Pages - Menu

Monday, September 28, 2009

TIADA PHD PALSU DI IPTA DAN IPTS


Kementerian Pengajian Tinggi mengesahkan tiada institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini sama ada awam atau swasta yang terlibat dalam mengeluarkan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) ekspres atau palsu.

Bagaimanapun Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang membuat dakwaan tersebut agar memberikan nama universiti dan pensyarah yang terlibat supaya tindakan tegas boleh diambiljika ia benar-benar berlaku.

"Apa yang saya tahu dan laporan yang saya terima, tidak ada satu pun perkara seperti itu berlaku di dalam negara kita.

"Tiada IPT di negara ini yang terlibat dalam pengeluaran Ph.D ekspres ataupun palsu begitu juga pensyarah yang memiliki Ph.D palsu mengajar di IPT negara kita," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pasir Gudang di di sini hari ini.

Baru-baru ini Rais mendakwa berlakunya pemalsuan kelulusan seperti ijazah sarjana dan Ph.D secara berleluasa di negara ini dan kegiatan membeli gelaran sosial semakin serius yang jika tidak ditangani akan melahirkan satu generasi 'ilmuwan palsu.'

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, prosedur pengambilan dan pelantikan pensyarah dan tenaga akademik di sesebuah institusi pengajian tinggi adalah ketat.

Bagaimanapun beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan universiti atau pensyarah yang didapati terlibat dengan kegiatan tersebut.

Sementara itu Mohamed Khaled berkata, kampus tetap Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan kekal di Kuala Lumpur buat masa ini kerana dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kementerian lebih fokus pada pembangunan intelektual di dalam universiti berbanding pembangunan fizikal.

"Kita sedang membina bangunan-bangunan baru di kampus UPNM di Kuala Lumpur untuk menempatkan fakulti-fakulti mereka. Sama ada perlu atau tidak kampus baru, kita tunggu sampai masanya.

"Kita akan mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat keputusan sama ia akan dipindahkan ke kawasan yang baru atau terus kekal di Kuala Lumpur," katanya.

Mengulas kenyataan Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah mengenai kampus tetap UPNM yang akan dibina di Kuantan dalam RMK-10, Mohamed Khaled mengakui bahawa kerajaan negeri Pahang ada menawarkan tanah bagi tujuan tersebut.

Tetapi kata Mohamed Khaled, pihak kementerian perlu melihat pelbagai aspek termasuk UPNM perlu mempunyai landasan yang kukuh sebagai sebuah universiti baru.

"Dalam pada itu, universiti berkenaan juga perlu memantapkan kedudukan daripada aspek akademik dan pembelajarannya," katanya.

No comments:

Post a Comment