Pages - Menu

Monday, August 15, 2011

SUNAT WITIR

Bilakah Qunut Sembahyang Witir?

Menurut pendapat yang shahih sunat membaca doa qunut witir khusus pada pertengahan akhir bulan Ramadhan iaitu bermula daripada 16 haribulan sehingga akhir Ramadhan. Doa itu dibaca selepas bangkit daripada rukuk dan di akhir rakaat sembahyang jika dikerjakan lebih dari satu rakaat sembahyang witir. Adapun jika seseorang itu hanya mengerjakan sembahyang witir satu rakaat, maka bacalah doa qunut itu pada rakaat tersebut.

Doa qunut witir itu sama bacaannya dengan doa qunut subuh akan tetapi sunat digabungkan doa itu dengan qunut Sayyidina ‘Umar Radhiallallahu ‘anhu iaitu yang ertinya :

"Ya Allah, sesungguhnya kami mohon pertolonganMu, kami mohon pengampunanMu, kami mohon pertunjukMu. kami beriman denganMu, kami berserah kepadaMu, kami memujiMu dengan kebaikan semuanya, kami bersyukur dan kami tidak ingkar terhadapMu, kami buang dan tinggalkan sesiapa yang derhaka kepadaMu.

Ya Allah, Engkaulah yang kami sembah, dan kepadaMu kami tunaikan sembahyang dan melakukan sujud, kepadaMu kami bersegera dan bergegas untuk berkhidmat, kami harapkan rahmatMu, kami takut kepada azabMu, sesungguhnya azabMu adalah terlalu amat dahsyat dan ianya menimpa atas orang-orang kafir.

Ya Allah, azabkanlah orang kafir ahli kitab yang menghalang kami daripada mengikuti jalanMu dan mereka yang mendustakan rasul-rasulMu serta membunuh pengikut-pengikutMu.

Ya Allah, ampunilah orang-orang mukmin, mukminat, muslimin dan muslimat. Perbaikilah perhubungan dikalangan sesama mereka, jinakilah hati-hati mereka serta jadikan dalam hati-hati mereka itu iman dan hikmat, teguhkanlah mereka di dalam agama RasulMu, kurniakanlah kepada mereka kekuatan untuk menyempurnakan janjiMu yang Engkau perintahkan mereka untuk menunaikannya, tolonglah mereka terhadap musuhMu dan musuh mereka, wahai Tuhan yang maha benar, jadikanlah kami daripada mereka (orang-orang yang Engkau redhai)."

Menurut ar-Ruyani, berkata Ibnu al-Qas ditambah dalam qunut itu doa yang terkandung dalam surah al-Baqarah iaitu yang tafsirnya:

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

(Surah al-Baqarah: 286)

Dalam hal doa qunut subuh dan doa Sayyidina ‘Umar ini, manakah yang afdhal di dahulukan? Menurut Imam an-Nawawi bacaan doa qunut subuh itu adalah lebih afdhal di dahulukan berbanding dengan doa Sayyidina ‘Umar, kerana doa qunut subuh itu sabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Raudhah at-Thalibin: 1/329-330)

Apabila seseorang itu meninggalkan bacaan doa qunut witir pada separuh terakhir Ramadhan sama ada dengan senghaja atau terlupa, nescaya disunatkan baginya untuk melakukan sujud sahwi.

Namun jika seseorang itu membaca doa qunut pada selain separuh terakhir Ramadhan serta tidak lama ber‘itidal di dalam sembahyang witir, maka makruh hukumnya dan disunatkan pula ke atasnya untuk melakukan sujud sahwi kerana membaca doa qunut bukan pada tempatnya yang disunatkan. Adapun jika lama dia ber‘itidal dengan senghaja dan tahu itu haram maka batal sembahyangnya, jika ianya tidak mengetahui yang itu haram, maka tidak batal sembahyang dan disunatkan melakukan sujud sahwi. (Mughni al-Muhtaj: 1/305)

Bolehkah Sembahyang Witir Dengan Berjemaah?

