Pages - Menu

Saturday, March 27, 2010

FLIGHT KK-TAWAU, DUA KALI DELAY. AIRASIA DI "BOO"


Hari ini 27.03.2010, saya berkesempatan pulang ke Kota Kinabalu, kerana mengetuai rombongan meminang dan bertunang adik lelaki ke-4 Saya. Dari Tawau dengan first flight, MAS 8.25 pagi dan akan pulang ke Tawau semula sebelah petangnya dengan flight Airasia pada 6.30 petang. Setelah selesai majlis pertunangan itu, saya minta adik saya yang ke-5 untuk hantar ke Terminal 2, tambang Murah kota kinabalu, dalam sekitar jam 5.00 petang. Saya check in, dan dimaklumkan flight delay kepada Jam 7.30 malam. Saua bertanya kepada kerani wanita yang bertugas, tetapi dia tidak menjawab, mungkin kerana sudah diumumkan melalui pembesar suara. saya yang agak lewat agaknya.




Kesempatan itu saya gunakan untuk membaca beberapa buah buku yang saya beli lewat petang tadi. Buku-buku yang diterbitkan oleh UMS itu,pengarangnya adalah bekas pensyarah saya...dan saya memerhati sekeliling, agak ramai juga orang ke Tawau malam ini, sedang menunggu,...tetapi hanya dua-tiga orang sahaja yang saya nampak membaca suratkhabar, yang lainnya berbual dan menghubungi rakan atau ahli keluarga mereka. Mungkin memaklumkan mengenai kelewatan flight itu.


Imbang Penuh

Jam menunjukkan jam 6.25 petang, saya naik ke tingkat satu menunju ke surau, untuk menunaikan Solat Maghrib dan Isyak secara Jamak. Di surau saya menemui Ustaz Sawi @ Abdullah Maria.Lamanya saya tidak jumpa ustaz ini, orang kampung saya. Setelah berbual dan bertanya khabar serta perkembangan terkini masing-masing, saya minta beliau mengimami solat Maghrib...dan beliau persetujui.




Selesai solat saya terus menuju ke balai berlepas..untuk menunggu kerana jam sudah menunjukkan pukul 6.55 petang. Saya menyambung kembali buku yang saya baca tadi mengenai TYT Sabah. Saya menghubungi isteri di Tawau, menyatakan kelewatan penerbangan saya itu.takut pula risau, kerana anak saya yang kedua sejak petang, menunggu-nunggu ketibaan saya dan beberapa kali menghubungi saya sejak tengahari lagi.





Jam sudah menunjukkan jam 7.15 malam..sekali lagi pembesar suara bergema,memaklumkan bahawa sekali lagi flight ke Tawau mengalami kelewatan lagi kerana, kelewatan flight dari Brunei Darussalam dan dijangka akan sampai jam 8.30 malam. Bila mendengar pengumuman kelewatan itu, para penumpang yang sejak petang tadi, mereka mem'BOO" secara beramai-ramai sebagai tanda protes dan tidak puas hati. Lelaki berusia di tepi saya mengeluh panjang kerana dia memaklumkan kepada saya, sudah banyak kali dia mengalami keadaan itu..memang Asia terkenal dengan situasi sebegini katanya lagi.




Rasanya Syarikat penerbangan murah ini harus memikirkan untuk meminimumkan masalah sebegini.Kerana lama-kelamaan orang ramai akan kehilangan kepercayaan kepada airasia..Dan ini akan memberikan impak kepada pendapatan domestik syarikat itu.

Tuesday, March 16, 2010

MCA SEMAKIN BERPECAH : ONG KA TING SAH TANDING JAWATAN PRESIDEN


Sebelum ini terdapat 3 puak yang bertelagah dalam MCA, Ong Tee Kiat, Chua Soi Lek, dan team Naib Presiden Datuk seri Liow Tiong Lai + ketua pemuda+ wanita. Kini apabila Ong Ka Ting mantan Presiden MCA yang melepaskan jawatan tertinggi parti ekoran prestasi buruk MCA dalam PRU 2008 menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden, maka laluan Chua Soi Lek dan Ong Tee kiat kelihatan sukar. Kerana Ong Ka Ting dikatakan masih mempunyai pengikut parti yang ramai yang sebelum ini dikaitkan dengan team Liow Lai.



