Pages - Menu

Sunday, July 31, 2011

ADAB BERPUASA DI BULAN RAMADAN


ADAB BERPUASA DI BULAN RAMADHAN

Oleh NAZMI AIDARUS (Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu)
Sumber rujukan: http://www.utusan.com.my


Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang
boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:



1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang
tiada kena-mengena dengannya;


2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang
oleh syarak dan yang sia-sia;


3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang
mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk
menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan
dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan
yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang
tidak halal;




4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati
atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan
suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga,
membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak
binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.:
Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan
dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka
sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan
diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada
kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan
berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka
hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan
Muslim);



5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan
bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan
demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia
dan intipati puasa yang perlu dicapai;



6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis
makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa
dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan
keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang
amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.




Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka
yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan
iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat
limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir
kepada-Nya.




Kenyang



Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah
kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati
dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..



Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya,
memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika
dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua
untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)
Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang
anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu
lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”
As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan
diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah
adat mereka sepanjang masa;




7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil
kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia
tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada
mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada
bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan
bagi amalan akhirat;




8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka
dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta
melambatkan makan sahur.
Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda:
Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka
mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur.



9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan
beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang
yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat alBaihaqi dan Ibnu Khuzaimah)




10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.
Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya
seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.



Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajibwajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan
al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu
sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya.
Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.




Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah
solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud,
khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.
Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu
sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w.,
Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan)
beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)




DOA RAMADAN



“Ya Allah, jadikan puasa ku disertai dengan rasa syukur dan diterima olehMu melalui jalan
keredaanMu serta keredaan rasulMu, cabangnya yang kukuh dan kekuatan keberkatan,
demi kenabian Muhamad saw dan keluarga baginda yang suci dan segala puji bagi Allah,
Tuhan sekalian alam”.





O Allah, on this day, make my fasts worthy of appreciation and acceptance, according to what
pleases You, and pleases the Messenger, the branches being strengthened by the roots, for the
sake of our leader, Muhammad, and his purified family. Praise be to Allah, the Lord of the
worlds.

No comments:

Post a Comment