Pages - Menu

Monday, June 22, 2009

Jalan Raya Sabah Berubah Wajah



Kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor bahawa Jalan raya di Sabah akan menjadi perhatian kerajaan Pusat, menjadi seakan 'durian runtuh' kepada masyarakat Sabah yang selama ini mengimpikan benar agar Jalan Raya di negeri ini 'selesa' seperti di Semenanjung. Menurut Menteri bertanggungjawab ini, jalan raya di Sabah terutama yang dibina menyusuri tebing bukit menelan perbelanjaan menyelanggara yang tinggi setiap tahun.Ini disebabkan kerana Sabah merupakan sebuah negeri yang berbukit bukau dan dikelilingi oleh dua buah banjaran yang menyulitkan untuk pembinaan jalanraya menghubungkan bandar-bandar utama di negeri ini.
Justeru itu langkah JKR untuk membuat kajian bagaimana membina jalanraya yang melangkaui kawasan berbukit dilihat sebagai 'alternatif' buat masa ini. Jalanraya menghubungkan Kota Kinabalu - Kundasang, Ranau merupakan antara kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan disebabkan oleh keadaan Jalan raya yang tidak sempurna. Jalan raya di kawasan ini bukan sahaja bengkang-bengkok tetapi juga banyak berlubang sehingga menyulitkan pengguna melalui kawasan ini. Begitu juga jalan raya Kota kinabalu - Keningau. Jalan raya ini juga boleh mengundang bahaya tanah runtuh ketika musim hujan. Kedudukan bandar-bandar utama di negeri Sabah yang terpisah jauh antara satu sama lain menyukarkan lagi pembinaan jalan raya kerana menelan kos yang tinggi.Misalnya Kota kinabalu - Tawau pada masa ini dihubungkan melalui jalan darat sepanjang lebih 500 km dan memakan masa lebih 8 Jam.walaupun Jalan KALABAKAN hampir siap menghubungkan Tawau,Keningau dan Kota Kinabalu, dan mampu memendekkan masa perjalanan, namun dilihat masih menyukarkan pengguna terutama di daerah Semporna, Kunak dan Lahad Datu. Begitu juga dengan pembinaan Jalan raya Beluran - Pitas tidak memberikan kemudahan kepada pengguna jalan raya dari pantai timur yang ingin ke Kota Kinabalu,. Pendek kata 'pengguna' jalan raya masih menggunakan jalan raya Telupid - Ranau yang boleh dikatakan 'sentiasa' uzur, berlubang-lubang dan tidak rata serta licin ketika musim hujan.Kerajaan negeri seharusnya mengambil langkah melebarkan dan menaiktaraf jalan raya penting ini sebagai usaha memacu ekonomi di pantai timur .Di harapkan dengan pengumuman penting Datuk Shaziman sekurang-kurangnya masyarakat di Pantai Timur Sabah ini akan lebih 'selesa' untuk berkunjung ke Kota Kinabalu. Jangan pula seperti "ayam bertelur riuh sekampung"

No comments:

Post a Comment