Situasi politik MCA ini tidak akan banyak berubah walaupun pada pemilihan parti yang dijadualkan 28 MAC ini akan akan berlangsung.Sehingga hari ini Chua Soi Lek masih berdiamkan diri dan memberi response, jawatan mana yang akan ditandinginya. Ada desas-desus menyatakan bahawa kemungkinan Chua akan bertanding Presiden mencabar Ong Tee Kiat dengan ketiadaan Ong Ka Ting. Namun bila Ong Ka Ting mengesahkan kedudukannya untuk jawatan presiden..Chua dilihat mengalami satu dilema baru. Sejauhmana Chua akan membuat pilihan ?



Bagi Ong Tee Kiat, sah ! beliau akan berdepan dengan Ong Ka Ting..nampak gayanya MCA semakin berpecah...bila agaknya Pendafaftar Pertubuhan (ROS) akan mengisytiharkan MCA bakal dibatalkan ?

Monday, March 15, 2010

NAJIB LANTIK PERUNDING YAHUDI BANTU URUS MALAYSIA


Dari TV Selangor



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan keangkuhannya apabila sanggup melantik syarikat milik Yahudi untuk menasihati beliau dan isteri atas urusan-urusan negara, termasuk mereka slogan-slogan seperti Satu Malaysia.



Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata wujud wujud bukti jelas Syarikat APCO yang pernah menjadi penasihat kepada kerajaan Israel, kini dibayar sehingga 60 juta ringgit, untuk menasihati Najib dan kerajaan pimpinannya.


Anwar berkata tindakan pemimpin-pemimpin umno menggunakan khidmat syarikat atau perunding Yahudi bukanlah perkara baru kerana pernah dilakukan oleh Tun Mahathir Mohamad sendiri.


“Orang kata “Anwar, mereka keji kamu, mereka fitnah kamu, mengapa kamu fitnah balik?”. Tidak, saya tidak akan sebut kalau saya tidak ada bukti,” kata Anwar.


“Datuk Seri Najib lantik syarikat Yahudi bernama APCO. Saudara-saudari boleh layar internet dan selidik apa dan siapa APCO ini – sebuah syarikat perunding Yahudi. Siapa penasihat utamanya kalau bukan bekas Duta Israel ke Amerika Syarikat dan bekas Duta Israel ke Jerman,” tambah beliau.


“Untuk menjadi Duta Israel ke Amerika Syarikat dan Jerman, haruslah menjadi Zionis yang keras. Orang-orang seperti inilah yang mengasaskan APCO, yang antara peranannya adalah menasihatkan diktator, pemimpin-pemimpin dan pandangan kelompok Yahudi,” tegas beliau.


Datuk Seri Anwar berucap kepada ribuan orang di Dewan Che yang Khor, pangkalan Assam kangar Perlis.


Beliau seterusnya menjelaskan bagaimana APCO menjual idea yang telah di guna pakai di Israel untuk memulakan program 1Malaysia tajaan Najib Razak.


“Antara yang dinasihati APCO ini adalah Perdana Menteri Israel, Ehud Barak. Apa nasihat mereka kepada beliau pada masa itu? Mereka nasihatkan Ehud Barak supaya perkenalkan slogan Satu Israel,” jelas Anwar.


“Tahun 2009, Najib lantik APCO sebagai penasihat. Nasihat yang sama juga diberikan kepada Najib. Ehud Barak kata Satu Israel, Najib kata Satu Malaysia. Berapa belanjanya? RM60 juta ringgit,” tambah lagi.


Anwar berkata tindakan Najib menggunakan APCO menjatuhkan kredibiliti Malaysia sebagai Negara Islam.


