Pages - Menu

Monday, September 14, 2009

MAKAN SUAP : TUN MAHATHIR


Setelah Tun Mahathir, dikatakan 'mencampuri' urusan MIC, dengan membuat beberapa kenyataan tentang pemilihan pemimpin parti terbesar India itu, Presiden Parti MIC, datuk Samy vellu menunjukkan ketidak senangan hatinya atas kenyataan Tun Mahathir itu. Para perwakilan MIC dikatakan mula tidak merasa senang. Media massa melaporkan bahawa ada perwakilan MIC yang mencerca Tun Mahathir ketika berucap dalam perhimpunan itu. Tun Mahathir dalam blognya Che Det..merakamkan pendapatnya mengenai perkembangan politik itu.

MAKAN SUAP.

1. Ada orang politik yang berpendapat jika dapat jadi Presiden parti maka kemenangan mereka dalam pilihanraya terjamin.

2. Justeru itu mereka ini berusaha untuk menentukan kemenangan mereka melalui penyingkiran ahli yang tidak menyokong mereka, mengguna wang untuk membeli sokongan atau mengguna apa-apa kuasa yang ada pada mereka untuk menyogok, menjanji sesuatu kepada yang akan menyokong atau mengugut.

3. Hasilnya mereka menang dalam parti. Tetapi rakyat memerhati segala tindak-tanduk pemimpin dan ahli seperti ini. Apabila rakyat lihat perjuangan parti bukan lagi untuk rakyat; apabila mereka lihat rasuah dan ugutan yang menentukan kepimpinan, maka kepercayaan kepada parti dan pemimpinnya akan terhakis dan mungkin hilang lenyap.

4. Rakyat tidak dapat membuat apa-apa, terutama apabila mulut rakyat tertutup. Demikian juga ahli parti. Tetapi apabila Pilihanraya Umum diadakan maka rakyat sebagai pengundi akan nyatakan kekecewaan mereka.

5. Inilah yang telah berlaku pada Pilihanraya Umum ke 12, 2008.

6. Apakah kekecewaan rakyat disedari oleh pemimpin dan parti-parti politik. Hingga kini tidak ternampak yang parti dan pemimpin sudah betul-betul sedar.

7. Yang merebut jawatan masih merebut dengan penggunaan cara-cara lama. Pembersihan parti tidak juga dilakukan. Pengamal politik wang masih diterima dan diberi tempat.

8. Ahli-ahli biasa parti tidak memprotes sikap lama diteruskan. Bahkan ramai juga ahli yang berpendapat apa salahnya menabur wang. Mereka juga akan dapat sedikit habuan.

9. Apabila ramai rakyat sebagai pengundi sudah benci kepada parti kerana amalan rasuah dan bodoh-sombong, janji pembangunan dan menabur wang tidak akan berkesan lagi. Ingatlah apabila kelebihan undi sedikit sahaja, kehilangan sokongan daripada sebilangan yang kecil rakyat pun boleh sebabkan kekalahan.


No comments:

Post a Comment