Pages - Menu

Tuesday, March 9, 2010

KENYATAAN WAN AZIZAH MENGENAI KRISIS PKR


Oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail

wan azizah1 Tatkala kita gigih berusaha menjejak kaki ke Putrajaya, berbondong-bondong kawan muncul mengakui ingin bersama perjuangan, tetapi seraya fitnah dilancar khususnya terhadap Anwar Ibrahim buat kedua kalinya, ada kawan yang kembali menjauhkan diri.

Begitu jualah ketika kami sekeluarga diaibkan dan Anwar disingkirkan dari jawatan kala fitnah pertama dahulu, bertempiaran segelintir yang kononnya sebelum itu ingin bersama.

Begitulah agaknya adat dunia.

Kepada pimpinan yang tetap teguh, sesungguhnya kita tidaklah terlalu bimbang. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan ia mungkin petanda bahawa parti kita sedang mendewasa.

Seperti anak-anak kecil, untuk menjadi kuat, haruslah jatuh dan bangun kembali. Keadaan ini sama sekali tidak menjadikan proses pendewasaan parti kita akan terencat, bahkan menjadikan ia lebih kuat.

Saya bersyukur apabila gejala meninggalkan parti oleh segelintir pemimpin yang kecewa itu terjadi sekarang. Bukan di kala mana kita hampir dengan mana-mana pilihan raya.

Maknanya, kita tetap punya waktu untuk segera menyusun kesepaduan parti untuk berhadapan dengan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan raya Umum ke-13 kelak.

Para anggota parti khususnya, dan rakyat amnya percaya, pilihan raya umum akan datang adalah pilihan raya umum yang paling mustahak dalam sejarah negara. Harapan untuk PR sampai ke Putrajaya, mengambil alih kepimpinan negara sangat besar.

Secara realistik, memang PR tidak akan mampu menang di semua negeri, tetapi itu tidak bermakna kita tidak mampu untuk memperolehi Ahli Parlimen yang cukup untuk mendirikan kerajaan baru; kerajaan rakyat.

Atas sasaran dan cita-cita ini, KEADILAN sentiasa memperbaharui tekad dan menyusun strategi saat demi saat. Bagi mereka yang meninggalkan parti, usah beranggapan mereka tahu segala-galanya urusan parti sehingga mereka boleh menjual maklumat kepada
pihak musuh.

Saya tegaskan, bukan sekali ada manusia yang menganggotai parti hanya untuk mendapat maklumat. Kemudian, mereka pergi kepada musuh dengan menawarkan harga menggadaikan maklumat dalaman parti.

Beberapa kali bentuk sabotaj sedemikian sebelum ini tidak menjadikan KEADILAN lemah. Sebaliknya, KEADILAN terus mendapat sokongan padu rakyat jelata.

Ya, tidakkah mereka belajar, strategi sedemikian rupa hanya sia-sia belaka? Apa yang penting, setiap yang menganggotai parti harus terlebih dahulu menjiwai semangat, idealisme dan dasar-dasar yang diperjuangkan.

KEADILAN diasaskan dengan 17 perkara atau dasar yang menjadi tunjang perjuangan. Antara lain, janji kita adalah untuk memelihara harga diri setiap warganegara, menegakkan dan memulihkan demokrasi dan kebebasan kepada rakyat. Dalam erti kata lain, rakyat
tidak boleh ditindas dan diperbodohkan.

Selepas lebih 50 tahun, senjata pemerintah untuk mengekalkan kuasa adalah dengan memperbodohkan dan memperlekeh kebijaksanaan rakyat. Sebab itu, selagi media massa dikongkong, pemerintah tidak punya alasan untuk mendabik dada, kononnya negara ini adalah negara yang meletakkan tinggi kebijaksanaan rakyat.

Unsur dan nilai-nilai kemanusiaan sedemikian, walaubagaimana indah pun dilakar dalam kata-kata, tidak akan bermakna andai tindakannya berbeza dan bertentangan sekali.

Lalu, saya ingin bertanya pada kawan-kawan yang tergelincir dan meninggalkan perjuangan, apakah mereka lupa janji dan kata-kata mereka sendiri? Andai begitu, suatu hari kelak, usah dipersalahkan andai anak cucu kita sendiri mempersalahkan mereka atas apa yang dilakukan.
Usah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Benarlah ingatan Tuhan, bahawa ’segala sesuatu itu bermula dengan niat.’ Mungkin sehari dua, setahun dua, boleh disorokkan atau disembunyikan niat tatkala menyertai parti. Akhirnya, terbongkar jua.

Seeloknya, pembersihan yang sedang kita jalani ini adalah penyucian jiwa raga demi mengarisluruskan niat. Ia seperti apa yang diingatkan Nabi Muhammad SAW, sebuku atau seketul daging di dalam diri, yang dinamakan ‘hati’, yang sangat penting dipelihara.

Di situlah hujung pangkal segala perbuatan. Termasuk tindak-tanduk politik. Di situlah wajar dirasai, apakah kita benar-benar kasih kepada anak bangsa atau hanya memikirkan soal nafsu dan tembolok sendiri?

Bak kata orang tua-tua, ya… tepuk dada, tanya selera. ‘Selera’ tentulah merujuk apa yang diberitahu oleh Yang Maha Mengetahui, sebagai ‘iman’. Dan ‘iman’ dalam bahasa Melayu pasar, disebut sebagai ‘kepercayaan’. Sekali lagi, apakah kita benar-benar percaya dengan perjuangan ini? Sesungguhnya tidak selama mana manusia mampu untuk berpura-pura.

Tidak sesiapa pun mampu menongkat langit. Sedekad lalu, yang patah tumbuh; yang hilang tetap berganti. Betapa keinsafan adalah anugerah yang tiada taranya.

2 comments:

  1. salam sdr ku,

    lama kira nya sy tidak melayari blog ini, saya sangat merindui penulisan sdr yang membawa pembaca berfikir sejenak ketika membaca penulisan sdr, bakat yang ada pada sdr sgt saya kagumi, semoga sdr sentiasa sihat di samping keluarga.

    salam dr sdr mu datu pitung.

    ReplyDelete
  2. Salam Datu Pitung..

    tq dgn saranan itu..insyallah saya akan mula menulis bila keadaan menizinkan.

    ReplyDelete