Di antara sembahyang-sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah itu ialah sembahyang witir. Akan tetapi sembahyang witir itu disunatkan berjemaah hanya khusus pada bulan Ramadhan sahaja. Ini kerana sembahyang tarawihdisunatkan berjemaah di dalamnya demikianlah juga dengan sembahyang witir.

Mengqadha Sembahyang Witir

Sembahyang witir itu termasuk di dalam sembahyang-sembahyang sunat yang berwaktu seperti sembahyang dhuha, hari raya, rawatib seperti sembahyang sunat zohor dan sebagainya. Dalam hal ini menurut qaul jadid adalah disunatkan mengqadha sembahyang witir yang telah pun luput daripada waktunya sebagaimana mengqadha sembahyang fardhu. (Majmuk: 4/43-44)Mereka berdalilkan dengan hadis-hadis yang shahih di antaranya, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Sesiapa tidak sembahyang dua rakaat fajar sehingga terbit matahari maka sembahyanglah"

(Hadis riwayat Baihaqi)

Sabda Baginda lagi yang maksudnya :

"Sesiapa yang tidur atau lupa mengerjakan sembahyang witir maka sembahyanglah apabila dia ingatkannya."

(Hadis riwayat Abu Daud)

Bolehkah Sembahyang Sunat Lain Selepas Witir

Apabila seseorang itu sudah mengerjakan sembahyang witir, kemudian dia hendak mengerjakan sembahyang sunat yang lainnya seperti sunat tahajjud, hukumnya adalah harus dan tidak makruh perbuatannya itu. Akan tetapi bolehkah dia mengulangi sembahyang witirnya itu? Dalam hal ini, sembahyang witirnya yang awal itu tidak terhapus. Oleh yang demikian janganlah diulangi sembahyang witirnya itu, akan tetapi bolehlah dia mengerjakan apa saja sembahyang yang syaf‘an (genap) jika dia mahu. (Majmuk: 4/22,32)

Dalam sebuah hadis Thalq bin ‘Ali daripada ayahnya berkata yang maksudnya :

"Saya pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Tiada dua witir dalam satu malam."

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Penutup

Sembahyang witir itu bukan hanya disunatkan pada bulan Ramadhan sahaja. Bahkan ianya disunatkan selain bulan Ramadhan. Dalam makna yang lain, Ia sunat dikerjakan pada setiap malam tidak mengira sama ada pada bulan Ramadhan atau di bulan-bulan yang lain.

Ianya mempunyai fadhilat-fadhilat tertentu sehinggakan sembahyang ini menjadi wajib ke atas diri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan hadis yang disebutkan sebelum ini. Di antara fadhilat-fadhilat sembahyang witir itu, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Sesungguhnya Allah ‘Azza Wajalla telah menambahkan bagi kamu satu sembahyang, iaitu lebih baik untuk kamu daripada humrin ni‘am (semulia-mulia harta di sisi orang-orang Arab), itulah sembahyang witir. Allah jadikannya (sembahyang witir) untuk kamu di antara Isya’ hingga terbit fajar."

(Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

"Sesiapa yang mengerjakan sembahyang dhuha, berpuasa tiga hari daripada sebulan dan tidak pernah meninggalkan sembahyang witir sama ada dalam pelayaran dan bermuqim, dicatat baginya pahala orang syahid."

(Hadis riwayat at-Thabrani)

Oleh yang demikian sayugia jangan ditinggalkan sembahyang witir itu, kerjakanlah walaupun hanya sedikit rakaatnya akan tetapi berterusan, kerana amalan yang berterusan walaupun sedikit adalah perkara yang disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sebagaimana di dalam hadis ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata yang maksudnya :

"Ditanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah. Baginda bersabda: "Amalan yang berterusan walaupun sedikit."

(Hadis riwayat Bukhari)

No comments:

Post a Comment