“Saudara, keangkuhan Umno sudah sampai kepada kemuncaknya. Berani sungguh sebuah negara Islam lantik APCO seabgai penasihatnya. Seteruk-teruk negara Islam lain, tidak pernah yang sampai ke tahap ini. Umno sanggup, kerana mereka ingat orang Melayu boleh diperbodohkan,” kata Anwar.

“Mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan kepada kita,” katanya lagi.


Pada ceramah ini Datuk Seri Anwar juga menggesa rakyat supaya waspada terhadap cubaan berterusan Umno untuk meniupkan sentimen perkauman dalam usaha meraih sokongan orang Melayu


“Mereka turun ke bawah tuding jari mereka kata orang itu Yahudi, orang ini Cina, orang ini khianat Melayu walhal penasihat mereka APCO,” kata Anwar.

“Dahulu Mahathir bayar taukey judi Yahudi sebab mahu berbaik dengan Presiden George Bush, sekarang APCO buka pejabat di Kuala Lumpur dan bergiat sebagai penasihat kepada Najib dan Rosmah,” tegas beliau.

Tuesday, March 9, 2010

KENYATAAN WAN AZIZAH MENGENAI KRISIS PKR


Oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail

wan azizah1 Tatkala kita gigih berusaha menjejak kaki ke Putrajaya, berbondong-bondong kawan muncul mengakui ingin bersama perjuangan, tetapi seraya fitnah dilancar khususnya terhadap Anwar Ibrahim buat kedua kalinya, ada kawan yang kembali menjauhkan diri.

Begitu jualah ketika kami sekeluarga diaibkan dan Anwar disingkirkan dari jawatan kala fitnah pertama dahulu, bertempiaran segelintir yang kononnya sebelum itu ingin bersama.

Begitulah agaknya adat dunia.

Kepada pimpinan yang tetap teguh, sesungguhnya kita tidaklah terlalu bimbang. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan ia mungkin petanda bahawa parti kita sedang mendewasa.

Seperti anak-anak kecil, untuk menjadi kuat, haruslah jatuh dan bangun kembali. Keadaan ini sama sekali tidak menjadikan proses pendewasaan parti kita akan terencat, bahkan menjadikan ia lebih kuat.

Saya bersyukur apabila gejala meninggalkan parti oleh segelintir pemimpin yang kecewa itu terjadi sekarang. Bukan di kala mana kita hampir dengan mana-mana pilihan raya.

Maknanya, kita tetap punya waktu untuk segera menyusun kesepaduan parti untuk berhadapan dengan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan raya Umum ke-13 kelak.

Para anggota parti khususnya, dan rakyat amnya percaya, pilihan raya umum akan datang adalah pilihan raya umum yang paling mustahak dalam sejarah negara. Harapan untuk PR sampai ke Putrajaya, mengambil alih kepimpinan negara sangat besar.

Secara realistik, memang PR tidak akan mampu menang di semua negeri, tetapi itu tidak bermakna kita tidak mampu untuk memperolehi Ahli Parlimen yang cukup untuk mendirikan kerajaan baru; kerajaan rakyat.

Atas sasaran dan cita-cita ini, KEADILAN sentiasa memperbaharui tekad dan menyusun strategi saat demi saat. Bagi mereka yang meninggalkan parti, usah beranggapan mereka tahu segala-galanya urusan parti sehingga mereka boleh menjual maklumat kepada
pihak musuh.

Saya tegaskan, bukan sekali ada manusia yang menganggotai parti hanya untuk mendapat maklumat. Kemudian, mereka pergi kepada musuh dengan menawarkan harga menggadaikan maklumat dalaman parti.

Beberapa kali bentuk sabotaj sedemikian sebelum ini tidak menjadikan KEADILAN lemah. Sebaliknya, KEADILAN terus mendapat sokongan padu rakyat jelata.

Ya, tidakkah mereka belajar, strategi sedemikian rupa hanya sia-sia belaka? Apa yang penting, setiap yang menganggotai parti harus terlebih dahulu menjiwai semangat, idealisme dan dasar-dasar yang diperjuangkan.

