Pages - Menu

Saturday, June 6, 2009

Damaikah Kadamaian...

Ketika saya menulis catatan ini, saya selalu mengimpikan agar catatan ini turut menjadi bualan di kalangan masyarkat Kadamaian.Apa tidaknya catatan ini membawa satu persepsi baru tentang kawasan mereka dan sekitarnya.Sama ada saya berkesempatan mencoretkan persekitaran indah di kawasan yang damai ini, bukanlah satu persoalan penting kerana tidak akan ada penulis yang berjaya menggambarkan keindahan alam ciptaan tuhan ini melalui kata-kata dan coretan.Namun begitu saya cuba meluahkan apa yang ada dalam minda saya sebolehnya.Berbekalan pengalaman singkat mengajar di sebuah sekolah menengah di kawasan ini hampir 4 tahun, 13 tahun yang lepas dan di tambah lagi melalui pengamatan saya yang selalu menggunakan 'jalan pintas' ketika pulang bercuti di Daerah kelahiran Kota Belud.
Secara geopolitiknya, Kadamaian terletak dalam Dewan Undangan Negeri Kadamaian, yang secara turun temurunnya kawasan ini diwakili oleh PBS, sebuah parti dalam komponen BN.Meskipun PBS suatu ketika dulu pernah meninggalkan BN, namun kawasan ini tidak menyaksikan perubahan kepimpinan,kerana ketika PBS menjadi pembangkang,kawasan ini masih menjadi kubu kuatnya.Mungkin kerana suku kaum Dusun/Kadazan yang mendiami kawasan ini sinonim dengan PBS.Hal ini tidak menghairankan kerana, iklim politik di Sabah jauh berbeza dengan di Semenanjung.Politik Di Sabah masih terikat dengan 'Politik kesukuan'.Justeru itu, Kadamaian menjadi 'Damai' di bawah wakil PBS.
Antara kampung-kampung yang terletak dalam kawasan ini kampung Ratau, Rangalau,Tamu Darat, Narinang,Taginambur dan banyak lagi kampung-kampung kecil yang bertaburan di kawasan ini. Seingat saya, 13 tahun yang lalu, kawasan Kadamaian ini masih jauh ketinggalan dari sudut pembangunan.Ini pun tidak memeranjatkan kerana Pekan Kota Belud pun ketika itu 'lembab' pembangunan fizikalnya.Tidak ada yang mengingatkan pengunjung ke Kota Belud, selain daripada "tamu' mingguannya.Itu saja!! Apabila pekan Kota Belud berubah wajah, Kadamaian juga turut merasainya. Kalau dulu ( 13 Tahun lepas ). Jalan raya di kawasan ini hanya berturap sehingga di kawasan SMK Narinang,namun sekarang dengan siapnya 'Jalan Pintas' ke Kundasang, Ranau. Penduduk di Kadamaian senang berulang-alik ke Pekan Kota Belud dengan hanya memakan masa kurang daripada 30 minit.Jambatan-jambatan usang telah diganti dengan jambatan konkrit.Dan seingat saya pada tahun lepas kawasan ini mula di salurkan bekalan air bersih.Kalau dari pengamatan saya kawasan ini sudah punya kemudahan asas yang cukup...Memang pun sejak dulu saya kagum dengan 'pemimpin'di kawasan ini yang bersungguh-sungguh untuk membawa masuk pembangunan di Kadamaian.Dan usaha ini berjaya kerana sekarang Kadamaian jauh ke depan berbanding dengan kawasan Dewan Undangan Negeri lain di Kota Belud.
Perbandingan perlu di buat untuk mencari penyelesaian bagi sesuatu masalah.Justeru dalam isu ini,perbandingan perlu kita buat antara Kawasan Kadamaian, Kawasan Usukan dan Kawasan Tempasuk.Ketiga-tiga kawasan DUN ini di wakili oleh BN, cuma kalau dari sudut politik kesukuan, pemimpin dari kawasan Kadamaian di wakili oleh pemimpin dari suku 'Dusun'. Kawasan Usukan,pemimpin dari suku 'Bajau' dan kawasan Tempasuk juga dari suku 'Bajau'.Sekali lagi saya merasa sedih, kerana suku saya Iranun tidak mendapat tempat dalam 'politik kedaerahan' di Kota Belud ini.Meskipun dulunya kawasan Tempasuk ini di wakili secara temurunnya dari suku Iranun. Kita tinggalkan soal ini seketika, kerana isu ini telahpun saya ungkit dalam penulisan saya yang terdahulu yang membicarakan kepolitikan Iranun.Apa yang menjadi fokus saya kali ini ialah kewibawaan yang di tunjukkan oleh wakil rakyat Kadamaian cukup menggamit rasa saya.Terdetik seketika, alangkah bagusnya kalau wakil rakyat di Tempasuk dan Usukan juga sedemikian.Bukan saya katakan wakil rakyat Tempasuk Dan Usukan tidak berwibawa, namun kehendak di peringkat akar umbi mengkhendakkkan agar 'pimpinan' dapat menyelesaikan masalah-masalah asas di kawasan ini. kalau Kadamaian dapat saluran bekalan air bersih, kita dengan rasa tulus dan rendah diri memohon agar wakil rakyat di Tempasuk dan Usukan 'turun padang' menyelesaikan permasalahan air bersih di kawasan ini.Bagi saya, bekalan air bersih ini suatu yang sangat penting dalam kehidupan dan peningkatan taraf kesihatan masyarakat di kawasan ini. Air bawah tanah yang menjadi alternatif penduduk ternyata tidak menjamin kesihatan pada jangka panjangnya.
Ketika saya melalui kawasan Kadamaian ini, saya sangat merasa 'damai' dengan panorama yang memikat kalbu, pemandangan gunung kinabalu, mengusik seribu rasa...hamparan sawah padi dan kabus yang meyelubungi kawasan ini pada waktu pagi,sememangnya 'damai' dan mengasyikkan!!! di tambah lagi dengan bunyi aliran sungai Kadamaian yang seakan-akan seperti Jeram,nampaknya benar-benar mengilhamkan saya untuk menulis catatan ini...sebagai anak jati di daerah ini saya ,mengharapkan agar 'Kedamaian' di Kadamaian akan turut dirasai di kawasan Tempasuk dan Usukan.'Damai' dan didamaikan oleh visi dan misi pemimpin yang berkelibar....

No comments:

Post a Comment