Pages - Menu

Friday, October 16, 2009

AMARAN NAJIB KEPADA AHLI UMNO


Datuk Seri Najib Razak memberi amaran supaya tidak ada pihak dalam Umno yang cuba merosakkan sistem baru yang bakal dilaksanakan untuk memulihkan sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

"Jangan sesekali nak rosakkan sistem baru ini. Kita serius kali ini, minta maaf, kalau cuba (merosakkannya) akan tanggung (akibatnya)," kata presiden Umno ketika menggulung perbahasan di perhimpunan agung ke-60, petang ini.

Beliau mengingatkan bahawa apa yang rakyat mahu melihat ialah imej Umno bersih dan benar-benar mahu membantu mereka dan menjadi juara rakyat.

Oleh itu, Najib mahu semua peringkat ahli dan pemimpin parti itu supaya mengambil semangat baru bagi memperkukuhkan parti dan mengikis sikap-sikap lama dan negatif yang boleh menjejaskan parti.

Sehubungan itu, katanya, Umno akan kembali kepada matlamat asal penubuhannya sebagai sebuah parti pergerakan massa.

Dahulunya, katanya, Umno jadi kuat kerana ia merupakan parti pergerakan massa, bukan parti golongan elitis atau golongan bangsawan.

Sebaliknya, Umno adalah satu perhimpunan segala pimpinan Umno dari segala peringkat latarbelakang dan bergerak satu pergerakan yang mencerminkan hati nurani orang Melayu.

Sempena perlembagaan baru, kita buang fe'el (kelakuan) lama. Kita lakukan perubahan dalam Umno bukan setakat (pindaan) perlembagaan sahaja, (tetapi) budaya kita, sikap kita. Jadi kita bersikap inklusif,” katanya .

Menurut Najib lagi, pindaan perlembagaan juga memberi kedudukan istimewa kepada Wanita dengan diberi tambahan perwakilan di peringkat bahagian.

Katanya, ini kerana Wanita menjadi nadi dan penggerak kepada Umno, termasuk dalam menggerakkan jentera pilihanraya.

Najib juga menyifatkan perhimpunan agung ke-60 ini sebagai yang terbaik pernah dihadirinya sejak tahun 1976.

“Selama satu tahun saya merasa begitu agak gusar, agak gundah gulani hati saya melihat sama ada anggota parti kita sudah pulih dari segi semangat, sudah boleh bangkit semula atau tidak, sudah sedar atau tidak, sudah insaf atau pun tidak.

“Hari ini, bila saya berdiri di depan tuan-tuan, segala kesangsian itu telah luput sama sekali. Saya berani katakan dan cukup yakin bahawa Umno pada saat ini bersedia untuk bangun sebagai satu kekuatan baru,” katanya.


No comments:

Post a Comment