KEADILAN diasaskan dengan 17 perkara atau dasar yang menjadi tunjang perjuangan. Antara lain, janji kita adalah untuk memelihara harga diri setiap warganegara, menegakkan dan memulihkan demokrasi dan kebebasan kepada rakyat. Dalam erti kata lain, rakyat
tidak boleh ditindas dan diperbodohkan.

Selepas lebih 50 tahun, senjata pemerintah untuk mengekalkan kuasa adalah dengan memperbodohkan dan memperlekeh kebijaksanaan rakyat. Sebab itu, selagi media massa dikongkong, pemerintah tidak punya alasan untuk mendabik dada, kononnya negara ini adalah negara yang meletakkan tinggi kebijaksanaan rakyat.

Unsur dan nilai-nilai kemanusiaan sedemikian, walaubagaimana indah pun dilakar dalam kata-kata, tidak akan bermakna andai tindakannya berbeza dan bertentangan sekali.

Lalu, saya ingin bertanya pada kawan-kawan yang tergelincir dan meninggalkan perjuangan, apakah mereka lupa janji dan kata-kata mereka sendiri? Andai begitu, suatu hari kelak, usah dipersalahkan andai anak cucu kita sendiri mempersalahkan mereka atas apa yang dilakukan.
Usah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Benarlah ingatan Tuhan, bahawa ’segala sesuatu itu bermula dengan niat.’ Mungkin sehari dua, setahun dua, boleh disorokkan atau disembunyikan niat tatkala menyertai parti. Akhirnya, terbongkar jua.

Seeloknya, pembersihan yang sedang kita jalani ini adalah penyucian jiwa raga demi mengarisluruskan niat. Ia seperti apa yang diingatkan Nabi Muhammad SAW, sebuku atau seketul daging di dalam diri, yang dinamakan ‘hati’, yang sangat penting dipelihara.

Di situlah hujung pangkal segala perbuatan. Termasuk tindak-tanduk politik. Di situlah wajar dirasai, apakah kita benar-benar kasih kepada anak bangsa atau hanya memikirkan soal nafsu dan tembolok sendiri?

Bak kata orang tua-tua, ya… tepuk dada, tanya selera. ‘Selera’ tentulah merujuk apa yang diberitahu oleh Yang Maha Mengetahui, sebagai ‘iman’. Dan ‘iman’ dalam bahasa Melayu pasar, disebut sebagai ‘kepercayaan’. Sekali lagi, apakah kita benar-benar percaya dengan perjuangan ini? Sesungguhnya tidak selama mana manusia mampu untuk berpura-pura.

Tidak sesiapa pun mampu menongkat langit. Sedekad lalu, yang patah tumbuh; yang hilang tetap berganti. Betapa keinsafan adalah anugerah yang tiada taranya.

Monday, March 8, 2010

MUFTI PERAK JAWAB NIK AZIZ


PUTRAJAYA 8 Mac - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tujuan beliau mengungkap kembali usahanya membantu menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak adalah supaya tidak ada nada songsang dari mana-mana pihak yang menyatakan mufti tidak berperanan dalam menyatukan masyarakat Melayu Islam.

Kata beliau, tindakannya itu disebabkan ada pihak-pihak yang memohon nasihat dan pandangannya bagaimana perlu dilakukan bagi mengembalikan semula kekuatan Melayu Islam.
Menurutnya, kenyataan beliau berhubung penolakan mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan Pas-UMNO di Perak baru-baru ini adalah berdasarkan pengamatannya terhadap Pas Perak yang tidak mahu memberi ruang untuk berbincang selepas mereka menang dalam pilihan raya umum lalu.

