Pages - Menu

Friday, October 16, 2009

NASIB SAYA DI TANGAN AHLI : NAJIB


Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata nasibnya kini berada di tangan ahli-ahli parti ekoran pemansuhan kuota pencalonan untuk jawatan parti, termasuk jawatan presiden.

Ekoran pindaan perlembagaan parti itu semalam, kerusi presiden kini boleh dicabar oleh sesiapa saja yang dapat melepasi kelayakan minimum.

Katanya, mengikut peraturan pertandingan jawatan tersebut sebelum ini, seseorang calon perlu meraih sebanyak 58 pencalonan.

"Bukan mudah nak dapat 58 pencalonan bahagian. Bukan mudah... Biasanya nak dapat satu atau dua pun susah," katanya dalam ucapan penggulungan di perhimpunan parti itu petang ini.

"Nak jadi presiden sampai bila? Seumur hidup? Baik atau untung nasib saya, saya serahkan kepada ahli Umno," katanya lagi.

Tambahnya, semangat yang sama juga dikongsi bersama dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin

"Kita nak berkhidmat kepada parti selagi khidmat kita diperlukan ahli parti, dan khidmat kami dapat tentukan keberhasilan, kejayaan, dan pencapaian.

"Itulah yang jadi dorongan kami berdua dan rakan-rakan kami di atas ini untuk berkerja lebih keras lagi," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan pendirikan kepimpinan parti itu dalam meminda perlembagaan parti melibatkan kuota pemilihan.

Najib juga berkata tindakan pemansuhan kuota itu juga bagi mengubah persepsi rakyat yang melihat pemimpin Umno sebagai 'ketua perang' (warlord).

"Kami mahu jadi pemimpin teladan yang baik. Kalau kami suruh orang lain kerja, kami akan kerja sepenuh hati tanpa berbelah bagi," tegasnya.

Sambil berseloroh, beliau menjelaskan bahawa berkata Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mengetuai jawatankuasa pindaan tersebut, bertungkus-lumus menyiapkan draf cadangan pindaan tersebut sehingga lewat malam.

"Takut ketua bahagian tak setuju," katanya disambut dengan ketawa perwakilan.

"Apa yang diucapkan sebenarnya ketua-ketua Umno inginkan perubahan, kerana mereka mahukan Umno lebih demokratik dan lebih terbuka," katanya.

No comments:

Post a Comment