Pages - Menu
▼
Friday, March 8, 2013
SEKOLAH DI LAHAD DATU DAN SEMPORNA MULA DI BUKA ISNIN INI
Lima puluh tujuh sekolah yang kini ditutup sementara di Lahad Datu dan Semporna ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu akan dibuka Isnin depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Namun sebarang keputusan untuk melanjutkan tempoh penutupan sekolah terbabit bergantung kepada nasihat dan maklumat keselamatan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), katanya.
"Sekiranya MKN memberitahu kesemua sekolah selamat untuk diduduki semula maka kita akan buka semula," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Sarjan Azis Sarikon, antara perwira negara yang terkorban pada 2 Mac lalu dalam insiden pencerobohan pengganas di Semporna.
Mohd. Puad berkata, penutupan sekolah terbabit melibatkan cuti berganti di mana pihak sekolah perlu menggantikan sesi persekolahan apabila keadaan pulih bagi mengelakkan proses pembelajaran terjejas.
Beliau berkata, kementerian juga berbincang dengan pasukan keselamatan bagi menempatkan beberapa anggota polis di kawasan sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.
"Ibu bapa tidak perlu risau berhubung keselamatan anak mereka sekiranya sekolah dibuka, kerana pasukan keselamatan ada ditempatkan di kawasan sekolah tersebut," katanya.
Lapan sekolah yang masih ditutup di daerah Lahad Datu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan, SK Tanjung Labian, SK Sahabat 16, SK Lok Buani, SK Sahabat 14, SK Cenderawasih, SK Fajar Harapan, Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana.
Di daerah Semporna, 49 buah sekolah masih ditutup, melibatkan 40 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah.
Beliau juga berkata, pihaknya berbincang dengan pihak keselamatan untuk memberikan kawalan kepada guru yang bertugas di kawasan berisiko.
Terdahulu, Mohd. Puad menyampaikan sumbangan berjumlah RM36,486.15 hasil kutipan daripada Kolej Matrikulasi di Malaysia kepada keluarga Allahyarham. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment