga di taman.

Cederawasih burung yang sakti,
Singgah hinggap di atas karang;
Kasih berputik di dalam hati,
Dari dahulu sampai sekarang.

Singgah berenang di persiraman,
Mayang terendam di dalam tasik;
Kumbang merindu bunga di taman,
Bintang merindu cenderawasih.

Jentayu burung di awan,
Batu gemala penghias mahkota;
Tepak sirih di atas puan,
Itulah mula pembuka kata.


0 ulasan:

Penafian: Penulis blog Depu-Depu tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana melayari atau menggunakan maklumat dalam blog ini.

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP