Pages - Menu

Tuesday, April 20, 2010

JAWAPAN DR ASLI TERHADAP LAPORAN POLIS BEBERAPA NGO




Saya tidak terkejut apabila melihat Yusri Muhammad dan rakan-rakan membuat polis. Rakyat Malaysia ramai yang tahu apakah aliran beliau dan sesetengah sahabatnya itu.



Saya tidak pasti laporan itu dibuat kerana kita berada pada musim Pilihanraya Kecil Ulu Selangor, atau ada orang yang agak terluka dengan artikel saya mengenai ‘Telan Air Ludah Ustaz’? Maka, dicari sasaran lalu ditimbulkan isu artikel ‘Cabaran Gerakan Pembaharuan’. Padahal artikel tersebut sudah disiarkan sejak 4 April lagi.



Saya menjemput rakyat Malaysia membaca artikel tersebut sendiri. Sesetengah pihak suka bergantung kepada cerita orang tanpa merujuk sendiri. Bacalah artikel itu dengan matang dan buat penilaian yang adil. Artikel itu menceritakan apa yang diharungi oleh para pejuang gerakan pembaharuan Islam sebelum kemerdekaan. Jika kita membaca buku-buku sejarah sebelum kemerdekaan tentang gerakan pembaharuan, hal yang sama kita akan dapati. Sejarah atau lagenda silam raja-raja Melayu bukan semuanya positif.



Filem-filem Melayu menggambarkan lebih buruk daripada itu. Umpamanya, kezaliman Sultan Melaka dan pengaruh Patih Karma Wijaya disebut dalam buku-buku. Kisah Sultan Mahmud Mangkat dijulang juga sama. Semua itu sejarah lepas. Demikian semasa zaman Inggeris, banyak isu-isu yang dipertikaikan. Jika kita tidak boleh menyebut tentang sejarah agar jangan berulang, malanglah kita ini.



Sejarah hitam di zaman khalifah-khalifah muslimin yang lepas juga disebut dalam buku-buku sejarah, mengapa kita sampai sebut sejarah lepas kesilapan institusi kita untuk pengiktibaran pun menjadi salah dan hendak dianggap sebagai jenayah?! Hanya jiwa yang bermasalah dan ‘kurang bersih’ sahaja yang mungkin demikian.



Sebahagian yang saya sebut dalam artikel berkenaan adalah petikan dari kata-kata Prof Hamka, yang merupakan seorang sarjana Islam yang besar di Nusantara. Bacalah sendiri tanpa diiringi dengan nilai-nilai hasad. Saya tertarik dengan ulasan ringkas seorang inteleks, penulis dan pensyarah di University of Durham, UK iaitu Dr Maszlee Malik yang menulis dalam facebooknya mengenai laporan polis tersebut seperti berikut:



“Pelik melihat intelek seperti Yusri telah menjadi emosional dan tidak mampu berhujah secara rasional setelah menjadi pengikut Syeikh Tarikat. Bab gunakan kuasa kerajaan untuk menindas pihak yang tidak sehaluan biarlah orang-orang yang bukan ilmuwan buat, tapi jikalau intelek pun telah bermain dengan rentak orang jalanan agak mengecewakan. Ke mana perginya golongan Tarikat sewaktu ada pihak yang dengan terang membawa agen Zionis ke Malaysia? apakah itu tidak membahayakan agama? mengapa tiada laporan polis?”



Akhir sekali lagi saya menjemput pembaca membaca artikel berkenaan. Saya juga bersyukur ke hadrat Allah kerana laporan itu telah menjadi promosi baru untuk rakyat Malaysia terus membaca artikel saya dan menambahkan lagi pengunjung ke laman web saya ‘Minda Tajdid’ (drmaza.com).

No comments:

Post a Comment