Pages - Menu

Saturday, March 10, 2012

MENGAPA GURU TIDAK CEMERLANG





Pencapaian pelajar banyak bergantung kepada inisiatif guru dalam menyampaikan sesuatu ilmu dan pengetahuan. Namun tidak dinafikan faktor-faktor lain seperti ibu bapa, persekitaran, media masa dan media pendidikan juga memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan seseorang pelajar.

Tugas hakiki guru adalah mengajar, mendidik, memberi adab, menunjuk cara dan pelbagai lagi fungsi yang akhirnya menjurus kepada penyucian diri seorang manusia kepada pencerahan ilmu yang bermanfaat daripada tidak tahu kepada tahu, buta huruf kepada celik huruf. Nah ! sekarang, guru harus berbangga dengan apa yang dilakukannya.

Tetapi…guru jangan hanya berbangga kepada pelajar yang berjaya dengan cemerlang sahaja, tanpa merujuk kepada segelintir pelajar lain yang masih tercicir usahanya untuk meningkatkan keupayaan diri menuju destinisi yang mereka impikan.

Mengapa masih ada pelajar yang ketinggalan jauh di belakang dan tercicir dari rakan-rakan mereka yang berjaya itu ? Persoalannya ? Adakah pelajar ini tidak pandai, tidak bijak dan malas ? atau gurunya yang tidak mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu yang boleh dikuasai dalam menarik minat pelajar kepada pengajaran dan pembelajaran guru ?



Tidakkah guru mengambil inisiatif lain yang boleh meningkatkan prestasi pelajar ? atau guru sudah berputus asa ? Berapa ramai guru yang betul-betul diistilahkan sebagai “GURU SEBENAR GURU – KE SEKOLAH TIDAK JEMU MENGAJAR TIDAK LESU”. Maka guru jangan mudah melenting, marah atau cuba menimbulkan pelbagai helah bela diri apabila banyak situasi demikian diutarakan oleh pelbagai pihak.

Ya…..pelbagai pertanyaan mungkin akan timbul dalam benak dan fikiran para ibu bapa yang mengharapkan kejayaan anak-anak yang dihantar ke sekolah untuk menuntut ilmu sepanjang hari dari pagi hingga ke petang, namun hasilnya masih tidak seberapa. Guru harus rasional, profesional dan berfikiran terbuka apabila kreadibiliti mereka digugat dan dipersoalkan.

Maka di sini, cuba kita fikirkan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku kepada diri guru dalam profesion perguruan mereka. Ciri – ciri yang menonjolkan sifat tidak cemerlang segelintir para guru, seharus tidak dibiarkan berleluasa menjadi duri kepada orang lain, menitikkan nila ke dalam air sebelanga dan menconteng arang kepada semua wajah yang tidak berkenaan.


Saya ingin berkongsi dengan teman pembaca melalui daya fikir Dr. Tuah Iskandar, seorang pakar motivasi dalam penulisan beliau dengan mengariskan beberapa ciri guru yang tidak cemerlang iaitu :

1. TIDAK PANDAI MENGAJAR : BUKAN SEMUA GURU TIDAK PANDAI MENGAJAR, TAPI TIDAK SEMUA GURU PANDAI MENGAJAR.

Kata-kata ini merujuk kepada ramainya guru bukanlah dilahirkan dengan bakat-bakat tertentu untuk muncul sebagai seorang guru dalam erti kata yang sebenarnya. Terbukti semakin ramai guru di sekolah semakin banyak pula pusat tuisyen tumbuh merata-rata. Mengapa ini berlaku ? Pelajar yang kurang cemerlang di sekolah, apabila mendapat tuisyen di pusat-pusat ini kembali dengan keputusan-keputusan peperiksaan yang memberangsangkan. Itu salah satu bukti betapa sesetengah guru sekolah tidak pandai mengajar, sudah tidak minat mengajar atau sudah tewas mengajar.

2. TIDAK PANDAI MENGUASAI

Seorang guru perlu menguasai bidangnya, bukan dia dikuasai oleh bidangnya itu. Guru yang dikuasai oleh bidangnya adalah seorang yang malas mencuba, dia mengikut sahaja rentak yang sedia ada. Tiada daya usahanya untuk mencuba sesuatu yang baru yang boleh diertikan sebagai profesionalismenya dalam bidang berkenaan. Guru yang tidak pandai menguasai juga adalah guru yang gagal sebelum perjuangan sebenar. Murid mungkin akan mula tidak ambil perhatian terhadap pengajaran guru dan tidak mustahil mereka mula mempermainkannya pula.


3. TIDAK PANDAI BERLAKON

Seorang guru perlulah menjadi seorang pelakon yang baik, apa lagi kalau dia mengajar di sekolah rendah, dia perlu banyak berlakon dalam memukau perhatian murid-muridnya. Dia bukan sekadar mengajar mata pelajaran yang dikhususkan kepadanya mengajar, tetapi melakonkan mata pelajaran itu.Seorang guru bukanlah guru yang baik kalau ilmunya banyak tetapi setiap kali dia berada di hadapan murid dia menjadi seorang yang membosankan, murid mungkin hilang tumpuan, mengantuk atau mungkin juga tertidur dengan nyenyaknya.

4. TIDAK KREATIF

Mengajar adalah satu cabang seni yang memerlukan kemahiran-kemahiran tertentu. Seorang guru perlu kreatif dalam menjalankan tugasnya. Guru kreatif sentiasa ada idea baru untuk mencorak pengajarannya. Suka mempelbagaikan gaya pengajaran, pendekatan, memikirkan kaedah dan teknik yang menarik untuk menyampaikan ilmu agar pelajar memahami apa yang diajarnya. Penggunaan bahan bantu mengajar dan bahan bantu belajar menjadi satu kemestian bagi pelaksanaan aktiviti pelajar agar wujud pembelajaran bersama atau kolaborasi yang menimbulkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.



SECARA TESISNYA, apa yang cuba diutarakan oleh Dr. Tuah Iskandar di atas, membayangkan kepada umum bahawa sebenarnya tugas guru bukan mudah. Tugas guru penuh cabaran, perlukan kekuatan dalaman, ikhlas, rela hati, sayangkan pelajar, minat mengajar yang sebenar-benarnya dan pelbagai lagi kewajaran yang menunjukkan banyak pengorbanan yang perlu diambil jika mahu bergelar seorang guru. Menjadi guru bukan tugas main-main, bukan sekadar mendapat ganjaran di hujung bulan.

No comments:

Post a Comment