Pages - Menu

Saturday, June 6, 2009

Bejana Hikmat

Penciptaan manusia pertama yakni Adam a.s. oleh Allah SWT merupakan rahmat bagi sekalian alam ini. Dari ‘bapa’ manusia ini lahirlah keturunan manusia yang diamanahkan untuk mentabdir alam ini. Seiring dengan penciptaan manusia ini, Allah swt telah ‘menghadiahkan’ kepada makhluk ciptaannya ini dengan suatu bejana yang sangat-sangat hebat. Tidak ada teknologi yang boleh menandingi ‘bejana hikmat’ ini.Malahan ‘bejana’ inilah yang menggerakkan manusia, sehingga manusia itu mampu meneroka daratan dan lautan dengan ilmu yang dipinjamkan oleh Allah SWT. ‘Bejana hikmat’ yang dimaksudkan itu ialah ‘Hati’. Setiap manusia memiliki ‘ hati’ yang sama fungsinya.Namun hanya manusia itu sendiri yang menentukan ke mana gerak hati itu. Dalam konteks ini ‘ilmu’ memainkan peranan yang penting dalam ‘perletakkan’ hati itu di tempat yang sepatutnya.

Banyak ulama-ulama Islam dan cendekiawan-cendekiawan ulung yang memperkatakan tentang ‘hati’ ini.Bahkan kegemilangan sesuatu tamadun ini, berkait rapat dengan hati-hati masyarakatnya yang dihiasi oleh ilmu dan takwa kepada RabullJalil, Allah SWT.Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda ‘Dalam diri manusia itu ada seketul daging, bilamana baik daging itu, maka baiklah manusia itu,bila daging itu rosak maka rosaklah manusia itu. Ketahuilah bahawa ‘daging’ itu ialah hati”. Begitulah besarnya peranan hati dalam tubuh badan manusia.Segala perilaku zahir yang lahir adalah pancaran dari sifat dalaman iaitu hati.Sebab itulah kita tidak heran dan terkejut jika banyak kes-kes social yang melanda masyarakat global dewasa ini. Semuanya ini adalah kerana ‘hati’ sudah tidak diikat dengan tali ketakwaan kepada Allah SWT. Lihat dan perhatikan sekeliling kita, ramai yang memiliki kekayaan harta benda yang melimpah ruah, memiliki kelulusan akademik yang tinggi, tetapi tidak memiliki ‘Kekayaan Jiwa’.Akhirnya orang-orang ini teraba-raba dalam kegelapan mencari ketenangan dan kententeraman. Hati diselimuti oleh sifat-sifat Mazmumah seperti dengki, khianat, bakhil, suka berperasangka, pecah amanah ,rasuah dan banyak lagi sifat-sifat tercela. Sifat-sifat Mahmudah dan terpuji seperti rajin, baik hati, amanah, ikhlas dan sebagainya tidak menduduki ‘hati’.Sebab itulah ‘kemungkaran bermaharajalela’.

Menurut Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin pada bab keajaiban hati berkata. “hati ialah raja bagi manusia. Sebagai raja, hati mempunyai tentera-tentera yang mampu melaksanakan kehendak-kehendaknya. Tentera-tentera ini dikenali sebagai tentera-tentera zahir dan batin. Tentera zahir ialah segala anggota badan yang dikurniakan kepada manusia. Tentera batin pula ialah nafsu syahwat dan marah disamping ilamu ,hikmat dan kebijaksanaan.Nafsu Syahwat dan marah mampu memainkan dua peranan yang berbeza iaitu membantu hati atau menghancurkannya.Justeru, hati memerlukan ilmu dan hikmat supaya dengannya nafsu syahwat dan marah dapat dikekang bagi melaksanakan perkara-perkara yang bermanfaat sahaja. Ilmu yang paling mulia ialah ilmu tentang Allah serta keagungannya.Penguasaan ilmu ini dan keyakinan yang lahir daripadanya berbeza antara seorang dengan seorang yang lain.Pada peringkat awal, ilmu ini diperoleh berdasarkan usaha dan kesungguhan sehingga seseorang mengenali sifat-sifat yang wajib,mustahil serta harus bagi Allah.Pada tahap yang tinggi,ilmu dan keyakinan terhadap Allah terhasil berdasarkan penglihatan mata hati yang dikurniakan oleh Allah”.

Kepentingan ilmu dalam mendidik hati supaya sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah SWT adalah sangat-sangat disedari oleh kebanyakkan ulama-ulama Islam. Dalam hal ini Imam Ghazali berkata,’Berbekalkan ilmu dan keyakinan ini hati manusia akan menjadi bersih dan hasilnya ialah kebahagiaan manusia di dunai dan akhirat”. Saidina Ali pernah berkata;’Sesungguhnya Allah mempunyai bejana di muka bumi dan ia adalah dalam bentuk hati-hati manusia.Hati yang paling dikasihi Allah ialah hati yang paling lembut, yang paling suci dan yang paling keras.Maksud paling keras ialah yang paling keras berpegang pada agama Allah.Maksud yang paling suci ialah yang paling suci daripada sudut keyakinan dan maksud yang paling lembut ialah yang paling berlemah lembut kepada sahabat dan taulan”.

No comments:

Post a Comment