Pages - Menu

Saturday, May 9, 2009

HANG JEBAT SEBAGAI PENDERHAKA

HANG JEBAT SEBAGAI PENDERHAKA.

HIKAYAT Hang Tuah mencatatkan Hang Jebat adalah penderhaka. Sebagai orang yang menentang Sultan Mansur Syah dan menodai birokrasi negeri, dia wajar mati. Seluruh keturunannya juga perlu dihapuskan.

Sudah tersurat untuk penderhaka, Hang Jebat mati di tangan sahabat karibnya, Hang Tuah, pahlawan Melayu yang mempunyai taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada sultan Melaka (sebenarnya membuta-tuli).

Legenda Tuah dan Jebat, Kesultanan Melaka yang penuh hasad dengki dan kepincangan birokrasi ini sudah menjadi milik rakyat dan mereka tahu seluruh perjalanan kisah yang membawa kepada kematian Jebat itu.

Polemik antara Jebat dan Tuah tidak pernah menemukan noktahnya hingga ke hari ini. Sarjana-sarjana memperdebatkan kedudukan kedua-duanya dari perspektif wira, penderhaka kesetiaan dan di satu sisi lain ia merupakan keberanian menentang birokrasi yang pincang.

Ramai yang melihat Tuah sebagai wira kerana setia yang tidak ada duanya kepada Sultan Melaka. Tetapi Sasterawan Negara Usman Awang melihat Jebat sebagai wira dalam naskhah teater Matinya Seorang Pahlawan.

Begitu juga Kassim Ahmad dan Mana Sikana (Tuah-Jebat dalam Drama Melayu: Satu Kajian Intertekstualiti, 1994) yang meletakkan Jebat sebagai wira yang berani memperjuangkan kebenaran walaupun terpaksa menderhaka kepada sultan.

Namun, masyarakat Melayu telah dididik - sesiapa yang mengkritik birokrasi dan sistem kekuasaan adalah penderhaka. Sebagaimana Jebat, dosanya terhadap sultan dan negeri Melaka terlalu besar, walaupun dia membela kebenaran. Balasan kepada penderhaka dalam mana-mana kerajaan di dunia ialah mati di hujung senjata.

Malah, dalam waadat antara Demang Lebar Daun (mewakili rakyat) dan Sang Sapurba seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu, mana-mana hamba rakyat yang menderhaka dan berbuat nista kepada rajanya, mereka boleh dijatuhkan hukuman mati, jika tidak ada lagi ruang keampunan.

Persoalannya Kenapa Jebat dianggap sebagai penderhaka sedangkan dia memperjuangkan kebenaran dan keadilan? Jawapan yang mudah ialah Jebat menentang sebuah sistem yang dibangun oleh suara kekuasaan majoriti.

Di sisi lain, Jebat sendiri dilihat oleh pembesar-pembesar Melaka yang berkepentingan dalam sistem tersebut sebagai upaya mencabar kedudukan sultan, sekali gus meletakkan dirinya sebagai penguasa baru.

Biarpun, mengetahui kezaliman sultan (mungkin juga kebodohan) dalam sistem tersebut, kebenaran Jebat dan penakutnya Tuah untuk membetulkan kesilapan birokrasi, pembesar-pembesar tetap mengakui Tuah sebagai wira.

Akhirnya seperti yang dicatat dalam Sejarah Melayu, seluruh keturunan Jebat dibunuh dan diaibkan. Binatang peliharaannya juga dimusnahkan dan tapak rumahnya dihumbankan ke laut.

Sebenarnya, kisah Jebat-Tuah telah diletakkan dalam ruang kognitif masyarakat bahawa Jebat adalah penderhaka. Sesiapa sahaja yang bertentangan dengan kepentingan sistem birokrasi yang majoriti adalah “Jebat”.

Menegur kesilapan

Segelintir masyarakat kita melihat, kelahiran Jebat-Jebat baru sentiasa bertentangan dengan sistem yang ada. Ironinya, orang Melayu memerlukan “Jebat” yang berani menegur kesilapan birokrasi sultan dan para pembesarnya.

Secara filosofis, dalam paradigma Max Weber, birokrasi merupakan organisasi rasional yang mengutamakan mekanisme sosial bagi memaksimumkan keberkesanan untuk mensejahterakan masyarakat.

“Keberkesanan birokrasi mengarah kepada aspek-aspek pentadbiran dan organisasi. Dalam pandangan ini, birokrasi diertikan sebagai institusi formal yang bertanggungjawab melaksanakan kesejahteraan masyarakat secara fungsional.

“Jadi, birokrasi tidak boleh mengutamakan kepentingan kelompok tertentu sahaja dan mesti bersedia menerima kritikan,” tulis Weber dalam karya magnum opusnya, Economy and Society.

Sebagai sebuah konsep pemerintahan yang paling penting, birokrasi perlu dikritik kerana ternyata dalam pelaksanaannya banyak menimbulkan masalah kegagalan dan kepincangan ekoran daripada kelemahan para penguasa.

Ini kerana (berdasarkan pandangan Weber), birokrasi yang menjadi landasan untuk kepentingan tertentu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, akhirnya menjadi pincang dan tidak bermaya.

Ahli sosiologi, Warren Bennis melontarkan satu pandangan yang menarik dalam tulisannya, Organizational Developments and the Fate of Bureucracy yang dimuatkan dalam Industrial Management Review VII (1966).

“Birokrasi adalah temuan sosial yang sangat baik dan bentuk kemampuan manusia yang luar biasa untuk mengorganisasikan, mengkordinasikan mewujudkan proses-proses kegiatan produktif.

“Bagaimanapun, kita sangat memerlukan birokrasi yang sihat, tidak secara konseptual semata-mata dan tidak hanya mewakili kebijaksanaan majoriti. Pendapat dari luar sistem juga perlu,” tulisnya.

Oleh itu, tidak wajar masyarakat kita sentiasa meletakkan Tuah yang tidak berani mengkritik sultan sebagai wira, sedang Jebat terus dianggap sebagai penderhaka selamanya!

No comments:

Post a Comment