Pages - Menu

Saturday, September 28, 2013

KELEBIHAN ORANG YANG BERILMU

Oleh Amran Zakaria

ISLAM menjadikan ilmu pengetahuan penggerak utama mencapai maksud merubah kehidupan ke arah lebih baik. Ilmu diangkat ke tahap paling tinggi kerana tanpa ilmu pengetahuan, segala kegiatan akan menemui kegagalan dan tidak sampai kepada matlamat sebenar, iaitu mencari keredaan Allah.

Menurut Islam, ilmu pengetahuan adalah ukur tara yang jelas bagi membezakan antara seseorang dengan yang lain. Ini dijelaskan melalui firman Allah bermaksud: �Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui.� (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Selain itu, ilmu pengetahuan juga alat bagi mencapai tahap keimanan sempurna dan pengukur ketakwaan seseorang kepada penciptanya. Ilmu dan iman tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling berhubungan dan saling mempengaruhi.



Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketakwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit.

Allah meletakkan orang beriman dan berilmu ke tahap paling tinggi, seperti ditegaskan Allah dalam firmannya bermaksud: �Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.� (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah bermaksud: �Katakanlah adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana.� (Surah al-Zumar, ayat 9)

Daripada Ka�ab bin Malik, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: �Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.� (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Ilmu agama atau ilmu yang ada dalam al-Quran dan sunnah akan menjadi benteng mencegah seseorang daripada melakukan perkara dilarang syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau mengejar kebendaan duniawi.

Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti kejuruteraan, kedoktoran, pertanian dan sebagainya dapat membantu kesejahteraan hidup manusia di dunia. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan Islam memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu.

Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud: �Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.� (Hadis riwayat Ibn 'Adiyy, Al-Bayhaqi dan Al-Tabarani)

Kedudukan serta martabat orang berilmu diangkat dan diletakkan di tempat yang tinggi. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat.

Firman Allah bermaksud: �Allah mengangkat beberapa darjat orang yang beriman dan orang yang diberi ilmu pengetahuan.� (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, memberi kekuatan ketika dalam kesusahan dan berhadapan dengan musuh. Dengan ilmu, manusia dapat menjalankan ibadah secara sempurna serta melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

Di Malaysia, sumber ilmu melalui penghasilan buku sangat sedikit. Hasil kajian profil membaca Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 1996 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun, berbanding 180,000 judul di China, 116,000 judul di United Kingdom, 60,000 judul di Amerika Syarikat dan 45,000 judul di India.

Daripada 10,310 judul buku berdaftar setahun yang dihasilkan perangkaan PNM itu, hanya 1,273 atau 32 peratus saja buku ilmiah dikategorikan boleh meningkatkan minda, inovasi dan keilmuan kepada pembaca. Yang lain adalah bahan bacaan santai di samping buku teks akademik dan kanak-kanak.

Rasulullah SAW mengajarkan sahabat untuk selalu berlindung daripada sifat malas. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: �Siapa merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.� (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, ilmu yang ada pada kita amat sedikit. Alangkah sayangnya jika ilmu yang sedikit dikurniakan Allah gagal untuk dimanfaatkan bagi tujuan agama dan ummah. Allah berfirman bermaksud: �Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.� (Surah Al-Kahfi, ayat 109)

Justeru, kajian yang dibuat adalah bertujuan untuk mencari ilmu, bukan untuk bersaing dengan ilmuwan yang ada, bukan berbahas demi memperoleh kemenangan dan bukan untuk menjadi masyhur. Ia ditulis hanyalah untuk mencari keredaan Allah semata-mata.

Satu peringatan keras daripada Rasulullah SAW, dilaporkan daripada Abu Hurairah, sabda Baginda SAW bermaksud: �Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari reda Allah, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat.� (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Niat menuntut ilmu juga penting kerana jika tujuan mendalami sesuatu bidang tidak bagi mencapai keredaan Allah, maka rugi di dunia apatah lagi di akhirat.

Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata: �Ilmu diiringi dengan perbuatan. Barang siapa berilmu maka dia harus berbuat. Ilmu memanggil perbuatan. Jika dia menjawabnya, maka ilmu tetap bersamanya, namun jika tidak maka ilmu pergi darinya.�

Seharusnya ketika ini kita sudah bersedia untuk memecahkan gumpalan pemikiran lama yang menjadikan tesis dan bahan kajian sekadar menjadi simbol kebanggaan yang langsung tidak dimanfaatkan.

Alangkah baiknya jika semua analisis dan kajian dibuat dapat diterjemahkan untuk tujuan pelaksanaan demi kepentingan dan pembangunan ummah. Tidak bolehkah kajian itu diwakafkan demi kepentingan tamadun ummah.

Memecahkan gumpalan pemikiran yang sudah berabad itu memang tidak mudah. Tetapi itulah agenda besar yang harus dilaksanakan jika ingin mengembalikan dinamik Islam ke arah berdaya saing.

Sudah lama kita dilihat lemah dan tidak berkeupayaan untuk membuktikan Islam adalah pelopor serta menjadi paksi kemajuan dunia. Ingatlah, buku adalah gudangnya ilmu dan membaca itu adalah kuncinya.

Diriwayatkan, Rasulullah SAW ada memberitahu kepada Abu Dzar: �Wahai Abu Dzar, kamu pergi mengajarkan ayat dari Kitabullah lebih baik bagimu dari solat seratus rakaat. Dan, pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan, dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik dari solat seribu rakaat.� ( Hadis riwayat Ibnu Majah)

No comments:

Post a Comment