Maka, beliau berpandangan tidak ada jalan pintas melainkan berusaha bersama-sama mencantumkan semula dua parti yang majoritinya Melayu itu untuk bersatu.
"Mereka (Pas Perak) tidak menunjukkan minat untuk mengadakan perbincangan dengan dakwaan yang pelbagai.
"Saya adalah mufti yang dilantik oleh DYMM Tuanku Sultan Perak yang antara lain tugasan utama saya adalah membantu dan menasihat DYMM Sultan dalam perkara yang berkaitan hukum syarak.
"Oleh yang demikian, segala urusan yang menjadi kepentingan orang Islam dan Islam itu sendiri, maka saya bertanggungjawab memberi pandangan apatah lagi ia membabitkan perpaduan dan hubungan antara dua parti terbesar orang-orang Melayu Islam," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam menggelarkan beliau sebagai ejen UMNO apabila ulama itu didakwa campur tangan dalam usaha membentuk kerajaan campuran di Perak.
Reaksi Menteri Besar Kelantan itu adalah susulan daripada pendedahan terbuka Harussani dalam Program Dialog Za'ba - Perpaduan Melayu, Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia, baru-baru ini.

Sunday, March 7, 2010

KENYATAAN NIK AZIZ TERHADAP MUFTI PERAK


Terkilan saya apabila Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria menyebut nama saya secara terbuka di khalayak. Samada di dalam mesyuarat atau persidangan dewan, menyebut nama seseorang dalam ucapan secara terbuka biarlah dengan kehadiran tuan punya badan.

Sekurang-kurangnya, bolehlah kata-kata tersebut disahkan atau dinafikan. Mufti bukan orang politik yang terdedah dengan kaedah menyerang atau diserang. Mengaitkan nama saya dalam kenyataan politik seorang yang bukan tokoh politik merupakan satu tingkah laku yang tidak beretika. Justeru, apabila mufti mengambil tindakan melagukan nama saya dengan irama politik, saya harus memberikan jawapannya.

Adil juga jika saya menukilkan dahulu sebahagian ucapan beliau di program Dialog Za’ba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu lepas. Antaranya beliau berkata,


“Kenapa Pas tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.

“Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu.

“Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju,”

Saya ingin menyentuh berkaitan kenyataan yang menyebut beliau datang ke rumah saya. Benar atau tidak, terserahlah kepada khalayak. Bagi saya, ini di antara beliau dan saya. Cuma pertanyaan saya, tidakkah itu satu keterlibatan dengan politik? Sedarkah beliau bahawa kerajaan Perak yang dirampas dari tangan rakyat hari ini didokong oleh UMNO, sebuah parti yang meyakini bahawa politik dan agama tidak boleh bercampur? Dalam bahasa mudahnya, politik suku agama suku.

Jika mufti sendiri sanggup turun melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti meliputi tugas politik. Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah? Jika demikian, beliau telah mengiktiraf perjuangan PAS adalah benar. Jika tidak, kenapa libatkan diri dengan politik? Bukankah itu salah mengikut akidah UMNO?

Inilah yang diperjuangkan oleh PAS. Tegak berdirinya PAS dengan perjuangan menjadikan Islam sebaagai cara hidup. Tidakkah al-Quran sebuah kitab yang syumul? Isinya bukan sahaja akidah, bahkan soal ekonomi, politik, rumahtangga, psikologi dan kaunseling, semuanya ada di dalam al-Quran. Tidakkah ini merupakan tiang seri perjuangan PAS sejak sekian lama? Jika mufti Perak beranggapan politik dan Islam perlu selari, selangkah kaki beliau sepatutnya sudah berada di dalam PAS!

Jika beliau tidak berpandangan Islam dan politik perlu selari, tetapi terus terlibat dengan politik dengan jubah seorang mufti, maka dengan sendirinya beliau telah menjadi ejen. Dalam kes ini, beliau telah menjadi ejen UMNO. Hilang luruh kemuliaan seorang mufti kalau merelakan diri menjadi ejen. Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular.

Saya kira, jika seorang mufti yang menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa). Cukuplah sekadar itu respon balas saya terhadap kenyataan beliau.


NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Pejabat Menteri Besar Kelantan.
21 Rabiul Awal 1431 / 7 Mac 2010